Monday, December 19, 2011

Sultan Johor & Menteri KPT lawat Pameran Aeronautik UTHM di LIMA’11


Gerai pameran Aeronautik UTHM di Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition (LIMA'11) baru-baru ini menjadi salah satu ruang yang mendapat sambutan yang paling hangat di sepanjang LIMA pada kali ini.

Lebih membanggakan, pameran Aeronautik UTHM turut dikunjungi lawatan DiRaja apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang juga Canselor UTHM telah berkenan mencemar Duli berkunjung dan mendapatkan gambaran yang lebih dekat berkenaan perkembangan program Aeronautik di UTHM. Baginda turut diberi taklimat ringkas oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA), Professor Ir. Dr. Hj. Abas bin Ab Wahab berkenaan perancangan pembangunan Kampus Tanjung Labuh, Batu Pahat yang bakal menjadi lokasi utama pengajian Aeronautik UTHM di masa akan datang. Baginda turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para pelajar Kejuruteraan Aeronautik UTHM yang turut berada di pameran tersebut. Kunjungan Baginda turut disertai anakanda Baginda iaitu Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor.

Selain daripada itu, ruang pameran UTHM turut dikunjungi Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Khaled Nordin. Selain meninjau bahan pameran, beliau turut diberi taklimat ringkas berkenaan perkembangan pengajian Aeronautik di UTHM.

Pasukan Aeronautik UTHM telah dijemput oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk menyertai pameran KPTM di LIMA’11 pada 6 hingga 10 Disember 2011 yang lalu. Diketuai oleh Profesor Ir. Dr. Hj. Abas bin Ab Wahab selaku Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA), pameran ini turut disertai Dekan FKMP, Profesor Madya Dr. Yusri bin Yusof serta staf JKA.

Pihak FKMP telah mempamerkan tiga program aeronautik yang sedang dan akan dikendalikan oleh UTHM iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Professional Piloting, Aircraft Maintenance dan Air Traffic Control) Dengan Kepujian, model pembangunan Tanjung Labuh, prospek post graduate study, model pesawat terbang dan juga video korporat aeronautik UTHM. Di LIMA’11, aeronautik UTHM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program ijazah berserta lesen profesional dalam bidang-bidang tersebut. Ini menjadikan booth UTHM sasaran pengunjung berbanding dengan booth pameran yang lain di bawah KPTM Pavilion.







Dr. Seow Ta Wee Dilantik Menganggotai Jawatankuasa Pindaan Auku 1971


Tahniah diucapkan kepada Dr Seow Ta Wee, Ketua Jabatan Pengurusan Binaan dan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di atas pelantikan beliau dalam Jawatankuasa Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Beliau merupakan antara 10 anggota yang telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini. Jawatankuasa terbabit dipengerusikan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Ahli-ahlinya adalah terdiri daripada Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Penasihat Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Rohana Yusuf, Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Wan Azman Wan Omar, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian dan Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government, Prof. Madya Dr. Hamidin Abd. Hamid, Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Dr. Azali Mohamed dan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal. Manakala urus setia jawatankuasa ini akan diletakkan di bawah Unit Undang-Unda
ng KPT.

Seluruh warga UTHM mengucapkan syabas dan tahniah di atas perlantikan tersebut.

Majlis Penutup Karnival Sukan UTHM Kali Ke-15 Meriah


Karnival Sukan Pelajar kali ke 15 telah melabuhkan tirain
ya pada 9 Disember 2011 lalu bertempat di Stadium,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Karnival yang bermula pada 29 November hingga 10 Disember ini terbuka kepada semua pelajar yang menuntut di UTHM. Ia bertujuan untuk memberi peluang dan ruang untuk para pelajar mencungkil bakat dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Pembukaan majlis penutupan tersebut dimulakan dengan persembahan silat oleh Kelab Silat Hanafi UTHM. Pengurus Pusat Sukan UTHM, Encik Azli Pudin dalam ucapannya menyatakan karnival ini merupakan platform terbaik untuk mencari calon berbakat dalam bidang sukan bagi mewakili universiti pada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada tahun hadapan.

