Wednesday, September 26, 2012

Diskusi ilmu imbas pencapaian setengah tahun UTHM

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) telah menganjurkan satu majlis Diskusi Ilmu bertajuk "Refleksi Sasaran Kerja Tahunan Universiti Bagi Setengah Tahun 2012" pada 21 Septemberlalu bertempat di Dewan Utama, UTHM.

Majlis Diskusi Ilmu ini diadakan bertujuan untuk membincangkan tentang sasaran kerja tahunan universiti (SKTU) bagi enam bulan pertama tahun 2012. Program ini merupakan salah satu pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti bagi berkongsi maklumat dan pandangan selain memberi pendedahan semasa mengenai pelaksanaan dan pencapaian SKTU bagi tahun 2012. 

Dalam majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin telah membentangkan beberapa perkara berkaitan sekaligus mengimbas kembali perjalanan dan pencapaian universiti sepanjang enam bulan pertama bagi tahun 2012.

Naib Canselor memulakan pembentangannya dengan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan yang menerima lantikan semula dan lantikan baru bagi jawatan pentadbiran mahupun jawatan pengurusan dan juga kepada kakitangan akademik yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Doktor Falsafah (PhD.).

Beliau dalam pembentangannya menyeru warga universiti agar mengamalkan budaya "Collegiality" iaitu budaya muafakat, saling menghormati dan bekerjasama dalam sesebuah organisasi. Beliau turut mengupas satu persatu pencapaian UTHM sepanjang 6 bulan pertama tahun ini seperti peningkatan "network," perkhidmatan pelajar, penerbitan, fakulti dan program baru, pengukuhan pengurusan CAPS IPMO serta pemantapan reputasi.

Di akhir pembentangannya Naib Canselor menyeru warga universiti supaya turut sama menjayakan hasrat kerajaan dengan menggunakan segala peruntukan yang diberi dengan telus dan sebaik yang mungkin. Manakala satu sesi soal jawab yang melibatkan Naib Canselor dan beberapa ahli pengurusan tertinggi universiti turut diadakan bagi memberi peluang kepada kakitangan universiti mengemukakan sebarang persoalan berkaitan.

Sementara itu turut diadakan penyampaian hadiah untuk pemenang pertandingan Amalan 5S peringkat universiti yang sebelum ini diadakan pada 8 hingga 18 November 2011. Penyampaian anugerah ini menyaksikan juara keseluruhan pertandingan dipegang oleh Pejabat Bendahari dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000.00 beserta sijil penghargaan. 

Hadiah turut disampaikan kepada pemenang pertandingan fotografi anjuran Unit Perhubungan Awam, UTHM yang diadakan pada 5 Mac hingga 29 April lalu. Pertandingan yang bertemakan "UTHM: Mercu Kegemilangan Ilmu" telah menobatkan saudara Mohd. Izzat Abdul Malek (Pelajar) sebagai johan pertandingan diikuti dengan Mohd. Khairul Naser Ibrahim (staf) sebagai naib johan dan Mohd Idham Haziq Abd. Manan (Pelajar) di tempat ketiga. Manakala Anugerah Khas juri pula turut diberikan kepada Mohd. Izzat Abd. Malek dan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai beserta sijil penyertaan.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad; Pendaftar Encik Sulam Hamid dan beberapa pegawai kanan universiti.

Pemilihan MPP 2012 lancar, 74.08% keluar memilih

Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 20 September lalu mencatatkan bilangan pengundi teramai iaitu sebanyak 10,085 orang berbanding tahun sebelumnya.  

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP UTHM berkata jumlah itu mewakili 74.08 peratus daripada keseluruhan 13,614 pengundi yang layak mengundi. 

Menurutnya proses pilihanraya kampus kali ini berjalan lancar apabila pihak universiti menyediakan 13 pusat pengundian berbanding hanya empat sahaja pada tahun lepas. Pertambahan pusat pengundian ini dapat memudah dan menggalakkan lagi pelajar untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. 

Tambahnya lagi pada pilihanraya kali ini, beliau melihat mahasiswa lebih berani tampil ke hadapan untuk bersuara tetapi pada masa yang sama mereka tetap mengikut saluran yang betul. 

"Setiap pelajar mempunyai hak untuk bersuara tetapi haruslah diingat dalam setiap perkara yang dibangkitkan tidak perlulah menggunakan emosi. Ini kerana UTHM sangat mementingkan disiplin dalam kalangan pelajarnya. Bagaimanapun untuk pilihanraya kali ini pihak kami mendapat kerjasama yang baik daripada semua pelajar," katanya.

