Friday, January 28, 2011

Profesor Ayob Johari buka tirai Syarahan Perdana 2011 UTHM

Oleh: Shafry Salim


Tirai Siri Syarahan Perdana 2011 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dibuka dengan penyampaian syarahan daripada Profesor Ayob Johari dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTHM pada 27 Januari 2011. Syarahan yang bertajuk “Wireless Technology : Can We Live Without It?” ini telah disampaikan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail UTHM.

Siri Syarahan Perdana merupakan program tahunan UTHM sejak tahun 2009. Program ini menjadi wadah kepada para Profesor Universiti menyebarluaskan kajian dan hasil penyelidikan mereka kepada khalayak umum. Sejak dimulakan pada tahun 2009, seramai 11 orang Profesor telah menyampaikan syarahan masing-masing.

Pada tahun 2011 ini, seramai 10 orang Profesor lagi akan menyampaikan syarahan mereka. Setiap syarahan perdana ini akan diiringi dengan penerbitan buku syarahan perdana yang akan diedarkan secara percuma kepada para hadirin semasa sesi ceramah. Dalam setiap majlis syarahan perdana, Pemidato Utama akan akan diringi Naib Canselor dan ahli senat Universiti lengkap mengenakan jubah akademik masuk ke dewan syarahan. Sebelum syarahan dimulakan, Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) akan memperkenalkan pemidato kepada para hadirin dan salah seorang daripada mereka juga akan membuat penggulungan dan ulasan selepas syarahan disempurnakan.Selain dihadiri oleh ahli akademik dan staf pentadbiran universiti, siri syarahan ini turut dihadiri para jemputan luar, wakil industri para pelajar dan guru sekolah serta masyarakat umum.

Profesor Ayob dalam syarahannya memperincikan sejarah dan perkembangan teknologi wireless serta huraian istilah-istilah utama yang digunakan dalam teknologi penting ini. Beliau turut memperincikan kepentingan dan impak teknologi wireless ini kepada fizikal dan rutin kehidupan manusia. Beliau turut berkongsi maklumat tentang perkembangan dan evolusi teknologi wireless ini di masa akan datang. Beliau membayangkan bahawa teknologi ini di masa akan datang mejadi begitu penting malah dianggap sebagai “deria keenam” manusia.

Profesor Ayob turut membuat beberapa pendedahan menarik berkenaan cabaran dan ancaman teknologi wireless ini terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna. Sebelum mengakhiri pidatonya, Profesor Ayob secara sinis memperkenalkan istilah tersendiri “SMI” (sendiri mau ingat) dalam menyerahkan kepada para hadirin untuk mempertimbangkan persoalan mengenai kepentingan teknologi wireless ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad dalam ucapan penggulungannya merakamkan ucapan tahniah kepada Profesor Ayob atas pidatonya yang menarik dan berkesan. Beliau bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh pemidato bahawa teknologi wireless amat penting dalam kehidupan manusia dan ianya akan terus berkembang pesat dan mendampingi gaya hidup serta tamadun manusia di alaf yang mendatang. Yang menjadi cabaran adalah bagaimana teknologi ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya ke arah kesejateraan sejagat di samping memastikan risiko negatif penggunaan peralatan wireless ini dapat dipantau agar ianya sentiasa selamat digunakan oleh manusia.



Thursday, January 13, 2011

Majlis Taklimat Naib Canselor bersama Pimpinan & Ketua-Ketua Jabatan Fakulti UTHM

Program: Majlis Taklimat Naib Canselor bersama Pimpinan & Ketua-Ketua Jabatan Fakulti UTHM
Tarikh: 14 Januari 2011 (Jumaat)
Tempat: Dewan 3 (Tingkat bawah, Blok A1)

Majlis ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi acara pertama yang diadakan di dewan ini yang telah diubahsuai daripada ruang pentadbiran Pejabat Pendaftar menjadi sebuanh dewan aktiviti yang boleh memuatkan hampir 200 orang dalam satu-satu masa.

Ramai yang masih tertanya-tanya di manakah lokasi dewan ini. Sebenarnya dewan ini terletak di tingkat bawah blok A1 iaitu di bawah Pejabat Unit Perhubungan Awam.

