Monday, February 20, 2012

627 daftar diri untuk sesi kemasukan semester 2 2011/2012

Seramai 627 orang pelajar telah mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi sesi kemasukan semester 2 2011/2012 pada 16 Februari lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII).

313 orang daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelajar Program Pensiswazahan Guru manakala 314 lagi terdiri daripada pelajar lepasan Diploma. Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa.

Pendaftaran pelajar pada hari tersebut berjalan lancar dan turut disusuli dengan beberapa sesi taklimat seperti taklimat Perlaksanaan Program dan Taklimat Bahagian Pendidikan Guru.

Sewaktu proses pedaftaran berlangsung, Naib Canselor UTHM; Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa yang hadir.

Manakala sebelah malamnya pula, satu majlis Bersama Naib Canselor telah diadakan di DTII, bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga kerja universiti dan juga para pelajar. Majlis tersebut dihadiri oleh lebih 600 orang pelajar yang baru mendaftarkan diri di UTHM. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Profesor Ir. Dr. Haji Abas Abdul Wahab, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad dan ketua-ketua setiap Pusat Tanggungjawab (PTj).

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Naib Canselor (HEP & Alumni); Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan sesi perkenalan antara pegawai-pegawai utama universiti dan ketua-ketua PTj.

Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniahnya kepada mereka yang telah berjaya menjejakkan kaki ke universiti ini. Beliau dalam ucapannya mengingatkan pelajar agar tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan salah laku yang boleh menjejaskan nama baik universiti dan sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Jangan biarkan diri anda dipengaruhi oleh anasir-anasir yang boleh memudaratkan dan jangan lupa letakkan diri di platform yang betul.Gunakanlah peluang belajar di universiti ini dengan sebaik mungkin, jangan sia-siakan harapan keluarga untuk melihat anda semua berjaya,” kata beliau.

Beliau berharap agar semua pelajar dapat menghabiskan tempoh belajar dalam jangka masa yang sepatutnya dan dapat menggengam segulung ijazah seperti yang diidamkan. Pihak universiti amat mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar baru ini dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin.






Lebih 1000 Warga UTHM berarak sempena sambutan Maulidur Rasul

Lebih 1000 warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun 1433 Hijrah peringkat universiti pada 17 Februari lalu.

Sambutan yang bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” itu dimulakan dengan acara perarakan yang disertai oleh kontinjen daripada setiap Pusat Tanggung Jawab (PTj) universiti, kumpulan pelajar UTHM dan beberapa buah sekolah jemputan sekitar Parit Raja, Batu Pahat. Perarakan lebih satu kilometer itu bermula di Padang Kawad UTHM hingga ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) dan dimeriahkan dengan bacaan selawat ke atas jungjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Sejurus selesai acara perarakan, Naib Canselor UTHM; Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan beberapa Pegawai Kanan universiti tampil ke pentas utama DTII untuk mengalunkan bacaan berzanji dan selawat. Seluruh dewan terdiam seketika mendengar dan menghayati bacaan daripada Naib Canselor diikuti dengan Pendaftar; Encik Sulam Hamid dan Bendahari; Haji Abu Bakar Hussain. Bacaan berzanji dan selawat tersebut juga diiringi oleh kumpulan Kesenian Islam UTHM yang diketuai oleh Hj. Baharudin Yaman @ Abd. Ghani, Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam, Pusat Islam.

Bagi memberkati lagi majlis sambutan Maulidur Rasul tersebut, satu sesi ceramah bertajuk “Keluarga Islam Semakin Rapuh” telah diadakan di DTII. Ceramah yang disampaikan oleh Kadi Besar Negeri Johor itu telah memotivasikan penonton dengan beberapa nasihat dan panduan untuk dijadikan pedoman.

Antara intipati ceramah tersebut adalah mengenai punca-punca runtuhnya sebuah institusi kekeluargaan dan cara bagaimana mengatasinya serta beberapa cadangan untuk membentuk sebuah keluarga yang cemerlang.

Sementara itu, majlis sambutan tersebut juga diselitkan dengan sesi penyerahan wang bantuan zakat daripada beberapa agensi dan syarikat korporat kepada UTHM. Antara yang terlibat ialah Syarikat ETIQA TAKAFUL Berhad, Syarikat Wahba Group Sdn. Bhd., Syarikat i-VCAP Management Sdn. Bhd. dan Lembaga Zakat Selangor.

