Thursday, March 22, 2012

Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail UTHM anjurkan TWEET@TDI

Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan program TWEET@TDI pada 23 hingga 25 Mac 2012. TWEET@TDI adalah singkatan kepada Together We Explore and Experience the Time.

Pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang tiga hari program ini berlangsung. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah Bicara Keamanan (dengan kerjasama Persatuan Soka Gakkai Malaysia, Cawangan Johor), Minum Petang Bersama Selebriti (artis jemputan: Fira, Ustazah Pilihan), Pertandingan Futsal Piala Tun Dr. Ismail dan Mala Gala TDI. Kesemua aktiviti akan dilangsungkan di sekitar KKTDI

TWEET@TDI juga mengadakan aktiviti bersama pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Jelutong dalam Segmen Adik-adikku. Bengkel kecantikan (Celebrate Your Beauty) turut diadakan untuk memberi pendedahan berkenaan ilmu dandanan dan solekan.

Selain itu, aktiviti berbentuk sukaneka turut dirangka antaranya Running Man@TDI pertandingan Makan Pantas, Pop Kuiz, pertandingan permainan tradisional, hiasan kek dan gubahan berasaskan tuala.

Majlis perasmian penutup TWEET@TDI yang bakal berlangsung pada ahad, 25 Mac akan menggabungkan Pelancaran Projek Penulisan Buku Tun Dr. Ismail oleh Penolong Naib canselor (HEPA), UTHM.

Bazaar TWEET@TDI akan dibuka sepanjang hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam dikawasan tempat letak kereta berhadapan KKTDI. Bazar ini akan turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran di ruang legar kolej. Orang ramai adalah dijemput untuk memeriahkan program TWEET@TDI ini.

Tuesday, March 20, 2012

Lawatan ke Jordan buka laluan UTHM ke Timur Tengah

Satu lawatan kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Jordan yang diketuai oleh Tan Sri Dato’ Ir. Jamilus Md Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti telah berjaya membuka ruang yang lebih luas kepada UTHM untuk melebarkan sayapnya ke Timur Tengah.

UTHM sebelum ini telah diberi mandat oleh Bank Dunia untuk membangunkan projek pembangunan latihan vokasional di Jordan. UTHM, melalui anak syarikatnya, UTHM Holdings Sdn. Bhd. telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan sistem pentadbiran dan model latihan vokasional Jordan melalui Vocational Training Corporation (VTC) di bawah Kementerian Buruh, Jordan.

Sehubungan dengan itu, satu MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Ketua Pengarah VTC, Mr. Majed Al-Habashneh pada majlis Conferance on Vocational Training:Advanced Models on Training Corporation (VTC) yang telah diadakan pada 20 hingga 21 Februari 2012 di sebuah hotel terkemuka di Amman. MoU tersebut melibatkan kerjasama dalam bidang akademik, latihan dan juga penyelidikan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM juga telah diberi penghormatan untuk berucap semasa majlis pembukaan persidangan tersebut. Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Buruh Jordan, Dr Mahmoud Al-Kafawin dan wakil dari agensi yang berkaitan dengan latihan vokasional dan teknikal Jordan.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah ahli Lembaga Pengarah Universiti, Mejar Jeneral (B) Dato’ Md. Ismail Ahmad Khan, Dr. Pang Chau Leong, dan Pendaftar UTHM, Haji Sulam Hamid.

Delegasi UTHM turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Profesor Dr. Rowaida Al-Maaitah, Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Sains, Jordan. Pertemuan tersebut telah diatur oleh Dato’ Abdul Malek Abdul Aziz, Ambasador Malaysia ke Jordan. Dalam pertemuan itu, Tan Sri Jamilus sempat menyatakan hasrat UTHM untuk mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Jordan.

Beberapa siri bengkel juga diadakan sebagai sebahagian daripada keperluan projek. Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor Dr. Noraini Kaprawi dengan tajuk “Women in Development” dan “Organisational Assessment” oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly bersama rakan perundingnya, Dr Hose Lacson dan Profesor Dr. Lem.

Aman Kampus UTHM semai budaya sukarela siswa

Bersempena program Aman Kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung sepanjang Mac 2012, satu program “Mahasiswa bersama Masyarakat” telah diadakan pada 11 Mac lalu bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat.