Proses pengundian yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu menyaksikan seramai 19 calon bertanding bagi merebut 9 kerusi umum dan 29 calon lagi merebut 18 kerusi fakulti di 7 buah fakulti. Proses pemilihan yang dilaksanakan secara elektronik (e-voting) tenyata begitu efisien serta memberi keselesaan kepada para pemilih membuat pengundian.

Pengumuman keputusan pilihanraya yang dilakukan oleh Profesor Dr. Abdul Aziz pada pukul 5.05 petang hari yang sama itu menyaksikan pelajar tahun dua, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dayang Wafiqah Abang Jama'aludin menerima undian tertinggi untuk kerusi umum iaitu sebanyak 8,207. Manakala Yang Dipertua MPP tahun lalu, Mohd Hafiz Ariffin di tangga kedua dengan undian sebanyak 7798 dan Muhammad Nur Hakim Nordin di tangga ketiga dengan undian sebanyak 7720.

Kerusi fakulti pula menyaksikan dua orang calon MPP iaitu saudari Farhana Kamarulzaman dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan saudara Muhammad Luqman Mahamad Zakaria dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) menang tanpa bertanding.

Sunday, September 23, 2012

Menteri Pengajian Tinggi lancar logo Sambutan 20 tahun UTHM



 
Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan upacara pelancaran logo Sambutan 20 tahun UTHM dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 September baru-baru ini.

Pelancaran logo Sambutan 20 tahun UTHM ini merupakan salah satu titik permulaan bagi UTHM menyambut 20 tahun penubuhannya. Sebagai sebuah universiti yang menjadi peneraju kepada bidang kejuruteraan dan teknikal berteraskan sains dan teknologi, UTHM akan mencapai 20 tahun usia penubuhannya pada tahun 2013 akan datang.

Dalam meniti usia tersebut, universiti ini telah melalui beberapa fasa naik taraf sebelum dikenali sebagai UTHM. Bermula dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) pada tanggal 16 September 1993, institusi ini kemudiannya dikenali sebagai Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1996. Pada 27 September 2000, ITTHO mendapat pengiktirafan apabila dinaiktaraf sebagai sebuah universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

Selepas enam tahun berdiri dengan nama KUiTTHO, pada tanggal 1 Februari 2007 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed telah mengumumkan penukaran nama KUiTTHO kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Selari dengan perkembangan dan reputasi cemerlangnya, UTHM kini terus pesat membangun sebagai sebuah universiti teknikal yang unggul di Malaysia.

Justeru pelbagai program dan aktiviti telah dirancang dan diatur sempena sambutan 20 tahun UTHM ini. Antaranya UTHM akan menganjurkan program berbentuk keilmuan iaitu "UTHM 20th Anniversary Lecture Series" yang menyenaraikan 20 profesor ternama dari seluruh dunia menyampaikan syarahan di UTHM bermula 28 September ini dan berakhir pada 2013 nanti.

Program-program lain termasuklah Istiadat Konvokesyen ke-12 UTHM dan Konvensyen Bandar DiRaja Muar yang dijadual berlangsung pada November 2012, program Jalinan Muhibah Alumni pada Mac 2013 dan Bakti Siswa Perdana pada April 2013,  perasmian Kampus Tanjong Laboh pada Jun 2013, diikuti dengan perasmian Kampus Pagoh pada Ogos 2013, sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 peringkat UTHM dan diakhiri dengan program kemuncak Sambutan 20 tahun UTHM pada September 2013 nanti. Merujuk kepada perancangan yang telah diatur, kemuncak sambutan tersebut akan diisi dengan beberapa program seperti pelancaran Buku ‘UTHM 20 Melakar Gemilang', Festival Lagu-Lagu Patriotik dan Konsert DiRaja.

Pelaksanaan sambutan 20 tahun ini adalah bertujuan untuk mengimbas kembali perjalanan universiti sejak ditubuhkan sehinggalah ke hari ini dengan merujuk kepada pencapaian-pencapaian dan peristiwa-peristiwa penting sebagai satu pendekatan memberi pendedahan kepada masyarakat. Sambutan ini juga merupakan satu usaha universiti untuk mempromosi UTHM di peringkat dunia agar lebih dikenali setanding dengan institut pengajian tinggi awam yang lain.

