Tuesday, October 22, 2013

UTHM-AIT Perkukuh Kerjasama Penyelidikan Melalui ‘UTHM-AIT Joint Research Centre’

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Athlone Institute of Technology (AIT) Ireland melakar lembaran
baru dalam bidang kerjasama penyelidikan apabila menubuhkan sebuah pusat penyelidikan bersama yang diberi
nama UTHM – AIT Joint Research Centre. Terletak di bangunan baru MiNT- SRC, UTHM – AIT Joint Research Centre
telah dilancarkan penubuhannya secara rasmi oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh bin Dalimin, Naib Canselor
UTHM dan Prof. Ciarán Ó Catháin, Presiden AIT pada 10 Oktober 2013 yang lalu. Persefahaman untuk mewujudkan
 sebuah pusat penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah universiti ini telah dicapai melalui
siri perbincangan yang telah diadakan sebelum ini.

Melalui penubuhan UTHM-AIT Joint Research Centre ia secara langsung dapat mempertingkatkan kerjasama
penyelidikan dan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah universiti ini walaupun dari segi lokasi ia
dipisahkan oleh jarak yang jauh dan  benua yang berbeza. UTHM juga amat berbesar hati apabila AIT menyatakan
hasrat untuk menghantar para penyelidik dalam bidang yang berkaitan ke pusat penyelidikan ini bagi menjalankan
penyelidikan bersama penyelidik UTHM. Para penyelidik UTHM diharapkan agar dapat memanfaatkan sepenuhnya
penubuhan  UTHM – AIT Joint Research Centre bagi melonjakkan lagi bidang R&D UTHM di pentas dunia.