Sunday, June 24, 2012

UTHM lantik ketua masyarakat jadi Felo Kehormat



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melantik 12 orang ketua masyarakat sekitar Parit Raja, Batu Pahat untuk menjadi Felo Kehormat kolej kediaman pada 19 Jun lalu.

Lantikan tersebut dibuat dalam satu majlis pertemuan antara Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dengan pihak pentadbir kolej kediaman.

Dalam majlis tersebut, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim yang mewakili Naib Canselor UTHM telah menyampaikan watikah perlantikan Felo Kehormat kepada 12 orang ketua masyarakat. Ketua masyarakat daripada beberapa buah kampung seperti Kampung Parit Jelutong, Kampung Parit Sempadan, Kampung Parit Samion, Kampung Parit Rasipan, Kampung Parit Bengkok dan Kampung Parit Jambol itu terdiri daripada Ketua Kampung, Imam dan juga Bilal masjid.

Beberapa amanat telah disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Amir Hashim dalam majlis yang menghimpunkan pengetua, felo dan kakitangan pentadbiran kolej kediaman. Beliau dalam ucapannya mengingatkan semua yang hadir agar menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh berdedikasi. Dalam pertemuan itu juga, beliau turut menjelaskan tanggungjawab dan fungsi Felo Kehormat yang telah dilantik.

Antara tanggungjawab mereka ialah untuk membantu pengetua dan felo sedia ada  merapatkan jurang perbezaan di antara pelajar dan masyarakat setempat. Mereka juga akan turut membantu di dalam pemantauan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pelajar tanpa asrama dan turut membantu dalam menguruskan kes-kes kecemasan, kemalangan atau kematian yang melibatkan pelajar UTHM.  

UTHM merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam pertama di Malaysia yang melantik felo dalam kalangan masyarakat luar. Lantikan ini antara usaha UTHM untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat sekaligus menjadikan universiti ini sebagai satu institusi yang prihatin terhadap pelajarnya.

Thursday, June 14, 2012

FKEE terima bangunan baru MiNT-SRC




Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima bangunan baru iaitu Bangunan Pusat Penyelidikan Shamsuddin-Mikroelektronik dan Nanoteknologi (MiNT-SRC) secara rasmi dalam satu Majlis Menandatangani Dokumen Penyerahan Bangunan yang berlangsung pada 14  Jun lalu.

Bangunan yang melibatkan kos hampir 5 juta itu mengambil masa kira-kira setahun empat bulan untuk disiapkan. Dalam usaha ke arah kampus lestari, bangunan terbabit disifatkan sebagai bangunan yang mesra alam. Ini kerana kesemua bilik yang menempatkan makmal-makmal dimuatkan dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang mana lampu ini mampu menjimatkan tenaga elektrik selain mampu membantu mengurangkan pemanasan global. Difahamkan bangunan ini juga merupakan bangunan pertama di UTHM menggunakan lampu sedemikian.

Reka bentuk bangunan tersebut juga unik kerana hampir kesemua bilik dilengkapi cermin lutsinar bersaiz besar untuk membantu membekalkan cahaya sekaligus dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik pada waktu siang hari.

Selain itu, bangunan tersebut juga dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti tandas dan lorong berkerusi roda khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Ruang yang luas di beberapa sudut pula menjadikan bangunan ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Lebih membanggakan, rekabentuk bangunan Makmal Nano Teknologi ini telah direka oleh tenaga pakar dalaman universiti.

Ketua Pusat MiNT-SRC, Jabatan Kejuruteraan Elektronik, FKEE Dr. Nafarizal Nayan berkata bangunan tersebut dilengkapi dengan 16 makmal yang mempunyai pelbagai fungsi. Antara makmal yang tersenarai ialah makmal Surface Science Research, Biosensor Research, Day Processing Research, Transmission Electron Microscope, UV-Visible Light Spectrometer dan Atomic Force Microscopy. Kesemua makmal tersebut dijangka akan mula beroperasi Julai depan.

