Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr.
Hou Kok Chung bagi menyempurnakan Seminar Transformasi Profesionalisme
Kaunseling Zon Selatan yang diadakan pada 22 Mei lalu.
Seminar yang telah diadakan di
Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM ini dianjurkan bertujuan bagi menghimpunkan
para kaunselor sekolah dan pengamal kaunseling daripada zon selatan untuk berkongsi
pandangan dan pengetahuan mengenai profesion kaunseling.
Dato’ Dr. Hou Kok Chung dalam
ucapan perasmiannya berkata dengan perkembangan dunia maklumat yang semakin
pantas dan gaya
hidup masyarakat yang semakin rencam, gejala negatif mudah menular dalam
masyarakat. Justeru, peranan kaunselor menjadi lebih penting dalam membantu
mereka yang kurang daya tahan diri menghadapi pelbagai cabaran dan permasalahan
hidup.
“Menyedari pentingnya peranan
kaunselor dalam masyarakat, adalah menjadi kewajiban kepada pengamal kaunseling
untuk mempersiapkan diri dengan seberapa banyak ilmu agar tahap profesionalisme
masing-masing dapat ditingkatkan,” katanya.
Seminar yang dihadiri oleh
kira-kira 500 peserta itu dimulakan dengan ucaptama bertajuk “Kaunselor dan
Cabaran Profesionalisme” oleh Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa
Malaysia (PERKAMA), Tan Sri Dr. Nordin Kardi.
Beberapa sesi pembentangan telah
diadakan dalam seminar anjuran UTHM dan PERKAMA ini. Pembentangan dimulakan
dengan pengenalan kepada PERKAMA iaitu sebuah badan akreditasi yang menjalankan
perkhidmatan kaunseling di rantau ini. Tajuk pembentangan “Tiga Dekad
Perjuangan PERKAMA untuk Profesion Kaunseling” telah disampaikan oleh Setiausaha
Agung PERKAMA, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Mohd Hussin.
Peserta seminar turut disajikan
dengan pembentangan beberapa kertas kerja antaranya bertajuk “Managing Stress
Using Our Five Senses” yang disampaikan oleh Cik Hana Halim dari Biosential
Malaysia, “Pendekatan Play Theraphy Dalam Membantu Mengenalpasti Personaliti Pelajar”
oleh Ku Suhaila Ku Johari dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan “Peranan
Pencegahan Berlandaskan Model Risiko dan Pelindung” oleh Dr. Mohd Muzafar Shah
Mohd Razali dari Universiti Perguruan Sultan Idris.
Turut hadir Penolong Naib Canselor
(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim,
Dekan Pusat
Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Prof. Madya Dr. Asri
Selamat serta beberapa pegawai kanan universiti.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.