Saturday, October 17, 2015

Lima Pelajar FKAAS raih anugerah di “IDEERS 2015” Taiwan

ideers1.png 

Lima pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih dua anugerah dalam pertandingan "Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools” (IDEERS 2015) yang telah diadakan di Taiwan National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE) Taipei, Taiwan dari 16 hingga 22 September lalu.

Akhtar Izzaty Riwayat, Muhammad Shafiq Syazwan Zulkarnain, Nur Amira Afiza Saiful Bahari, Nurul Hafizha Ahmad Tarmizi dan Nurul Liyana Ghazali yang diiringi Penyelia, Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Quake Resistance Awards dan Top 15 Awards selain menduduki tempat ke-13 dari 42 penyertaan bagi kategori Undergraduate.

Pertandingan anjuran National Applied Research Laboratories (NARL), the National Centre for Research on Earthquake Engineering (NCREE), dan National Science and Technology Centre for Disaster Reduction (NCDR) diadakan sebagai salah satu agenda bagi memperingati kejadian gempa bumi yang telah melanda Taiwan pada tahun 1999 (Chi-Chi Earthquake).

Ini merupakan pengalaman yang berharga bagi UTHM kerana ia bukan sahaja disertai oleh universiti dan institut pengajian tempatan di Taiwan, malah turut disertai oleh universiti-universiti terkemuka di Asia antaranya National University of Singapore, Tokyo Denki University, University of the Philippines dan Hong Kong University of Science and Technology.

Justeru, keupayaan peserta meletakkan nama UTHM di kedudukan yang membanggakan wajar dijadikan contoh kepada warga universiti yang lain untuk turut sama berusaha membawa nama universiti ke peringkat dunia.

UTHM Bantu Rancang Pembangunan Daerah Kluang

BATU PAHAT: 50 pegawai dari agensi-agensi dan industri Pejabat Daerah Kluang dengan 20 penyelidik pakar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bersama-sama menghadiri Bengkel Potensi Pembangunan Daerah Kluang yang diadakan pada 30 September lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM. 

Bengkel yang telah disempurnakan oleh Encik Abd Hamid Yusof, Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) ini bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang pembangunan daerah Kluang untuk membantu menyusun strategi pembangunan yang lebih mampan dari segi ekonomi dan sosial daerah ini. Ini merupakan salah satu program ‘University Community Engagement’ (UCE) yang dikenalpasti sebagai pusat ‘University Community Transformation Centre’ (UCTC) untuk rujukan setempat dalam memberi khidmat nasihat, perkongsian kemahiran dan sebagai pakar rujuk kepada masyarakat mahupun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Bengkel yang dianjurkan oleh Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kluang, Johor merupakan langkah awal dalam usaha menjadikan Kluang sebuah daerah yang dikenali terutamanya dalam sektor pertanian, eko perlancongan dan pembuatan berasaskan sumber yang digariskan dalam kluster Pelan Strategik Pertumbuhan Negeri Johor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor. Tumpuan adalah melihat sejauh mana penglibatan UTHM dalam menangani isu-isu, permasalahan, pencapaian dan strategi pembangunan yang dibentangkan oleh Pejabat Daerah Kluang sama ada dari segi idea, kepakaran, khidmat nasihat ataupun perundingan.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Profesor Madya Dr. Seow Ta Wee, selaku Ketua Jawatankuasa Gerak Kerja, Encik Muhammad Helmi Ya’kub; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Dr. Nor Azizi Yusoff; Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan selain Ketua-ketua Jabatan, Penghulu-penghulu, Jurutera-jurutera agensi kerajaan dan Pengusaha-pengusaha IKS daerah Kluang.

Sementara itu, majlis penutup bengkel pula telah disempurnakan oleh Tuan Haji Muhammad Fuad Haji Ridzuan, Pegawai Daerah Kluang. Beliau dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTHM kerana memberi komitmen penuh dalam membantu pembangunan daerah Kluang dengan menambahkan kluster alam sekitar dan sukan rekreasi dalam merealisasikan perancangan ekonomi negeri 2014-2023, sekaligus dapat membantu negara meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.


Disediakan oleh ENGR MUHAMMAD SUHAIMI HJ. SULONG

1,500 Mahasiswa sertai IM4U-UTHM Volunteer Malaysia 2015


 im4u.png
 
1500 orang Mahasiswa telah menyertai Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 anjuran bersama IM4U dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Minggu Haluan Siswa Sesi 2015/2016 yang telah diadakan pada 12 September 2015 bertempat di 10 lokasi terpilih di sekitar Parit Raja, Senggarang dan Rengit.