Dekan FKEE, Profesor Ayob Johari bersama Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Hartabina (PPH), Profesor Madya Dr. Abd. Halid Abdullah bertindak sebagai wakil kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing ketika menandatangani dokumen penyerahan bangunan. Upacara tandatangan dan penyerahan dokumen tersebut turut disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad. Hadir sama beberapa pegawai kanan universiti serta warga kerja FKEE dan PPH.

Tuesday, June 12, 2012

Malam Warisan Bangsa penutup MHS sesi 2012/2013






Minggu Haluan Siswa (MHS) bagi program Diploma sesi 2012/2013 telah melabuhkan tirainya pada Majlis Penutup dan Malam Warisan Bangsa yang berlangsung pada 8 Jun lalu.

Program MHS yang bertemakan “Mahasiswa Dinamis Pelengkap Kepimpinan Bangsa” ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa baru tentang struktur organisasi, pentadbiran dan prasarana universiti. Di samping itu program ini juga untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan corak hidup dan persekitaran universiti.

MHS yang berlangsung pada 3 hingga 8 Jun lalu dimuatkan dengan pelbagai pengisian. Sesi taklimat mengenai PPD, perpustakaan, peraturan akademik, kokurikulum, keselamatan, hal ehwal pelajar, bahasa antarabangsa dan explorace serta sukan rakyat menjadi sebahagian daripada pengisian MHS.

Manakala sesi Bersama Kepimpinan Universiti pula telah menemukan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan pegawai-pegawai kanan universiti dengan semua mahasiswa baru.

Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang terpilih dan mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga tatasusila dan etika sebagai mahasiswa UTHM. Beliau juga menyeru mahasiswa agar berfikir dan bertindak seperti seorang pelajar universiti supaya kredbiliti diri masing-masing tidak dipertikaikan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad mengingatkan mahasiswa baru agar sentiasa menyemai rasa cinta mereka terhadap universiti ini.

Ini kerana UTHM telah menyediakan pelbagai fasiliti seperti kemudahan kolej kediaman,  pengangkutan, perpustakaan, stadium, bank, masjid serta pinjaman PTPTN untuk kemudahan para pelajar di universiti ini. Katanya lagi UTHM, khususnya Pusat Pengajian Diploma (PPD) akan memastikan pendidikan yang sempurna dapat diberikan kepada para pelajarnya.

“UTHM mempunyai tenaga pengajar yang sentiasa bersedia memberi bimbingan, jadi gunakanlah peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin. Jika ingin capai kecemerlangan, singkirkan semua sikap negatif, sambil lewa, malas dan suka bertangguh itu.”

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup dan Malam Warisan Bangsa sempena MHS yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM. Hadir sama Dekan PPD, Profesor Hj. Ab. Aziz Abdul Latiff dan beberapa pegawai kanan universiti.

Malam penuh warna-warni bertemakan gaya P. Ramlee dan Saloma tersebut dimeriahkan dengan beberapa persembahan daripada para pelajar. Kolej Kediaman Tun Syed Nasir telah dinobatkan sebagai juara untuk persembahan pada malam tersebut diikuti dengan Kolej Kediaman Tun Fatimah sebagai naib juara.

UTHM destinasi pertama program Jelajah Cinta Tanpa Sempadan




Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dipilih sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam pertama yang menjadi destinasi kepada Program “Jelajah Cinta Tanpa Sempadan bersama Norlina Alawi” untuk tahun 2012 yang berlangsung pada 6 Jun lalu.

Bagi merealisasikan episod permulaan program Jelajah Cinta Tanpa Sempadan (JCTS) ini, UTHM melalui Kelab Staf KSKUiTTHO telah menjalin usahasama dengan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) bagi menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan ini.

Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai nilai kasih sayang terhadap insan istimewa yang terdiri daripada anak-anak yatim, anak yang menghidap penyakit HIV/AIDS, anak mualaf dan anak yang tidak sah tarafnya.

Ia juga untuk memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan mereka agar masyarakat lebih memahami tentang situasi yang sedang dihadapi. Program ini juga adalah untuk menggalakkan masyarakat menyumbang tenaga, sokongan moral mahupun kewangan dalam usaha membantu golongan ini di samping untuk memperkenalkan kempen “1 keluarga, 1 anak angkat ” yang baru sahaja dilancar sebelum ini.