Seluruh dewan turut dihangatkan dengan pengumuman pertandingan Perarakan Maulidur Rasul 1433 Hijrah peringkat UTHM. Kontinjen Sekolah Kebangsaan Parit Raja telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama sekaligus menerima sejumlah wang beserta piala pusingan. Manakala tempat kedua diraih oleh kontinjen daripada Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan dan dikuti dengan kontinjen daripada Pusat Kokurikulum, UTHM. Masing-masing turut membawa pulang sejumlah wang tunai.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih 1000 orang kakitangan. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Profesor Ir. Dr. Haji Abas Abdul Wahab, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Penolong Naib Canselor (HEP & Alumni); Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, dan beberapa Pegawai Kanan UTHM.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti pada tahun ini merupakan sambutan paling meriah pernah diadakan di UTHM. Sambutan ini bertujuan untuk melahirkan kecintaan umat Islam terhadap Rasullullah s.a.w di samping untuk mengenang kembali perjuangan dan jasa baginda dalam menyebarkan agama Islam.









Profesor Dr. Wahid Razzaly dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTHM

Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Professor Dr.Wahid Razzaly telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) berkuatkuasa mulai 6 Februari 2012. Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi itu adalah untuk tempoh tiga tahun iaitu sehingga 5 Februari 2015.

Pelantikan Dr. Wahid ini adalah bagi mengisi jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dr. Rugayah Mohamed yang telah tamat tempoh lantikannya.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Selangor sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pembangunan Akademik dan bertanggung jawab dalam membangunkan program akademik baharu serta memastikan penjaminan kualiti program-program tersebut. Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Jaminan Kualiti dan diiktiraf sebagai Ketua Audit MS ISO 9000:2001. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam di Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Setelah menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam di University of Swansea, UK, beliau melanjutkan pengajian dalam Ikhtisas Pendidikan Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM). Beliau meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam program Sarjana Kejuruteraan Lebuhraya dan Pengangkutan sebelum meneruskan pengajian di peringkat kedoktoran dalam Pendidikan Kejuruteraan Jarak jauh di The University of Manchester, UK.

Profesor Dr. Wahid mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam pembelajaran dan pengajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam serta Pendidikan Teknik dan Vokasional. Sebelum ke UTHM, beliau telah berkhidmat di Politeknik Ungku Omar, Politeknik Port Dickson dan juga di Bahagian Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti selama 17 tahun sebagai Pensyarah dan juga Timbalan Pengarah. Dr. Wahid juga terlibat dengan konsultasi dan projek penyelidikan dalam pembangunan kurikulum subjek teknikal, outcome-based Education, kelayakan dan standard serta pendidikan kejuruteraan.

Di peringkat pasca ijazah, beliau pernah mangajar kaedah Penyelidikan, Statistik, Pembangunan Kurikulum dan telah menyelia lebih 20 projek penyelidikan tesis di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional (PTV). Beliau juga aktif dalam penyelidikan di dalam dan juga luar Negara dalam bidang PTV, di samping menjadi penilai, editor bagi jurnal pendidikan, pensyarah jemputan dan juga pengucaptama. Di samping pengajaran dan penyelidikan, Profesor Dr. Wahid juga aktif menjadi konsultan terhadap beberapa projek PTV di dalam dan luar Negara, terutamanya dalam pembangunan program akademik PTV, penjaminan kualiti dan standard kelayakan.

Beliau juga membantu menyokong pendidikan negara melalui penglibatannya dalam Malaysian Qualifications Agency (MQA), Jabatan Pengajian Tinggi, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Jabatan Pengajian Politeknik, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau juga telah dijemput sebagai penilai di beberapa persidangan dan jurnal pendidikan serta merupakan ahli aktif UNESCO-UNEVOC. Beliau kini terlibat sebagai Ketua Perunding Utama dalam Projek Pembangunan Latihan Vokasional bagi Negara Jordan yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Dunia.

TAHNIAH diucapkan di atas pelantikan Profesor Wahid Razzaly daripada kami, seluruh warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tuesday, February 14, 2012

Naib Canselor UTHM dilantik Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia


Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia bagi tempoh selama tiga tahun mulai 9 Disember 2011.

Surat Cara perlantikan beliau telah ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980 di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia [Akta 225] ialah sebuah badan berkanun yang beroperasi di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis perasmian penubuhan MPM telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu, iaitu YB Dato' Musa bin Hitam pada 22 April 1980.

Matlamat penubuhan MPM adalah untuk mengelolakan peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan-peperiksaan itu. Selain itu, penubuhan MPM juga bertujuan untuk merealisasikan pengendalian peperiksaan dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya. Hal ini bersesuaian dengan pelaksanaan dasar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dari peringkat pendidikan rendah hingga peringkat pendidikan prauniversiti, iaitu tingkatan enam.

Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh MPM dalam mengendalikan peperiksaan adalah seperti menyediakan peraturan dan skema peperiksaan, mengkaji, mengemaskinikan, dan menggubal sukatan pelajaran peperiksaan, menggubal dan menyediakan kertas soalan dan bahan peperiksaan, menyelaraskan pendaftaran calon peperiksaan serta menyelaraskan pengendalian peperiksaan dan pemarkahan skrip jawapan calon.

Seluruh warga universiti mengucapkan tahniah kepada Profesor Dato’ Dr Mohd Noh Dalimin atas lantikan tersebut dan diharapkan Y. Bhg Dato’ akan memimpin Majlis Peperiksaan Malaysia ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

UTHM tuan rumah Mesyuarat Pemantauan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) KPT


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat Pemantauan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bil. 1/2012 pada 13 Februari lalu, bertempat di Dewan Jemaah, Aras 5, Perpustakaan.

Sebanyak 19 universiti dan satu agensi iaitu Malaysian Qualifications Agency (MQA) telah hadir menyertai mesyuarat tersebut. Manakala seramai 32 orang pegawai yang menguruskan mesyuarat MBJ di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi masing-masing hadir untuk menjayakan mesyuarat itu.

Kedatangan mereka disambut dengan majlis makan malam, sesi bergambar kenangan dan lawatan ke tempat kraftangan, Ayer Hitam dan kilang kerepek sekitar Parit Raja, Batu Pahat.

Sebelum mesyuarat dimulakan, Pendaftar UTHM; Encik Sulam Hamid memberi ucapan mengalu-alukan kedatangan semua wakil daripada IPTA dan agensi yang terbabit.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Pengurusan Sumber Manusia KPT; Encik Md Sani Latip itu telah mengambil masa lebih dua jam. Selain mengesahkan minit mesyuarat yang lalu, mesyuarat turut membentang kertas kerja, membincangkan perkara-perkara berbangkit dan pekeliling-pekeliling baru kerajaan.

Mesyuarat ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan berkenaan bidang tugas masing-masing dan diadakan sekuran-kurangnya tiga kali setahun di mana-mana IPTA mengikut giliran secara sukarela. UTHM berbangga dapat menjadi tuan rumah untuk mesyuarat pada kali ini kerana perhimpunan sebegini secara tidak langsung dapat mempromosikan UTHM dalam kalangan IPTA lain.




Ucapan Amanat 2012 – Naib Canselor seru warga UTHM berbudaya holistik


Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah menyampaikan amanat tahun 2012 kepada warga universiti pada 8 Februari lalu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII).

Amanat yang bertemakan “Berbudaya Holistik dalam Membentuk Pemimpin Masa Depan” telah mengajak warga universiti untuk memahami intipati, halatuju dan perancangan UTHM yang telah direkabentuk dalam perancangan strategik, selari dengan hasrat Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Profesor Dato’ Dr Mohd Noh telah menyentuh beberapa perkara dalam amanatnya. Antara yang disampaikan beliau ialah imbasan dan kupasan Amanat Tahun Baharu 2012 yang sebelumnya disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lepas, perancangan strategik UTHM 2011-2016 dan imbauan beberapa refleksi pencapaian UTHM sepanjang tahun lalu.

Dalam amanatnya, Naib Canselor turut menyatakan beberapa pengharapan beliau kepada UTHM. Beliau menyeru kepada seluruh warga universiti agar sama-sama berusaha meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan dan terus membangunkan budaya kerja secara berkumpulan, bijak menguruskan bakat yang ada dan sentiasa terbuka dalam menerima sebarang rancangan peralihan.

Beliau turut mengingatkan tenaga akademik dan kakitangan sokongan agar sentiasa menyiapkan diri dengan ilmu dan berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran supaya universiti dapat melahirkan graduan yang cemerlang, berkualiti dan bersifat holistik.

“warga UTHM perlu memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan fakulti dan universiti mampu bersaing dalam mendapatkan pelajar paling berbakat, menjadi fakulti paling tersohor dan mendapat geran penyelidikan paling ternama,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor turut memaklumkan pelantikan Profesor Dr. Wahid Razzaly sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang baharu. Beliau yang sebelum ini merupakan Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Profesor Dr. Rugayah Mohamed yang telah tamat tempoh pelantikannya.