Majlis taklimat ini dibuat atas permintaan YBhg. Dato' Naib Canselor sendiri yang baru pulang dari mengiringi Menteri Pengajian Tinggi dalam lawatan ke United Kingdom (UK).

Dalam lawatan rasmi dari 7 hingga 12 Januari 2011 ini, tumpuan lebih diberikan kepada aspek perkembangan staf universiti yang cuti belajar (meyambung pengajian di UK) serta strategi membawa pulang para pakar (talent) ke Malaysia.

Dalam taklimatnya, YBhg. Dato' Naib Canselor telah berkongsi pengalaman dan maklumat sepanjang beliau berada di UK bersama YB Menteri.

Antara perkara penting yang dilontarkan adalah:

- Bagaimana kita (semua pihak dalam UTHM) dapat membantu / meringankan/ mempermudahkan segala urusan rakan-rakan kita yang sedang menyambung pengajian di luar negara, Ini termasuklah urusan yang berkaitan pentadbiran dan juga kebajikan.

- Mencadangkan kemungkinan mewujudkan satu team /JK / unit khas yang melihat aspek "Talent Management" ini.

- Meminta semua pihak memikirkan kemungkinan / kebarangkalian (yang juga satu cabaran dari YB Menteri) bahawa UTHM akan menjadi sebuah Universiti berstatus APEX (spt USM) dari kategori (Dato' istilahkan sebagai Divisyen) MTUN? Jika USM menjadi APEX dalam kategori Universiti utama (penyelidikan) - Divisyen 1 gayanya; - UTHM pula menjadi Universiti APEX bagi kategori / dalam kalangan Universiti MTUN.

- Menggesa semua pihak mewujudkan suasana cemerlang dan sentiasa menjadi yang terbaik dalam semua aspek dan dalam apa jua tindakan yang di laksanakan. Kerana dengan mempunyai semangat dan sifat seperti ini sajalah kita akan mampu menyumbang kepada kecenerlangan Universiti.

Syabas Dato'. Sesungguhnya sesi perkongsian pengalaman dan maklumat seperti ini amat bermakna dan penting untuk pemantapan sesebuah organisasi. Diharapkan selepas ini lebih banyak sesi sebegini dilakukan.

UTHM di akhbar - 14 Januari, 2011


UTUSAN MALAYSIA

UTHM di akhbar - 13 Januari, 2011


BERITA HARIAN

Sunday, January 9, 2011

UTHM di akhbar - 10 Januari, 2011


UTUSAN MALAYSIA

Takziah

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Dukacita dimaklumkan bahawa anakanda kepada Tuan Haji Mohd Nor Ihkasan (Ketua Unit UCiTV) telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi kerana terlibat dengan kemalangan ketika berbasikal ke sekolah. Marilah kita sama-sama menyedekahkan AlFatihah kepada Allahyarham Adik Mohd Ikmal Hasyimi bin Hj Mohd Nor, semoga rohnya ditempatkan bersama para Syuhada'. Moga Allah beri kekuatan dan ketabahan kepada Tuan Hj Mohd Nor sekeluarga menghadapi dugaan yang berat ini. Amin. ALFATIHAH

by Pro Uthm on Monday, January 10, 2011 at 9:21am

Monday, January 3, 2011

UTHM di akhbar - 01 Januari 2011

Sinar Harian



UTHM di akhbar - 03 Januari 2011

Harian Umum Haluan - Media Group Sumbar - Riau - Kepri




SINAR HARIAN

EMC UTHM jadi ahli dalam Malaysian Technical Standards Forum Bhd.

UTHM melalui Pusat Keserasian Elektromagnetik (EMC) telah diterima menjadi ahli bersekutu (Associate Member) dalam Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB) mulai 21 Disember 2010.

MTSFB secara rasminya diberi peranan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 27 Oktober 2004 untuk mengawasi polisi nasional dan objektif kawalan kendiri mengikut seksyen 94 dan 184 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MTSFB bertanggungjawab bagi menyedia dan menyelenggara kod teknikal dan standard selain mengenal pasti isu-isu operasi antara rangkaian telekomunikasi.

Pada masa ini keahlian MTSFB adalah terdiri dari badan korporat, individu dan pusat penyelidikan yang diletakkan di bawah 19 kumpulan kerja.

