Wednesday, September 28, 2011

Profesor Dato' Dr. Hj. Ismail bin Hj. Bakar Terima Anugerah Profesor Emeritus


JOHOR BAHRU, 24 September - Mantan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dato’ Dr. Hj. Ismail bin Hj. Bakar telah dianugerahkan Profesor Emeritus oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Majlis Konvokesyen ke-47 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pada 24 September yang lalu. Penganugerahan ini adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada UTM semasa berkhidmat di situ.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Ismail adalah lulusan Ph.D dari Bradford University, United Kingdom. Memulakan khidmat di UTM sebagai Penolong Pensyarah B pada tahun 1973, seterusnya dilantik sebagai Penolong Pensyarah A pada tahun 1977 dan kemudian menjawat jawatan Pensyarah pada tahun 1981. Tokoh akademik ini terus mengorak langkah menonjolkan kecemerlangan sehingga melayakkan beliau dinaikkan pangkat kepada Prof. Madya pada tahun 1984 dan kemudiannya dilantik sebagai Profesor pada September 1991. Beliau juga pernah menjadi Dekan Sekolah Pendidikan Profesional & Pendidikan Berterusan (SPACE).

Kepakaran dan bakat kepimpinan beliau diuji apabila dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1997. Apabila ITTHO dinaiktaraf sebagai sebuah Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi Rektor yang pertama pada Disember 2000 dan berkat usaha gigihnya, beliau menjadi Naib Canselor UTHM pada tanggal 1 Februari 2007. Beliau bersara wajib 31 Mei 2008. Walau bagaimanapun kecintaan tinggi beliau dalam dunia akademia membuatkan beliau terus menabur bakti kepada Universiti dengan menjadi Profesor kontrak dan diamanahkan menjadi Ketua Pusat Penyelidikan Tanah Lembut di UTHM sehingga kini.

Di atas segala sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan, beliau telah menerima pengiktirafan melalui Anugerah Ahli Mahkota Kedah (AMK) daripada Sultan Kedah pada tahun 1999, Anugerah Johan Setia Mahkota (JSM), daripada yang di-Pertuan Agong pada tahun yang sama. Anugerah Setia Diraja Kedah (SDK) pada tahun 2003, Anugerah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) pada tahun 2007, dan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) dari Sultan Johor pada tahun yang sama.

Seluruh warga UTHM berasa sungguh bangga dengan pengiktirafan dan penganugerahan yang diterima oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ismail Hj Bakar ini. Semoga beliau terus diberi kekuatan untuk terus menabur bakti untuk kecemerlangan Univer

Monday, September 26, 2011

UTHM Tuan Rumah Mesyuarat Majlis Penasihat Undang-Undang IPTA Bil. 3/2011


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat Majlis Penasihat Undang-Undang IPTA bil. 3/2011 yang dihadiri 17 buah universiti pada 23 September lalu, bertempat di Dewan Jemaah, Aras 5, Bangunan Perpustakaan.

Kedatangan ahli mesyuarat yang terdiri daripada pegawai-pegawai Perundangan di IPTA ini disambut dengan Majlis Makan Malam bersama Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) yang mewakili pengurusan tertinggi universiti.

Sebelum mesyuarat dimulakan, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin sempat memberi ucapan mengalu-alukan kedatangan semua wakil daripada IPTA yang terbabit.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Perundangan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) itu telah mengambil masa hampir dua jam. Selain mengesahkan minit mesyuarat yang lalu, mesyuarat turut membentangkan kertas kerja serta laporan daripada setiap ahli Jawatankuasa.

Sebelum mengakhiri program, ahli mesyuarat sempat bergambar kenangan dan menikmati jamuan sempena sambutan hari raya anjuran Majlis Penasihat Undang-Undang IPTA (MPUU).

MPUU telah ditubuhkan sejak tahun 2005 melalui kelulusan Mesyuarat Naib-Naib Canselor IPTA Bil 1/2005. Takwim tahunan mesyuarat adalah sekurang-kurangnya 6 kali setahun dan mesyuarat akan diadakan di mana-mana IPTA mengikut giliran dan secara sukarela.


