Wednesday, May 23, 2012

Penunggang basikal lasak dijemput sertai UTHM MTB XC Race 2012

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan satu pertandingan sukan berbasikal lasak UTHM MTB XC Race 2012 pada 2 Jun ini. Pertandingan kayuhan basikal sejauh kira-kira 45 kilometer itu akan bermula dan berakhir di kampus induk UTHM.

Penyertaan adalah terbuka kepada umum dan juga pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Hadiah lumayan berupa wang tunai ditawarkan kepada pemenang. Untuk kategori Terbuka sebanyak RM700 ditawarkan kepada pemenang tempat pertama, tempat kedua RM400 dan ketiga RM250. Manakala untuk kategori IPT, sebanyak RM500 ditawarkan untuk pemenang tempat pertama, tempat kedua RM300 dan Ketiga RM150.

Tepat jam 8.30 pagi para peserta akan memulakan kayuhan mereka dari kampus UTHM melalui Parit Jelutong, Parit Karjo, Estet Genting, Bukit Batu (Senggarang), Kg. Rahmat (Batu Pahat), Kg. Baru, Bandar Universiti dan berakhir di UTHM.

Para peserta yang berjaya menghabiskan kayuhan sekurang-kurangnya melepasi satu ‘Check Point’ akan berpeluang menyertai acara cabutan bertuah yang dijadual berlangsung pada pukul 2.00 petang hari yang sama. Hadiah seperti peralatan basikal berjenama, barangan elektrik dan goodies akan diberikan kepada para peserta yang bertuah.

Program ini dianjurkan bertujuan menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan masyarakat disamping mengeratkan lagi hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.

Penyertaan orang ramai amatlah dialu-alukan. Untuk maklumat lanjut hubungi Encik Rizal 012-7543632 atau Encik Hasnol 013-7141090, Pejabat: 07-4537449 atau layari http://uthmmtbxcrace.blogspot.com/ 
                  

UTHM sambut meriah Hari Guru 2012


Sambutan Hari Guru 2012 anjuran Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disambut meriah pada 16 Mei lalu bertempat di kampus induk UTHM

Pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara Malaysia. Justeru, 16 Mei telah dipilih sebagai Hari Guru dan disambut setiap tahun. UTHM turut berbangga kerana berpeluang merealisasikan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin.

Berucap di hadapan lebih 700 hadirin yang sebahagian daripadanya merupakan pelajar program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Profesor Dato’ Dr Mohd Noh telah mengingatkan bakal-bakal guru tersebut agar menjadikan keikhlasan bekerja sebagai perkara utama dalam menunaikan tanggungjawab. Beliau berkata, seseorang guru itu tidak akan mendapat kepuasan jika menganggap tugas sebagai pendidik hanyalah sebagai satu kerjaya sama seperti pekerjaan lain.

“Guru zaman sekarang lebih bertuah berbanding zaman sebelumnya. Pelbagai insentif seperti pemberian elaun, kenaikan pangkat dan gaji diberi bagi mengiktiraf sumbangan mereka mendidik anak bangsa. Justeru, gunakanlah kelebihan yang diberi ini untuk bekerja dengan lebih bersungguh agar kita semua dapat melahirkan insan berguna pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti. Majlis tersebut turut menyaksikan bacaan ikrar para guru, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Reka Cipta 2012 dan diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan oleh para pelajar DPLI.

Sambutan turut dimeriahkan dengan Festival Reka Cipta 2012 yang diadakan di Dewan Terbuka UTHM. Naib Canselor beserta Pegawai-Pegawai Kanan universiti turut melawat ruang pameran yang mempamerkan pelbagai hasil reka cipta para pelajar.

Bermula 9 Mei lagi, pelbagai aktiviti seperti pertandingan futsal, bola jaring, boling, memasak dan gubahan telah direka dan dilaksanakan oleh warga FPTV. Semua aktiviti yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama warga.