Menurut beliau seramai 4000 pelajar telah melibatkan diri dalam 22 acara sukan yang telah dipertandingkan sepanjang 15 hari program berlangsung.

Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin. Turut hadir Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Naib Canselor dalam ucapannya menyatakan bahawa karnival seperti ini dapat meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar dan beliau berpendapat dengan bersukan para pelajar dapat merehatkan minda serta dapat menjaga kesihatan dengan baik.

Sementara itu, Profesor Dato' Dr Mohd Noh juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang telah dipertandingkan. Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah khas Sukan kepada beberapa pelajar yang telah menunjukan prestasi cemerlang dalam bidang ini. Seramai tujuh orang pelajar UTHM yang telah mewakili negara dalam acara sukan "rowing" dan silat peringkat antarabangsa menerima anugerah khas tersebut.

Majlis penutup karnival diakhiri dengan persembahan hebat artis muda iaitu Najwa Latif. Dendangan lagu yang bertajuk "Cinta Muka Buku" mendapat sambutan hangat daripada penonton yang hadir.





Kembara Media NBOS (KDN) 2011 Temui Pelajar UTHM Untuk Sebar Maklumat


Walaupun Keselamatan negara dalam keadaan aman dan terkawal, namun masih lagi berlaku kejadian jenayah seperti kecurian, rogol, penipuan dan pembunuhan. Merujuk statistik terkini Kadar Indek Jenayah negeri Johor, Batu Pahat menduduki tempat keempat dalam carta peningkatan kadar jenayah selepas Johor Bahru Utara, Sri Alam Pasir Gudang dan Johor Bahru Selatan.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil inisiatif menganjurkan satu program Kembara Media NBOS (KDN) 2011 untuk mempromosi penurunan kadar jenayah melalui Pelan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama pihak media bermula di Putrajaya, diikuti dengan Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

Menurut Zinitulniza Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat KDN, program kembara ini merupakan usaha KDN dalam menyediakan ruang serta input kepada wartawan untuk melihat secara lebih jelas usaha-usaha yang dibuat oleh KDN dalam menurunkan kadar indek jenayah.

Program kembara ini juga bertujuan untuk menjelaskan isu-isu berbangkit mengenai program-program KDN yang dilaksanakan supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada media dan seterusnya disalurkan kepada rakyat.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dipilih sebagai destinasi singgahan untuk KDN menyampaikan mesej-mesejnya dengan mensasarkan golongan pelajar sebagai agen untuk menyalurkan maklumat.

Program Kembara tersebut telah berlangsung pada 10 Disember 2011 lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM. Kira-kira 500 orang pelajar yang terdiri daripada tiga badan beruniform iaitu pasukan RELA Siswa Siswi (RELASIS), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan Pasukan Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Kor SUKSIS) hadir mengikuti program tersebut.

Program dimulakan dengan taklimat mengenai Penurunan Kadar Jenayah negeri Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad. Antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut ialah tentang statistik terkini kadar jenayah negeri Johor, inisiatif yang diambil untuk mengurangkan kadar jenayah dan pendedahan beberapa kawasan ‘Hot Spot' iaitu lokasi yang mempunyai kadar jenayah paling tinggi.

Program kembara itu juga diisi dengan sesi forum bertajuk "Trend Jenayah di Kalangan Generasi Muda Masa Kini & Inisiatif Mengatasinya." Ahli Panelnya terdiri daripada Mej. Jeneral (RELA) Khairi Mohd Alwee daripada RELA, Mej. (PA) Rohaizat Hadli daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), ACP Din Ahmad daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mej. Baktiar Nor Md Alias daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tuan Haji Izhar Abu Taib daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Forum yang dipengerusikan oleh Encik Hassan Mohamad daripada KDN ini mendapat respon yang baik daripada penonton terutama semasa berlangsungnya sesi soal jawab.

