Sunday, April 27, 2014

UTHM Raih 7 Pingat dalam iCompEx 2014

Hasil penyelidikan dan inovasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), khususnya daripada Pusat Pengajian Diploma telah berjaya menerima pengiktirafan dan kejayaan di peringkat kebangsaan dalam  “National Innovation And Invention Competition Through Exhibition”(iCompEx 2014) yang berlangsung pada 24 hingga 25 Mac lalu  di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra Kedah. Daripada lapan produk yang dipertandingkan, UTHM telah berjaya meraih empat pingat emas, tiga pingat perak dan satu Anugerah Khas Inovasi (Tempat ke 2) yang turut dimenangi melalui produk Mesin Proses Pengasingan Biji Kekabu.

Majlis perasmian iCompEx 2014 yang berlangsung pada 24 Mac lalu telah disempurnakan oleh wakil rasmi Menteri Besar Kedah; Puan Norsabrina Mohd Nor, Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi. Penganjuran kali ketiga ini telah dibahagikan kepada sembilan kategori dan telah menarik minat hampir 700 penyertaan pelbagai produk daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional, SBP, MRSM, sekolah harian dan beberapa institiusi pendidikan yang lain.
 
Penglibatan UTHM dalam program ini telah membawa impak yang besar kepada para penyelidik dan bidang inovasi kerana pameran ini merupakan platform terbaik bagi mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak industri dalam membantu mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi. Maklum balas yang positif serta hasrat dan minat yang ditunjukkan oleh pihak  industri untuk bekerjasama diharapkan dapat meningkatkan lagi hasil pengkomersilan produk dan penyelidikan di UTHM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kumpulan penyelidik dan inovasi yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam “National Innovation And Invention Competition Through Exhibition”(iCompEx 2014).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.