UTHM gondol 20 pingat dalam ITEX 2012

KLCC, Mei 2012 – Hasil penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan kejayaan memperolehi 5 pingat Emas, 12 pingat Perak dan 3 pingat Gangsa dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan sempena 23rd  International Invention, Innovation, and Technology Exhibition 2012 (ITEX’12) yang berlangsung pada 17 hingga 19 Mei 2012 lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

UTHM telah meraih lima pingat emas melalui hasil penyelidikan yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Zarar Mohd Jenu dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik(FKEE), Prof. Madya Dr. Hussain Othman (FKEE), Dr. Muhammad Yusof Ismail (FKEE),  Dr. Ahmad Rizal Madar (Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional) dan Dr. Anika Zafiah Mohd Rus (Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan). Lebih dari 700 produk hasil penyelidikan dan inovasi telah menyertai pertandingan ini dan melibatkan peserta-peserta daripada Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat Korporat, Agensi-Agensi Kerajaan, Persatuan-Persatuan Inovasi, dan individu perseorangan. Pertandingan ini juga mendapat penyertaan daripada pelbagai negara seperti Iran, Korea, Poland, Russia, Taiwan, Vietnam, Arab Saudi, Filipina, China dan Hong Kong.

Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi ini telah diadili oleh panel-panel hakim daripada industri dan pelbagai agensi yang menilai melalui beberapa aspek iaitu keaslian idea, pembaharuan dan inovasi yang dilakukan, sumbangan kepada masyarakat serta potensi untuk dikomersilkan. 

Selain itu juga, pameran ini telah menjadi medium bagi membantu para penyelidik untuk mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak industri bagi membantu mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan. Maklumbalas yang diterima serta hasrat dan minat yang ditunjukkan oleh industri untuk kerjasama pengkomersilan diharapkan akan dapat meningkatkan hasil pengkomersilan UTHM. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penyelidik yang berjaya mencapai kejayaan dalam ITEX 2012 serta semua pihak yang telah bersama-sama membantu menjayakan ITEX 2012.

KEPUTUSAN PENYERTAAN PENYELIDIK UTHM DALAM PERTANDINGAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI SEMPENA 23rd INTERNATIONAL INVENTION INNOVATION & TECHNOLOGY EXHIBITION 2012
BIL
KETUA PENYELIDIK
PRODUK

PINGAT
1.
Prof. Dr. Mohd Zarar Mohd Jenu
Integrated Electromagnetic Field Detection System
Emas
2.
Dr. Anika Zafiah bte Mohd Rus
Catalyst Converter For Eco-Sustainable Production [C-C]
Emas
3.
Dr. Muhammad Yusof Ismail
Dual Frequency Flat Reflector for Mobile Communication System
Emas
4.
Prof. Madya Dr. Hussain Othman
Smart Tutor for Higher Education (Smart Tutor)
Emas
5.
Dr. Ahmad Rizal bin Madar
Application of Digit Electronic Digital (ADED)
Emas

6.
En. Maznan bin Ismon
Spiral Effect Dust Collector

Perak
7.
En Shaiful Rizal bin Hj. Masrol
EDRG Ball Forming Machine (BaFoMac1)
Perak
8.
Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor
Portable Coconut Grater
Perak
9.
Dr. Karthigesu a/l Nagarajoo
Smart Corn Seed Slider
Perak
10.
Dr. Muhammad Yusof Ismail
Tuneable Microwave Absorber for Wireless System
Perak
11.
En. Mohd Zainizan Sahdan
Naturally Doped Uniform TiO2 Thin Films form Malaysian Industrial Waste
Perak
12.
Nafarizal bin Nayan
Precise Process Control for Nano-scale Thin Film PVD Deposition
Perak
13.
Dr. Mohd Kamarulzaki bin Mustafa
Electrostatic Self Assembly Functionalize MgCO3 Polyelectrolyte Immuno-Capsule for Filtering Contaminated Liquid.
Perak
14.
Prof. Dr. Rosziati Ibrahim
MoBiSiS: Transmiting Data Inside Image via Mobile Phone using MMS
Perak
15.
Dr. Mohd Najib bin Mohd Salleh
Malay-Mandrin Translation for Business Traveler Using Android Technology
Perak
16.
En. Nazri bin Abdullah
Automation Residential Electricity Cut-Off System Using Networked-Based Embedded Controller
Perak
17.
En. Mohd Khairy b. Burhanuddin
Lightweight Compressed Earth Brick (LCEB)
Perak
18.
Prof. Madya Dr. Badrul bin Omar
1D Mathematical Modeling Simulation of LHP in Quenched Steel Bar
Gangsa
19.
Dr. Zamri bin Omar
High Peformance VTOL UAV

