Monday, November 28, 2011

Prof. Ir. Mohammad Zainal Hurai Tentang Bagaimana Mengenali Persekitaran Dalam Bangunan


Lebih 80% daripada kehidupan harian kita dihabiskan di dalam bangunan tidak kira sama ada di tempat kerja, sekolah, tempat rekreasi dan juga kediaman masing-masing. Bagaimanapun, hanya sedikit sahaja pengetahuan dan pemahaman kita tentang selok belok persekitaran dalaman yang diduduki. Memastikan persekitaran dalam bangunan berada dalam keadaan baik adalah perlu agar penghuninya akan merasa lebih selesa dan selamat.

Syarahan Perdana Siri 8/2011 kali ini menyaksikan Profesor Ir. Mohammad Zainal Md Yusof daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menyampaikan syarahan bertajuk "Getting to Know Our Buildings Better: Ventilation, Thermal Comfort, Air Freshness, Indoor Air Quality (IAQ), Sick Building Syndrome (SBS).

Syarahan yang berlangsung pada 24 November bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membincangkan tentang unsur-unsur persekitaran dalaman yang sihat, pandangan dan kajian tentang keperluan manusia ketika berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran dalaman dan bagaimana untuk menguruskan persekitaran dalaman dengan baik.

Di awal syarahan, Profesor Ir. Mohammad Zainal telah menghuraikan beberapa istilah yang berkait rapat dengan bangunan iaitu tentang ventilasi, keselesaan terma, kualiti udara dalam bangunan (IAQ), jumlah udara, kesegaran dan bau, penyakit berkaitan bangunan (BRI) dan sindrom bangunan tidak sihat (SBS).

Profesor Ir. Mohammad Zainal yang telah menceburi dunia akademia selama 35 tahun ini turut membincangkan tentang piawaian dan peraturan yang berkaitan dengan kualiti persekitaran dalam bangunan (IEQ), kaedah penyelidikan mengenai kualiti udara dalam bangunan (IAQ) dan juga turut menyentuh kajian-kajian yang telah dan sedang dilakukan oleh UTHM mengenai persekitaran dalaman dan industri.

Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM turut memberi ulasan tentang syarahan tersebut di akhir majlis. Beliau berharap dengan penerangan tentang isu-isu IAQ dan IEQ itu dapat membantu warga universiti agar lebih peka untuk menambahbaik persekitaran dalaman masing-masing. Beliau berpandangan bahawa persekitaran dalaman yang baik dapat membantu meningkatkan lagi prestasi kerja dan juga proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Di akhir ulasan, beliau menyeru kepada warga universiti agar turut sama membantu dalam sebarang bentuk penyelidikan yang dijalankan oleh UTHM agar universiti ini boleh menjadi universiti contoh kepada negara.

Ahli Senat UTHM, Dekan-Dekan Fakulti dan para penonton yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan universiti hadir ke majlis tersebut.








UTHM Jadi IPT Pertama Tubuh Briged RELASIS


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan oleh Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA untuk menjadi model kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara sebagai peneraju pasukan RELA Siswa Siswi (RELASIS) Institut Pengajian Tinggi.

Untuk tujuan tersebut, UTHM dengan kerjasama RELA Malaysia telah berjaya mereka bentuk dan menyediakan satu buku iaitu "Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) IPT." Buku ini akan menjadi panduan kepada semua IPT di negara ini dalam melaksanakan penubuhan RELASIS di IPT masing-masing.

Dengan terhasilnya buku panduan tersebut, maka satu majlis Pelancaran Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) dan Penganugerahan Pangkat Kehormat RELA UTHM kepada 23 orang pegawai telah diadakan bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM pada 20 November lalu.

Buku panduan ini telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam majlis Penganugerahan Pangkat Pegawai Kehormat RELA UTHM.

Beliau dalam ucapannya menyeru setiap golongan belia agar membuka minda mereka untuk turut sama menjadi anggota mana-mana badan beruniform bagi membangkitkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mempertahankan negara.

"Ikatan Relawan Rakyat (RELA) adalah salah satunya, dengan menyertai badan beruniform ini, golongan belia yang terdiri daripada kepelbagaian majmuk ini dapat diikat menjadi satu kumpulan yang kuat demi kestabilan negara," katanya sewaktu merasmikan majlis pelancaran tersebut.

