Tuesday, February 4, 2014

Mobiliti Antarabangsa FPTV bawa 10 pelajar sarjana ke Indonesia

10 orang pelajar sarjana, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi peluang menyertai program Mobiliti Antarabangsa Latihan Mengajar (MALAM) ke Indonesia yang telah diadakan pada 18 Januari hingga 15 Februari lalu.

Program mobiliti antarabangsa ini merupakan program kerjasama UTHM dengan dua universiti di Indonesia iaitu Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI). Untuk rekod, program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini.

Seramai lima orang pelajar Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional telah mengajar di dua buah Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN) di Depot Yogyakarta manakala selebihnya ditempatkan di UPI. Para pelajar yang tersenarai ialah Farah binti Mohd Akabal, Pua Poh Kwong, Noor Azura binti Osman, Nur Izza Ainaa binti Mohd Ridza, Farah Najwa binti Ismail, Juliza Ezaida binti Jumelan, Hazleeza binti Abd Halim, Nur Izyan binti Subhi, Norul Husna binti Ibrahim dan Shangeetavaani D/O Kannapiran. Kehadiran 10 orang mahasiswa UTHM ini ternyata disenangi dan disambut baik oleh guru dan para pelajar di sana.

Majlis pembukaan program di Yogyakarta turut dilangsungkan di UNY sebagai tanda kerjasama erat ketiga-tiga institusi ini. Menurut Dekan Fakultas Teknik (Faculty of Engineering) UNY, Dr. Moch. Bruri Triyono, mereka amat berbesar hati dapat bekerjasama menjayakan program seperti ini dan turut merancang menghantar mahasiswa mereka ke UTHM bagi menjayakan program yang sama sekitar bulan Julai akan datang.

Menariknya, program mobiliti ini turut mendapat liputan akhbar Indonesia dan dimuatkan dalam artikel bertajuk “Mahasiswa Malaysia Mengajar di SMKN1 Depok”. Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FPTV; Professor Madya Dr. Mohamad Hisyam Mohd. Hashim selaku wakil UTHM, pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMKN 1 dan 2), wakil-wakil dekan, ketua-ketua Jabatan dan juga pegawai hubungan antarabangsa UNY. Majlis pembukaan program ini juga turut diadakan di UPI dan UTHM diwakili oleh En. Safiee Idris manakala UPI pula diwakili oleh Dekan Fakulti Teknologi dan Pendidikan Vokasional, Dr. Eng Agus Setiawan.

Lanjutan daripada kejayaan ini, FPTV bercadang untuk meneruskan program “MALAM” ini ke negara lain seperti Jepun, Korea, Philippine, Brunei, Thailand serta akan melibatkan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Vokasional dan Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

FKMP anjur ICME2013 - 251 kertas kerja dibentang

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi telah berjaya menganjurkan  Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (ICME2013) pada 17 hingga 18 Disember 2014 bertempat di Hotel Equatorial, Bangi Putrajaya.  
            
Persidangan kali ke empat  yang bertemakan “Penyelesaian Innovatif bagi Kejuruteraan Lestari” ini  telah melibatkan pembentangan sebanyak 251 kertas kerja dari pelbagai negara. Kesemua  kertas kerja tersebut telah dinilai oleh Scopus dan beberapa pengkalan data penerbitan lain sebelum diterbitkan dalam “Applied Mechanics and Materials (ISSN:1660-9336). Manakala setiap peserta persidangan pula berpeluang  memiliki buku penerbitan bercetak ini semasa persidangan berlangsung. 

Turut berlangsung upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pihak industri iaitu MPIB dan Halton serta pelancaran  buku ‘Coffee Table’ FKMP yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri (Dr) Ir.  Jamilus Md. Hussain. Upacara tersebut turut disaksikan oleh Naib Canselor UTHM, Professor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin bersama Dekan FKMP, Professor Madya Dr. Yusri Yusuf serta pengerusi ICME2013, Professor Madya Dr Md Saidin Wahab. 

Di samping itu, majlis perasmian tersebut turut diselitkan dengan satu sesi ceramah yang dikelolakan oleh penceramah jemputan iaitu Prof. Ir. Dr. Hj. Abdul Rahman Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).