Ketika ditanya mengapa memilih UTHM sebagai destinasi pilihan, Zinitulniza menjelaskan KDN memilih bertemu tiga kumpulan sasar yang mewakili komponen penting dalam masyarakat. Kumpulan Sasar di Muar ialah pemimpin masyarakat manakala di Batu Pahat untuk generasi muda dan di Johor Bahru pula untuk wakil entiti perniagaan.

"Justeru, UTHM adalah entiti terbaik mewakili generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dalam pelbagai kumpulan sosial dan ekonomi negara," tambahnya lagi.




Geofest 2011 Pamer Hasil Penyelidikan Pensyarah dan Penyelidik Muda



Geotechnical Engineering Festival (Geofest 2011) anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 8 Disember lalu telah menghimpunkan tenaga pengajar dan para penyelidik muda untuk sama-sama mempamerkan hasil penyelidikan masing-masing kepada warga universiti.

Program yang bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) UTHM ini telah disertai oleh para pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Awan dan Alam Sekitar. Matlamat utama program tersebut adalah untuk membantu pelajar menguasai subjek yang mereka pelajari dan untuk memberi mereka peluang mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka dalam bidang kejuruteraan geoteknikal ini.

Geofest 2011 bertindak sebagai agen untuk meningkatkan lagi hubungan Universiti-Industri kerana produk-produk terbaik yang dihasilkan melalui program ini mungkin akan dipilih untuk dipaten dan dikomersialkan pada masa akan datang.

Program Geofest 2011 juga bertujuan untuk membantu pensyarah dan penyelidik muda meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang ini. Kira-kira 30 booth pameran yang menonjolkan pelbagai produk dan hasil penyelidikan telah dipamerkan di sekitar ruang legar DTII,UTHM.

Semasa program berlangsung, beberapa slot ceramah berkaitan kejuruteraan geoteknikal telah diadakan khusus untuk para pelajar yang hadir. Antara tajuk ceramah tersebut ialah ‘Slope Engineering' yang disampaikan oleh Dato' Ir Dr. Ashaari Mohammad, Penasihat Cawangan Cerun JKR, Kuala Lumpur dan forum bertajuk ‘Geotechnic Engineering, Research and Innovation' yang disampaikan oleh Puan Rozana Mohd Hazizi, Pengurus Kejuruteraan Geoteknik daripada Petronas Cari Gali dan Encik Hidayat Mohd Yaacob, Ketua Kejuruteraan P2, GeoSains daripada Sapura Crest Petroleum Company.

Majlis penutup Pameran Geofest 2011 ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus Md Hussin. Beliau menyatakan rasa bangganya kerana dapat melihat pelbagai produk yang dihasilkan oleh para pelajar dan berharap agar segala projek tersebut dapat merungkai masalah-masalah yang dihadapi oleh bidang geoteknikal sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap pasukan projek masing-masing. Semoga segala usaha yang dilakukan dapat melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan juga berkemahiran," kata beliau dalam ucapannya. Beliau juga turut berkongsi ilmu tentang kejuruteraan geoteknikal ini melalui slot ceramah yang diadakan sebelum ucaptamanya.

Sementara itu Dekan FKAAS, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Abd. Karim dalam ucapannya berharap program ini dapat melahirkan insan yang lebih kreatif dan berinovasi. Beliau sempat berpesan kepada peserta yang telah melalui proses menyelidik, merancang dan melaksana projek masing-masing agar tidak lupa mengaitkan segala tugasan tersebut dengan apa yang akan dipelajari semasa kuliah nanti.

Bersempena Geofest 2011 ini juga, setiap penyertaan para penyelidik muda turut dipertandingkan. Majlis penutup festival ini menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kepada para penyelidik muda yang telah berjaya menepati kehendak juri. Anugerah tersebut merangkumi tiga kategori iaitu kategori Penyelidikan, kategori Inovasi dan kategori Terbuka.

Naib Canselor UTHM; Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin, pegawai-pegawai kanan universiti serta Dekan-Dekan Fakulti turut hadir ke majlis penutup Geofest 2011 itu.




UTHM Terima Wang Zakat RM20,000 Daripada Bank Islam


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sejumlah RM20,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad dalam satu majlis penyerahan wang zakat bertempat di Perpustakaan, pada 1 Disember 2011 lalu.