UTHM melalui Pusat Kokurikulum sebelum ini telah sedia menubuh dan mengiktiraf pasukan RELASIS dan ia merupakan salah satu aktiviti daripada 90 kursus berbentuk akademik dalam ko-kurikulum bagi teras Kesukarelawanan dengan membawa pemberat sebanyak 6 kredit.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, walaupun penubuhan RELASIS masih di peringkat awal, namun jumlah pelajar yang berminat menyertainya sangatlah membanggakan. Setakat ini RELASIS UTHM mempunyai seramai 344 anggota dan jumlah pengambilan tersebut akan bertambah lagi selaras dengan pertambahan pelajar dari masa ke semasa.

Walaupun RELASIS dianggotai oleh pelajar-pelajar universiti, UTHM juga telah melantik seramai 23 orang yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik sebagai Pegawai Kehormat RELA Universiti. Pegawai-pegawai tersebut bertindak sebagai mentor kepada sebarang aktiviti yang akan dijalankan oleh RELASIS.

Naib Canselor mewakili seluruh warga UTHM berharap dengan menyertai pasukan beruniform seperti ini akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai disiplin yang tinggi, bertanggungjawab terhadap keselamatan dan juga keamanan negara selain mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.




UTHM Jalin Kerjasama Strategik Dengan Tiga Rakan Industri

Dalam memastikan kualiti dan hala tuju pengajaran dan penyelidikan Universiti sentiasa relevan dengan keperluan industri, tiga lagi memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan rakan-rakan industri iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. pada 18 November 2011 yang lalu.

Ketiga-tiga MOU ini adalah untuk menggalakkan kerjasama akademik melalui pendidikan dan penyelidikan khususnya dalam beberapa bidang yang telah disenaraikan.

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan KTMB bertujuan untuk menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi Kejuruteraan Kereta Api.

Antara bidang kerjasama yang dirancang ialah kerjasama dalam membangunkan Program Sarjana Muda dan Program Sarjana untuk program Kejuruteraan Kereta Api dan juga kerjasama dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang yang sama. Naib Canselor dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin bin Adnan telah menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Haji Sulam Hamid bersama Pengurus Besar syarikat tersebut iaitu Cik Azshidah Shah Shahari.

Manakala Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) pula telah menandatangani dua MOU iaitu dengan Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. Tandatangan memorandum tersebut melibatkan Naib Canselor dengan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Col (R) Profesor Dato' Husin Haji Jazri dan Ketua Pegawai Eksekutif MysysNet Sdn Bhd, Encik Hud Md Ali.

FSKTM dan Cybersecurity Malaysia akan bekerjasama dalam bidang Keselamatan Siber dan antara program kerjasama yang dirancang ialah program penempatan latihan industri bagi pelajar, program sangkutan staf akademik dan kerjasama dalam bidang penyelidikan.

Sementara itu, FSKTM juga menandatangani perjanjian dengan Mysysnet Sdn Bhd dalam bidang pembangunan sistem di peringkat industri. Bidang kerjasama yang dirancang adalah seperti program penempatan latihan industri bagi pelajar dan kerjasama dalam pembangunan sistem aplikasi dan penyelidikan.

Turut hadir, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz bin Dato Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos,
Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), pegawai-pegawai kanan serta kakitangan universiti.




.

Seminar Motivasi Tingkat Prestasi Staf

Dalam usaha meningkatkan lagi prestasi kerja kakitangn, pejabat Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu lagi seminar iaitu Seminar Motivasi Staf yang bertajuk "Kerja Sebagai Suatu Ibadah" pada 16 November lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Seminar tersebut diadakan bagi membantu kakitangan universiti meningkatkan prestasi kerja tahunan.

Kaunselor berdaftar merangkap pakar motivasi, CR. Haji Hushim Haji Salleh telah dijemput untuk menjayakan seminar tersebut. Walaupun tajuk yang dipilih menjurus kepada keilmuan, gelagat dan cara penyampaian beliau membuatkan para penonton begitu tertarik untuk terus mendengar ceramah tersebut sehingga selesai. Seminar yang mengambil masa 4 jam itu turut diselitkan dengan beberapa aktiviti bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama peserta.