Majlis penyampaian amanat yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM itu telah dihadiri oleh lebih 1000 orang kakitangan. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UTHM; Profesor Ir. Dr. Haji Abas Abdul Wahab, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad serta beberapa Pegawai Kanan universiti.

Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada sebahagian warga kerja UTHM yang telah berjaya memberikan komitmen dalam bidang masing-masing demi membantu memantapkan lagi tadbir urus universiti.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Jasa Bakti ketua Projek Agenda Kritikal (CAPs) IPMO, Anugerah Kumpulan Terbaik CAPs IPMO, Anugerah Audit Dalaman Amalan 5s 2010, sijil penghargaan kepada Juruaudit Amalan 5s dan Juruaudit MS ISO 9001:2008 serta penyampaian hadiah kepada pemenang logo dan tagline amalan 5s.

Sementara itu di ruang legar DTII pula turut diadakan pameran poster mengenai Projek Agenda Kritikal (CAPs) yang termaktub di bawah PSPTN bertujuan untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan lagi kefahaman warga universiti terhadap agenda tersebut.





Monday, February 13, 2012

Keputusan Perlawanan Bola Sepak Liga IPT: UTHM melawan UKM

Oleh: Shaid Jaffar
Pusat Sukan UTHM

Pasukan Bola Sepak UTHM gagal memanfaatkan peluang meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri apabila hanya mampu seri 2 - 2 dengan pasukan UKM. Perlawanan sulung pasukan UTHM bermula dengan baik walaupun hanya mampu seri dengan UKM ini kerana pada perlawanan liga 2011 sebelum ini pasukan UTHM tidak pernah menang menentang pasukan UKM yang membabitkan dua perlawanan diperingkat liga dan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Kedudukan diseparuh masa pertama pasukan UKM mendahului 1 - 0 hasil jaringan pemain berjersi No. 9 Mohd Haikal diminit ke 23 namun selang 4 minit pasukan UTHM menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd Shahril Effendi Abd Rahman jersi No.7. Kedudukan pada separuh masa pertama seri satu sama.

Pada separuh masa kedua perlawanan bertambah rancak dengan pasukan UTHM mendominasi perlawanan hasilnya pada minit ke 58 Mohd Shahril Effendi sekali lagi menjaringkan gol membolehkan pasukan UTHM mendahului kedudukan 2 – 1. Kelalaian pertahanan pasukan UTHM yang gagal menghalang penyerang gantian telah membawa padah apabila pasukan UKM berjaya menyamakan kedudukan dua sama hasil jaringan pemain gantian berjersi No.20 Bahrom Putra.

Peluang untuk pasukan UTHM memenangi perlawanan ini telah disia-siakan oleh Mohd Amirul Hafis apabila tendangan hadiah penalti diminit-minit akhir perlawanan melepasi palang gol. Namun pujian harus diberikan kepada pasukan UTHM yang telah bermain dengan begitu baik hasil gandingan pemain baru dan pemain lama yang banyak mendominasi perlawanan sehingga menyebabkan pasukan pelawat gagal untuk memenangi perlawanan ini. Sebanyak 4 kad kuning dikeluarkan pada perlawanan ini 3 untuk UTHM dan 1 untuk UKM.

Perlawanan seterusnya ialah pasukan UTHM akan menentang pasukan Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) di gelanggang sendiri pada 18hb Februari 2012 jam 8.45 malam bertempat di Stadium UTHM. Kepada semua warga UTHM dijemput hadir bagi memberi sokongan penuh kepada pasukan UTHM dan memeriahkan perlawanan ini. Majulah Sukan Negara.

Friday, February 3, 2012

UTHM jalin kerjasama strategik dengan Prasarana

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) pada 30 Januari baru-baru ini bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan kereta api.

Antara usaha sama yang akan dijalankan ialah gunasama fasiliti serta tenaga pakar antara UTHM dan industri rel yang berkaitan serta melaksanakan program akademik, perolehan kemudahan akademik serta penyelidikan dalam bidang teknologi pengangkutan rel secara bersama.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan Pengarah Urusan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar dan disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Encik Sulam Hamid bersama Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Sufri Hj. Mohd Zin. Hadir sama, beberapa pegawai kanan universiti.

Kerjasama strategik ini tepat pada masanya kerana UTHM bakal menawarkan kursus baharu peringkat sarjana dalam kejuruteraan keretapi. Profesor Dato’ Dr Mohd Noh berkata, kursus yang pertama seumpamanya di Malaysia ini akan dilaksanakan dalam tempoh masa selama dua tahun. Ia ditawarkan secara separuh dan sepenuh masa. Menurut beliau, kursus di bawah kendalian Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM ini dijangka akan mula membuat pengambilan mulai September 2012.

