Saturday, October 17, 2015

1,500 Mahasiswa sertai IM4U-UTHM Volunteer Malaysia 2015


 im4u.png
 
1500 orang Mahasiswa telah menyertai Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 anjuran bersama IM4U dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Minggu Haluan Siswa Sesi 2015/2016 yang telah diadakan pada 12 September 2015 bertempat di 10 lokasi terpilih di sekitar Parit Raja, Senggarang dan Rengit.

Program tersebut telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 1500 sukarelawan dalam kalangan pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda bidang kejuruteraan dan dijayakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTHM serta Jawatankuasa Pembantu Minggu Haluan Siswa.
 
Penganjuran Volunteer Malaysia tersebut bertujuan untuk memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat di samping memberikan pengalaman dan pendedahan kepada mahasiswa berkaitan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat turut hadir ke program tersebut bagi memberikan sokongan moral kepada semua sukarelawan terlibat. Pelbagai aktiviti kesukarelawan telah dilaksanakan oleh peserta terlibat antaranya seperti kerja-kerja pembersihan bagi pencegahan denggi, pembersihan kawasan perkuburan Islam, masjid, surau dan balai raya terpilih. Di samping itu, para sukarelawan juga turut melakukan kerja-kerja mengecat, melukis mural dan menceriakan lanskap di lokasi terpilih. 

Beberapa agensi kerajaan juga turut terlibat dalam menjayakan program tersebut antaranya ialah Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat dan Jabatan Bomba.
  
Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 ini turut berlangsung serentak lebih daripada 40 lokasi terpilih di seluruh Negara. UTHM berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.