Antara perkara yang disentuh dalam seminar tersebut adalah tentang pengurusan masa semasa bekerja, bagaimana menjadi pekerja cemerlang dan cara memotivasikan diri dalam menghadapi kerja yang diamanahkan.

Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim,yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), pegawai-pegawai kanan dan kira-kira 500 kakitangan universiti hadir ke seminar tersebut.

Laman Web UTHM Terima Pengiktirafan 5 Bintang oleh MDeC

Laman Web Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat kejayaan membanggakan apabila diiktiraf status lima bintang oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) dalam laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Tahun 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam laporan tersebut, MDeC telah melaksanakan penilaian terhadap 1155 laman web dan portal kerajaan dengan memfokuskan elemen seperti kandungan, kebolehgunaan, keselamatan, penyertaan dan perkhidmatan.

Di peringkat agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pula, laman web UTHM berada di dalam kelompok 10 teratas. Kategori ini merangkumi 80 laman web universiti awam dan swasta, kolej komuniti serta politeknik di seluruh negara.

ncNaib Canselor UTHM, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dalam satu kenyataan berkenaan perkara ini menyatakan "Penarafan tertinggi yang diberikan oleh MDeC kepada laman web UTHM ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha gigih dan berterusan UTHM dalam memudah cara segala urusan dan tadbir urus Universiti melalui kemudahan ICT khususnya secara online"

"Kami yakin melalui laman web yang cekap dan efisien, sistem penyampaian Universiti akan dapat dipertingkatkan dan sekaligus membina satu imej yang baik terhadap organisasi. Tambahan pula UTHM sebagai sebuah universiti premier dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, kita akan menggunakan segala kepakaran yang dimiliki oleh warga Universiti dalam memastikan sebarang urusan pengurusan dan pentadbiran Universiti dapat dilaksanakan dengan cekap pada bila-bila masa." katanya lagi

Laman web UTHM mempunyai ciri-ciri mesra pengguna yang amat tinggi. Para pengguna yang terdiri daripada kelompok pelajar, pentadbir, ibu bapa mahupun pelanggan luar akan memperoleh maklumat yang berkaitan kepentingan masing-masing secara mudah dan cepat.

Pada ketika ini laman web UTHM amat membantu warga kerjanya mencapai segala maklumat berkaitan rekod peribadi secara menyeluruh seperti rekod cuti, latihan dan kursus, penerbitan dan penyelidikan dan sebagainya melalui satu sistem yang dikenali sebagai Total Campus Integrated System (TCIS).

Manakala bagi pelajar, Sistem Maklumat Akademik Pelajar (SMAP) pula amat membantu dalam melicinkan urusan rekod akademik, pengajaran dan pembelajaran mereka serta memudahkan interaksi bersama penyelia masing-masing.

Laman web UTHM juga diperhebatkan dengan pelbagai kandungan audio visual menarik yang disalurkan oleh University Campus Interactive TV (UCiTV) yang memaparkan pelbagai rakaman video aktiviti akademik dan program-program anjuran Universiti. Kemampuan yang dimiliki oleh UCiTV ini juga membolehkan pelayar laman web dari seluruh dunia menyaksikan acara-acara utama UTHM secara langsung melalui laman web UTHM yang beralamat www.uthm.edu.my.

Majlis Makan Malam Rejimental 2011 Rai Pegawai Kadet PALAPES UTHM


Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis makan malam sempena meraikan pegawai- pegawai muda kadet PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baru saja ditauliahkan pada Julai lalu.

Majlis makan malam yang berlangsung pada 11 November di Pulai Spring Resort, Johor Bahru itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu merdu dengan iringan muzik daripada kumpulan Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Manakala para tetamunya pula disajikan dengan beberapa hidangan yang cukup menyelerakan.

Naib Canselor, Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih di atas kesudian Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail untuk turut sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada 49 orang pegawai kadet PALAPES UTHM yang baru saja ditauliahkan pada 9 Julai lalu dalam majlis penuh istiadat iaitu Majlis Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-30 yang bertempat di kampus utama UTHM, Parit Raja Batu Pahat.

