Sunday, April 27, 2014

UTHM tuan rumah Kursus Tenaga Pengajar Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Demi memartabatkan warisan bangsa seni silat cekak di negara ini, Kelab Seni Silat Cekak Malaysia (KSSCM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) cawangan Johor telah menganjurkan Kursus Tenaga Pengajar Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Zon Selatan 2014 pada 5 hingga 6 April baru-baru ini.

Kursus yang juga mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Johor, PSSCM cawangan Melaka dan Negeri Sembilan ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada peserta kursus mengenai kepentingan seni pusaka warisan bangsa yang berperanan membentuk peribadi mulia melayu muslim dan membina keyakinan diri untuk menghadapi cabaran masa kini. 

Kursus yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim ini mendapat penyertaan seramai 200 orang ahli yang datang dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Kursus turut dijayakan dengan kekuatan enam puluh orang ahli KSSCM UTHM yang terdiri daripada para pelajar yang bertindak selaku jawatankuasa pelaksana program yang dipimpin oleh Penasihatnya, Muhammad Shahrin Haron, Pegawai Kebudayaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P).

Penganjuran kursus ini di UTHM telah berjaya menarik perhatian Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Hj. Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor untuk hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung pada 6 April lalu. 
Majlis diserikan dengan beberapa acara seperti selawat, paluan kompang, deklamasi puisi daripada Kumpulan Aktivis Pemuisi dan Dramatis UTHM serta persembahan Zikir Terapi daripada artis undangan, Hafiz Hamidun.
 
Turut hadir, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; Profesor Madya AR. Dr. Haji Ab Majid Ismail, Naib Presiden II PSSCM selaku wakil rasmi Presiden  PSSCM, serta Ahli Ahli lembaga Pelajaran dan Tatatertib PSSCM. 

Dalam majlis tersebut, Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Hj. Kamisan turut menyampaikan sijil dan cenderamata kenangan kepada lima orang pelajar UTHM yang merupakan ahli KSSCM UTHM yang diiktiraf selaku tenaga pengajar Seni Silat Cekak Malaysia. Beliau turut menyatakan sokongan padunya terhadap bidang seni ini dan akan turut memberi dana untuk melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan jika jumlah ahlinya semakin bertambah. 

Tahniah dan Syabas kepada Kelab Seni Silat Cekak Malaysia UTHM kerana  berjaya melaksanakan program dan mengharumkan nama universiti dengan sokongan padu kerajaan negeri Johor demi memperkasakan seni warisan bangsa.

Pasukan UTHM Paddlers Juara Keseluruhan Rowing Lelaki dan Wanita Sukan Air MASUM 2014

Karnival Sukan Air MASUM 2014 yang telah berlangsung pada 7 hingga 12 April 2014 bertempat di Kompleks Sukan Air Presint 6 Putrajaya menyaksikan Pasukan UTHM berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya membawa pulang dua Trofi Juara Keseluruhan Rowing Lelaki dan Wanita 2014.

Ini merupakan kali ketiga buat Pasukan UTHM muncul juara berganda setelah berjaya melakukannya pada tahun 2009 dan 2011 sejak pertama kali menyertai sukan rowing pada tahun 2008.  Semangat  dan perjuangan para atlit UTHM Paddlers dalam Sukan MASUM Rowing dan Kayak 2014 menjadi tunggak utama kejayaan Pasukan Rowing UTHM apabila berjaya membawa pulang semua pingat yang dipertandingkan bagi kategori rowing lelaki dan wanita. Pasukan UTHM telah berjaya membawa pulang lima pingat emas lima perak dan dua gangsa. Bagi acara Kayak Pasukan UTHM juga tidak menghampakan apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa daripada lapan acara yang dipertandingkan.
 
Latihan sepanjang tahun dan pengorbanan sebagai seorang mahasiswa universiti adalah cabaran utama bagi atlit UTHM yang bergiat aktif dalam bidang sukan. Namun ia bukanlah penghalang kepada Pasukan UTHM Paddlers untuk muncul sebagai juara dengan tekad dan semangat “I’M Gold Medalist” sebagai kata-kata keramat yang terapkan dalam setiap atlit UTHM yang bertanding dalam kejohanan Sukan MASUM kali ini.

Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada pasukan-pasukan UTHM untuk meraih kejayaan dalam bidang sukan serta meletakkan nama UTHM antara IPT yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Disediakan oleh :
Shaid Jaffar

UTHM Raih 7 Pingat dalam iCompEx 2014

Hasil penyelidikan dan inovasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), khususnya daripada Pusat Pengajian Diploma telah berjaya menerima pengiktirafan dan kejayaan di peringkat kebangsaan dalam  “National Innovation And Invention Competition Through Exhibition”(iCompEx 2014) yang berlangsung pada 24 hingga 25 Mac lalu  di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra Kedah. Daripada lapan produk yang dipertandingkan, UTHM telah berjaya meraih empat pingat emas, tiga pingat perak dan satu Anugerah Khas Inovasi (Tempat ke 2) yang turut dimenangi melalui produk Mesin Proses Pengasingan Biji Kekabu.

Majlis perasmian iCompEx 2014 yang berlangsung pada 24 Mac lalu telah disempurnakan oleh wakil rasmi Menteri Besar Kedah; Puan Norsabrina Mohd Nor, Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi. Penganjuran kali ketiga ini telah dibahagikan kepada sembilan kategori dan telah menarik minat hampir 700 penyertaan pelbagai produk daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional, SBP, MRSM, sekolah harian dan beberapa institiusi pendidikan yang lain.
 
Penglibatan UTHM dalam program ini telah membawa impak yang besar kepada para penyelidik dan bidang inovasi kerana pameran ini merupakan platform terbaik bagi mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak industri dalam membantu mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi. Maklum balas yang positif serta hasrat dan minat yang ditunjukkan oleh pihak  industri untuk bekerjasama diharapkan dapat meningkatkan lagi hasil pengkomersilan produk dan penyelidikan di UTHM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kumpulan penyelidik dan inovasi yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam “National Innovation And Invention Competition Through Exhibition”(iCompEx 2014).