Gangsa
20.
Dr. Mohd Najib bin Mohd Salleh
Crop Selectin in Decision Support System Using Fuzzy Modelling Technique

Gangsa








Tuesday, May 15, 2012

NCEEE 2012 himpunkan penyelidik kejuruteraan elektrik dan elektronik



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik 2012 (NCEEE) yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei lalu bertempat di kampus induk UTHM.

Persidangan ini dianjurkan bertujuan untuk menghimpunkan golongan professional, saintis, jurutera, ahli akademik dan para penyelidik dalam bidang berkaitan untuk membentangkan hasil kerja ataupun penyelidikan mereka supaya dapat dikongsi bersama.

Dekan FKEE, Profesor Ayob Johari berkata beliau  berpuashati dengan sambutan dan penglibatan para peserta sepanjang program ini berlangsung.  

“Persidangan ini turut mendapat penyertaan daripada beberapa institut pengajian tinggi dan juga agensi tempatan. Selain golongan profesional dan pelajar tempatan, beberapa orang pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian peringkat pasca ijazah juga turut membentangkan hasil penyelidikan mereka,” katanya.

Majlis perasmian persidangan yang berlangsung pada 8 Mei lalu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti.

Seramai dua orang tokoh akademik dalam bidang berkaitan telah dijemput sebagai pengucap utama persidangan tersebut iaitu Profesor Ir. Dr. Norman Mariun dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan tajuk pembentangan “Malaysia Prospect of renewable energy: Can Malaysia be free of fosil fuel” dan  Profesor Dr. Yoshikazu Miyanaga dari Universiti Hokkaido, Jepun dengan tajuk “Robust speech recognition and its robot implementation.”

Wednesday, May 9, 2012

KKTDI rangkul Anugerah Kolej Kediaman Terbaik dalam Malam Anugerah Pelajar 2011

Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah merangkul Anugerah Kolej Kediaman Terbaik pada Malam Anugerah Pelajar 2011 yang telah berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 4 Mei 2012 lalu.

Anugerah yang dirangkul warga KKTDI itu merupakan satu penghargaan kepada mereka yang telah bertungkus lumus mentadbir, mengurus, melaksana serta membangunkan kolej kediaman menjadi satu penempatan pelajar yang terbaik.

Pengetua KKTDI, Dr. Khairul Azman Mohd. Suhaimy berkata anugerah yang dirangkul itu merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada seluruh warga kolej dan juga kepimpinan terdahulu. Baginya sama seperti ungkapan “rumahku,syurgaku”, usaha membangunkan kolej kediaman menjadi satu pusat yang selesa dihuni amat perlu untuk membantu meningkatkan lagi prestasi para pelajar.

Malam anugerah bertemakan “Glamorous” itu juga menyaksikan  penyampaian beberapa anugerah lain bagi 15 kategori yang dipertandingkan. Antaranya anugerah Mahasiswa/i Gemilang, Program Terbaik, Kolej Kediaman Terbaik, Pasukan Kebudayaan Terbaik, Kelab/Persatuan Terbaik dan Kepimpinan Terbaik.

Malam Anugerah Pelajar 2011 telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dato’ Ir. Jamilus Md Hussin. Beliau dalam ucapannya berkata kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum perlulah seiring dalam usaha melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan berwibawa.

Justeru, beliau mengingatkan mahasiswa agar tidak melepaskan peluang yang ada dengan melibatkan diri dalam bidang ko-kurikulum atau sebarang aktiviti yang dianjurkan dan pada masa yang sama tetap tidak mengabaikan kecemerlangan akademik.

Hadir sama Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti.