Naib Canselor dalam ucapannya juga turut mengingatkan pegawai-pegawai muda tersebut agar tidak lupa menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan penuh jujur dan amanah.

Majlis turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai kanan universiti serta wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).






Ibadah Korban Serikan Sambutan Aidiladha Di UTHM


Ibadah korban merupakan satu ibadah amaliah iaitu menyembelih haiwan ternak pada pada hari nahar (Qurban) dan hari-hari Tasyrik dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama melakukan ibadah ini dengan mengorbankan tujuh ekor lembu sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Islam itu telah berlangsung pada 8 November di perkarangan masjid UTHM. Enam daripada tujuh ekor lembu tersebut disumbang oleh kakitangan universiti manakala seekor lagi daripada Koperasi UTHM Berhad.

Setiap pusat tanggungjawab (PTj) UTHM telah menghantar wakil masing-masing bagi membantu mengagihkan daging-daging korban tersebut kepada warga universiti.

Selain melaksanakan ibadah korban di dalam kampus, warga UTHM juga melakukan ibadah korban di Vietnam dengan menumbangkan 11 ekor lembu.

Kesemua daging korban tersebut diagihkan kepada penduduk miskin di dua buah kampung yang terletak kira-kira 160 kilometer dari ibu kota Ho Chi Minh.

UTHM telah menjadikan ibadah korban ini pada setiap tahun sebagai satu program tahunan untuk diraikan.


Wednesday, November 2, 2011

2400 Sertai Perarakan “Town & Gown” Sempena Majlis Konvokesyen ke 11 UTHM



Hujan lebat kira-kira satu jam sebelum acara bermula tidak sedikitpun menjejaskan semangat 2400 peserta perarakan ala “Town & Gown” sempena konvokesyen Ke-11 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di jalan-jalan utama, bandar Batu Pahat pada 22 Oktober 2011 lalu.

Acara yang bertujuan untuk memberitahu seluruh penduduk di daerah batu pahat akan penganjuran konvokesyen kali Ke-11 ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Perarakan ini merupakan amalan beberapa universiti terkemuka luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charless Stuart, Universiti St Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor, sejak beberapa dekad lalu. Acara ini menjadikan UTHM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di semenanjung mengadakan perarakan seperti ini.

Acara perarakan yang bermula dari Jalan Rahmat hingga ke Stadium Batu Pahat ini adalah antara pendekatan UTHM untuk merakyatkan majlis konvokesyen ini dan sebagai satu simbolik hubungan erat antara warga UTHM dengan penduduk selaras dengan tema perarakan, Inovasi-Rakan Universiti-Komuniti.

Terdapat juga acara sampingan seperti acara konvoi Berbasikal dari Kampus UTHM ke stadium Batu Pahat bermula seawal jam 9 pagi. Kira-kira 300 orang individu dari pelbagai kelab basikal telah menyertai acara kayuhan tersebut. Sementara itu pada jam 11 pagi, para pengunjung hadir untuk menyaksikan Pertandingan Auto Show yang disertai oleh penggemar kereta tempatan iaitu kereta Proton dan Perodua. Program tersebut juga disusuli dengan konvoi motor besar yang bergerak dari UTHM ke stadium.

Daripada 2400 peserta yang terlibat, 1880 adalah terdiri daripada pelajar UTHM manakala selebihnya adalah para pegawai dan ahli akademik UTHM serta wakil dari beberapa agensi jemputan.

Antara agensi jemputan yang turut serta dalam perarakan ini adalah penyertaan daripada kumpulan pancaragam RELA dan pancaragam Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, kumpulan drumline Sekolah Menengah Sains Bandar Penawar, Sekolah Menengah Paduka Tuan, Segamat dan juga Kumpulan Silat PESAKA daerah Batu Pahat.

Kemuncak perarakan tersebut adalah upacara pembacaan pengistiharan konvokesyen oleh Pendaftar UTHM dan Skrol Konvokesyen tersebut turut diserahkan kepada Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi sebagai tanda simbolik hubungan erat antara universiti dan penduduk Batu Pahat.