Dalam merealisasikan rancangan ini, tenaga pakar UTHM telah pun melaksanakan pelan tindakan yang sangat komprehensif sejak setahun lalu. Antaranya dengan membuat sesi lawatan dan perbincangan dengan agensi kerajaan, syarikat, institut penyelidikan dan universiti berkaitan industri keretapi seperti Sheffield Hallam University, Scomi Engineering, Malaysian Railway Academy (MyRA), Moscow State University for Railway Engineering dan juga beberapa industri pengangkutan rel di Russia.

Sementara itu, Datuk Shahril Mokhtar berkata, usaha sama itu juga memberi peluang kepada kakitangan Prasarana daripada bahagian rel meningkatkan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebanyak lima tempat kosong akan diperuntukkan kepada kakitangan Prasarana yang ingin melanjutkan pelajaran daripada setiap 20 orang pengambilan pelajar kursus tersebut,”katanya. Pihaknya juga akan turut menawarkan pekerjaan kepada pelajar cemerlang UTHM setelah tamat pengajian mereka nanti.

Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) merupakan sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi memudah, melaksana dan mempercepatkan projek infrastruktur yang telah diluluskan oleh kerajaan. Prasarana dan syarikat kumpulannya adalah pemilik dan pengendali kepada beberapa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang antaranya LRT laluan Ampang, LRT laluan Kelana Jaya, sistem monorel KL dan rangkaian bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang serta perkhidmatan kereta kabel di Langkawi.






331 Graduan terima Diploma Eksekutif INSEP 2010

Seramai 180 daripada 331 orang graduan telah hadir untuk menerima Diploma Eksekutif masing-masing semasa berlangsungnya Majlis Penganugerahan Diploma Eksekutif bagi Program Peningkatan Kemahiran Industri (INSEP) 2010 pada 29 Januari baru-baru ini.

Majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu bertujuan meraikan kejayaan pelajar INSEP fasa satu dan dua bagi sesi 2010 yang telah berjaya menamatkan kursus mereka selama tujuh bulan. Para graduan tersebut sebelum ini perlu menyelesaikan pembelajaran selama empat bulan di UTHM dan tiga bulan di industri yang berkaitan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan program tersebut dan beliau berharap agar para graduan dapat menggunakan segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi sepanjang pengajian dengan sebaik mungkin.

Beliau turut mengingatkan siswazah yang hadir agar tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya mereka perlulah sentiasa berusaha mempersiapkan diri dengan seberapa banyak pengalaman dan kemahiran.

Selain penyampaian Anugerah Diploma Eksekutif, majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelajar terbaik INSEP bagi tahun 2010 dan penyampaian anugerah penghargaan kepada beberapa fakulti yang telah banyak menyumbang khidmat kepakaran serta memberi komitmen yang tinggi demi menjayakan program tersebut.

Hadir sama, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Jailani Md. Yunos, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) dan Profesor Madya Dr. Berhannudin Mohd Salleh, Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan (CEC).

Program INSEP merupakan program latihan yang dikhususkan untuk melatih semula para graduan lepasan Diploma atau Ijazah yang masih belum mendapat sebarang pekerjaan dengan menawarkan mereka beberapa kursus yang sangat diperlukan dalam kemahiran industri. Program ini bertujuan menerapkan beberapa kemahiran untuk siswazah menggangur mempersiapkan diri mereka untuk menceburi bidang pekerjaan yang sebenar kelak.

Antara kursus yang ditawarkan ialah Diploma Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Eksekutif Teknologi Pembinaan Bangunan, Diploma Eksekutif Pengurusan Projek Kejuruteraan, Diploma Eksekutif Rangkaian Komputer dan Aplikasi, Diploma Eksekutif Kejuruteraan Elektronik Perubatan dan Diploma Eksekutif Automasi Industri.

Program yang dikendalikan oleh Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), UTHM ini mendapat peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Sepanjang tempoh pengajian, setiap graduan akan menerima elaun sebanyak RM500 sebulan.

Kajian sebelum ini telah membuktikan bahawa 80 peratus peserta program INSEP yang dijalankan di UTHM telah mendapat pekerjaan setelah tamat program. Semoga usahasama antara universiti, industri dan kerajaan ini dapat menyelesaikan masalah lepasan graduan yang menganggur.