Majlis yang berkonsepkan makan malam itu turut diserikan dengan beberapa persembahan nyanyian dan tarian oleh para pelajar di bawah bimbingan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, UTHM. Tan Sri Dato’ Ir. Jamilus juga turut mendendangkan dua buah lagu bagi memeriahkan lagi persembahan malam tersebut.

Penganjuran majlis ini bertujuan memberi galakan, penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar, persatuan dan kelab yang telah banyak menyumbang bakti dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang kokurikulum mahupun akademik. Majlis ini juga adalah untuk memberi sokongan dan dorongan kepada mereka untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pelaksanaan program serta pembangunan ahli.

  



Keputusan Penuh Malam Anugerah Pelajar 2011:
 
ANUGERAH MAHASISWA GEMILANG 
FREEDIE HO KANG NENG
ANUGERAH MAHASISWI GEMILANG 
ERNI MULIATY ISMAIL
ANUGERAH PROGRAM TERBAIK (AKADEMIK)
ENGINEERING CONFERENCE 2011
ANUGERAH PROGRAM TERBAIK (REKREASI)
EXCHANGE OF IDEA (DI BAWAH BAYU)
ANUGERAH PROGRAM TERBAIK (KHIDMAT MASYARAKAT/SOSIAL/KEBAJIKAN) 
MISI AKADEMIK DAN BAKTI SISWA DI BANDA ACHEH
ANUGERAH PROGRAM TERBAIK (LATIHAN DAN KEPIMPINAN)
PROGRAM TUNAS HARAPAN SESI 2011/2012
ANUGERAH PROGRAM TERBAIK (KEBUDAYAAN DAN KESENIAN)
MALAM KEBUDAYAAN GEGAR TF
ANUGERAH SENI BUDAYA
MOHD RIDHWAN ABU BAKAR
ANUGERAH KOLEJ KEDIAMAN TERBAIK
KOLEJ KEDIAMAN TUN ISMAIL
ANUGERAH PASUKAN KEBUDAYAAN TERBAIK
 AKTIVIS PUISI DAN DRAMATIS
ANUGERAH KELAB/PERSATUAN TERBAIK
KELAB WARISAN
ANUGERAH KEPIMPINAN TERBAIK (SISWA)
NG BOON JOO
ANUGERAH KEPIMPINAN TERBAIK (SISWI)
NAIMAH BALQIS SHARI SHAWARUDDIN
ANUGERAH KHAS HEP
FREEDIE HO KANG NENG
NIK MUHD AFNAN NIK MUHD AFANDI
TUAN NOOR HASANAH TUAN ISMAIL
NUR KAMILAH YUSOF
KELAB STUDENT IN FREE ENTERPRISE (SIFE)
KELAB KAUNSELING DAN KERJAYA (KKDK)
KOLEJ KEDIAMAN TAMAN UNIVERSITI
KOLEJ KEDIAMAN TUN DR. ISMAIL
KOLEJ KEDIAMAN TUN FATIMAH
ANUGERAH KHAS PNC (HEPA)
MOHD HAFIZ ARIFFIN


Wednesday, May 2, 2012

221 pelajar program Persediaan Diploma berjaya tamatkan latihan




Majlis Penyampaian Sijil Program Persediaan Diploma 2012, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 29 April lalu menyaksikan penganugerahan sijil kepada 221 orang pelajar yang berjaya menamatkan pengajian.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin pengambilan pada tahun ini terdiri daripada 192 pelajar program Persediaan Diploma dan 29 pelajar program Perantisan Kejuruteraan (EAP). Sepanjang pengajian, para pelajar program Persedian Diploma telah mengikuti kelas selama 325 jam dan pengajaran dan pembelajaran mereka adalah berbentuk kuliah, tutorial dan amali.

Manakala program EAP pula mengambil masa 11 minggu pengajian dan sebahagian besar sukatan pembelajarannya berbentuk praktikal secara amali di makmal kejuruteraan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai bidang kejuruteraan.

“Seramai 29 orang pelajar telah ditawarkan mengikuti program ini. Mereka diberi pendedahan secara hands-on di makmal-makmal kejuruteraan dan turut didedahkan dengan beberapa kursus seperti Aplikasi Komputer, Keusahawanan serta Komunikasi Bahasa Inggeris,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim selaku wakil rasmi beliau.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor, Datuk Haji Maulizan Bujang.

Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Diploma, Profesor Hj. Ab. Aziz Abdul Latiff; Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Prof. Madya Dr. Asri Selamat, Pengarah Urusan UTHM Holdings, Encik Baharuddin Mohamed, kakitangan universiti serta ibu bapa para pelajar.

Program kali kedua ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma di UTHM. Selain itu, penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar merasai suasana pembelajaran di dalam kampus, di samping untuk mengukuhkan lagi tahap penguasaan mereka dalam bidang Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Asas Perisian komputer.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar tersebut perlu lulus dalam peperiksaan akhir dan mencapai piawaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dikehendaki bagi membolehkan mereka ditawarkan ke program-program pengajian Diploma  di UTHM.
Sementara itu, Mohammad Fadzil Nadri salah seorang pelajar program Persediaan Diploma turut melahirkan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma di UTHM.

“Saya mewakili pelajar lain mengucapkan terima kasih pada UTHM kerana telah memberi kami peluang merasai pengalaman belajar di sini. Banyak ilmu yang kami perolehi sepanjang pengajian. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sijil tersebut.



Malam Kebudayaan Tiong Hua 2012 rapatkan perpaduan antara kaum





Biro Kebudayaan Tiong Hua, Sekretariat Perpaduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Malam Kebudayaan Tiong Hua 2012 pada 27 April lalu bertujuan memperkenalkan kebudayaan Cina kepada warga universiti yang berbilang kaum ini.

Penganjuran program ini merupakan satu usaha untuk memelihara dan memperkembangkan keunikan budaya Tiong Hua sekali gus untuk mewariskan budaya ini kepada generasi kini. Di samping itu, program ini juga adalah untuk memberi peluang kepada warga universiti untuk mempelajari budaya cina dengan lebih mendalam.

Majlis yang bertemakan “Kenalkanlah Warisan Budaya Bersama-sama” ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong di Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Beliau dalam ucapan perasmiannya menyatakan sokongan beliau terhadap penganjuran program seperti ini di universiti.

“Usaha untuk menjadikan universiti sebagai agen perpaduan merupakan satu tindakan murni yang sentiasa perlu dipraktikkan. Perkongsian budaya ini dapat mewujudkan satu interaksi positif antara kaum seterusnya dapat mewujudkan sikap toleransi, persefahaman dan saling menghormati antara satu sama lain.,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin menyeru mahasiswa-mahasiswi UTHM untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan supaya setiap keunikan budaya tersebut dapat dikongsi bersama.

“Saya berharap lebih banyak program kebudayaan akan dianjurkan oleh UTHM kerana saya percaya melalui program sebegini, perpaduan antara kaum dapat dieratkan sekaligus dapat mewujudkan suasana kampus yang harmoni,” katanya melalui ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim selaku wakil rasmi beliau pada malam tersebut.

Malam Kebudayaan Tiaong Hua juga turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan menarik. Antaranya persembahan 24 gendang, Orkestra Cina, tarian tradisional, Yoyo Cina, Sign Language dan Sichuan Face Changing Opera. Setiap persembahan yang dipertontonkan itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 500 penonton yang hadir.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram, Datuk Koh Chee Chai, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim, sebilangan kakitangan universiti serta masyarakat setempat.






Program Rehlah Da’wah – 5000 orang banjiri Masjid UTHM

Kira-kira 5000 orang tetamu membanjiri masjid Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 19 April lalu bagi mengikuti program Rehlah Da’wah Al-‘Alamah Habib Umar Ben Hafidz. Program keilmuan yang dimuatkan dengan beberapa pengisian ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga UTHM dan penduduk seluruh negara termasuk dari negara jiran iaitu Singapura.