Program Eksplorasi ICT Bersama Angkasawan Negara Ajak Warga UTHM Dekati Dunia IT


Bersempena Majlis Konvokesyen Ke-11, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu program keilmuan iaitu program Eksplorasi ICT bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bertempat di Dewan Kuliah 1 Perpustakaan, pada 27 Oktober baru-baru ini.

Program bersama tokoh angkasawan negara ini begitu mendapat sambutan sehinggakan hadirin yang datang terpaksa berebut ruang untuk mengikuti sesi ceramah tersebut. Perkongsian pengalaman beliau di ruang angkasa telah menggamit per
hatian penonton untuk terus mengikutinya sehingga selesai.

Di samping itu, peserta program juga turut disajikan dengan pameran berkenaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Aero Angkasa.


Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta kesedaran kepada warga UTHM tentang betapa pentingnya Teknologi Maklumat (IT) dalam mengkoordinasi ruang angkasa dan kaitannya dengan alam sekitar.


Selain itu, program tersebut juga bertujuan untuk berkongsi il
mu tentang bagaimana Teknologi ICT ini dapat mengeksploitasi pelbagai maklumat mengenai fenomena alam sekitar untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan. Dalam ceramahnya, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar menyeru semua warga universiti supaya menjadikan ICT sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin
dan beberapa Pegawai Kanan turut hadir mengikuti program tersebut.





Tunku Mahkota Johor Raikan Graduan Pada Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Ke-11

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan sidang kedua, Majlis Konvokesyen yang berlangsung pada 29 Oktober 2011 lalu.

Baginda yang juga Pro-Canselor telah bertitah dengan menyeru kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian agar tidak lupa terhadap jasa dan pengorbanan ibu bapa sepanjang mereka menuntut ilmu.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail juga berpesan kepada graduan agar menggunakan segala kepakaran yang ada pada jalan yang betul dan tidak lupa memberi sumbangan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin juga merakamkan ucapan tahniahnya kepada semua graduan dan seluruh keluarga mereka.

Dalam sidang ini, seorang tokoh telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat (Pengurusan Teknologi) iaitu Yang Berbahagia Datuk K.Y Mustafa. Penganugerahan ini dibuat bagi menghargai jasa beliau yang banyak menyumbangkan idea kepada perkembangan negara khususnya dalam bidang pengurusan teknologi.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam permodenan sistem tadbir urus khususnya bagi pentadbiran negeri Sabah.

Pada sidang kedua ini, seramai 345 orang yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian daripada Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menerima ijazah masing-masing.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2244 orang siswazah menerima sijil merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (8 orang), Sarjana (164 orang), Sarjana Muda (1832 orang) dan Diploma (240 orang).

UTHM Anugerah Profesor Emeritus Kejuruteraan Elektrik Kepada Prof. Ir. Dr. Zainal

Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) menerima anugerah Profesor Emeritus Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Majlis Konvokesyen Ke 11 yang berlangsung pada 29 Oktober 2011.

Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor UTHM sewaktu sidang pertama pada 29 Oktober.

Penganugerahan ini dibuat bagi menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan dan pembangunan profesion kejuruteraan elektrik di Malaysia.

Beliau sebelum ini merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pengasas kepada penubuhan UTHM ketika beliau memegang jawatan sebagai Pengarah pertama bagi Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) dan Institut Tun Hussein Onn (ITTHO).

Selain itu, beliau juga menyandang beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi Lembaga Akreditasi Institusi Jurutera Malaysia, Pengerusi Panel Akreditasi Lembaga Jurutera Malaysia, Pengerusi Panel Penilai Lembaga Akreditasi Negara, Penemuduga Ahli Profesional IEM, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Teknikal (SIRIM) dan Pengerusi Jawatankuasa D-SETARA Bidang Kejuruteraan Agensi Kelayakan Malaysia.

Pada ketika ini, beliau meneruskan khidmatnya sebagai Penolong Naib Canselor (Pembangunan) di UTHM.

Menyentuh serba sedikit perjalanan hidup beliau, Zainal Abidin Ahmad merupakan anak ke enam daripada 12 orang adik-beradik ini dilahirkan pada tanggal 7 Disember 1945 di Segamat, Johor.