Monday, September 17, 2012

48 calon MPP UTHM bertanding rebut 27 kerusi

Sesi penamaan calon pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi tahun 2012 pada 13 September lalu menyaksikan seramai 48 orang calon akan bertanding pada pilihanraya akan datang. Proses penamaan calon yang bermula pada jam 9.00 pagi pada hari tersebut berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. 

Seramai  19 calon akan bertanding bagi merebut 9 kerusi umum dan 29 calon bertanding bagi merebut 18 kerusi fakulti di 7 buah fakulti di UTHM. 

Fakullti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) tampil 5 calon untuk 4 kerusi yang dipertanding, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) tampil 4 calon untuk 3 kerusi, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) tampil 5 calon untuk 3 kerusi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) tampil 6 calon untuk 3 kerusi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) tampil 2 calon untuk 1 kerusi dan Pusat Pengajian Diploma tampil 6 calon untuk 3 kerusi. Pemilihan kali ini juga menyaksikan seorang calon dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) menang tanpa bertanding. 

Pengumuman pemilihan calon pilihanraya MPP itu telah dibuat oleh Profesor Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP pada jam 5.45 petang di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII), kampus induk UTHM.

Proses pengundian akan dijalankan pada 20 September akan datang, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di 13 pusat pengundian iaitu di DTII, Makmal Komputer Kolej Kediaman Perwira, Makmal Komputer Kolej Kediaman Taman Melewar, Makmal Komputer Kolej Kediaman Tun Fatimah, Makmal Komputer Kolej Kediaman Taman Universiti, Makmal Komputer Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Makmal Komputer 2 FKAAS, Makmal Komputer Sistem Processor G1-009A FKEE, Makmal Komputer CAD 1 FKMP, Makmal Komputer Umum FPTV, Makmal Komputer Pengeluaran dan Operasi FPTP, Makmal Kejuruteraan Perisian (PC-101-A/B) FSKTM dan Makmal Komputer Kampus Bandar.Manakala proses pengiraan undi akan dijalankan selepas pukul 4.30 petang pada hari yang sama.

Justeru, seluruh mahasiswa UTHM diseru untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memilih teraju kepimpinan mereka. 

Tuesday, September 11, 2012

Menteri Mentor dampingi pelajar baharu UTHM

Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammudin Tun Hussein merangkap Menteri Mentor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menemui kira-kira 2200 pelajar baru yang sedang mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) di kampus induk UTHM pada 6 September lalu.

Bersempena MHS yang berlangsung selama seminggu, Dato' Seri Hishammudin telah menyampaikan beberapa pesanan kepada pelajar yang baru sahaja bergelar mahasiswa UTHM. Selain mengucapkan tahniah kepada mereka beliau dalam ucapannya turut mengingatkan pelajar agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak bermoral dan sentiasa menjadi contoh kepada belia di dalam mahupun luar negara. 

"saya menyeru kepada anda semua agar jauhi budaya negatif yang menjurus kepada perpecahan dan hargailah kemerdekaan yang kita kecapi sekarang dengan menolak budaya kebencian dan usaha menanam emosi kemarahan agar keharmonian negara dapat terus dikekalkan," katanya.

Tambahnya lagi sebagai belia yang juga pewaris negara, mereka hendaklah bersatu membuat pendirian dan tidak mudah menerima hasutan orang lain yang ingin melihat negara berada dalam keadaan porak peranda. Ini kerana masa hadapan negara ini terletak di tangan anak-anak bangsa itu sendiri dan rakyatnya berhak mengatur hala tuju negara ini.

Nasihat dan peringatan yang diberikan oleh beliau disambut dengan sorakan ‘We Want Peace' oleh pelajar baru sekaligus mempamerkan mahasiswa UTHM sememangnya mencintai keamanan dan bencikan perbalahan serta permusuhan.

Sementara itu, Dato' Seri Hishammudin turut menyempurnakan  upacara pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia. Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan objektif untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar Institut Pengajian Tinggi seluruh negara. 

Kad ini layak dimiliki oleh pelajar IPT berstatus warganegara yang mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat sijil, diploma, ijazah dan ke atas. Lebih 50 syarikat di Malaysia telah bersetuju untuk memberikan diskaun melalui kad KDS1M tersebut yang mana meliputi buku, alat tulis, pakaian, makanan, barangan IT, perkhidmatan kesihatan, termasuk juga percutian.