UTHM amat berbesar hati kerana terpilih untuk menjadi salah satu lokasi yang dilawati oleh tokoh Ulama' dunia ini. Habib Umar berasal dari Yaman, merupakan seorang Ulama' besar, berpengaruh dan mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh dunia. Dakwah beliau bukan saja berpusat di Tarim, tetapi berkembang ke seluruh jazirah Arab, Pakistan, India, Sri Langka, Afrika, Australia, Eropah, khususnya Britain dan Amerika Syarikat. Malaysia, Singapura dan Indonesia juga sering menjadi tempat beliau berdakwah.

Kedatangan Habib Umar dan rombongannya  ke UTHM disambut oleh Naib Canselor, Professor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin dan beberapa pegawai kanan universiti. Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan antaranya mengenai usaha Pusat Islam menubuhkan Pusat Penyelidikan Ahli Sunnah Waljamaah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor di UTHM. Hasrat penubuhan pusat tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada Habib Umar beserta rombongannya.

Walaupun berbahasa arab dan menggunakan khidmat penterjemah, ceramah yang disampaikan beliau amat memberi kesan kepada tetamu yang hadir sekaligus membuktikan bahawa beliau sememangnya seorang pendakwah yang amat disegani.

Dalam ceramahnya, beliau telah mengingatkan para jemaah yang hadir agar tidak sesekali meninggalkan solat yang menjadi tiang agama kepada umat Islam. Selain itu, beliau juga berpesan kepada semua agar sentiasa melangkah kaki ke masjid kerana amalan itu juga merupakan salah satu jihad ke jalan Allah. Beliau turut mengajak semua jemaah untuk mengamalkan zikir dan selawat, menjauhi dari segala perkara yang boleh merosakkan diri dan sentiasa memohon keampunan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Selain memberi ceramah dan mengimamkan solat, Habib Umar beserta rombongannya turut menyempurnakan upacara bertahnik iaitu upacara membuka mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa kepada sembilan orang bayi.

Program anjuran Pusat Islam, Kelab Staf UTHM dan Jabatan Mufti Johor ini turut diisi dengan sesi Khatam Al-Quran daripada pelajar-pelajar Tahfiz, bacaan Qasidah dan Wirdul Latif serta ceramah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al- Maliki.

Turut hadir Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Pegawai-Pegawai Kanan Universiti, pemimpin setempat serta ketua jabatan daerah.

Bersempena program ini, UTHM juga menerima sumbangan makanan daripada beberapa pihak untuk diagihkan. Hidangan seperti nasi beriani dan minuman diedarkan secara percuma kepada semua tetamu yang hadir.











Kempen Keselamatan Jalan Raya IPTA 2012 tingkat kesedaran warga IPTA


Bagi meningkatkan lagi kesedaran warga IPTA terhadap keselamatan jalan raya, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah memilih Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai tuan rumah untuk majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya IPTA 2012. Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung pada 17 April lalu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab. Rahim Md. Noor, jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar, kakitangan dan infrastruktur Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) meningkat dari tahun ke tahun dan ini amat membimbangkan banyak pihak. UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah antara universiti yang mencatatkan peningkatan yang agak membimbangkan.

 “Saya berharap agar kempen ini dapat mendidik warga IPTA untuk lebih prihatin kepada isu keselamatan jalan raya, seterusnya dapat menjadi model kepada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin sewaktu majlis pelancaran berlangsung.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh pula mengingatkan warganya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa memandu kereta ataupun menunggang motosikal.

“Tumpuan sepenuhnya amat perlu kerana kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian diri sendiri. Bagaimanapun penyediaan prasarana jalan raya yang berkualiti juga perlu dititikberatkan kerana ianya dapat membantu meningkatkan lagi keselamatan pengguna jalan raya, khasnya di dalam kawasan kampus seluruh IPTA,” katanya.

Bersempena majlis tersebut juga, satu forum keselamatan jalan raya bertajuk “Transformasi Keselamatan Jalan Raya Bermula Dari Kampus” telah diadakan bagi memupuk kesedaran warga IPTA terhadap pentingnya mengutamakan keselamatan jalan raya.

