Tuesday, January 17, 2012

CEC UTHM bakal jadikan Kluang Bandar Ilmu


Dalam usaha meneroka, membangun serta mengembangkan ilmu pengetahuan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengorak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) di Kluang yang menfokuskan konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Majlis perasmian yang diadakan pada 17 Januari 2012 tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Dr. Hou Kok Chung. Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan CEC UTHM di bandar Kluang ini merupakan satu langkah bijak dan tepat kerana Kluang merupakan sebuah bandar yang berpotensi untuk dijadikan bandar ilmu pada masa akan datang.

"Sebagai Ahli Parlimen Kluang, pembukaan cawangan ini memberi peluang kepada saya untuk mempromosikan CEC dalam lawatan kerja saya ke dalam dan luar negara, dan diharapkan usaha ini dapat menarik seramai mungkin pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah mereka di sini," katanya lagi.

Menurut beliau, pihaknya juga merancang untuk meluaskan akses pengajian pasca siswazah di CEC, UTHM Kluang ini dengan menggandingkan lebih banyak universiti luar negara terutamanya dari China dan Taiwan dengan UTHM.

Terbaru, Pihaknya bersama UTHM sedang merancang untuk menubuhkan program Kejuruteraan Keretapi di Kluang memandangkan daerah ini mempunyai stesen keretapi yang dapat memenuhi tuntutan pembelajaran dan pengajaran bagi program ini.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin dalam ucapannya berkata bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa releven dengan kehendak industri, pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksanakan CEC ini telah diterapkan dengan elemen kemahiran insaniah dan kemahiran bahasa inggeris melalui kursus-kursus dan program yang ditawarkan. Selari dengan tagline Developing The Future, program yg ditawarkan setakat ini amat menepati pasaran industri.

"UTHM sentiasa menyokong mana-mana institusi latihan yang ingin menawarkan program-program berbentuk latihan kemahiran sejajar dengan keperluan industri. Justeru dengan penubuhan CEC cawangan Kluang ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kualiti tenaga kerja melalui pendekatan pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan pasaran kerja," katanya lagi.

Manakala dalam satu sidang media pada hari yang sama, Naib Canselor berkata CEC di Kluang dijangka berupaya mengendalikan sehingga 3000 orang pelajar. Beliau berkata Kluang dipilih kerana bandar ini mempunyai tarikan tersendiri di samping terdapatnya kemudahan infrastruktur dan pengangkutan yang baik untuk digunakan pelajar.

Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan pemberian dana untuk pembukaan akaun SSPN kepada 48 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan pelajar miskin daerah Kluang serta turut memberikan penajaan untuk 31 orang pelajar lepasan SPM bagi mengikuti program pengajian Persediaan Diploma. Pemberian sumbangan tersebut ditaja oleh Pejabat Canselori dan UTHM Holdings Sdn. Bhd. selaku anak syarikat UTHM. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Md Jais Sarday serta Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar.

CEC UTHM yang ditubuhkan pada 17 Julai 2003 ini menawarkan beberapa program seperti program kursus jangka pendek dan jangka panjang, program eksekutif, program pesisir dan program Peningkatan Kemahiran Industri (INSEP) yang mana ianya melibatkan aspek teori, amali dan juga kerja lapangan.












Tuesday, January 10, 2012

Hampir 13 ribu Mahasiswa terima RM200 Baucar Buku 1Malaysia



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula mengagihkan baucar buku 1Malaysia berjumlah RM200 seorang kepada kira-kira 12,988 orang mahasiswa yang sedang melanjutkan pelajaran secara sepenuh atau separa masa.

Para pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) sebelum ini menerima khabar gembira apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan mengumumkan pemberian baucar buku 1Malaysia bernilai RM200 setiap seorang semasa pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu di Parlimen.

Rentetan pengumuman tersebut, UTHM telah menerima sebanyak RM2.6 juta untuk diagihkan kepada para pelajar yang layak. Inisiatif ini dirangka bagi meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian selain untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi Y.

Bagi menyempurnakan amanah tersebut, UTHM telah mengadakan Majlis Pelancaran Baucar Buku 1Malaysia bertempat di perkarangan Perpustakaan pada 9 Januari 2011. Dalam majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin telah menyerahkan baucar buku 1Malaysia kepada wakil pelajar setiap fakulti dan pusat pengajian.