Majlis penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengurus Kawasan Bank Islam Wilayah Selatan, Encik Faisal Jaafar kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin.

Menurut Naib Canselor, wang zakat ini akan disalurkan kepada tabung kebajikan pelajar dan akan mengagihkannya kepada golongan pelajar yang kurang berkemampuan bagi membantu perbelanjaan harian mereka.

"Semoga wang sumbangan tersebut dapat membantu pelajar melengkapkan keperluan pembelajaran mereka agar mereka dapat menumpu sepenuh perhatian sepanjang menuntut ilmu di sini," katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Islam atas keprihatinan institusi kewangan tersebut dalam mengagihkan wang zakat kepada pelajar universiti ini.

Sementara itu, Encik Faisal pula berkata Bank Islam sentiasa berusaha menjalin hubungan baik dengan UTHM. Justeru, Institusi kewangan ini juga bercadang untuk mengadakan beberapa aktiviti dan penganjuran secara bersama pada masa akan datang.

"Mudah-mudahan sumbangan wang zakat kepada pelajar UTHM akan dapat diteruskan setiap tahun bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan," tambah Encik Faisal mengakhiri ucapan.


Misi Kemanusiaan Antarabangsa Ke Vietnam Tonjol Keprihatinan UTHM



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Misi Kemanusiaan Antarabangsa (PMKA) yang melibatkan dua buah kampung di Ho Chi Minh City, Vietnam baru baru ini.

Misi ini diketuai Profesor Dr. Jailani Md Yunos, Penolong Naib Canselor Hubungan Industri dan Masyarakat yang juga selaku sebagai penasihat dan wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Turut serta dalam program ini adalah Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus, Pengarah Pusat Islam dan Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM.

Dalam misi ini, lima aktiviti utama telah dilaksanakan iaitu ibadah qurban sempena Hari Raya Aidil Adha 1432H, menyalurkan bantuan kewangan dan pakaian kepada fakir miskin serta pemberian Al-Quran kepada guru agama, mengadakan kelas " English for Fun" kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 12 tahun, rawatan kesihatan dan memberi khidmat kepakaran dalam perusahaan tekstil kepada penduduk yang terlibat. Kesemua program ini dilaksanakan di dua buah kampung iaitu kampung Xuan Hung dan Bihnson yang bermula pada 4-9 November 2011.

UTHM terpanggil untuk membantu masyarakat di sana kerana prihatin dengan kehidupan penduduk yang terlalu daif dan sangat memerlukan. Amat menyedihkan lagi bila melihat purata pendapatan bulanan penduduk di sana amat rendah iaitu sekitar RM50 hingga RM300 sahaja.

Justeru, delegasi yang terlibat telah mengambil inisiatif dengan mengagihkan daging korban daripada 11 ekor lembu kepada 570 keluarga di kedua-dua kampung tersebut. Sumbangan wang dan pakaian telah disampaikan secara terus dari rumah ke rumah penduduk fakir miskin. Manakala sumbangan Al-Quran pula diberi kepada guru-guru agama di kampung yang terlibat.

Sementara itu, pelaksanaan aktiviti "English for Fun" pula telah menarik minat para pelajar di sana untuk mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Seramai 21 orang pelajar dari Pusat Kokurikulum dan Kebudayaan telah menjadi fasilitator dalam aktiviti ini, yang mana lima daripada mereka terdiri daripada ahli kelab PERKIM UTHM.

Sepanjang program ini berlangsung, pelajar-pelajar UTHM ini ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat dan diselia oleh Dr. Mohammad Sukri Mustapa, Ketua Jabatan Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat dan dibantu oleh Encik Mohd Fadel Alwi, Ketua Jabatan Kokurikulum serta Ustaz Kamal Izhar Kamarul Zaman, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam.

Aktiviti program keluarga angkat ini telah mendekatkan lagi pengetahuan dan hubungan pelajar dengan budaya, antropologi dan persepsi masyarakat setempat. UTHM turut berbangga kerana universiti ini merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam yang pertama melakukan misi sebegini di kampung ini.