Forum yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Idrus Haji Mohd Masirin, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar,UTHM ini melibatkan tiga ahli panel iaitu Senior Assistant Commisioner, Dato’ Abd. Aziz Yusof, Ketua Trafik Bukit Aman; Dr. Kulanthayan KC Mani, Pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Ir. Mohd. Rasid Osman, Ketua Unit Pengurusan Penyelidikan dan Pematuhan, Malaysia Institute of Road Safety Research (MIROS).

Pelbagai isu mengenai keselamatan jalan raya dibincangkan dalam forum tersebut antaranya pendedahan kepada faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan dan cara berkesan untuk mengatasinya.

Selain itu, majlis tersebut juga menyaksikan upacara pemakaian lencana Kemalangan Sifar Kepada lapan Pemandu Kenderaan IPTA yang bebas kemalangan dan kesalahan trafik semasa mengendalikan kenderaan universiti untuk tempoh lima tahun dan hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang telah dipertandingkan sebelumnya.

Hadir sama, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa; Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Haji Ab. Latif Ibrahim, Setiausaha Bahagian (Pengurusan) KPT dan Encik Mohd. Rusdi Mohd. Darus, wakil Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

UTHM juga turut mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya bermula pada 16 hingga 20 April. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang empat hari program ini berlangsung. Antaranya ialah Pertandingan Explorace Keselamatan Jalan Raya, Konvoi berbasikal sekitar kampus, Pertandingan Mencipta Poster dan Menulis Esei, Kempen derma darah serta Khutbah Jumaat Khas mengenai Keselamatan Jalan Raya.

Pengedaran jaket dan pelekat keselamatan jalanraya serta pertukaran topi kaledar secara percuma juga diadakan sepanjang program berlangsung. Aktiviti lain seperti Kursus Pemanduan Selamat, pemeriksaan kereta, motosikal dan pemasangan tali pinggang keselamatan di bahagian belakang penumpang secara percuma  turut dilaksanakan

Tuesday, May 1, 2012

Profesor Datin Dr. Maryati menang makalah terbaik Anugerah MAPIM 2011


Kuala Lumpur 30 April - Makalah bertajuk Impact of Forest Fragmentation on the Genetic Diversity and Population Structure of Pachycondyla Obscurants in Sabah, Malaysia Borneo telah diangkat sebagai Makalah Jurnal Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan dalam Anugerah MAPIM 2011.

Makalah hasil tulisan Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed bersama-sama Noel Tawatao, Neil E.Harper, Chey V Khen, Jeremy B. Searle dan Jane K. Hill ini terkandung di dalam Jurnal Asian Myrmecology Volume 4, 2011 yang diterbitkan oleh Penerbit UMS. Pada ketika ini, Dr. Maryati merupakan Profesor di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, UTHM.

MAPIM adalah singkatan kepada Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia iaitu satu majlis di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) yang menaungi semua penerbit IPTA dan turut dianggotai penerbit-penerbit agensi kerajaan seperti  DBP, INTAN, MPOB dan lain-lain.

Anugerah MAPIM 2012 adalah anugerah edisi kelima sejak dimulakan pada tahun 2007. Selain daripada Anugerah Makalah Jurnal Terbaik, Anugerah ini juga mempertandingkan tiga kategori lain iaitu Anugerah Buku Terbaik, Anugerah Editor Naskhah Terbaik dan Anugerah Buku Terbaik Bukan Terbitan MAPIM. Setiap kategori ini dipecahkan kepada subkategori mengikut bidang iaitu; bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial serta bidang Sains, Teknologi dan Perubatan.

Kriteria penilaian yang tinggi dengan penyertaan dari penerbit-penerbit ilmiah terkemuka telah menjadikan Anugerah MAPIM satu anugerah penerbitan ilmiah yang sangat berprestij di Malaysia pada ketika ini.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. 

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Mohamed Khaled berkata, penulisan dan karya ilmiah menjadi wahana atau alat dalam proses perkembangan ilmu yang menambah pengetahuan, membuka minda, menyuntik kesedaran dan empati dalam kalangan masyarakat.

Katanya lagi “Penerbitan ilmiah dianggap sebagai pemangkin utama kepada pengukuhan tradisi  ilmu, penyebaran dan perkembangannya kepada masyarakat dan Negara”.