Thursday, November 12, 2009

Warga UTHM Semarakkan Program Senam Robik dan Perhimpunan Bulanan






Umum telah mengetahui salah satu elemen untuk meningkatkan kecergasan dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang baik adalah melalui senaman. Terdapat pelbagai jenis senaman yang boleh diamalkan dan salah satu daripadanya ialah senam robik. Senam Robik bukan sesuatu yang asing di kalangan masyarakat di negara ini sekarang malah ia telah menjadi satu trend bagi semua peringkat umur.

Di UTHM program senam robik mingguan telah dikelolakan oleh Pusat Kokurikulum, Sukan dan Kebudayaan. Oleh itu, sempena perhimpunan bulanan pihak Pengurusan Universiti telah bersetuju untuk mengadakan Program Senam Robik yang bakal diadakan setiap bulan bermula pada bulan November ini. Kira-kira 1000 orang staf Universiti telah menyertai program ini yang telah diadakan pada 3 November 2009 (Selasa) yang lalu. Program telah dimulakan pada jam 7.45 pagi bertempat di Dataran Masjid UTHM. Sambutan yang di luar jangkaan ini menandakan bahawa warga Universiti memang mengharapkan program seumpama ini diadakan. Seluruh warga Universiti khususnya staf melahirkan rasa gembira dan menyokong kewujudan program seumpama ini yang banyak memberi manfaat kepada mereka khususnya bagi memastikan mereka kekal cergas dan cerdas serta dapat meningkatkan stamina terutamanya ketika menjalankan tugas seharian. Program ini bukan sahaja dapat melahirkan warga Universiti yang sihat malah dengan cara ini seluruh warga Universiti dapat berkumpul bersama dan merapatkan hubungan yang sediada terjalin.

Pihak Pengurusan Universiti telah menyediakan minuman mineral serta buah untuk dinikmati oleh semua peserta selepas tamat Program Senam Robik. Selepas itu, program telah diteruskan dengan Perhimpunan Bulanan di mana YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM telah menyampaikan ucapan bulanan. Dalam ucapannya, beliau menggesa semua staf untuk memberi perhatian terhadap Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini dan mengambil ikhtibar daripada kelemahan yang dinyatakan dalam laporan tersebut supaya semua penjawat awam dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

Bersempena dengan Program Senam Robik dan Perhimpunan Bulanan, Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Pendaftar telah mengadakan Kaunter Bersama Pelanggan bertempat di Dataran Anggerik. Kaunter tersebut dibuka bertujuan untuk memberi peluang kepada semua staf mengajukan sebarang pertanyaan yang bersesuaian, menyatakan masalah yang mereka hadapi serta sebarang cadangan bagi penambahbaikan pentadbiran organisasi. Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter Unit Pengurusan dan Perkhidmatan Pelanggan, Unit Cuti Belajar, Unit Perjawatan dan Perkhidmatan, Unit Perhubungan Awam, Unit Komunikasi Korporat, Unit Pentadbiran dan Pemesyuaratan serta beberapa kaunter lagi. Aktiviti kaunter tamat pada jam 1.00 petang.

Tuesday, November 10, 2009

UTHM Suburkan Budaya Intelektual melalui Siri Ceramah Perdana


Sebagai sebuah Intitusi Pengajian Tinggi, aktiviti percambahan ilmu dan penyuburan budaya intelektual menjadi agenda yang sangat penting. Dalam usaha melahirkan para graduan yang unggul, suasana mesra ilmu perlu sentiasa dipupuk khususnya di dalam persekitaran kampus. Selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, para ahli akademik dan pelajar perlu lebih proaktif dalam membudayakan sifat kecintaan terhadap ilmu pengetahuan. Ini merupakan satu cabaran dan tanggungjawab yang harus digalas oleh setiap warga universiti bagi memastikan keinstitusian ilmu dan peradaban di sesebuah universiti itu dihormati.

Bagi menyahut cabaran ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengaturkan siri ceramah perdana yang akan melibatkan hampir semua Profesor di universiti ini. Setiap pemidato ceramah perdana ini akan membentangkan topik yang berkaitan bidang kepakaran masing-masing. Kesemua siri ceramah perdana ini juga diringi dengan penerbitan buku ceramah perdana yang diedarkan kepada semua hadirin sesi ceramah tersebut.

Keistimewaan siri Ceramah Perdana ini dalam sudut percambahan ilmu adalah pada aspek persembahan dan penyampaian para pemidato yang diolah dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh para hadirin yang berbeza latar pendidikan dan bidang pengajian. Selain daripada itu, penerbitan buku ceramah perdana yang telah disunting menjadi terbitan ilmiah yang tidak terlalu teknikal dan kompleks juga telah memudahkan para pembaca memahami topik yang disampaikan.