Profesor Dr. Hashim Saim, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat)
merangkap pengerusi KSKUiTTHO dalam ucapan perasmiannya berkata selari dengan agenda “Community Engagement” yang dilancarkan pada 2010 lalu, UTHM sentiasa bersedia untuk menjayakan aktiviti murni seumpama ini.

Pelbagai aktiviti seperti Program Bakti Siswa, Program Sukarelawan Membantu Mangsa Banjir dan Mobiliti Pelajar Menaiktaraf Kehidupan Masyarakat di Kemboja telah dijalankan sepanjang tahun. Katanya lagi melalui pelaksanaan aktiviti ini, pihak universiti telah memainkan peranannya dalam memberikan khidmat tenaga dan sumbangan kewangan kepada pihak yang memerlukan.

“UTHM akan tetap memastikan usaha seupama ini berjalan secara berterusan dan didokong oleh semua kakitangan dan pelajar,” katanya.

Slot bual bicara “Cinta Tanpa Sempadan” yang menampilkan Pengerusi KBNAB, Puan Hajah Norlina Alawi telah menarik perhatian lebih 500 hadirin. Beliau yang hadir bersama dengan 41 orang kanak-kanak di bawah jagaannya turut berkongsi pengalaman dengan penonton yang hadir.

Turut serta dalam slot tersebut Dr. Hairin Anisa Tajudin, Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Batu Pahat; Haji Mohd Fauzi Haji Bachok, Kadi Daerah Pontian dan Puan Nurulhidayah Ahmad Zahid, Naib Presiden program JCTS. Beberapa persembahan lain seperti tayangan multimedia, deklamasi sajak, nyanyian lagu tema dan lagu-lagu nasyid turut diadakan sepanjang program berlangsung.

Hadir sama Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Encik Abdul Halim Abdul Rahman, wakil masyarakat setempat, guru-guru sekolah dan juga mahasiswa-mahasisiswi UTHM.

710 pelumba basikal lasak sertai UTHM MTB XC Race






Seramai 710 orang peserta dari 8 buah negara telah menyertai pertandingan sukan berbasikal lasak UTHM MTB XC Race 2012 yang berlangsung pada 2 Jun lalu.  

Selain Malaysia, pertandingan ini mendapat penyertaan dari negara Singapura, Australia, Jerman, Belanda, Sweden, Somalia dan Scotland. Perlumbaan sejauh kira-kira 45 kilometer itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Junior.

Seawal jam 8.30 pagi lagi, peserta memulakan kayuhan mereka dari kampus UTHM melalui Parit Jelutong, Parit Karjo, Estet Genting, Bukit Batu (Senggarang), Kg. Rahmat (Batu Pahat), Kg. Baru, Bandar Universiti dan berakhir di UTHM. Upacara pelepasan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly diiringi Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim.

Shahriel Haizat Ahmad Nazali, daripada pasukan Polygon Malaysia telah menjuarai kategori Terbuka Lelaki, diikuti tempat kedua oleh Shahrin Amir daripada pasukan Giant Malaysia dan tempat ketiga Razif Salleh daripada pasukan Recnviro.

Kategori Terbuka Wanita pula dimenangi oleh Nurul Sakinah Abdul Karim daripada Mesra MTB Muar, diikuti Ainurulhuda Rusli daripada pasukan Haro Lian Malaysia dan tempat ketiga oleh Syaza Syahirah Jasni daripada pasukan PRB Cycling.

Sementara itu, Muhammad Emir Shafiq Zainal Abidin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pahang telah menjuarai kategori Lelaki IPT, diikuti tempat kedua oleh Mohd Shahid daripada Universiti Pertahanan Nasinal Malaysia (UPNM) dan tempat ketiga Firdaus Abdul Razak daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Manakala Kategori Junior dimenangi oleh Muhammad Khairul Aniq Mohamad daripada Universiti Industri Selangor (UNISEL), tempat kedua pelumba daripada Iskandar Bike Club dan tempat ketiga oleh Ngo Tian Hui daripada  pasukan Hardcycling.

Masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai dan cenderamata iringan. Acara cabutan bertuah turut diadakan sejurus selesai perlumbaan. Hadiah seperti peralatan basikal berjenama dan barangan elektrik telah diberikan kepada para peserta yang bertuah. Kesemua hadiah tersebut telah disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim.

Program anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama Kelab Berbasikal UTHM ini bertujuan menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan masyarakat disamping mengeratkan lagi hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.


Pengajian Diploma UTHM dapat sambutan menggalakkan


Seramai 518 orang pelajar baru bagi program Diploma sesi 2012/2013 telah mendaftarkan diri masing-masing pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 3 Jun lalu bertempat di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa berikutan permohonan yang diterima sebelum ini melebihi angka 800 orang. UTHM juga telah menawarkan sebanyak 157 tempat lagi kepada para pelajar Program Persediaan Diploma yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di peringkat sijil April lalu. Penawaran tersebut diberi kepada para pelajar yang telah berjaya memenuhi syarat kemasukan seperti yang telah ditetapkan oleh universiti.

Sebagai sebuah universiti berteraskan teknologi dan kejuruteraan, UTHM telah menawarkan sebanyak sembilan kursus iaitu kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Diploma Sains Gunaan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Kesemua kursus ini dijalankan secara sepenuh masa dan tempoh pengajiannya adalah selama dua setengah tahun. Para pelajar program ini perlu menyelesaikan pengajian selama 19 minggu untuk semester satu dan dua, dan lapan minggu untuk semester ketiga.

UTHM amat menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ingin meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti dalam bidang pendidikan seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN). Justeru, pihak universiti sentiasa berusaha menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran dan pada masa yang sama terus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Sunday, June 3, 2012

Timbalan Menteri sempurnakan Seminar Transformasi Profesionalisme Kaunseling zon selatan





Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Hou Kok Chung bagi menyempurnakan Seminar Transformasi Profesionalisme Kaunseling Zon Selatan yang diadakan pada 22 Mei lalu.

Seminar yang telah diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM ini dianjurkan bertujuan bagi menghimpunkan para kaunselor sekolah dan pengamal kaunseling daripada zon selatan untuk berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai profesion kaunseling.

Dato’ Dr. Hou Kok Chung dalam ucapan perasmiannya berkata dengan perkembangan dunia maklumat yang semakin pantas dan gaya hidup masyarakat yang semakin rencam, gejala negatif mudah menular dalam masyarakat. Justeru, peranan kaunselor menjadi lebih penting dalam membantu mereka yang kurang daya tahan diri menghadapi pelbagai cabaran dan permasalahan hidup.

“Menyedari pentingnya peranan kaunselor dalam masyarakat, adalah menjadi kewajiban kepada pengamal kaunseling untuk mempersiapkan diri dengan seberapa banyak ilmu agar tahap profesionalisme masing-masing dapat ditingkatkan,” katanya.

Seminar yang dihadiri oleh kira-kira 500 peserta itu dimulakan dengan ucaptama bertajuk “Kaunselor dan Cabaran Profesionalisme” oleh Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA), Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

Beberapa sesi pembentangan telah diadakan dalam seminar anjuran UTHM dan PERKAMA ini. Pembentangan dimulakan dengan pengenalan kepada PERKAMA iaitu sebuah badan akreditasi yang menjalankan perkhidmatan kaunseling di rantau ini. Tajuk pembentangan “Tiga Dekad Perjuangan PERKAMA untuk Profesion Kaunseling” telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PERKAMA, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Mohd Hussin.

Peserta seminar turut disajikan dengan pembentangan beberapa kertas kerja antaranya bertajuk “Managing Stress Using Our Five Senses” yang disampaikan oleh Cik Hana Halim dari Biosential Malaysia, “Pendekatan Play Theraphy Dalam Membantu Mengenalpasti Personaliti Pelajar” oleh Ku Suhaila Ku Johari dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan “Peranan Pencegahan Berlandaskan Model Risiko dan Pelindung” oleh Dr. Mohd Muzafar Shah Mohd Razali dari Universiti Perguruan Sultan Idris.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Prof. Madya Dr. Asri Selamat serta beberapa pegawai kanan universiti.