UTHM melalui EMCcenter akan berada di bawah WIRELESS INDUSTRY EMISSION WORKING GROUP. Dengan perkembangan ini, UTHM akan dapat memberi sumbangan yang lebih aktif dan berkesan kepada pembangunan sektor telekomunikasi, multimedia dan penyiaran di negara ini.

Pusat yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Zarar Mohd Jenu ini telah ditubuhkan sebagai pusat yang menyediakan kemudahan-kemudahan pengujian bagi pra-pematuhan dan pematuhan EMC kepada pengeluar-pengeluar yang ingin menjalankan ujian di peringkat rekabentuk dan pengeluaran ke atas produk-produk mereka. Ia bukan sahaja mengurangkan kos pengujian ke atas produk-produk gagal-uji, bahkan ia turut mempertingkatkan kebolehupayaan pembangunan dan pengeluaran bagi sesebuah syarikat. Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan nilai tambah seperti khidmat rundingan dan membaik pulih kegagalan sesuatu produk.

Ia adalah pusat kecemerlangan yang pertama diwujudkan di UTHM dan sehingga kini adalah merupakan peneraju dalam bidang EMC di negara ini selain SIRIM Berhad. Kemudahan yang ada di EMC UTHM ini adalah yang terbaik berbanding mana-mana universiti di rantau ini.

Lawatan ke Kemboja meneroka kerjasama strategik dan kemanusiaan

Dalam memperkasa aspek pengantarabangsaan universiti, satu lawatan kerja rasmi delegasi pegawai dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke negara Kemboja telah berlangsung pada 26 hingga 29 Disember 2010 yang lalu.

Delegasi UTHM telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang dikepalai sendiri Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin yang memberi tumpuan terhadap penerokaan kerjasama strategik UTHM dengan beberapa pihak di Kemboja manakala kumpulan kedua diketuai oleh Dekan Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Dr. Asri Selamat.

Dalam menjalin hubungan dan kerjasama strategik ini, delegasi UTHM yang turut disertai Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Mejar Jeneral (B) Dato’ Md Ismail Ahmad Khan dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad telah mengadakan lawatan ke Royal University of Phnom Penh, Institut Teknologi Kemboja, Public Bank Kemboja, dan Kedutaan Malaysia di Kemboja.

Dalam kunjungan ke Royal University of Phnom Penh (RUPP) yang terletak di tengah-tengah bandaraya Phnom Penh itu, kedua-dua pihak amat tertarik untuk menjalin kerjasama khususnya dalam perkongsian kepakaran dan penempatan (mobiliti) pelajar. Rektor RUPP Lav Chhiv Eav memaklumkan bahawa mereka sedang merancang untuk memperkenalkan bidang pengajian kejuruteraan di RUPP dalam masa yang terdekat ini. RUPP merupakan sebuah universiti kerajaan yang memberi penekanan kepada pengajian di bidang Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dengan jumlah pelajar melebih 12 ribu orang, RUPP merupakan universiti tertua dan terbesar di Kemboja.

Sesi perbincangan bersama Rektor Royal Universiti Of Phnom Penh

Bersama Rektor Royal Universiti Of Phnom Penh, Lav Chhiv Eav

Semasa berkunjung ke Institut Teknologi Kemboja (ITC), delegasi UTHM telah disambut oleh Dr OM Romny selaku Director General . Bidang pengajian di institut ini mempunyai persamaan dengan beberapa bidang pengajian di UTHM seperti kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik. Justeru kedua-dua pihak telah menyatakan minat untuk berkongsi kepakaran dan kemungkinan penempatan pelajar mahupun staf di kedua-dua organisasi. UTHM juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan ITC dari segi penempatan latihan industri para pelajar UTHM di Kemboja serta peluang untuk pelajar Kemboja melanjutkan pengajian di UTHM.