Beliau memulakan kerjaya sebagai kerani di Pejabat RISDA daerah Segamat. Namun dengan usia yang masih muda beliau telah mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Rubber Research Institute (RRI). Setelah tamat beliau terus dilantik sebagai Pegawai Penasihat di Insitut tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dikecapinya. Setelah memperolehi Ijazah Sarjana di Institut Teknologi Bandung (ITB) beliau terus memulakan kerjaya sebagai ahli akademik bermula pada tahun 1974 sehinggalah kini.

Selama berkhidmat di lapangan tersebut, beliau turut menyambung dunia pengajiannya sehinggalah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1983 daripada University Of Wales, United Kingdom. Setelah bersara wajib daripada Universiti Teknologi

Datuk K.Y. Mustafa Terima Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Teknologi)

Sidang kedua menyaksikan Datuk K.Y. Mustafa menerima Ijazah Kehormat Sarjana Pengurusan Teknologi daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Datuk K.Y Mustafa merupakan seorang tokoh yang banyak menyumbangkan idea kepada perkembangan negara khususnya dalam bidang pengurusan teknologi. Beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Perkhidmatan Awam dan Setiausaha Kerajaan/Kabinet Negeri Sabah sememangnya aktif dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Antropologi dan Sosiologi ini memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerja di Jabatan Ketua Menteri, negeri Sabah pada Jun 1974. Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Perkhidmatan Awam pada 13 Januari 2000 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Setiausaha Kabinet pada April 2000 hingga Julai 2006.

Antara jawatan yang disandang beliau ketika ini ialah Pengerusi UMS Link Holdings Sdn. Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn. Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah KKIP Holdings Sdn. Bhd.

Beliau sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburinya. Atas faktor inilah UTHM telah memilih beliau untuk menerima anugerah ini.

Battle Of The Band Meriahkan Pesta Konvokesyen

Kemunculan artis-artis terkenal seperti Black Mentor, Kumpulan Kristal, Pelawak Yasin dan Mamat Raja Lawak telah memeriahkan lagi pertandingan Battle Of The Band Akustik yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.

Battle of the Band, satu pertandingan mencungkil bakat yang berlangsung di Padang Kawad, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan salah satu pengisian kepada Pesta Konvokesyen (Convair) sempena Majlis Konvokesyen Ke-11, 2011.

Pertandingan anjuran Kelab Warisan dengan kerjasama Seketariat Pesta Konvokesyen ini telah disertai oleh pelajar-pelajar UTHM dan juga penggiat seni tempatan. Pada peringkat saringan, seramai 21 band telah menyertai pertandingan tersebut, namun hanya lima sahaja yang berjaya ke peringkat akhir.

Band Topeng telah meraih tempat pertama diikuti dengan Medley Madness dan troppers. Masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai.

Perkarangan pentas dipenuhi dengan penonton yang terdiri daripada warga universiti dan juga masyarakat setempat.

Graduan UTHM Diterima Bekerja Di Mumbai, India




Navinderjeet Singh A/L Gurder Singh,24 anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazahnya dalam bidang kejuruteraan awam ini telah ditawarkan bekerja di sebuah syarikat Malaysia yang berpengkalan di Mumbai, India.

Tanpa berfikir panjang,dia terus menerima tawaran tersebut kerana baginya menjadi satu kerugian melepaskan peluang seperti itu.

Maya Décor Sdn. Bhd, syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan telah menawarkan jawatan sebagai Jurutera Projek kepada Navinderjeet kira-kira tujuh bulan yang lalu. Menurut Navinderjeet, tugas yang dipikulnya itu lebih kepada mengurus dan memantau segala projek yang ada.

Ketika ditanya mengapa dia menerima tawaran bekerja di sana, Navinderjeet menjelaskan selain faktor gaji yang tinggi, dia juga ingin merasai pengalaman bekerja di luar negara. Bagaimanapun, satu hari nanti dia tetap akan pulang mencurahkan tenaganya di Malaysia pula. "Kemungkinan saya akan bekerja di India dalam beberapa tahun dan selepas itu saya akan pulang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran," jelasnya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana pula nanti.