Sebelum itu beliau turut melancarkan kumpulan Twitter bagi warga pelajar UTHM dengan dikenali sebagai Twitupcampus UTHM. Kumpulan ini diwujudkan sebagai platform komunikasi santai dan terbuka di antara pimpinan mahasiswa dengan warga universiti khususnya pelajar dalam mengemukakan pendapat dan berkongsi sebarang permasalahan yang timbul sepanjang bergelar mahasiswa. Yang Berhormat Menteri Mentor turut mempamerkan sikap keterbukaan dan hubungan erat beliau dengan mahasiswa dengan berinteraksi secara aktif melalui kumpulan Twitter ini.

Hadir sama ke majlis tersebut isteri beliau, Y.M. Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah; Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad dan beberapa pegawai kanan universiti.





Lawatan kerja UTHM ke Institusi Pengajian Tinggi Australia

Satu lawatan kerja ke beberapa universiti di Australia yang melibatkan empat orang pegawai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diadakan pada 9 Julai lalu bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan menjalinkan rangkaian kerja.

Delegasi lawatan terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Dato' Abd. Shukor Ibrahim; Pengarah Pejabat Pengurusan Strategik dan Kualiti, Profesor Dr. Noraini Kaprawi; Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti, Dr. Maizlinda Izwana Idris dan Ecik Ikram Syah Mokhtar. Kedatangan delegasi ke kampus University of New South Wales (UNSW) telah disambut oleh Postgraduate Co-ordinator, School of Material Science and Engineering, UNSW, Profesor Charles C. Sorrell dan Deputy Dean, Faculty of Science, UNSW, Profesor Peter F. Lovibond. 

Dr. Hasan Zuhudi Abdullah dan Dr. Maizlinda Izwana Idris merupakan alumni universiti tersebut dan ahli delegasi telah pun berbincang dengan mereka terlebih dahulu mengenai hajat lawatan ke UNSW dan kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan UNSW dalam beberapa bidang seperti penyelidikan dan program-program mobiliti pelajar serta staf.

UTHM percaya bahawa kerjasama yang erat ini adalah satu usaha merealisasikan ‘co-branding' yang akan membantu mempercepatkan lagi ‘rebranding' UTHM menjadi Universiti Teknikal Premier Malaysia dan seterusnya ke arah universiti teknikal APEX yang pertama.

Universiti-universiti yang dilawati telah pun berkongsi satu pertalian; pembangunan staf dan pelajar. Di sepanjang beberapa tahun lepas, seramai lebih kurang 40 staf akademik telah ke beberapa universiti di Australia untuk menyambung pengajian di peringkat PhD. Sebaliknya beberapa profesor dari universiti di Australia pula telah dilantik menjadi profesor pelawat di UTHM.

Selain daripada empat pegawai tersebut, beberapa ahli akademik UTHM yang lain turut melakukan lawatan ke beberapa universiti di Australia dalam usaha memperolehi maklumat berkenaan dan penanda arasan serta perbincangan bagi menjalinkan kerjasama dalam pembangunan akademik serta penyelidikan. 

Antaranya, Profesor Madya Dr. Mohammad Faiz Liew Abdullah telah melawat ke beberapa pusat kecemerlangan di beberapa buah universiti seperti University of Queensland, University of Melbourne dan RMIT. Begitu juga dengan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Madya Dr. Yusri Yusof telah berpeluang berbincang dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) Deakin University, Profesor Dr. Lee Astheimer mengenai beberapa perkara berkaitan kerjasama dan pembangunan universiti.

"Kita mungkin mempunyai organisasi yang berbeza dan beroperasi dalam negara yang berbeza, tetapi kita mempunyai banyak persamaan kerana kita berjuang untuk memberi khidmat kepada pelajar kita dengan cemerlang terutamanya bagi sebuah universiti muda yang kaya dengan keintelektualan berorientasikan praktikal", kata Profesor Dr. Noraini Kaprawi.

Sewaktu perbincangan didapati universiti-universiti di Australia jua mengharungi isu-isu dan cabaran yang serupa dengan UTHM terutamanya dalam soal bajet, penyelidikan, keperluan pelajar dan pengurusan kualiti.

"Kita perlu duduk secara semuka dan berbincang mengenai aktivit-aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Usahasama antara dua universiti ini adalah satu usaha yang amat dialu-alukan dan boleh dimulakan secara individu dahulu dan walaupun ianya kecil, ia boleh berkembang apabila pertalian dan kerjasama sudah kukuh dan seterusnya boleh menjana dana untuk manfaat bersama", kata Profesor Charles C. Sorrell dari UNSW.