Berikut adalah para pemidato yang terlibat dalam siri ceramah perdana UTHM bagi tahun 2009 ini:


1. Nama Pemidato :Prof. Dr. Mustafa bin Mat Deris
Tarikh : 06/11/2009
Tajuk : Computer Systems : How Good Am I?

2. Nama Pemidato :Prof. Dr. Abdul Aziz bin Dato' Abdul Samad
Tarikh :20/11/2009
Tajuk :The Use of Industrialised Building Systems in Malaysian Construction Industry (R&D Perspectives)

3. Nama Pemidato :Prof. Dr. Mohammad Zarar bin Mohd. Jenu
Tarikh :11/12/2009
Tajuk :Electromagnetic Pollution : The Agony of Being Defenseless Against A Silent Killer



Pada tahun 2010, UTHM akan meneruskan siri ceramah perdana ini dengan membariskan sekurang-kurangnya enam Profesor pemidato yang akan menyampaikan syarahan masing-masing. Siri ceramah yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM Parit Raja, Batu Pahat ini terbuka untuk dihadiri oleh sesiapa yang berminat dengan topik yang akan disampaikan dan maklumat lanjut berkenaan siri ceramah ini boleh diketahui dengan melayari laman web UTHM di alamat http://www.uthm.edu.my//.

Penganjuran siri ceramah perdana ini amat bertepatan dengan pelaksanaan transformasi Kementerian Pengajian Tinggi dalam memacu pembangunan modal insan dengan minda kelas pertama seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Naib Canselor Sertai Majlis Doa Selamat dan Ziarah Bakal Haji UTHM 2009

BATU PAHAT. 3 November - Pada tahun 2009 ini, seramai 15 orang staf UTHM bakal menunaikan haji di Baitullah al-Haram Makkah. Bagi mendoakan kesejahteraan bakal-bakal haji ini, Unit Perhubungan Awam, Pusat Islam dan Biro Kebajikan dan Kerohanian Kelab Staf KUiTTHO (KSKUiTTHO) telah mengadakan Majlis Doa Selamat khusus untuk bakal haji UTHM pada 3 November 2009 yang lalu di Masjid Jamek UTHM.

Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yaasin dan doa selamat yang diketuai oleh Ustaz Mohd Shahrir bin Abdul Mutalib serta tazkirah berkenaan Ibadah Haji yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Baharudin b. Yaman dari Pusat Islam UTHM. Majlis telah diserikan lagi dengan kehadiran Naib Canselor UTHM, YBhg. Profesor. Dato'. Dr. Mohd Noh Dalimin beserta isteri Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed, beberapa orang Pegawai Kanan Universiti dan beberapa staf UTHM yang akan menunaikan fardu haji.

Selepas Solat Isyak berjemaah dan jamuan makan malam, Naib Canselor UTHM beserta rombongan telah berkunjung ke rumah beberapa orang bakal haji. Kunjungan Ziarah Naib Canselor ini diteruskan beberapa malam yang berikutnya bergantung kepada kesesuaian waktu dan kesediaan tuan-tuan rumah. Dalam setiap kunjungan, doa selamat ringkas dibaca dan diikuti dengan penyampaian cenderamata oleh Naib Canselor UTHM. Kunjungan ini juga memberi peluang kepada Naib Canselor dan ahli rombongan beramah mesra, bertukar-tukar maklumat khususnya mengenai ibadah haji serta memberi dorongan moral kepada bakal-bakal haji Universiti supaya lebih tabah dan sabar sepanjang melaksanakan ibadah haji kali ini. Turut menyertai rombongan ziarah ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Jailani Md Yunos serta beberapa pegawai Universiti.

NC UTHM Lawat Staf Cuti Belajar di Jepun



Seramai 15 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing di Jepun tidak melepaskan peluang beramah-mesra bersama Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin di sini baru-baru ini.
Pertemuan yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Shibuya, Jepun itu juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai isu sara hidup di jepun, mobiliti staf universiti, kelestarian penyelidikan dan sebagainya.

Hadir sama Puan Siti Zaharah bt Omar dan Encik Redhauddin Kamaruzaman dari Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo. Selain daripada itu, pertemuan turut diatur bersama staf UTHM yang belajar di universiti di bandar Kyoto.
Profesor Dato' Dr. Mohd Noh berkunjung ke Jepun bagi memenuhi jemputan pihak penganjur persidangan "6th Annual Meeting of the Science and Technology in Society (STS) Forum" yang bermula dari 4 hingga 6 Oktober 2009.

Mohd Noh yang turut diiringi oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Mustaffa Ibrahim dan Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Hartabina, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi bin Abd. Karim juga meninjau peluang untuk menjalin hubungan antarabangsa serta kerjasama pendidikan dan penyelidikan dengan universiti-universiti di negara matahari terbit itu.


Lawatan-lawatan ke UTHM