Aktiviti kesihatan juga mendapat sambutan hangat daripada penduduk terutama dalam kalangan mereka yang telah berumur. Misi ini diketuai oleh En Sarif Amin, Penolong Pegawai Perubatan dan dibantu oleh Puan Azlina Hassan Jururawat, Pusat Kesihatan UTHM.

Seterusnya penyaluran khidmat kepakaran dalam bidang tekstil pula telah diketuai oleh Dr Md Saidin Wahab, Ketua Jabatan Pembuatan dan Industri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM dan dibantu oleh En Mohd Nazrul Roslan, Ketua Makmal Tekstil. Mereka telahpun mengenal pasti beberapa projek yang boleh ditambahbaik untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat setempat.

Hasil daripada misi antarabangsa ini, Profesor Dr. Jailani dalam satu majlis bersama masyarakat setempat menyatakan bahawa UTHM sentiasa komited dalam membantu masyarakat di sana dan universiti ini akan mengaturkan beberapa kursus kemahiran seperti memperbaiki motorsikal, perpaipan dan pendawaian elektrik untuk anak-anak muda. Adalah diharapkan dengan pelaksanaan kursus-kursus tersebut, segala kemahiran yang diperolehi dapat dimanfaatkan bagi membantu meningkatkan lagi taraf bidang sosio- ekonomi di sana.

UTHM merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya pihak syarikat Jackel atas sumbangan Al Quran dan juga pakaian serta pihak PERKIM, Kuala Lumpur yang telah menaja pelajar-pelajar kelab PERKIM. Semoga segala usaha yang dilakukan ini menjadi titik permulaan kepada UTHM untuk terus menabur bakti bagi meneruskan misinya lagi buat kali kedua.





"Youth to Youth 2011" Tingkat Penggunaan Bahasa Inggeris Pelajar


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kolej Yayasan Saad, Melaka telah menganjurkan program "Youth to Youth" pada 25 hingga 26 November 2011 lalu bertempat di sekitar kampus UTHM.

Program ini melibatkan 238 orang pelajar sekitar daerah Batu Pahat dan mereka terdiri daripada pelajar berumur 10 hingga 16 tahun. Program ini telah digerakkan oleh 77 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dari Kolej Yayasan Saad Melaka. Sepanjang program ini berlangsung para peserta dituntut untuk bertutur dan menulis menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

"Youth to Youth 2011" diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan untuk membudayakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Ini kerana bahasa ini juga bertindak sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian kita. Tanpa bahasa, manusia sukar untuk berinteraksi dan secara tidak langsung ia akan mengganggu proses penukaran idea dalam komuniti.Tambahan pula, hari ini dunia telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan.

Matlamat utama program adalah untuk memupuk keyakinan dan kecintaan mereka mengguna dan menguasai bahasa tersebut tanpa terlalu risau dengan kesilapan yang dibuat. Menurut Nadiea Afiqah Abd Hadi, Pengarah program "Youth to Youth 2011" pogram tahunan ini dianjurkan bagi memberi kesedaran serta keyakinan berbahasa Inggeris kepada para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah kawasan luar bandar.

Selain itu program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan kaedah pembelajaran yang pelbagai agar dapat merangsang semangat mereka untuk terus belajar dan tidak hanya bergantung kepada buku teks semata-mata.

Majlis penutup program "Youth to Youth 2011" telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Industri Perladangan dan komoditi. Turut hadir Profesor Dr. Hashim Saim, Dekan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan serta Pegawai-Pegawai Kanan universiti.






Monday, November 28, 2011

Prof. Ir. Mohammad Zainal Hurai Tentang Bagaimana Mengenali Persekitaran Dalam Bangunan


Lebih 80% daripada kehidupan harian kita dihabiskan di dalam bangunan tidak kira sama ada di tempat kerja, sekolah, tempat rekreasi dan juga kediaman masing-masing. Bagaimanapun, hanya sedikit sahaja pengetahuan dan pemahaman kita tentang selok belok persekitaran dalaman yang diduduki. Memastikan persekitaran dalam bangunan berada dalam keadaan baik adalah perlu agar penghuninya akan merasa lebih selesa dan selamat.

