Friday, August 10, 2012

UTHM semarakkan Program Ihya Ramadan


Untuk menghidupkan Ramadan bulan yang mulia bagi umat Islam ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengadakan beberapa program melibatkan pelajar termasuk pelajar antarabangsa  dan masyarakat setempat di sepanjang bulan ini. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya,UTHM melalui Pusat Islam melaksanakan program pemberian bubur lambuk secara percuma kepada pelajar dan kakitangan UTHM setiap hari Rabu di sepanjang bulan Ramadan. 


Penyediaan bubur lambuk ini dimulakan seawal jam 8 pagi lagi dan diuruskan oleh urusetia yang terdiri daripada 60 kakitangan UTHM yang dilantik oleh Pusat Islam. Seribu bungkus bubur lambuk dapat dihasilkan melalui aktiviti gotong royong beramai-ramai dan pengagihan juadah ini mula dijalankan sekitar pukul 4.00 petang.

Sementara itu, Pusat Islam juga mengadakan program berbuka puasa di Masjid UTHM khusus untuk pelajar dan kakitangan universiti setiap hari pada bulan ini. Menurut Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus, pada tahun ini pihaknya menyediakan makanan berbuka puasa untuk 600 orang jemaah setiap hari. 

Program berbuka puasa tersebut disusuli dengan program solat sunat tarawih. Pusat Islam juga turut mengimarahkan lagi masjid universiti dengan mengadakan program seperti berikut:

1.       7 Ogos 2012, Majlis Khatam Al-Quran dan Ceramah Nuzul Quran akan diadakan di Masjid. Ceramah akan disampaikan oleh YAA Hj. Amir Danuri, Ketua Hakim Syarie Johor.  

2.       11 Ogos 2012, Majlis Iftar Saudara-Saudara Baru Peringkat Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor. Majlis akan dirasmikan oleh YB Dato’ Zainal Abidin Othman, Exco Agama Johor, manakala ceramah akan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Johor.
3.       14 Ogos 2012, Majlis Iftar Ramadan, MAIJ bersama UTHM. Ceramah akan disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato' Haji M. Tahrir bin Dato' Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor.

4.      Program mengimarahkan al-Quran dan tazkirah pada setiap pagi Jumaat di Pusat Tanggungjawab (PTj) yang telah ditetapkan.

Beberapa PTj dan Persatuan turut mengimarahkan masjid dengan majlis iftar seperti berikut:


                                                        I.            1 Ogos 2012, Pejabat Naib Canselor dengan Kelab Staf KASTURI
                                                     II.            2 Ogos 2012, Pasukan Beruniform RELA UTHM mengadakan majlis iftar dengan tetamu utama Ketua RELA Negeri Johor
                                                   III.            8 Ogos 2012, Majlis Iftar ‘Setitis Syahdu Ramadhan’, anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar.
                                                  IV.            10 Ogos 2012, Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Pelajar Kursus Pengajian Islam Pusat Pengajian Diploma dengan kerjasama Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan.

Pusat Islam mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan daripada kakitangan UTHM dan masyarakat luar dalam berbagai bentuk bagi menjayakan Program Ihya Ramadan 1433H/2012. Semoga Allah membalas sumbangan tersebut dengan balasan amal jariah yang berterusan.

“Setitis Syahdu Ramadan” – rai pelajar miskin dan anak-anak yatim



Bersempena bulan Ramadan ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dan pelajar miskin dalam satu majlis berbuka puasa “Setitis Syahdu Ramadan” anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 8 Ogos lalu di Masjid UTHM.

Seramai 100 orang pelajar miskin daripada enam buah sekolah sekitar Parit Raja, Batu Pahat bersama 20 pelajar yatim UTHM menerima sumbangan wang dan kuih raya dalam majlis tersebut. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan isteri beliau Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed serta beberapa pegawai kanan universiti.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dalam ucapannya berkata majlis berbuka puasa ini adalah untuk menyalurkan sedikit kasih sayang dan memberikan kegembiraan kepada mereka yang dirai.

“Majlis berbuka puasa seumpama ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat HEP,malah pada tahun ini sasaran diluaskan lagi dengan menjalin hubungan mesra antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini turut melibatkan semua pelajar UTHM tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Justeru amalan ini diharap dapat meningkatkan lagi integrasi antara kaum,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada beberapa penaja seperti Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Kelab Staf UTHM (KSKUiTTHO) dan syarikat Miaow Miaow Food Products Sdn. Bhd. yang telah memberi sumbangan dalam menjayakan majlis berbuka puasa ini.

Sebelum penyerahan sumbangan berlangsung, tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus untuk menambahkan lagi keberkatan majlis. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad; Pendaftar, Haji Sulam Hamid; Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim dan beberapa pegawai kanan UTHM.

Program berbuka puasa “Setitis Syahdu Ramadhan” ini merupakan program usahasama Pejabat HEP dengan Pusat Islam dan beberapa pertubuhan dalaman universiti iaitu KSKUiTTHO, Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PENTAS) serta Kelab Sukarelawan UTHM.