Program tersebut telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 1500 sukarelawan dalam kalangan pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda bidang kejuruteraan dan dijayakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTHM serta Jawatankuasa Pembantu Minggu Haluan Siswa.
 
Penganjuran Volunteer Malaysia tersebut bertujuan untuk memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat di samping memberikan pengalaman dan pendedahan kepada mahasiswa berkaitan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat turut hadir ke program tersebut bagi memberikan sokongan moral kepada semua sukarelawan terlibat. Pelbagai aktiviti kesukarelawan telah dilaksanakan oleh peserta terlibat antaranya seperti kerja-kerja pembersihan bagi pencegahan denggi, pembersihan kawasan perkuburan Islam, masjid, surau dan balai raya terpilih. Di samping itu, para sukarelawan juga turut melakukan kerja-kerja mengecat, melukis mural dan menceriakan lanskap di lokasi terpilih. 

Beberapa agensi kerajaan juga turut terlibat dalam menjayakan program tersebut antaranya ialah Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat dan Jabatan Bomba.
  
Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 ini turut berlangsung serentak lebih daripada 40 lokasi terpilih di seluruh Negara. UTHM berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.

12 pelajar FKEE peroleh sijil Huawei Certified Network Graduate

sijilhuwaei.png

40 pelajar terbaik yang terpilih dari Malaysia Technical University Networking (MTUN) telah menyertai Program Profesional ICT pada 3 Ogos hingga 14 September lalu di Huawei Global Training Centre, Cyberjaya.

Program MTUN dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. turut melibatkan seramai 12 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah disenarai pendek menerusi sesi temuduga dalaman dan pra-ujian.

Pelbagai aktiviti sampingan telah dilaksanakan di hujung minggu sepanjang program berlangsung termasuk Pertandingan Bowling, Walk a Hunt 2015 dan Lawatan ke Genting Highland. Setiap pelajar menerima elaun sebanyak RM750, beserta Huawei T1 Mediapad dan perlu lulus peperiksaan sebelum ditauliahkan dengan sijil profesional dari Huawei. Menariknya, pelajar yang tamat program ini akan diberi jaminan kerja dengan Huawei dan syarikat yang berdaftar.

Setelah menamatkan program tersebut, para peserta akan dianugerahkan dengan Huawei Certified Network Graduate Certification (HCNG) yang menepati kehendak dan keperluan industri ICT di Malaysia di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan MTUN.  

Program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 24 Ogos 2015.

Monday, October 5, 2015

Pusat Waras terima undangan kolaborasi penyelidikan bersama IST


berita.png
Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS) Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima undangan daripada Institute of Space Technology (IST), Islamabad untuk mengadakan kerjasama dalam penganjuran kursus dan perundingan profesional.  
 
Selaras dengan hasrat Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTHM dan Institute of Space Technology, Islamabad pada 30 Ogos 2013, Ketua Pusat WARAS, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof Ismail telah diundang sebagai Penceramah Utama (Keynote Speaker) dalam persidangan antarabangsa 2015 International Conference on Aerospace Science and Engineering (ICASE 2015) yang dianjurkan oleh Institute of Space Technology di Islamabad pada 2 September lalu.

Dalam persidangan yang melibatkan penceramah jemputan daripada  Washington, U.S.A., Melbourne Australia, Italy, Canada, Arab Saudi dan Beijing, China, pelbagai perbincangan bersama telah diadakan bagi melihat potensi kerjasama penyelidikan pelbagai bidang bersama institusi-institusi tersebut.  

Disamping itu dalam program berasingan, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof turut terlibat dalam beberapa siri kursus profesional sebagai penyelidik jemputan dalam bidang teknologi rekabentuk antenna dan komunikasi wayarles melibatkan para penyelidik daripada pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa. 

Dalam pertemuan bersama Naib Canselor IST, Brig. Jen. Prof. Imran Rahman, beberapa pendekatan jangka panjang telah dibincangkan termasuk penglibatan penyelidik IST bagi mengikuti pengajian penyelidikan di peringkat pasca siswazah di UTHM sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan penglibatan kluster pelbagai bidang melibatkan kumpulan penyelidik dari kedua-dua institusi. Pendekatan ini dilihat dapat melonjakkan penyertaan aktif kesemua enam kluster penyelidikan Pusat WARAS untuk terus konsisten menerokai peluang penyelidikan bersama.