Saturday, October 17, 2015

UTHM Bantu Rancang Pembangunan Daerah Kluang

BATU PAHAT: 50 pegawai dari agensi-agensi dan industri Pejabat Daerah Kluang dengan 20 penyelidik pakar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bersama-sama menghadiri Bengkel Potensi Pembangunan Daerah Kluang yang diadakan pada 30 September lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM. 

Bengkel yang telah disempurnakan oleh Encik Abd Hamid Yusof, Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) ini bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang pembangunan daerah Kluang untuk membantu menyusun strategi pembangunan yang lebih mampan dari segi ekonomi dan sosial daerah ini. Ini merupakan salah satu program ‘University Community Engagement’ (UCE) yang dikenalpasti sebagai pusat ‘University Community Transformation Centre’ (UCTC) untuk rujukan setempat dalam memberi khidmat nasihat, perkongsian kemahiran dan sebagai pakar rujuk kepada masyarakat mahupun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Bengkel yang dianjurkan oleh Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kluang, Johor merupakan langkah awal dalam usaha menjadikan Kluang sebuah daerah yang dikenali terutamanya dalam sektor pertanian, eko perlancongan dan pembuatan berasaskan sumber yang digariskan dalam kluster Pelan Strategik Pertumbuhan Negeri Johor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor. Tumpuan adalah melihat sejauh mana penglibatan UTHM dalam menangani isu-isu, permasalahan, pencapaian dan strategi pembangunan yang dibentangkan oleh Pejabat Daerah Kluang sama ada dari segi idea, kepakaran, khidmat nasihat ataupun perundingan.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Profesor Madya Dr. Seow Ta Wee, selaku Ketua Jawatankuasa Gerak Kerja, Encik Muhammad Helmi Ya’kub; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Dr. Nor Azizi Yusoff; Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan selain Ketua-ketua Jabatan, Penghulu-penghulu, Jurutera-jurutera agensi kerajaan dan Pengusaha-pengusaha IKS daerah Kluang.

Sementara itu, majlis penutup bengkel pula telah disempurnakan oleh Tuan Haji Muhammad Fuad Haji Ridzuan, Pegawai Daerah Kluang. Beliau dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTHM kerana memberi komitmen penuh dalam membantu pembangunan daerah Kluang dengan menambahkan kluster alam sekitar dan sukan rekreasi dalam merealisasikan perancangan ekonomi negeri 2014-2023, sekaligus dapat membantu negara meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.


Disediakan oleh ENGR MUHAMMAD SUHAIMI HJ. SULONG

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.