Bersempena bulan Ramadan ini,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang meraikan anak-anak
yatim dan pelajar miskin dalam satu majlis berbuka puasa “Setitis Syahdu Ramadan”
anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 8 Ogos lalu di Masjid UTHM.
Seramai 100 orang pelajar miskin
daripada enam buah sekolah sekitar Parit Raja, Batu Pahat bersama 20 pelajar
yatim UTHM menerima sumbangan wang dan kuih raya dalam majlis tersebut.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr.
Mohd Noh Dalimin dan isteri beliau Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed serta
beberapa pegawai kanan universiti.
“Majlis berbuka puasa seumpama
ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat HEP,malah pada
tahun ini sasaran diluaskan lagi dengan menjalin hubungan mesra antara universiti
dan masyarakat setempat. Program ini turut melibatkan semua pelajar UTHM tanpa
mengira agama, bangsa dan keturunan. Justeru amalan ini diharap dapat
meningkatkan lagi integrasi antara kaum,” katanya.
Beliau turut melahirkan
penghargaan kepada beberapa penaja seperti Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Kelab
Staf UTHM (KSKUiTTHO) dan syarikat Miaow Miaow Food Products Sdn. Bhd. yang telah
memberi sumbangan dalam menjayakan majlis berbuka puasa ini.
Sebelum penyerahan sumbangan
berlangsung, tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam,
Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus untuk menambahkan lagi
keberkatan majlis. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad; Pendaftar, Haji
Sulam Hamid; Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor
Dr. Hashim Saim dan beberapa pegawai kanan UTHM.
Program berbuka puasa “Setitis
Syahdu Ramadhan” ini merupakan program usahasama Pejabat HEP dengan Pusat Islam
dan beberapa pertubuhan dalaman universiti iaitu KSKUiTTHO, Persatuan Pegawai
Tadbir dan Iktisas (PENTAS) serta Kelab Sukarelawan UTHM.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.