Dia juga menjelaskan bahawa apa yang dipelajarinya di UTHM dulu telah diaplikasikannya di sana. "Apa yang saya pelajari dulu sememangnya tidak sia-sia kerana ianya amat membantu saya dalam melaksanakan tugas yang diberi" kata Navinderjeet lagi. Kelebihannya yang boleh berbahasa Hindi memudahkan lagi interaksinya dengan masyarakat di sana.

Navinderjeet merupakan salah seorang graduan yang telah terpilih menerima anugerah Di-Raja iaitu Pingat Jaya Cemerlang sewaktu Majlis Konvokesyen Ke-11 pada 29 Oktober 2011 lalu.

Faisal dan Navinderjeet Singh Terima Anugerah Di-Raja

Anugerah Di-Raja kali ini menyaksikan dua graduan iaitu Navinderjeet Singh A/L Gurder Singh dan Faisal Sheikh Khalid menerima Pingat Jaya Cemerlang pada sidang pertama konvokesyen ke 11.Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor UTHM.

Faisal Sheikh Khalid,24 tersenarai sebagai penerima anugerah ini. Pelajar ini juga merupakan seorang pelajar cemerlang dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum. Anak bongsu daripada enam adik beradik ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar.

Dengan CGPA 3.81, Faisal membuktikan bahawa penglibatannya dalam pelbagai persatuan tidak sikitpun menjejaskan pencapaian akademiknya. Buktinya, pelajar ini memperolehi Anugerah Dekan beberapa kali dan mendapat CPA 4.00 berturut-turut pada tahun akhir pengajiannya.

Ketika ditanya bagaimana dia menguruskan masa, dengan tersenyum dia menyatakan bahawa dia tidak suka menangguhkan kerja dan merangka jadualnya sendiri agar segala tugas menjadi lebih teratur. Dari segi akademik pula, Faisal yang pernah mendapat Anugerah Naib Canselor ini memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dan sentiasa berinteraksi dengan tenaga pengajar jika ada yang tidak difahaminya.

Jika dilihat dari segi penglibatannya dalam bidang kokurikulum, Faisal juga pernah menjawat beberapa jawatan antaranya Ahli Jawatan Kuasa dalam Majlis Perwakilan Pelajar UTHM dan Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam di fakultinya. Pelajar ini juga banyak memberikan sumbangan tenaga kepada program-program yang dianjurkan oleh fakulti mahupun universiti.

Sementara itu Navinderjeet Singh,24 merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam juga dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar. Merujuk kepada rekodnya sebelum ini, Navinderjeet merupakan seorang pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga kokurikulum.

Pelajar yang pernah menerima Anugerah Canselor pada tahun 2008 ini telah mendapat Anugerah Dekan 12 kali berturut-turut sepanjang menuntut dalam program diploma dan ijazah di universiti ini. Manakala dalam bidang kokurikulum pula, Navinderjeet sememangnya seorang yang sangat aktif dan berkomitmen tinggi dalam bidang yang diceburinya.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang kokurikulum, Navinderjeet telah memikul beberapa tugas penting dalam badan beruniform yang disertainya iaitu Pasukan Sukarelawan Polis Siswa-Siswi IPTA (KOR SUKSIS).Selain itu, pelajar ini juga aktif dalam persatuan pelajar contohnya beliau pernah menjawat jawatan Senator kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM dan merupakan Naib Pengerusi bagi Kelab Debat Bahasa Inggeris.Selain itu, pelajar ini juga turut aktif dalam bidang sukan dan kebudayaan.

Jahidin Bangga Anak-Anak Jejak Kaki Ke UTHM

Jahidin Jendol, 52 ayah kepada enam orang anak ini melahirkan rasa bangganya kerana kedua-dua anaknya telah berjaya menjadi anak didik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

"Syukur kerana anak sulung saya senang mendapat pekerjaan sewaktu tamat belajar di UTHM. Ternyata pilihannya untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran sememangnya tidak salah,"kata Jahidin memulakan cerita.

