Saturday, September 26, 2015

1000 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-7

Sebanyak 17 kontinjen melibatkan 1000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa agensi luar telah memeriahkan Perarakan Town and Gown yang diadakan di sekitar Bandar Batu Pahat, Johor pada 19 September lalu.

Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini. 

Tujuan perarakan ini diadakan saban tahun adalah untuk mewar-warkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober 2015 nanti.

Uniknya perarakan kali ini menampilkan kontinjen berimejkan kebudayaan pelbagai etnik seperti Zapin, Hamdolok, Bangra, Tarian Singa dan Yoyo selain penyertaan daripada kontinjen luar yang melibatkan kumpulan pancaragam Sukarelawan Malaysia (RELA), Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Mengkibol, Kluang.

Perarakan yang bertemakan “Perarakan dalam Warna Budaya” ini bermula dari jalan Rahmat menuju ke Dataran Penggaram, Batu Pahat. Hampir 5000 penduduk turun menyaksikan perarakan penuh warna warni itu di samping berhibur bersama  dengan artis jemputan Jay Jay yang terkenal dengan lagu “Joget Angan tak Sudah”. Sementara itu, persembahan tarian dan nyanyian dari Kelab Warisan UTHM turut menggamit perhatian pengunjung yang hadir pada malam tersebut.

Acara Kemuncak perarakan menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM kali ke-15 oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Bahat, Tuan Haji Mohd Halim Hasbullah, disaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.

Perarakan Town and Gown ini merupakan kali ketujuh dianjurkan oleh UTHM setelah berjaya menarik minat komuniti Batu Pahat untuk hadir memeriahkan acara yang diadakan. Memandangkan perarakan ini dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.

Monday, September 14, 2015

FKEE UTHM anjur IC3E 2015 – perkukuh rangkaian antarabangsa

Hear this article
ice.png

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan International Conference on Electrical and Electronic Engineering (IC3E 2015) bertempat di Hotel Equatorial, Melaka pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Persidangan yang bertemakan Engineering Towards Sustainable Future ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Ir. Mohammad Bisri, Rektor Universiti Brawijaya (UB), Indonesia dan juga beberapa pegawai kanan dari Universiti Brawijaya dan UTHM.

Persidangan anjuran bersama Universiti Brawijaya ini telah menarik minat ramai penyelidik dari pelbagai negara seperti Qatar, United Kingdom, Turki, Indonesia, Nigeria, Iraq, Iran dan India. Lebih 200 kertas kerja telah diterima dan sebanyak 166 kertas kerja telah dibentangkan yang mana semuanya bakal diterbitkan dalam ARPN Journal of Engineering and Applied Sciences yang diindeks oleh Scopus.

Sesi ucaptama persidangan menampilkan tiga pakar iaitu Profesor Dr. Abbes Amira dari University of the West of Scotland, United Kingdom, Profesor Dr. Zabih Ghasemlooy dari Northumbria University, United Kingdom dan Dr. Mazlan Abas dari Redtone IOT Sdn Bhd. dengan pembentangan meliputi topik Connected Health, Visible Light Communication, dan Internet of Things (IoT). 

Bagi meneruskan usaha UTHM ke peringkat antarabangsa, FKEE, UTHM dan UB bertekad untuk meneruskan persidangan ini pada tahun akan datang dengan penglibatan pelbagai universiti dari seluruh dunia terutama dari rantau Asia.

UTHM raih tiga bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (Myra) 2014


myra.png

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mencapai peningkatan yang membanggakan apabila mendapat tiga bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) bagi tahun 2014. 

Kejayaan ini merupakan suatu pencapaian yang baik berbanding pencapaian satu  bintang pada tahun 2011. Penarafan ini adalah hasil komitmen tidak berbelah bagi warga Universiti khususnya Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC) selaku Sekretariat MyRA 2014 yang bersama-sama berganding bahu dengan Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain dalam menyumbang kepada kejayaan pengumpulan data MyRA tahun 2014. 

Mengimbas kembali sejarah auditan data MyRA 2014, sesi lawatan penilaian tapak telah diadakan pada 27 hingga 28 April 2015 di ORICC, UTHM. Sesi auditan tersebut melibatkan seramai lapan Pegawai yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terdiri daripada lima Panel Penilai, satu Taskforce MyRA dan dua Urusetia telah diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Abu Bakar Salleh. 

Panel penilai lain terdiri daripada Profesor Dr. Normah Omar, Profesor Dr. Norani Muti Mohamed, Profesor Dr. Syed Idris Syed Hassan dan Profesor Dr. Muhammad Hisyam Lee. Manakala wakil Taskforce MyRA adalah Profesor Madya Dr. Shahir Shamsir Omar, manakala Encik Muhammad Hafizul Matmor dan Cik Fazilah Musa bertindak selaku Urusetia KPM.
 