Profesor Peter F. Lovibond berharap supaya perjumpaan dan kolaborasi ini akan dapat diteruskan lagi dan beliau tidak keberatan untuk datang ke UTHM sebagai penceramah pada masa akan datang. Kedatangan staf UTHM untuk berbincang tentang pembangunan cadangan penyelidikan disambut baik oleh pihaknya. Justeru, usaha sebegini perlu dipupuk dan dipanjangkan lagi sehingga kerjasama bersama UTHM menjadi satu kenyataan. 








Ahmad Radhi ingin majukan sukan Rugbi UTHM

"Selepas ini penglibatan saya dalam sukan ragbi akan dipanjangkan ke UTHM. Saya ingin harumkan nama universiti ini dengan kejayaan demi kejayaan," kata Ahmad Radhi Sahrom pelajar yang baru sahaja mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada awal September baru-baru ini.

ragbi
Ahmad Radhi,19 merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS).

"Saya amat gembira apabila diterima masuk ke UTHM kerana sebelum ini saya sangat berharap dapat menyambung pelajaran di sini. Saya sering mengikuti perkembangan universiti ini dari dulu lagi dan memasang impian untuk menjadi salah seorang mahasiswa UTHM," katanya.

Bermula umur 13 tahun lagi anak kelahiran Klang, Selangor ini sememangnya sangat aktif dalam sukan ragbi. Radhi pernah mewakili negara dalam beberapa pertandingan seperti International Cross Straight 2007, Cobra 10S 2009 dan ASIAN Rugby Bangkok 10S 2010, 2011. Radhi dan pasukannya pernah meraih johan, naib johan dan tempat ketiga dalam beberapa kejohanan sebelum ini serta pernah memegang gelaran Pemain Terbaik ‘Back' dalam pasukannya.

Katanyanya lagi setelah tamat pengajian matrikulasi di sebuah kolej, sekali lagi dia dipanggil menjalani pemilihan untuk menyertai Pasukan Ragbi Remaja Kebangsaan ke Sri Langka pada 11 September ini.

"Syukur sekali lagi saya dipilih menyertai skuad negara bawah 19 tahun untuk kejohanan Asian Rugby Football Union (ARFU) 2012. Saya amat berterima kasih kepada pihak universiti kerana telah memberi sokongan penuh membenarkan saya meneruskan perjuangan ini. Saya akan lakukan yang terbaik di sana nanti," tambah Radhi.

Bagaimanapun, minatnya yang mendalam terhadap sukan ragbi tidak menghalang usahanya untuk terus berjaya dalam bidang akademik. Hasrat untuk menjadi seorang jurutera setelah tamat belajar nanti menjadi inspirasi kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh di universiti ini.







Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2012 - galakkan amalan penyusuan susu ibu


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Hospital Pantai Batu Pahat (HPBP) telah bergabung tenaga menganjurkan majlis sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2012 pada 30 Ogos lalu bagi meningkatkan lagi peratusan penyusuan ibu di Malaysia.
 
penyusuan


Pengarah Pusat Kesihatan UTHM, Dr. Saidatun Nisak Derwis berkata program yang bertemakan ‘Menghayati Sejarah, Merancang Masa Hadapan' ini bertujuan untuk membuka minda wanita khususnya para ibu tentang kebaikan penyusuan ibu dan menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab bagi seorang ibu untuk bayinya.

"Program ini merupakan program usahama kali pertama diadakan antara UTHM dan HPBP. Melalui program ini, kami cuba mengajak para ibu menjadikan amalan penyusuan ibu sebagai suatu kebiasaan tidak kira masa mahupun tempat," katanya dalam satu sidang media.

Majlis yang diadakan di Dewan Utama, Kampus induk UTHM ini disempurnakan oleh Profesor Datin Dr Maryati Mohamed, isteri kepada Naib Canselor. Turut hadir Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Ketua Pegawai Operasi HPBP, Encik Shafee Awang dan Pakar Kanak-Kanak & Pakar Laktasi HPBP, Dr. Hairin Anisa Tajuddin.
 
penyusuan

 
Satu forum khas yang dipengerusikan oleh Dr. Hairin Anisa bertajuk ‘Menjadikan Penyusuan Ibu Suatu Norma Masyarakat' telah diadakan dan melibatkan beberapa panel berpengalaman seperti Pakar Runding Hospital Kuala Lumpur, Dr. Noorhaliza Yusof; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Nor Azliza Ismail; Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, Haji Zakri Awang dan Konsultan Nutrisi, GJ Runding Sdn. Bhd, Puan Fatimah Salim.