Catatan : Pujian demi pujian diberikan kepada pihak urusetia kerana telah memperkenalkan makanan popular tempatan seperti Nasi Beriani Power dan Laksa Johor yang sememangnya sangat enak dinikmati. Semua ahli mesyuarat yang hadir berpuas hati dengan layanan yang diberi.


Thursday, September 22, 2011

Program Sambutan Hari Keamanan Sedunia 2011 Pupuk Kesedaran Masyarakat

Ketika dunia menyaksikan kerakusan Zionis untuk mencapai cita-cita mereka menubuhkan sebuah negara yang dinamakan “Israel Raya”, Malaysia sebagai salah satu negara Islam telah terpanggil untuk turut sama menyokong usaha membebaskan bumi Anbiya’ daripada cengkaman Zionis.

Justeru, Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Aman Palestin cawangan Johor telah menganjurkan program Sambutan Hari Keamanan Sedunia 2011 yang bertema “Selamatkan Masjid Al-Aqsa Dari Ancaman Zionis” bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 22 September lalu.

Antara objektif program adalah untuk memberi kefahaman yang mendalam dan membangkitkan kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia terhadap agenda Zionis dalam usaha mendirikan sebuah negara berkuasa besar iaitu Israel Raya.

Majlis dipenuhkan dengan acara seperti rakaman langsung ucapan Presiden Universiti Islam Gaza (IUG) Palestin, Professor Dr. Kamalain K. Shaath, persembahan puisi bertajuk Saf Terakhir Di bumi Gaza oleh Aktivis Pemuisi dan Dramatis Unit Kebudayaan UTHM, persembahan “Choral Speaking” oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading dan juga tayangan Dokumentari khas.

Program tersebut juga diselitkan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya dan Encik Shaharuzzaman Bistaman, Perunding Aman Palestin yang juga merupakan Penceramah bagi isu-isu Palestin.

Bersempena sambutan tersebut, Pusat Islam selaku penganjur juga telah mengambil inisiatif membuat kutipan derma bagi mengumpul dana untuk tabung Aman Palestin.

Kira-kira 300 orang penonton yang terdiri daripada warga universiti, kakitangan Aman Palestin Johor dan pelajar daripada SMK Seri Gading, SMK Tun Ismail dan SMK Dato’ Sulaiman hadir ke majlis tersebut.


Semasa sesi ceramah berlangsung..


Persembahan "Coral Speaking" oleh pelajar daripada SMK Sri Gading


Antara tetamu yang hadir..


Barisan Penaung Program Sambutan Hari Keamanan Sedunia (UNESCO) 2011

Tuesday, September 20, 2011

Hab Pendidikan Pagoh Dilancar – UTHM turut Serta


Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin beserta pegawai-pegawai kanan dan sebilangan kecil pelajar hadir menyaksikan upacara Pecah Tanah Hab Pendidikan Bandar Universiti Pagoh di Ladang Lanadron, Panchor, Pagoh pada 15 September lalu.

Fasa Pertama Hab Pendidikan Pagoh yang dijangka dapat menampung sebanyak 16 800 penuntut telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada majlis perasmian tersebut, Tan Sri Muhyiddin yang juga menteri Pelajaran berkata, pembangunan fasa pertama hab itu akan melibatkan empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

IPTA yang terbabit adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh.

“Saya berharap dengan usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat menarik lebih banyak IPT, terutamanya IPT swasta untuk wujudkan kampus di sini,” tambah beliau.

Pembangunan jangka panjang Hab Pendidikan Pagoh dijangka dapat menggalakkan lagi pembukaan kampus-kampus cawangan universiti luar Negara di samping dapat menambah pengambilan penuntut antarabangsa.