Syarahan Perdana Siri 8/2011 kali ini menyaksikan Profesor Ir. Mohammad Zainal Md Yusof daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menyampaikan syarahan bertajuk "Getting to Know Our Buildings Better: Ventilation, Thermal Comfort, Air Freshness, Indoor Air Quality (IAQ), Sick Building Syndrome (SBS).

Syarahan yang berlangsung pada 24 November bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membincangkan tentang unsur-unsur persekitaran dalaman yang sihat, pandangan dan kajian tentang keperluan manusia ketika berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran dalaman dan bagaimana untuk menguruskan persekitaran dalaman dengan baik.

Di awal syarahan, Profesor Ir. Mohammad Zainal telah menghuraikan beberapa istilah yang berkait rapat dengan bangunan iaitu tentang ventilasi, keselesaan terma, kualiti udara dalam bangunan (IAQ), jumlah udara, kesegaran dan bau, penyakit berkaitan bangunan (BRI) dan sindrom bangunan tidak sihat (SBS).

Profesor Ir. Mohammad Zainal yang telah menceburi dunia akademia selama 35 tahun ini turut membincangkan tentang piawaian dan peraturan yang berkaitan dengan kualiti persekitaran dalam bangunan (IEQ), kaedah penyelidikan mengenai kualiti udara dalam bangunan (IAQ) dan juga turut menyentuh kajian-kajian yang telah dan sedang dilakukan oleh UTHM mengenai persekitaran dalaman dan industri.

Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM turut memberi ulasan tentang syarahan tersebut di akhir majlis. Beliau berharap dengan penerangan tentang isu-isu IAQ dan IEQ itu dapat membantu warga universiti agar lebih peka untuk menambahbaik persekitaran dalaman masing-masing. Beliau berpandangan bahawa persekitaran dalaman yang baik dapat membantu meningkatkan lagi prestasi kerja dan juga proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Di akhir ulasan, beliau menyeru kepada warga universiti agar turut sama membantu dalam sebarang bentuk penyelidikan yang dijalankan oleh UTHM agar universiti ini boleh menjadi universiti contoh kepada negara.

Ahli Senat UTHM, Dekan-Dekan Fakulti dan para penonton yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan universiti hadir ke majlis tersebut.








UTHM Jadi IPT Pertama Tubuh Briged RELASIS


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan oleh Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA untuk menjadi model kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara sebagai peneraju pasukan RELA Siswa Siswi (RELASIS) Institut Pengajian Tinggi.

Untuk tujuan tersebut, UTHM dengan kerjasama RELA Malaysia telah berjaya mereka bentuk dan menyediakan satu buku iaitu "Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) IPT." Buku ini akan menjadi panduan kepada semua IPT di negara ini dalam melaksanakan penubuhan RELASIS di IPT masing-masing.

Dengan terhasilnya buku panduan tersebut, maka satu majlis Pelancaran Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) dan Penganugerahan Pangkat Kehormat RELA UTHM kepada 23 orang pegawai telah diadakan bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM pada 20 November lalu.

Buku panduan ini telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam majlis Penganugerahan Pangkat Pegawai Kehormat RELA UTHM.

Beliau dalam ucapannya menyeru setiap golongan belia agar membuka minda mereka untuk turut sama menjadi anggota mana-mana badan beruniform bagi membangkitkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mempertahankan negara.

"Ikatan Relawan Rakyat (RELA) adalah salah satunya, dengan menyertai badan beruniform ini, golongan belia yang terdiri daripada kepelbagaian majmuk ini dapat diikat menjadi satu kumpulan yang kuat demi kestabilan negara," katanya sewaktu merasmikan majlis pelancaran tersebut.