Bersama Director General Institut Teknologi Kemboja, Dr .OM Romny

Di hadapan bangunan utama Institut Teknologi Kemboja

Bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein

Sesi perbincangan bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja

Naib Canselor dan delegasi UTHM turut membuat kunjungan hormat menemui Duta Besar Malaysia di Kemboja Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein Pengiran Haji Mohd Tahir Nasruddin di Bangunan Kedutaan Malaysia di pinggir Phnom Penh. Dalam pertemuan ini, Dr. Mohd Noh
telah mengambil kesempatan memperkenalkan UTHM dengan lebih lanjut di samping memaklumkan aktiviti dan hasrat kerjasama yang ingin dijalinkan bersama pihak Kemboja. Dalam reaksi balasnya, Datuk Pengiran Haji Mohd Hussein amat mengalu-alukan usaha yang digerakkan oleh UTHM ini dan menyatakan kesungguhan beliau bagi pihak Kedutaan Malaysia untuk menghulurkan kerjasama kepada pihak UTHM.

Sesi perbincangan bersama Timbalan Menteri Pendidikan Kemboja

Semasa di bumi Kemboja, Dr. Mohd Noh yang mempunyai atur cara padat, turut mengadakan pertemuan berasingan bersama Menteri Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja, Yang Berhormat Datuk Othsman Hassan, Timbalan Menteri Pendidikan serta Pengurus Public Bank Kemboja. Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan tersebut adalah hal-hal yang berkaitan kerjasama dalam bidang pembangunan modal insan, latihan kemahiran dan sumber manusia yang sememangnya diberi perhatian oleh pihak kerajaan Kemboja.

Lawatan delegasi UTHM pada kali ini telah membawa berita gembira kepada penduduk kampung ini di mana, Naib Canselor UTHM dalam satu acara ringkas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kandal, Yang Berhormat Zakariyya Adam telah menyampaikan sumbangan dana wakaf berjumlah 13 ribu Dolar Amerika (sumbangan warga UTHM) kepada wakil penduduk kampong ini bagi tujuan pemilikan sebidang tanah bersebelahan masjid di kampung berkenaan. Tanah yang dibeli ini akan didirikan sebuah bangunan sekolah agama tiga tingkat bagi membolehkan lebih 500 orang pelajar mengikuti sesi pembelajaran yang selesa.

Dr. Mohd Noh menyampaikan ucapan di hadapan para penduduk Kampung Chroy Metrey

Sebahagian penduduk Kampung Chroy Metrey yang hadir di majlis penyerahan sumbangan dana wakaf UTHM

Dr. Mohd Noh menyerahkan replika cek sumbangan dana wakaf UTHM berjumlah USD 13 ribu kepada Imam Masjid Chroy Metrey

Sementara itu, lawatan ke Kemboja kali ini juga menonjolkan keperihatinan warga UTHM terhadap nasib golongan minoriti Muslim di Kemboja. Program kemasyarakatan telah diadakan di Kampung Chroy Metrey yang berada di wilayah Kandal. Ini merupakan program susulan kerana pada Hari Raya Qurban yang lalu, UTHM telah mengurbankan 32 ekor lembu di kampung tersebut.
Bersama sebahagian pelajar yang begitu teruja dengan cadangan pembinaan bangunan sekolah baru untuk mereka

Cadangan bangunan sekolah baru yang akan dibina

Bagi merealisasikan cita-cita penduduk kampung membina bangunan sekolah ini, UTHM telah menyatakan hasrat untuk berusaha mendapatkan dana dan sumbangan dari seluruh warga universiti serta para dermawan dari Malaysia untuk menampung perbelanjaan pembinaan bangunan ini.

Dr.Abdul Aziz (duduk tengah) dan Dato’ Md Ismail (duduk kanan) menyempurnakan pemasangan jubin di Masjid Kampung Chroy Metrey

Dr.Asri (tengah) memberi tunjuk ajar kepada para pelajar UTHM semasa gotong royong memasang jubin Masjid Chroy Metrey

Di Kampung ini juga, sekumpulan 10 orang pelajar UTHM telah berkampung selama tiga hari dan tinggal bersama-sama keluarga angkat di situ. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan, antaranya mereka telah membantu penduduk kampung memasang lantai jubin di masjid, memberi motivasi kepada anak-anak penduduk kampung serta melaksanakan kenduri sekampung yang melibatkan penyembelihan seekor lembu dan enam ekor kambing. Kesemua perbelanjaan untuk aktiviti kemasyarakatan ini adalah hasil sumbangan warga UTHM.


Dikeluarkan oleh,
Shafry Salim
Unit Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Emel: shafry@uthm.edu.my
Tel: 07-4537026