Kos Keseluruhan pembinaan hab pendidikan yang merangkumi beberapa fasa sehingga tempoh 15 tahun itu dijangka menelan belanja sebanyak RM6 bilion.

Hab pendidikan Pagoh itu meliputi kawasan seluas 404.7 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 1659 hektar yang akan dibangunkan sebagai Bandar Universiti Pagoh.

Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar universiti berkenaan, yang merangkumi kawasan perumahan baharu, kemudahan komersial serta kemudahan asas dan awam yang sebahagiannya akan dibangunkan secara kemudahan bersama.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby, Datuk Abdul Wahab Maskan.



Monday, September 19, 2011

Program Merdeka Raya UTHM Disambut Meriah


Program sambutan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan ke 54 yang berlangsung pada 14 September lalu membuktikan kesungguhan universiti dalam menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warganya.

Sambutan Bulan Kemerdekaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini telah bermula sejak 15 Ogos lagi dan berakhir secara rasmi pada 16 September.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai program telah diadakan seperti Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan, Deklamasi Puisi Patriotik, Pertandingan Kecerian Bulan Kemerdekaan, Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil, Acara Konvoi Bermotor Pelajar, Pameran Kemerdekaan dan juga perbarisan sambutan hari kemerdekaan.

Seawal pagi lagi, sambutan dimulakan dengan pelepasan kumpulan Konvoi Bermotor Pelajar, yang mana konvoi tersebut bertindak sebagai pembawa jalur gemilang, bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Manakala Dewan Tunku Ibrahim Ismail pula dimeriahkan dengan Majlis Perasmian Penutup Bulan Kemerdekaan ke 54 yang mana majlis tersebut dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Majlis turut diisi dengan Ceramah Patriotisme yang disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera cawangan Batu Pahat, Tuan Haji Khamis Md. Nor, diikuti dengan persembahan Deklamasi Lakon (Dekon) oleh Aktivis Pemuisi Dramatis yang terdiri daripada pelajar program diploma dan diakhiri dengan nyanyian Keroncong Merdeka daripada kumpulan Senandung Rindu, Unit Kebudayaan, UTHM.

Naib Canselor turut menyampaikan ucapan melalui wakil rasminya dengan menyeru warga universiti untuk sama-sama mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini dan turut sama meniupkan semangat tersebut pada generasi muda masa kini.

Majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan yang mana pertandingan ini dinilai berdasarkan keceriaan bangunan-bangunan di sekitar kampus.

Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Hartabina telah mengungguli pertandingan tersebut, diikuti dengan bangunan Pejabat Pendaftar dan bangunan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai.

Sejurus selesai sambutan penutup bulan kemerdekaan, UTHM juga turut meraikan sambutan Aidilfiri 2011 bertempat di padang kawad universiti.

Naib canselor beserta Ahli Lembaga Pengarah Universiti turut hadir ke lokasi untuk menyambut aidilfitri bersama warganya. Hadir sama beberapa Jabatan Awam daerah Batu Pahat. Pelbagai juadah disediakan dan para pengunjung turut dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu raya.



'Malam Cakna Warisan' Cungkil Bakat Mahasiswa Baru


Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) digamatkan dengan persembahan bakat oleh para pelajar baru pada ‘Malam Cakna Warisan’ (MCW), yang merupakan malam penutup bagi Minggu Haluan Siswa (MHS) 11 September lalu. Seramai 2121 pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda mendaftarkan dri bagi sesi kemasukan kali ini.

Bertemakan konsep ‘Merdeka Raya’, semua kumpulan dikehendaki membawa mesej tersebut dalam persembahan mereka mengikut kreativiti masing-masing.Persembahan berbentuk lakonan, Nyanyian, tarian dan bacaan puisi tersebut ternyata berjaya menarik perhatian penonton dengan sorakan dan tepukan gemuruh sebaik sahaja setiap kumpulan selesai memberikan persembahan.