Beliau ketika ditemubual berharap para pelajar dapat memanfaatkan insentif yang diberikan dengan sebaik mungkin demi kepentingan pengajian masing-masing.

Sementara itu, Norliana Mohd. Noor,23 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) mewakili pelajar UTHM melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan memberi mereka insentif bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sepanjang pengajian.

"Pemberian baucar ini amat bermakna kepada kami, terutamanya kepada pelajar yang kurang berkemampuan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa kriteria telah digariskan oleh kerajaan bagi membolehkan seseorang pelajar itu layak menerima baucar buku tersebut. Antaranya ialah pelajar tersebut mestilah warganegara Malaysia dan sedang melanjutkan pengajian secara separa atau sepenuh masa di institusi pengajian di bawah seliaan Kementeriaan Pengajian Tinggi atau yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Justeru, setiap pelajar UTHM yang berkelayakan boleh menuntut baucar tersebut mulai 9 Januari hingga 31 Mac 2012 di fakulti masing-masing.






UTHM terima 200 Pelajar Persediaan Diploma Sesi 2012


Seramai 200 orang pelajar baru telah mendaftar untuk program Persediaan Diploma bagi sesi 2012 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 Januari 2012 baru-baru ini.

Program Persediaan Diploma merupakan program persediaan untuk diterima masuk ke UTHM dalam Program Pengajian Diploma. Ini bermakna untuk melangkah masuk penuh ke UTHM dan bergelar seorang mahasiswa, setiap pelajar perlu menyempurnakan semua keperluan yang telah ditetapkan dalam program ini. Hanya mereka yang berjaya dan cemerlang akan diterima masuk ke UTHM untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma.

Pendaftaran pelajar pada tarikh tersebut telah diselitkan dengan satu majlis Bacaan Ikrar iaitu membuat akujanji kepada diri sendiri sebagai simbolik bergelarnya pelajar UTHM. Bacaan ikrar tersebut telah disaksikan oleh ibu bapa, rakan-rakan dan juga Pegawai-Pegawai Kanan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad selaku wakil Naib Canselor dalam ucapannya berkata para pelajar harus tetapkan matlamat untuk mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang cemerlang agar semua pelajar yang mengikuti program ini akan dapat masuk ke UTHM sepenuhnya dan terus bergelar mahasiswa.

"Para pelajar harus belajar bersungguh-sungguh demi menjamin tempat untuk memasuki program pengajian Diploma seperti yang diidam-idamkan," tambahnya lagi.

Beliau juga berkata walaupun persaingan untuk memasuki program pengajian Diploma agak kompetitif, namun pihak universiti yakin bahawa para pelajar Persediaan Diploma mempunyai kelebihan masing-masing. Ini kerana mereka telah dipilih berdasarkan kepada kriteria yang sangat tinggi. Lantaran itu, para pelajar harus menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk mendapat manfaat sepenuhnya.

Para pelajar yang telah mendaftar juga diwajibkan menyertai minggu suai kenal yang berlangsung selama dua hari. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya sesi taklimat berkaitan latar belakang universiti, peraturan dan etika rupadiri pelajar, keselamatan, perpustakaan, jadual kuliah dan peraturan akademik yang perlu dipatuhi.

Para pelajar program ini perlu menyelesaikan pengajian selama 13 minggu/satu semester iaitu bermula dari 9 Januari hingga 22 April dan diakhiri dengan peperiksaan akhir yang dijadual berlangsung selama satu minggu.

Seluruh warga universiti mengalu-alukan kehadiran semua pelajar Program Persediaan Diploma 2012 dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin.








Sunday, January 1, 2012

165 Kakitangan terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010


Sebagai menghargai dan mengiktiraf khidmat cemerlang kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2010 telah diadakan bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 29 Disember 2011 lalu.

Seramai 165 orang kakitangan yang terdiri daripada kumpulan sokongan dan juga professional telah terpilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2010. Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan Anugerah Jasa Bakti kepada 78 kakitangan yang telah berkhidmat selama 10 tahun di UTHM dan juga Anugerah Penghargaan Pesara kepada 17 pesara yang telah bersara wajib mahupun bersara pilihan.