Anak sulungnya Mohd Khairul Aftitah, 27 tahun telah menamatkan zaman pengajiannya dengan segulung ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian di UTHM pada tahun 2008. Manakala Mohd Akmal, 24 tahun kini di tahun akhir pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di universiti yang sama.

Ketika ditanya mengenai karier anak sulungnya, Jahidin yang juga suami kepada Siti Hajar Ahmad, 48 ini menjelaskan selepas tamat belajar sekitar tahun 2008, anaknya terus ditawarkan jawatan sebagai Junior Bio Medical Engineer di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Setelah beberapa bulan bekerja, anaknya ditawarkan pula bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Jurutera Elektrik. Tidak lama selepas itu dia melepaskan jawatan kontraknya itu setelah ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Institut Latihan Perindustrian, Kementerian Sumber Manusia. Kini anaknya menjalankan tugas tersebut di Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala Mohd Akmal, anak ketiganya pula sedang menyambung pengajiannya di peringkat ijazah, juga di UTHM. Pelajar tahun akhir tersebut mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan. Ketika ditanya mengapa kedua-dua anaknya memilih UTHM sebagai universiti pilihan, Jahidin menjelaskan bahawa memang cita-cita mereka menjejak kaki ke sana memandangkan UTHM sebelum ini telah banyak melahirkan graduan yang cemerlang."Saya juga berharap adik-adik mereka yang masih dibangku sekolah turut sama mengikut jejak langkah abang-abangnya nanti" tambah Jahidin.

Beliau berpendapat lokasi kampus yang terletak di kawasan luar bandar juga dapat membantu anak-anaknya menumpu lebih perhatiaan terhadap pelajaran. "Saya amat tertarik dengan pemandangan sekitar kampus yang tenang dan dengan segala kemudahan asas seperti perkhidmatan bas, kafetaria, bank dan lain-lain dapat memudahkan para pelajar untuk berurusan,"jelas beliau lagi.

Jahidin juga memberi komen tentang perkhidmatan yang diberi oleh pihak universiti sewaktu mendaftarkan anak-anaknya. "Sememangnya segala urusan pendaftaran berjalan lancar dan hanya mengambil masa sehari sahaja untuk menyelesaikannya," tambah Jahidin sambil tersenyum.

Tuanku Canselor Sempurnakan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-11 UTHM

Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam titahnya berpesan kepada semua graduan supaya menjaga imej dan nama baik universiti selepas menamatkan pengajian mereka.

"Saya ingin berpesan kepada graduan terutamanya yang masih dalam pengajian, jauhilah daripada anasir-anasir yang merosakkan hidup dengan berpegang teguh kepada ajaran dan amalan agama," titah baginda lagi ketika menyempurnakan siding pertama Majlis Konvokesyen ke-11 yang berlangsung pada 29 Oktober 2011, semalam.

Tuanku Canselor juga sempat mengingatkan para pelajar UTHM agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan sentiasa menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh universiti serta pihak kerajaan.

Konvokesyen kali ini menyaksikan penerimaan beberapa anugerah seperti Anugerah Profesor Emeritus, Anugerah Ijazah Doktor Falsafah, Anugerah Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda. Manakala anugerah akademik yang tersenarai pula ialah seperti Anugerah Khas DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Sri Sapura, Anugerah Tan Sri Dato' Paduka Hajjah Ashah Ghani, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Khas Alumni (Kategori Pelajar).

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan PALAPES oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, sejurus selepas itu seluruh dewa diumumkan dengan pengistiharan pembukaan Majlis Konvokesyen ke-11 oleh Tuanku Canselor dan diikuti dengan pengenalan kepada penerima Anugerah Profesor Emeritus iaitu Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Dalam masjlis tersebut, Profesor Ir. Dr. Zainal telah diberi peluang merakamkan ucapan terima kasih di atas penganugerahan tersebut. Dalam ucapannya, beliau mnyatakan penghargaan kepada seluruh warga kerja universiti yang sentiasa menyokong khidmat bakti beliau sepanjang berada di UTHM.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin juga mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Canselor dan para tetamu ke majlis konvokesyen kali ini. Beliau juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2244 orang siswazah menerima sijil merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (8 orang), Sarjana (164 orang), Sarjana Muda (1832 orang) dan Diploma (240 orang).