Pihak ORICC merakamkan dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pengumpulan data MyRA 2014 sehingga melayakkan Universiti mencapai penarafan tiga (3) bintang dalam auditan MyRA tahun 2014. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang seterusnya pada masa akan datang.

Saturday, September 12, 2015

PERKASA anjur Pertandingan Mendeklamasi Sajak Hari Kebangsaan 2015

sajakuthm.png
 
Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2015, Persatuan Pensyarah dan Pengajar (PERKASA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Pertandingan Mendeklamasi Sajak Hari Kebangsaan 2015 pada 26 Ogos 2015 di Dewan Terbuka UTHM. 

Penyertaan adalah dalam kalangan staf akademik dan staf pentadbiran dari pelbagai fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada peserta Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Universiti Awam Malaysia.
 
Tujuan program ini adalah untuk memupuk semangat kemerdekaan dan menanam jiwa patriotik dalam kalangan staf-staf UTHM di samping merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Pertandingan tersebut telah di adili oleh Encik Muhammad Shahrin Haron, Pegawai Kebudayaan UTHM dan telah disempurnakan oleh Profesor Engr. Dr. Mohd Idrus Haji Mohd Masirin, Presiden PERKASA UTHM. 

“Saya mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada staf akademik yang terlibat sebagai AJK dan peserta bagi menerapkan rasa kecintaan terhadap seni dan budaya di universiti ini sempena Hari Kemerdekaan 2015. Tema tahun ini iaitu #sehatisejiwa amat releven dalam situasi di mana warga Malaysia khususnya warga UTHM perlu bersatu dan sehaluan bagi menjayakan 10 lonjakan yang telah digariskan di dalam Blueprint Kementerian Pendidikan Tinggi menjelang 2025,” katanya.
 
Johan pertandingan disandang oleh Puan Norashikin Abdul Hamid dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. Naib Johan pula disandang oleh Dr. Aida Mustapha yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. Tempat ketiga dimenangi oleh Puan Norfaiza Fuad, membawa pulang wang tunai RM100.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. 

Menurut Encik Muhammad Shahrin, pemenang pertandingan ini akan dipertimbangkan untuk mewakili Universiti ke Pertandingan Sayembara Puisi Peringkat Negeri Johor yang akan diadakan pada November 2015 nanti. Ini adalah ganjaran kepada keterlibatan staf akademik dalam memartabatkan seni puisi dalam kalangan warga universiti ini. Beliau berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan dengan penglibatan warga universiti yang lain pada masa hadapan.

UTHM anjur Kursus ‘Hands-On’ Penternakan Lebah Kelulut

kelulut2_uthm.png 
 
kelulut3_uthm.png
 
kelulut4_uthm.png
 
kelulut_uthm1.png 
 
 
 
Mungkin tidak ramai yang tahu, sejarah industri penternakan lebah  kelulut bermula di Batu Pahat, Johor sejak 28 tahun yang lalu. Pada        Oktober 1988, Jabatan         Pertanian mewujudkan Pusat Apiari Nasional yang terletak di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan penternakan dan pemeliharaan lebah. Kini, penternakan dan pemeliharaan lebah kelulut semakin pesat berkembang di serata Malaysia.

Kelulut adalah dari sub family Meliponinae atau lebih dikenali sebagai lebah tidak bersengat, berupaya menghasilkan madu, debunga dan propolis sama seperti lebah madu biasa. Bezanya, kelulut tidak bersengat dan menghasilkan lebih banyak propolis berbanding lebah madu sebagai mekanisma pertahanan diri yang berfungsi mensterilkan sarang daripada gangguan organisma lain seperti bakteria, cendawan, virus dan pemangsa. Selain itu, disebabkan oleh saiz ukuran tubuh kelulut adalah lebih kecil, kelulut mampu mengambil nektar dari bunga yang bersaiz kecil, menyebabkan ia mempunyai variasi makanan yang lebih banyak dari lebah biasa sehingga memungkinkan untuk diternak secara konsisten tanpa perlu penjagaan rapi.

Kelulut juga boleh berperanan sebagai agen pendebungaan yang efektif. Kajian terbaru mendapati kelulut mampu menyebarkan benih pokok serta mengahwinkan bunga jantan dan betina secara aktif. Perkhidmatan kelulut sebagai agen pendebungaan dilihat sebagai satu kelebihan kerana kelulut adalah spesis serangga asli di Malaysia, aktif sepanjang tahun, tidak menyengat dan hanya memerlukan kos pengendalian yang rendah. Menariknya, petani boleh menggunakan kelulut sebagai alternatif kepada kaedah pendebungaan konventional “hand-crossed”.