Wednesday, August 8, 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri...


Pasukan UTHM Paddlers muncul Juara Keseluruhan di Karnival Sukan Air MASUM 2012

 Disediakan oleh : Shaid Jaffar

Pasukan UTHM Paddler muncul juara keseluruhan apabila berjaya memungut lima pingat emas,dua pingat perak dan satu gangsa di Karnival Sukan Air MASUM 2012 yang berlangsung di Pusat Rekreasi Sukan Air, Putrajaya pada 9 hingga 15 April lalu.

Karnival Sukan Air ini menyaksikan kehebatan para atlit seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia bertarung bagi acara mendayung (rowing ) dan juga kayak.

Pasukan Rowing Lelaki UTHM berjaya mengondol tiga pingat emas serta muncul juara keseluruhan bagi kategori mendayung lelaki dengan menyapu bersih semua pingat emas yang dipertandingkan. Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga pasukan ini muncul juara keseluruhan mendayung bagi kategori lelaki dan kali kedua berturut-turut muncul sebagai juara keseluruhan untuk sukan air.

Sementara itu, pendayung wanita UTHM pula berjaya membawa pulang satu pingat emas dan dua pingat perak sekaligus muncul naib juara keseluruhan bagi kategori wanita. Manakala untuk acara kayak pula, pasukan UTHM juga tidak menghampakan apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat gangsa.

UTHM khususnya Pusat Sukan merasa bangga dengan pencapaian tersebut kerana kemenangan ini membuktikan bahawa universiti ini mampu melahirkan atlit-atlit yang mampu memberi saingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di mana kebanyakan atlit-atlitnya lahir daripada program zero to hero iaitu program pencarian bakat-bakat baru yang dijalankan menerusi karnival sukan pelajar seperti UTHM Games,bengkel-bengkel asas sukan,kejohanan-kejohanan tertutup UTHM dan program-program sukan lain yang dijalankan sepanjang tahun. 

Ini kerana kebanyakan atlit-atlit UTHM lahir dengan tiada nama besar dalam acara sukan malahan ada yang buat kali pertama menceburi sesuatu sukan apabila menyambung belajar ke UTHM tetapi kita mampu menjadikan mereka antara nama besar dalam sukan tanah air di Malaysia. 

Hasil kesungguhan universiti, para atlit yang dicungkil bakatnya ini berjaya mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan Sea (Sea Games), Sukan Malaysia (SUKMA) dan Asean Universiti Games (AUG).

Kumpulan Teater UTHM juara Pertandingan Teater Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia


Kumpulan teater Putera AKSI Penggaram, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bergelar juara setelah berjaya menewaskan empat kumpulan teater lain semasa menyertai Pertandingan Teater Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Johor yang diadakan di Dataran Penggaram , Batu Pahat pada 23 Jun lalu.

Pertandingan teater anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor ini melibatkan kumpulan teater daripada lima daerah iaitu daerah Batu Pahat, Segamat, Johor Bahru, Muar dan Ledang. Kumpulan Putera AKSI Penggaram ini diwakili oleh dua orang pelajar dari UTHM iaitu saudara Muhammad Taqiuddin Faridil Atras dan Mohd. Shawari Amri Abdul Aziz. Manakala seorang lagi iaitu saudara Johnson Tok pula merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Sulaiman, Batu Pahat.

Kumpulan teater yang mewakili daerah Batu Pahat ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2000 beserta sijil penyertaan. Sementara itu, kumpulan teater dari Johor Bahru merangkul gelaran naib juara membawa pulang wang tunai RM1500 dan diikuti dengan Segamat di tempat ketiga membawa pulang RM1000.Untuk rekod, kumpulan teater UTHM pernah bergelar juara dalam pertandingan yang sama pada tahun 2010.

Teater ini diarahkan oleh Puan Rohaida Yon, guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Parit Raja dan Encik Rizal Asrol Badron, Artis Budaya, Unit Kebudayaan, Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P), UTHM sebagai Pengarah Produksi. Persembahan teater tersebut turut dibantu oleh tiga orang Artis Budaya Muzik, Unit Kebudayaan, P3P, UTHM iaitu Encik Baithan Mohd Salleh, Encik Mohd Nazri Mohd Nawi dan Encik Syahrizan Zainaldin sebagai pemuzik.

Teater muzikal karya Rahimah Muda ini mengisahkan sejarah pembukaan daerah Batu Pahat yang diterajui oleh Dato’ Bentara Luar Muhammad Salleh Perang. Kisah Dato’ Bentara Luar yang dianggap negarawan ulung yang banyak berjasa dalam memajukan daerah Batu Pahat ini turut diceritakan dalam teater ini.

Bergelar juara dalam pertandingan tersebut membolehkan kumpulan teater Putera AKSI Penggaram mewakili negeri Johor ke pertandingan teater peringkat kebangsaan yang dijadual akan berlangsung pada 2 Disember nanti.