Monday, October 5, 2015

UTHM lancar Program Bantuan Makanan Pelajar dan Penyerahan Wang Sara Hidup

bantuanmakananuthm.png

Pejabat Hubungan Masyarakat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Islam dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Bantuan Makanan dan Sumbangan Wang Sara Hidup Pelajar pada 10 September lalu bertempat di Dewan Farabi, Masjid Sultan Ibrahim UTHM.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 220 pelajar mendapat bantuan makanan dan sara hidup sepanjang menuntut di universiti ini. Bantuan ini adalah sebagai pendorong kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik dan juga kokurikulum.

Majlis telah dihadiri oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Mohd Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj. Omar dan pegawai-pegawai Universiti.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak, idea pelaksanaan program ini telah disuarakan oleh Naib Canselor sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap pelajar yang menghadapi masalah kewangan semasa pengajian di UTHM. 

Sementara itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor Cawangan Batu Pahat turut menyampai bantuan wang zakat asnaf fisabililah dan fakir miskin sebanyak RM30,000 kepada Pusat Islam bagi tujuan bantuan sara hidup tersebut.

Pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah bawah RM1,000.00 sebulan telah terpilih untuk menerima bantuan ini. Bantuan kewangan sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan akan diberikan kepada pelajar yang layak pada setiap tahun pengajian. Manakala bantuan makanan pelajar pula diteruskan dari masa kesemasa bergantung kepada dana yang dijanakan oleh pihak Jawatankuasa Program.
Disediakan oleh ABD HAMID BIN YUSOF, Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat, UTHM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.