Kualiti propolis kelulut sangat tinggi di mana kandungan anti oksidanya adalah 403 kali ganda lebih tinggi daripada jeruk dan kandungan fenol adalah 320 kali ganda berbanding epal merah. Kedua-dua unsur ini berfungsi dalam penyembuhan pelbagai penyakit. Propolis juga mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-virus yang sangat bermanfaat kepada manusia. Selain itu, kajian secara saintifik mendapati madu kelulut sebagai sejenis ‘tonik’ mempunyai ciri-ciri anti-radang, anti-parasit, dan telah menunjukkan potensi merawat penyakit berkaitan gusi, gastritis dan ulser. Oleh itu, penggunaan madu kelulut sebagai terapi dan pencegahan penyakit perlu digalakkan di semua lapisan masyarakat.

Walaubagaimanapun, maklumat berkaitan industri kelulut serta aktiviti yang dijalankan oleh penternak, pengusaha dan peminat kelulut masih belum begitu meluas. Selain itu kesedaran masyarakat terhadap industri penternakan kelulut sebagai sumber pendapatan yang berpotensi tinggi masih amat sedikit.

Lambakan madu tiruan yang menguasai pasaran merupakan ancaman terbesar dalam industrI madu. Kajian menunjukkan 80% madu yang terdapat di pasaran merupakan madu campuran atau sintetik. Oleh itu, kerjasama antara pihak universiti dan komuniti amatlah penting untuk memberi kesedaran tentang ketulenan madu bagi mengelakkan pengguna tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, UTHM dengan kerjasama Pusat Apiari Nasional akan menganjurkan satu kursus “Hands-on” penternakan lebah kelulut untuk komuniti tempatan dan mereka yang berminat untuk menjadi peternak terlatih dalam menghasilkan madu lebah kelulut yang berkualiti. Para peserta akan diberi khidmat nasihat teknikal dan pengetahuan asas tentang lebah kelulut dan penghasilan madu serta didedahkan dengan teknologi dan kepakaran yang ada di UTHM dan Pusat Apiari Nasional bagi memulakan projek penternakan lebah kelulut. Kursus ini akan diadakan pada 12 hingga 13 September 2015 meliputi kaedah pembelajaran secara teori dan amali.
 
Kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi Dr Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi di talian 013-7484665 atau Pn. Nazrullah Abdullah di talian 07-4531334 untuk maklumat lanjut.

Saturday, September 5, 2015

UTHM terima 2445 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 2445 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda bagi semester 1 2015/2016 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 1 September baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut 1113 merupakan pelajar lelaki manakala 1332 lagi adalah pelajar perempuan. Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa sepanjang tempoh pendaftaran berlangsung. Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan dan Fakulti Teknologi Kejuteraan.

Pelajar-pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak Universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadualkan berlangsung selama seminggu bermula 1 hingga 5 September.

Program MHS yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTHM ini diselitkan dengan beberapa acara seperti slot “Bersama Kepimpinan Negara” yang melibatkan Menteri Mentor UTHM, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, slot “Bersama Kepimpinan Universiti” dan “Pengetua Kolej Kediaman”, Taklimat PTPTN dan diakhiri dengan “Majlis Penutup dan Warisan Bangsa” yang dijadual berlangsung pada 5 September ini.

Seperti kebiasaan, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin bersama Pimpinan Tertinggi Universiti turut menyambut kehadiran pelajar baharu pada hari pertama pendaftaran di samping meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga masing-masing.

Pihak universiti merakamkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar ini ke UTHM dan tahniah diucapkan kerana terpilih menjadi warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia – Technically Above the Rest.

UTHM raih kejayaan di Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2015

s1.png
 
s2.png
 
s3.png 
 
s4.png
 
s5.png 
 

Kontingen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membawa cabaran dan harapan warga Universiti untuk membawa pulang pingat yang dipertandingkan di Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) Kali Ke-40, 2015 yang telah berlangsung pada 16 hingga 23 Ogos lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. 

UTHM berjaya membawa pulang satu pingat Emas (Berbasikal  Veteran), satu pingat perak (Tenpin Boling Lelaki) dan empat pingat gangsa (Tarik Tali, Karom, 400 meter wanita veteran & 4 x 400 meter wanita veteran). Bagi penyertaan kali ini, Kontingen UTHM mempertaruhkan seramai 128 atlit dan pegawai dalam 11 acara yang disertai. Tekad dan azam menjadi pendorong utama kepada atlit dan pegawai UTHM untuk mencipta kejayaan serta mengharumkan nama Universiti ke peringkat kebangsaan dalam acara sukan.
 
Kehebatan Kontingen UTHM ini adalah hasil usahama semua pihak terutama pihak pengurusan tertinggi, Pejabat Pendaftar, Pusat Sukan, jurulatih, pegawai sukan dan atlit-atlit yang tidak pernah mengenal penat lelah dan erti kekalahan demi membantu menaikkan nama UTHM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.