Turut diadakan satu slot ceramah bertajuk ‘Menyediakan Mentaliti Penyusuan Ibu Eksklusif' disampaikan oleh Puan Siti Asmah Moin daripada Persatuan Mentor Penyusuan Ibu Malaysia, pertandingan mewarna dan ‘sand art' oleh kanak-kanak, pertandingan persembahan kreatif penyusuan ibu, cabutan bertuah, pertunjukan fesyen ibu dan anak, pemeriksaan kesihatan percuma serta ekspo pameran dan jualan.

UTHM - 2145 daftar diri untuk sesi kemasukan semester 1 2012/2013

Seramai 2145 pelajar program Sarjana Muda telah mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi sesi kemasukan semester 1 2012/2013 pada 2 September lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII),UTHM.

UTHM telah menawarkan lebih 2000 tempat untuk sesi kemasukan kali ini dan melibatkan lebih 30 kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. Semester ini juga turut menyaksikan fakulti baru iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan mula mengambil pelajar untuk program Sarjana Muda ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, UTHM kali ini turut menerima 16 orang pelajar antarabangsa yang datang dari Yamen, Somalia, Sudan dan Chad. Kesemua pelajar baharu ini akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. 

Seperti kelaziman, kesemua pelajar baharu ini akan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama seminggu. Pelbagai pengisian akan diadakan pada minggu tersebut seperti sesi taklimat mengenai universiti, tatatertib dan pendaftaran kursus, sesi bersama kepimpinan universiti dan pemimpin negara, sukan rakyat serta Malam Warisan Bangsa sempena majlis penutup MHS.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar baru ini ke UTHM. Kemasukan pelajar-pelajar baru ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah di akhir pengajian kelak. 

UTHM dan MGKKR Kluang jalin kerjasama tingkat perkhidmatan


Dalam usaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan sedia ada, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin hubungan kerjasama dalam bidang kaunseling dengan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Rendah (MGKKR) Kluang baru-baru ini.

Persefahaman kerjasama itu bertujuan memantapkan lagi fungsi dan peranan AKRAB UTHM dan guru bimbingan dan kaunseling daerah Kluang agar kedua-duanya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk anak-anak bangsa.

mgkkr

Kerjasama ini juga untuk meningkatkan hubungan kerjasama dalam aktiviti keinsanan dan khidmat runding, program peningkatan kemahiran dan akademik kepada tenaga pengajar serta untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.

Bagi merealisasikan hasrat itu, satu majlis pelancaran Jalinan Bestari AKRAB UTHM dengan MGKKR Kluang telah diadakan pada 28 Ogos lalu bertempat di kampus induk UTHM. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM telah menyempurnakan majlis tersebut.

Profesor Dr. Wahid dalam ucapannya berharap perjanjian kerjasama ini dapat melahirkan lebih banyak program mahupun aktiviti secara usahasama yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau juga berharap usaha ini dapat menambah baik hubungan antara rakan-rakan di luar kampus dan juga di menara gading.

mgkkr

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Dato' Haji Markiman Kobiran; Penaung AKRAB, Haji Sulam Hamid; Penasihat AKRAB, Encik Zakaria Yasin; wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kluang, Haji A. Manaf Muslimin dan Encik Rafiz Mohd Salleh, Presiden AKRAB, Dr. Mohd Sabri Ismail dan YDP MGKKR  Kluang, Encik Azman Hassiam.

Majlis tersebut turut diisi dengan satu sesi ceramah bertajuk "Gerakan Kesukarelawan dalam Pembangunan Modal Insan untuk Transformasi Kerjaya" yang disampaikan oleh Timbalan Presiden AKRAB, Profesor Madya Haji Sapon Ibrahim. Bacaan Marhaban dan jamuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri turut diadakan bagi menyerikan lagi majlis.

UTHM dan MTIB jalin kerjasama strategik dalam industri perkayuan


Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah diadakan pada 21 Mei 2012 lalu bertempat di The Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru.