Majlis anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Professor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin. Beliau dengan berbesar hati mengucapkan tahniah kepada para penerima ketiga-tiga anugerah tersebut.

"Semoga mereka menjadi contoh dan pendorong kepada warga kerja universiti lain untuk terus berusaha meningkatkan kualiti dan prestasi kerja seterusnya menjadikan UTHM sebagai institusi penjana modal insan kelas pertama" katanya.

Semasa majlis berlangsung, Naib Canselor juga telah menyempurnakan upacara Pelancaran Kad Pesara khas untuk para pesara UTHM. Kad tersebut memberi beberapa kelebihan kepada golongan pesara seperti pesara suami dan isteri serta anak-anak yang berumur di bawah 21 tahun dapat menikmati perubatan secara percuma di Pusat Perubatan Universiti (PPU) dan boleh menggunakan kemudahan perpustakaan di UTHM.

Hadir sama Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Haji Sulam Hamid, Pendaftar serta Pegawai-Pegawai Kanan universiti.

Semoga anugerah ini menjadi platform untuk mengiktiraf warga kerja universiti yang cemerlang sumbangannya dalam perkhidmatan dan menjadi venue khas bagi mengiktiraf warga kerja yang akan dan telah bersara dalam perkhidmatan.Tahniah kepada semua penerima.






3393 Pelajar UTHM Sertai Karnival Kokurikulum 2011



Kira-kira 3393 pelajar telah menyertai pelbagai program dan pertandingan yang berteraskan aktiviti kokurikulum semasa berlangsungnya Karnival Kokurikulum 2011 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 17 hingga 23 Disember 2011 lalu.

Karnival yang bertemakan "Kokurikulum Peneraju Pembangunan Insaniah Varsiti" merupakan satu program tahunan yang disambut untuk meraikan kursus kokurikulum di bawah seliaan Pusat Kokurikulum, UTHM. Karnival ini bertujuan untuk menerapkan kemahiran insaniah dengan konsep 1 Malaysia kepada para peserta dan juga untuk mengasah bakat kepimpinan serta disiplin pelajar.

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pertandingan kayak dan larian "Running with Passion", gotong royong kawasan, Fiesta Futsal 2011 dan forum "Syurga Cinta".

Manakala acara Perbarisan dan Sukan Klasik Sepanjang Zaman yang diadakan pada 18 Disember turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar. Pelbagai aktiviti seperti pertandingan tarik upih, galah panjang, bowling kelapa, lari dalam guni dan susun bata serta tarik tali telah dipertandingkan.

Sementara itu, Malam Inspirasi Malam pula telah menjemput para pelajar untuk mempersembahkan bakat seni masing-masing. Program tersebut menyaksikan persembahan daripada kumpulan pelajar yang mewakili beberapa kursus seperti Gamelan, Koir, Muzik Moden, Kompang, Senitaritradisi & kreatif dan juga Taekwando.

Manakala Kempen Derma Darah "Selautan Darah Sejuta Harapan" turut diadakan di perkarangan Dewan Terbuka pada 20 Disember lalu bertujuan mengajak warga universiti menderma darah untuk mengisi tabung darah hospital.

Karnival tersebut diakhiri dengan Majlis Penutup Karnival Kokurikulum 2011 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad pada 23 Disember 2011 di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz dalam ucapan perasmiannya berkata Karnival Kokurikulum UTHM merupakan salah satu usaha pihak universiti untuk memberi ilmu serta pengalaman kepada para pelajar yang mana ianya tidak dapat diperolehi di dalam bilik darjah sahaja.

"program seperti ini dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, bahkan dapat melahirkan pelajar yang sihat minda dan tubuh badan serta mempunyai pelbagai kemahiran," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan warga kerja UTHM agar tidak lupa untuk melibatkan kesemua etnik dalam program yang dijalankan bagi melengkapkan konsep 1 Malaysia.

Manakala Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Kamarudin Khalid dalam ucapannya berkata Karnival Kokurikulum merupakan salah satu medium untuk melahirkan kemahiran insaniah dalam diri pelajar.

"Semoga program ini dapat menjana kesedaran para pelajar tentang betapa pentingnya aktiviti kokurikulum ini dalam mempersiapkan diri untuk menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya.

