
Pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang
Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa
Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara Malaysia. Justeru, 16 Mei telah
dipilih sebagai Hari Guru dan disambut setiap tahun. UTHM turut berbangga
kerana berpeluang merealisasikan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Majlis
sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’
Dr. Mohd Noh Dalimin.
Berucap di hadapan lebih 700
hadirin yang sebahagian daripadanya merupakan pelajar program Diploma
Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Profesor Dato’ Dr Mohd Noh telah mengingatkan
bakal-bakal guru tersebut agar menjadikan keikhlasan bekerja sebagai perkara
utama dalam menunaikan tanggungjawab. Beliau berkata, seseorang guru itu tidak akan
mendapat kepuasan jika menganggap tugas sebagai pendidik hanyalah sebagai satu
kerjaya sama seperti pekerjaan lain.
“Guru zaman sekarang lebih
bertuah berbanding zaman sebelumnya. Pelbagai insentif seperti pemberian elaun,
kenaikan pangkat dan gaji diberi bagi mengiktiraf sumbangan mereka mendidik
anak bangsa. Justeru, gunakanlah kelebihan yang diberi ini untuk bekerja dengan
lebih bersungguh agar kita semua dapat melahirkan insan berguna pada masa
hadapan,” katanya.
Hadir
sama pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan
Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti.
Majlis tersebut turut menyaksikan bacaan ikrar para guru, penyampaian hadiah
kepada para pemenang pertandingan Reka Cipta 2012 dan diserikan dengan beberapa
persembahan kebudayaan oleh para pelajar DPLI.
Sambutan turut dimeriahkan dengan
Festival Reka Cipta 2012 yang diadakan di Dewan Terbuka UTHM. Naib Canselor
beserta Pegawai-Pegawai Kanan universiti turut melawat ruang pameran yang
mempamerkan pelbagai hasil reka cipta para pelajar.
Bermula 9 Mei lagi, pelbagai
aktiviti seperti pertandingan futsal, bola jaring, boling, memasak dan gubahan telah
direka dan dilaksanakan oleh warga FPTV. Semua aktiviti yang diadakan ini
bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama warga.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.