Program Mahasiswa bersama Masyarakat yang melibatkan lima buah kampung sekitar Parit Raja, Batu Pahat ini telah menghimpunkan lebih 500 orang pelajar untuk menjayakan beberapa aktiviti secara sukarela. Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Sekolah Jalan Arab, Kampung Parit Raja Darat, Kampung Parit Raja Tengah, Kampung Parit Baru dan Kampung Parit Daun.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong royong membersihkan kawasan kampung seperti membersih, mengecat dan membaik pulih surau serta sumbangan bantuan berbentuk tenaga dan makanan kepada orang perseorangan.

Sementara itu aktiviti Ikon Siswa pula antara usaha mahasiswa UTHM untuk mendekati golongan pelajar di peringkat sekolah. Ikon Siswa ini adalah untuk mendedahkan para pelajar sekolah dengan kehidupan atau suasana universiti sekaligus untuk memupuk semangat mereka untuk terus melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi.

Manakala aktiviti Cergas Siswa pula diadakan untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat umum dan belia mengamalkan gaya hidup sihat. Aktiviti seperti senamrobik, sukan rakyat, perlawanan bola sepak dan bola jaring telah diadakan bagi mengeratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat.

Menurut pengarah program Aman Kampus UTHM, Mohd Hafiz Ariffin setiap aktiviti yang diadakan adalah untuk memberi manfaat kepada seluruh mahasiswa dan masyarakat setempat dalam menjalani kehidupan kampus yang harmoni dan proaktif.

“Kami amat berbesar hati kerana kesemua aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar mahupun penduduk kampung yang terlibat. Mereka menyambut baik program yang berbentuk kemasyarakatan seperti ini dan berharap dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis Perwakilan Pelajar UTHM telah mengadakan program Aman Kampus bertujuan untuk membawa mesej keamanan serta memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan mahasiswa. Pengisian program seperti Mahasiswa bersama Masyarakat, Karnival Buku dan PC Fair, Bicara Ilmu dan program Aktif Siswa adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain serta untuk mendidik mahasiswa untuk lebih mencintai keamanan.

Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM telah menyempurnakan majlis penutup Aman Kampus ini yang berlangsung pada 11 Mac lalu.

“Dengan menggunakan pendekatan yang berkonsepkan rasional, toleransi dan realistik, program Aman Kampus ini merupakan platform terbaik dalam usaha menyebar budaya mencintai keamanan. Syabas kepada semua yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini,” katanya.

Hadir ke majlis tersebut Presiden Persatuan Alumni Aspirasi Nasional, Muhammad Shahar Abdullah, sebilangan ahli persatuan Aman Kampus dan kira-kira 700 orang mahasiswa UTHM yang terdiri daripada ahli Kelab Sahabat 1Malaysia, Kelab Penyayang, Kelab Sukarelawan, Kelab Kaunseling dan Kerjaya serta Persatuan Pelajar Awam dan Pelajar Mekanikal.
















Sunday, March 11, 2012

Warga UTHM sambut baik pengumuman Perdana Menteri

Warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia berkenaan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 lalu seterusnya mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan beberapa penambahbaikan dibuat.

Warga Universiti juga menyokong pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai penubuhan sebuah suruhajaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat awam pada masa depan serta bagi menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan. Penubuhan suruhanjaya tersebut juga telah mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap suara seluruh warga penjawat awam di Malaysia.

UTHM yang pada ketika ini memiliki 2250 kakitangan yang diwakili oleh tiga persatuan yang berdaftar iaitu Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PENTAS), Persatuan Pensyarah dan Pengajar (PERKASA) dan Kesatuan Kakitangan Sokongan (KEKAS) sebulat suara menyokong dan menyanjung tinggi kebijaksanaan Perdana Menteri dalam menyelesaikan kemelut serta isu yang berkaitan SBPA ini yang telah berlanjutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi PENTAS UTHM, En. Abdul Malek Ibrahim, seluruh ahli persatuan amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana mendengar denyut nadi penjawat awam selaras dengan pengumuman yang dibentangkan semasa bajet 2012 lalu yang berpegang kepada asas penyelarasan gaji iaitu antara tujuh hingga 13 peratus. Harapan seluruh ahli PENTAS agar penambahbaikan SSM akan mengambilkira semua aspek dari segi gaji, kebajikan, kemudahan, kaedah kenaikan pangkat (prospek) yang lebih jelas, laluan kerjaya yang lebih luas kepada penjawat awam khususnya pentadbir universiti. "Semoga keputusan ini diterima dengan berlapang dada oleh semua pihak", katanya.