Majlis penutup tersebut juga menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang untuk acara yang telah dipertandingkan sepanjang karnival berlangsung. Majlis itu juga mencipta kelainannya yang tersendiri pada kali ini dengan memberi penghargaan kepada tenaga pengajar melalui anugerah Jasa Bakti dan Fail Pengajaran Terbaik.

Persembahan koir, kompang, tarian zapin, sketsa PALAPES dan Teater Muzikal P.Ramlee daripada para pelajar telah menggamit perhatian penonton sekali gus memeriahkan lagi suasana dewan pada malam tersebut.









Timbalan Menteri Lancar Karnival TaHa@UTHM


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah untuk merasmikan Karnival TaHa@U anjuran bersama UTHM, Tabung Haji dan Berita Harian yang berlangsung pada 21 dan 22 Disember lalu.

Bersempena karnival ini, Pusat Islam UTHM selaku penyelaras karnival turut mengadakan Kempen Memperkasakan Zakat yang bertujuan menggalakkan warga UTHM melaksanakan salah satu rukun islam iaitu menunaikan zakat. Program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan pelbagai acara seperti Larian TaHa@U, Khidmat Masyarakat dan Motivasi Ahli Kelab, pertandingan sukan seperti futsal, catur, dam haji dan karom serta Konsert Mahabbah.

Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pembukaan kaunter seperti kaunter Tabung Haji, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Berita Harian serta terdapat juga pameran dan jualan produk halal di sekitar Dewan Terbuka, UTHM.

Dato' Saifuddin dalam ucapan perasmiannya berkata program TaHa@U ini sememangnya memberi banyak manfaat kepada pelajar. Program seperti ini dapat membina generasi yang prihatin serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan dan kemakmuran ummah dan negara.

"Program ini mampu menanamkan semangat para pelajar untuk suka menabung sekali gus membangkitkan keinginan mereka menunaikan ibadat haji di usia muda," kata beliau.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya pula berkata kira-kira 4000 orang pelajar telah menyertai sekretariat TaHa@U ini dan jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa. Profesor Dato' Mohd Noh juga mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji dan Berita Harian kerana memberi kepercayaan untuk menganjurkan program seperti ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan warga universiti agar menunaikan zakat yang sememangnya menjadi kewajipan kepada umat Islam."Tunaikan zakat dan hayatilah Islam untuk seimbangkan amalan di dunia dan akhirat," katanya.

Manakala Haji Mohammad Saimi berkata Karnival TaHa@U ini telah dilancarkan di beberapa buah universiti sebelum ini dan UTHM merupakan universiti ke tujuh menyertai program ini. Beliau berharap dengan tertubuhnya sekretariat TaHa@UTHM ini dapat meningkatkan lagi peratus pelajar islam yang mempunyai akaun Tabung Haji.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Haji Mohammad Saimi Mat Som; Pengarang Pendidikan Berita Harian, Haji Muhd. Yusuf Abu Bakar; Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf Majlis Agama Johor (MAIJ), Encik Sahibul Fadhilah Syeikh Ahmad Faisal Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Pengarah Pusat Islam UTHM, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus serta Pegawai-Pegawai Kanan UTHM.

Majlis perasmian tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Gemilang Zakat kepada fakulti yang berjaya mengumpul wang zakat paling tinggi. Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) menerima anugerah emas mendahului Fakulti Kejuruteraan Awan dan Alam Sekitar (FKAAS) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Universiti ini sentiasa memberi galakan kepada kakitangannya untuk membayar zakat melalui potongan gaji.

Sempena kempen memperkasakan zakat ini juga, UTHM mengambil kesempatan untuk menyampaikan bantuan zakat kepada sembilan orang penerima. Bantuan tersebut merangkumi bantuan rumah, baik pulih rumah, sara hidup, kaki palsu dan dialisis.

Satu forum bertajuk "kepentingan berzakat dan Peranannya dalam Penyucian Harta" turut diadakan sejurus selesai acara perasmian. Forum yang melibatkan dua orang panel jemputan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penonton dalam menyempurnakan ibadah zakat.

Semoga segala usaha yang dilakukan dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga UTHM dan juga masyarakat setempat.