Mungkin tidak ramai yang tahu, sejarah industri penternakan lebah kelulut bermula di Batu Pahat, Johor sejak 28 tahun yang lalu. Pada Oktober 1988, Jabatan Pertanian mewujudkan Pusat Apiari Nasional yang terletak di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan penternakan dan pemeliharaan lebah. Kini, penternakan dan pemeliharaan lebah kelulut semakin pesat berkembang di serata Malaysia.
Kelulut adalah dari sub family Meliponinae atau lebih dikenali sebagai lebah tidak bersengat, berupaya menghasilkan madu, debunga dan propolis sama seperti lebah madu biasa. Bezanya, kelulut tidak bersengat dan menghasilkan lebih banyak propolis berbanding lebah madu sebagai mekanisma pertahanan diri yang berfungsi mensterilkan sarang daripada gangguan organisma lain seperti bakteria, cendawan, virus dan pemangsa. Selain itu, disebabkan oleh saiz ukuran tubuh kelulut adalah lebih kecil, kelulut mampu mengambil nektar dari bunga yang bersaiz kecil, menyebabkan ia mempunyai variasi makanan yang lebih banyak dari lebah biasa sehingga memungkinkan untuk diternak secara konsisten tanpa perlu penjagaan rapi.
Kelulut juga boleh berperanan sebagai agen pendebungaan yang efektif. Kajian terbaru mendapati kelulut mampu menyebarkan benih pokok serta mengahwinkan bunga jantan dan betina secara aktif. Perkhidmatan kelulut sebagai agen pendebungaan dilihat sebagai satu kelebihan kerana kelulut adalah spesis serangga asli di Malaysia, aktif sepanjang tahun, tidak menyengat dan hanya memerlukan kos pengendalian yang rendah. Menariknya, petani boleh menggunakan kelulut sebagai alternatif kepada kaedah pendebungaan konventional “hand-crossed”.
Kualiti propolis kelulut sangat tinggi di mana kandungan anti oksidanya adalah 403 kali ganda lebih tinggi daripada jeruk dan kandungan fenol adalah 320 kali ganda berbanding epal merah. Kedua-dua unsur ini berfungsi dalam penyembuhan pelbagai penyakit. Propolis juga mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-virus yang sangat bermanfaat kepada manusia. Selain itu, kajian secara saintifik mendapati madu kelulut sebagai sejenis ‘tonik’ mempunyai ciri-ciri anti-radang, anti-parasit, dan telah menunjukkan potensi merawat penyakit berkaitan gusi, gastritis dan ulser. Oleh itu, penggunaan madu kelulut sebagai terapi dan pencegahan penyakit perlu digalakkan di semua lapisan masyarakat.
Walaubagaimanapun, maklumat berkaitan industri kelulut serta aktiviti yang dijalankan oleh penternak, pengusaha dan peminat kelulut masih belum begitu meluas. Selain itu kesedaran masyarakat terhadap industri penternakan kelulut sebagai sumber pendapatan yang berpotensi tinggi masih amat sedikit.
Lambakan madu tiruan yang menguasai pasaran merupakan ancaman terbesar dalam industrI madu. Kajian menunjukkan 80% madu yang terdapat di pasaran merupakan madu campuran atau sintetik. Oleh itu, kerjasama antara pihak universiti dan komuniti amatlah penting untuk memberi kesedaran tentang ketulenan madu bagi mengelakkan pengguna tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Justeru itu, UTHM dengan kerjasama Pusat Apiari Nasional akan menganjurkan satu kursus “Hands-on” penternakan lebah kelulut untuk komuniti tempatan dan mereka yang berminat untuk menjadi peternak terlatih dalam menghasilkan madu lebah kelulut yang berkualiti. Para peserta akan diberi khidmat nasihat teknikal dan pengetahuan asas tentang lebah kelulut dan penghasilan madu serta didedahkan dengan teknologi dan kepakaran yang ada di UTHM dan Pusat Apiari Nasional bagi memulakan projek penternakan lebah kelulut. Kursus ini akan diadakan pada 12 hingga 13 September 2015 meliputi kaedah pembelajaran secara teori dan amali.
Kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi Dr Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi di talian 013-7484665 atau Pn. Nazrullah Abdullah di talian 07-4531334 untuk maklumat lanjut.