MoU tersebut bertujuan menjalin hubungan kerjasama antara UTHM dan MTIB dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabut. Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pembangunan latihan pelajar dan staf, penempatan latihan industri pelajar, penempatan staf untuk tujuan penyelidikan, kolaborasi dalam pembangunan  teknologi industri dan penganjuran bersama untuk seminar, bahan penerbitan ataupun penyeliaan.  

mtib

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin manakala pihak MTIB pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Jalaluddin Harun. Majlis tandatangan itu turut disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (MPIC), YB. Tan Sri Bernard Dompok.

Turut hadir menyaksikan upacara itu Timbalan Menteri MPIC, YB. Dato' Hamzah Zainudin, Ketua Setiausaha MPIC, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim dan Pengerusi MTIB, Dato' Madius Tangau.

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) UTHM telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan program atau aktiviti bersama MTIB menerusi MoU yang telah dimeterai ini.

Rentetan daripada MoU itu, Naib Canselor dan beberapa pegawai kanan universiti turut menghadiri Majlis Perasmian Galeri Glulam di Jalan Tampoi Johor Bahru pada 22 Mei lalu. Bangunan Pusat Promosi Perkayuan Malaysia milik MTIB ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd. Yassin.
 
mtib


Pada masa yang sama, UTHM turut menyertai pameran promosi pendidikan sempena aktiviti mini pameran produk kayu dan biokomposit anjuran MTIB.

Penyelidik UTHM jayakan penerokaan saintifik di hutan Endau-Rompin

Seramai 50 orang peserta yang sebahagiannya terdiri daripada penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneroka hutan Taman Negara Endau-Rompin selama 9 hari untuk menjalankan pelbagai kajian selain mencari dan merekod maklumat penting berkaitan hutan dan alam semulajadinya.

Ekspedisi Trans Selai-Peta merupakan program anjuran pihak Perbadanan Taman Negara Johor, UTHM dan juga Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Penyelidik UTHM yang diketuai oleh Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed memulakan ekspedisi sejauh 44 kilometer bermula dari Selai, Segamat menuju ke Peta, Mersing pada 30 Jun hingga 8 Julai lalu. Ekspedisi itu dianggap antara penjelajahan paling mencabar pernah diadakan berikutan denai digunakan peserta tidak pernah digunakan sejak 10 tahun lalu.


Selain UTHM, ekspedisi tersebut turut membabitkan penyelidik dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Universiti Putra Malaysia (UPM),Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perikanan,  dan dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kakitangan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan masyarakat tempatan iaitu Orang Asli suku Orang Hulu.


Menyusuri denai yang juga laluan utama gajah serta berperang dengan serangan puluhan pacat antara cabaran utama yang dihadapi oleh peserta ekspedisi ini. Perjalanan turut melalui air terjun, mendaki cerun yang curam, menuruni lembah dan meredah hujan  namun semua itu tidak menghalang penyelidik melakukan tugas-tugas merekod, mengumpul dan mengkaji.

Profesor Datin Dr. Maryati berkata ekspedisi ini adalah bertujuan mengumpulkan bahan kajian flora dan fauna serta melakukan beberapa kajian berkaitan air merangkumi hidrologi, kualiti dan bioindikator. Selain itu turut diberi tumpuan dalam ekspedisi saintifik ini adalah mengenai geologi, landskap, serangga, etnobotani (tumbuhan ubatan), etnoentomologi (serangga penting dalam kehidupan), diversiti orkid, kulat dan juga perikanan.

"Segala maklumat dan penemuan baru yang direkodkan semasa ekspedisi ini diharap dapat dijadikan panduan berguna dan membantu pihak-pihak tertentu untuk sebarang usaha memulihara hutan semulajadi di negara kita," katanya.

Sementara itu, satu sesi pembentangan hasil kajian peringkat awal yang diperolehi pengkaji UTHM yang menyertai Ekspedisi Saintifik Trans Selai-Peta, Taman Negara Endau-Rompin telah diadakan di kampus induk UTHM baru-baru ini.


Dalam sesi pembentangan tersebut, Profesor Datin Dr. Maryati berkata selepas ini kumpulan penyelidik UTHM akan meneruskan kajian masing-masing melalui sampel yang dikutip serta juga akan terus ke lapangan, bagi mengetahui biodiversiti di taman yang dianggarkan berusia 248 juta tahun ini.

Hadir sama mendengarkan pembentangan tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin,wakil daripada PTNJ serta pihak media.

Perutusan Aidilfitri - Naib Canselor seru warga universiti amal budaya bersederhana

Bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin telah menitipkan beberapa amanat khas untuk warga universiti.