Pengerusi KEKAS UTHM, En. Faizal Naim berkata,"kami di KEKAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kita di atas pengumuman yang telah dibuat dan disifatkannya sebagai diluar jangkaan dimana apa yang kita perjuangkan tempohari bersama-sama dengan CUEPACS dan hasilnya lebih baik daripada yang dijangkakan. Sekaligus beliau meletakkkan harapan agar seluruh kakitangan khasnya bagi kumpulan pelaksana dapat mempertingkatkan lagi produktiviti negara.

Sementara itu, Pengerusi PERKASA UTHM, Profesor Madya Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin pula berkata, "Pembatalan SBPA akan meredakan lima masalah yang dihadapi sekiranya ia dilaksanakan seperti yang telah dikenalpasti oleh pihak CUEPACS dan Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC). Pengagihan peratusan kenaikan gaji menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap jurang pendapatan di antara kakitangan pelaksana dan peringkat pengurusan dan profesional. Penubuhan suruhanjaya khas mengenai perkhidmatan awam juga dijangka akan memberikan peluang penambahbaikan berterusan terhadap kebajikan dan skim perkhidmatan kakitangan awam.

Namun, kerajaan diharap akan dapat mengkaji dengan serius untuk memberikan insentif khas kepada pensyarah universiti seperti yang dinikmati oleh bidang kepakaran yang lain seperti perubatan dan perguruan. Justeru itu, suruhanjaya khas yang ditubuhkan hendaklah mengambilkira pandangan majlis dan persatuan pegawai akademik di universiti bagi memartabatkan profesion pegawai akademik di universiti. Kesarjanaan pegawai akademik universiti yang bertaraf profesor perlu diletakkan di tahap yang bersesuaian kerana peranannya melahirkan profesional dan cendiakawan dalam bidang kepakaran masing-masing"

Thursday, March 8, 2012

Kongres Kepimpinan 2012 - didik mahasiswa jadi pemimpin cemerlang



Lebih 1000 mahasiswa telah didedahkan dengan prinsip kepimpinan dan ciri pemimpin cemerlang dalam program Kongres Kepimpinan 2012 anjuran Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 1 Mac lalu.

Kongres yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang prinsip-prinsip kepimpinan, fungsi, kemahiran dan sikap sebagai pemimpin, serta untuk menyemarakkan lagi semangat kekitaan dan toleransi dalam kalangan pelajar.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM dalam ucaptamanya berkata kongres kepimpinan ini merupakan kali pertama diadakan di universiti ini dan beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Selaras dengan tema “Transformasi Kepimpinan Muda Nadi Penggerak Modal Insan,” saya berharap kongres ini dapat membuka mata dan minda golongan pelajar khususnya terhadap kepentingan konsep dan corak kepimpinan yang perlu wujud dalam diri masing-masing,” katanya.

Dalam ucapan yang mengambil masa hampir satu jam itu, beliau turut berkongsi ilmu dan pengalamannya sebagai seorang pemimpin dengan mengupas lebih lanjut mengenai ilmu-ilmu kepimpinan. Beliau turut menyentuh tentang istilah-istilah dalam kepimpinan dan huraian kepada tema kongres tersebut.

Sementara itu, Profesor Haji Ab. Aziz Abdul Latiff, Dekan Pusat Pengajian Diploma berkata kongres ini bertujuan untuk meningkatkan lagi motivasi pelajar dengan mendalami ilmu kepimpinan supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang cemerlang dalam organisasi masing-masing nanti.

“Saya berharap program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para mahasiswa dalam membentuk potensi diri ke arah mencapai kecemerlangan” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad dan beberapa Pegawai Kanan UTHM.

Sepanjang kongres ini berlangsung, tiga sesi ceramah telah dikendalikan oleh penceramah berpengalaman. Ceramah pertama bertajuk “Pembentukan Keperibadian dalam Kepimpinan Menuju Kecemerlangan Kerjaya,” telah disampaikan oleh Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM), Dato’ Khairul Anwar Rahmat.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif dan Perunding Korporat DCL, Dato’ Haji Stapa Omar menyampaikan ceramah bertajuk “Transformasi ke arah Kelestarian Kepimpinan Global.” Manakala Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir pula menyampaikan ceramah bertajuk “Survival Skills for the Future.”

Selain itu, kongres tersebut juga diselitkan dengan pembentangan aktiviti mobiliti pelajar ke tiga negara iaitu Kemboja, Singapura dan Indonesia. Dalam pembentangan tersebut, sekumpulan pelajar yang terdiri daripada peserta program telah berkongsi pengalaman mereka ketika berada di negara-negara terbabit.





Monday, March 5, 2012

Pertandingan Fotografi UTHM kini bermula..









untuk maklumat lanjut dan muat turun borang,sila layari http://www.uthm.edu.my/