Tuesday, March 24, 2015

50,000 pengunjung penuhi tapak Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2015 zon selatan





Seramai 50,000 pengunjung memenuhi tapak Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN 2015) bagi zon selatan yang diadakan di Padang Kawad Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  pada 21 hingga 22 Mac lalu.
KPTN 2015 atau lebih dikenali dengan “Jom Masuk IPT” anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini diadakan buat kali ke-11 bermula dari 14 Februari lalu hinggalah 12 April ini. Karnival ini dibahagikan mengikut zon yang melibatkan beberapa negeri seperti Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perak, Johor, Sarawak, Kelantan dan juga Sabah.
Karnival “Jom Masuk IPT” ini disasarkan kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma dan sijil, ibu bapa, guru dan komuniti setempat yang tercari-cari maklumat terkini berkaitan peluang-peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dan program-program pengajian baharu yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) masa kini.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin melahirkan rasa terima kasihnya kepada KPM kerana memberi kepercayaan kepada universiti ini sebagai tuan rumah penganjuran karnival bagi zon selatan.
“Pemilihan UTHM sebagai tuan rumah ini amat tepat sekali dari segi lokasi dan kumpulan sasarannya kerana universiti ini bukan sahaja institusi yang berfungsi menyedia dan melahirkan generasi cerdik pandai, malah mampu bertindak dengan baik sebagai penghubung rapat atau mekanisme penyaluran maklumat dan polisi kerajaan kepada masyarakat khususnya di negeri Johor ini.”
Mohd Noh berharap peluang ini dapat digunakan sepenuhnya oleh komuniti sasaran tersebut bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat bukan sahaja untuk kegunaan peribadi malahan kefahaman yang mereka perolehi ini berupaya membantu KPM mempromosi dan menyebarluaskan maklumat mengenai program dan peluang pendidikan sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh IPT.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian karnival tersebut yang diadakan pada 21 Mac lalu bertempat di pintu masuk tapak karnival. Hadir sama ke majlis tersebut, Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, KPM Puan Mazula Sabudin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Hashim Saim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim.
Selain pameran peluang pendidikan, aktiviti-aktiviti lain turut diadakan antaranya aktiviti semakan syarat khas kelayakan program ke IPTA, Politeknik  dan ILKA melalui e-Panduan Permohonan Kemasukan ke IPTA dan e-Panduan Permohonan Kemasukan ke Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan ILKA, taklimat kenali IPTA/Politeknik serta perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang bertujuan untuk mendidik dan memberi kefahaman tentang peluang pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia. Gerai-gerai jualan juga turut memenuhi tapak karnival bagi memeriahkan lagi penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara kali ke-11 bagi zon selatan ini.