Perutusan yang mengambil masa kira-kira lapan minit itu disampaikan melalui rakaman video yang disiarkan secara online melalui website University Campus Interactive TV (UCiTV). Dalam amanatnya, Naib Canselor menyeru seluruh warga supaya mengamalkan budaya bersederhana dalam semua perkara. Untuk persediaan aidilfitri yang bakal tiba nanti, beliau mengingatkan warganya agar berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.

"Bagi warga universiti yang mempunyai lebihan pendapatan, sesungguhnya agama kita menyeru untuk sentiasa memperkukuhkan tali persaudaraan melalui zakat dan sedekah. Dahulukanlah dengan orang-orang yang terdekat dengan kita," katanya.

Beliau turut mengingatkan warga kerja dan para pelajar UTHM yang akan pulang bercuti di kampung halaman dan yang ingin membuat perjalanan jauh untuk berhari raya agar memandu dengan berhati-hati dan tidak lupa memastikan kenderaan yang dinaiki berada di dalam keadaan yang baik.

"Saya mendoakan agar anda semua selamat sampai ke destinasi. Bagi anak-anak pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, saya juga mendoakan anda semua selamat kembali ke universiti."

Sempena menjelangnya aidilfitri nanti, beliau mengingatkan mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa agar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk menyambut hari raya bersama. Ini kerana kepulangan di hari yang penuh bermakna itu sudah semestinya sangat dinanti oleh  keluarga tercinta. 

Sementara itu, beliau turut mengirimkan salamnya kepada warga kerja UTHM yang kini berada di luar negara atas tuntutan menuntut ilmu dan beliau berpesan kepada mereka agar sentiasa meneruskan usaha untuk mencapai kejayaan.

Profesor Dato' Dr. Mohd Noh juga melahirkan beberapa pengharapan di dalam amanatnya. Antaranya beliau berharap Ramadan kali ini berjaya membaiki dan menambah baik diri masing-masing tidak kira dari sudut keimanan, keyakinan diri mahupun kesabaran. Beliau juga mengharapkan agar ibadah puasa ini berjaya meningkatkan lagi semangat dan motivasi masing-masing sebagai seorang penjawat awam.

"Saya berharap ibadah puasa ini akan menjadikan kita sebagai insan yang sentiasa berjiwa besar, memiliki jiwa bangsa yang teguh serta menjadi pendokong tegar kepada perkhidmatan awam dan kerajaan," tambah beliau.

Di penghujung perutusan tersebut, beliau mewakili seluruh warga UTHM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri 1433 Hijrah dan Hari Kemerdekaan yang ke-55 kepada semua golongan masyarakat.

“Setitis Syahdu Ramadan” – rai pelajar miskin dan anak-anak yatim

Bersempena bulan Ramadan ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dan pelajar miskin dalam satu majlis berbuka puasa "Setitis Syahdu Ramadan" anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 8 Ogos lalu di Masjid UTHM.

Seramai 100 orang pelajar miskin daripada enam buah sekolah sekitar Parit Raja, Batu Pahat bersama 20 pelajar yatim UTHM menerima sumbangan wang dan kuih raya dalam majlis tersebut. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dan isteri beliau Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed serta beberapa pegawai kanan universiti.


Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dalam ucapannya berkata majlis berbuka puasa ini adalah untuk menyalurkan sedikit kasih sayang dan memberikan kegembiraan kepada mereka yang dirai.

"Majlis berbuka puasa seumpama ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat HEP,malah pada tahun ini sasaran diluaskan lagi dengan menjalin hubungan mesra antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini turut melibatkan semua pelajar UTHM tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Justeru amalan ini diharap dapat meningkatkan lagi integrasi antara kaum," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada beberapa penaja seperti Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Kelab Staf UTHM (KSKUiTTHO) dan syarikat Miaow Miaow Food Products Sdn. Bhd. yang telah memberi sumbangan dalam menjayakan majlis berbuka puasa ini.
 


Sebelum penyerahan sumbangan berlangsung, tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus untuk menambahkan lagi keberkatan majlis. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Pendaftar, Haji Sulam Hamid; Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim dan beberapa pegawai kanan UTHM.

Program berbuka puasa "Setitis Syahdu Ramadhan" ini merupakan program usahasama Pejabat HEP dengan Pusat Islam dan beberapa pertubuhan dalaman universiti iaitu KSKUiTTHO, Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PENTAS) serta Kelab Sukarelawan UTHM.