Kumpulan Kolej Tun Fatimah menjuarai persembahan pada malam tersebut, diikuti dengan Kumpulan Kolej Perwira dan Kumpulan Kolej Tun Dr. Ismail. Manakala tempat keempat disandang oleh Kumpulan Pelajar Antarabangsa dan tempat Kelima pula oleh Kumpulan Pelajar Bukan Melayu.

Setiap kumpulan yang berjaya membawa pulang hadiah berupa hamper dan disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin. Manakala Juri pada malam tersebut merupakan kakitangan daripada Unit Kebudayaan, Pusat Ko-Kurikulum dan Kebudayaan, UTHM.

Turut hadir memeriahkan majlis, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim, yang menjalankan tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
‘Malam Cakna Warisan’ merupakan salah satu pengisian bagi program Minggu Haluan Siswa,yang mana telah melibatkan pelajar-pelajar baru semester 1 2011/2012.



Sesi Bersama Pemimpin Minggu Haluan Siswa (MHS) Memotivasikan Pelajar


Bersempena ‘Minggu Haluan Siswa’ (MHS) yang berlangsung selama seminggu, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pelajar baru, bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 9 September lalu.

Ucapan yang mengambil masa selama satu setengah jam itu diisi dengan kata-kata nasihat dan motivasi, agar semua mahasiswa yang hadir tidak lupa dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Datuk Dr. Shaharuddin mengingatkan mahasiswa agar sentiasa membuat perancangan yang teliti dan tahu hala tuju sepanjang menuntut ilmu di universiti ini.

“Untuk menjadi pelajar cemerlang, jangan sesekali pernah merasa cukup dengan apa yang ada, sebaliknya teruskan berusaha dari masa ke semasa dan tanamkan azam untuk mendapat CGPA 3.0 ke atas,” tambah beliau.

Ucapan beliau turut menggamit perhatian mahasiswa apabila beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang pelajar sekolah, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi dan khidmatnya sebagai kakitangan Awam

Di akhir ucapan, beliau sempat berpesan kepada mahasiswa yang ada agar tidak bertumpu kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya tambahkan ilmu yang ada dengan kemahiran dan pengalaman.

Hadir sama Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Professor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Majlis Sesi Bersama Pemimpin ini dihadiri oleh lebih 2000 orang mahasiswa yang baru mendaftar untuk semester 1 2011/2012.


Wednesday, September 7, 2011

Pendaftaran Pelajar Baru Berjalan Lancar

Pelajar baru yang sedang mendaftar


Pendaftaran pelajar baru program Ijazah Sarjana Muda yang bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 September berjalan dengan lancar.

Bagi semester 1 2011/2012 ini, UTHM menawarkan sebanyak 2518 tempat untuk pelajar baru.

Pendaftaran kali ini menyaksikan UTHM menerima beberapa pelajar dari universiti lain yang mengikuti program pertukaran pelajar iaitu dua dari Jepun dan lima dari universiti tempatan.

Untuk semester ini, UTHM juga menerima 59 pelajar dari luar negara yang datang dari Libya, Yamen, Somalia, Brunei, Chad, Filipina, Kemboja dan lain-lain.

Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh enam fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Kesemua mereka akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak Universiti.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM juga turut meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga para pelajar yang mendaftar, melalui sesi temubual yang diadakan.

Sehingga pukul dua petang ini, jumlah pendaftaran pelajar telah mencatatkan sebanyak 1633 orang dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat sehingga pendaftaran ditutup pada pukul lima petang.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar baru ini ke UTHM. Kemasukan pelajar-pelajar baru ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah di akhir pengajian kelak.


Naib Canselor sedang menjawab soalan ketika sidang media berlangsung.


Ketika sesi ramah mesra antara Naib Canselor dan Pegawai Eksekutif dengan ibu bapa para pelajar


Soalan demi soalan: Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan oleh para ibu bapa.


Para pelajar yang menanti giliran untuk mendaftar


Selesai: Pelajar tidak lupa untuk menyemak semula dokumen-dokumen yang dibawa sebelum beredar daripada kaunter pendaftaran