UTHM melalui Pusat Kokurikulum sebelum ini telah sedia menubuh dan mengiktiraf pasukan RELASIS dan ia merupakan salah satu aktiviti daripada 90 kursus berbentuk akademik dalam ko-kurikulum bagi teras Kesukarelawanan dengan membawa pemberat sebanyak 6 kredit.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, walaupun penubuhan RELASIS masih di peringkat awal, namun jumlah pelajar yang berminat menyertainya sangatlah membanggakan. Setakat ini RELASIS UTHM mempunyai seramai 344 anggota dan jumlah pengambilan tersebut akan bertambah lagi selaras dengan pertambahan pelajar dari masa ke semasa.

Walaupun RELASIS dianggotai oleh pelajar-pelajar universiti, UTHM juga telah melantik seramai 23 orang yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik sebagai Pegawai Kehormat RELA Universiti. Pegawai-pegawai tersebut bertindak sebagai mentor kepada sebarang aktiviti yang akan dijalankan oleh RELASIS.

Naib Canselor mewakili seluruh warga UTHM berharap dengan menyertai pasukan beruniform seperti ini akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai disiplin yang tinggi, bertanggungjawab terhadap keselamatan dan juga keamanan negara selain mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.




UTHM Jalin Kerjasama Strategik Dengan Tiga Rakan Industri

Dalam memastikan kualiti dan hala tuju pengajaran dan penyelidikan Universiti sentiasa relevan dengan keperluan industri, tiga lagi memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan rakan-rakan industri iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. pada 18 November 2011 yang lalu.

Ketiga-tiga MOU ini adalah untuk menggalakkan kerjasama akademik melalui pendidikan dan penyelidikan khususnya dalam beberapa bidang yang telah disenaraikan.

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan KTMB bertujuan untuk menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi Kejuruteraan Kereta Api.

Antara bidang kerjasama yang dirancang ialah kerjasama dalam membangunkan Program Sarjana Muda dan Program Sarjana untuk program Kejuruteraan Kereta Api dan juga kerjasama dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang yang sama. Naib Canselor dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin bin Adnan telah menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Haji Sulam Hamid bersama Pengurus Besar syarikat tersebut iaitu Cik Azshidah Shah Shahari.

Manakala Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) pula telah menandatangani dua MOU iaitu dengan Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. Tandatangan memorandum tersebut melibatkan Naib Canselor dengan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Col (R) Profesor Dato' Husin Haji Jazri dan Ketua Pegawai Eksekutif MysysNet Sdn Bhd, Encik Hud Md Ali.

FSKTM dan Cybersecurity Malaysia akan bekerjasama dalam bidang Keselamatan Siber dan antara program kerjasama yang dirancang ialah program penempatan latihan industri bagi pelajar, program sangkutan staf akademik dan kerjasama dalam bidang penyelidikan.

Sementara itu, FSKTM juga menandatangani perjanjian dengan Mysysnet Sdn Bhd dalam bidang pembangunan sistem di peringkat industri. Bidang kerjasama yang dirancang adalah seperti program penempatan latihan industri bagi pelajar dan kerjasama dalam pembangunan sistem aplikasi dan penyelidikan.

Turut hadir, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz bin Dato Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos,
Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), pegawai-pegawai kanan serta kakitangan universiti.




.

Seminar Motivasi Tingkat Prestasi Staf

Dalam usaha meningkatkan lagi prestasi kerja kakitangn, pejabat Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu lagi seminar iaitu Seminar Motivasi Staf yang bertajuk "Kerja Sebagai Suatu Ibadah" pada 16 November lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Seminar tersebut diadakan bagi membantu kakitangan universiti meningkatkan prestasi kerja tahunan.

Kaunselor berdaftar merangkap pakar motivasi, CR. Haji Hushim Haji Salleh telah dijemput untuk menjayakan seminar tersebut. Walaupun tajuk yang dipilih menjurus kepada keilmuan, gelagat dan cara penyampaian beliau membuatkan para penonton begitu tertarik untuk terus mendengar ceramah tersebut sehingga selesai. Seminar yang mengambil masa 4 jam itu turut diselitkan dengan beberapa aktiviti bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama peserta.

Antara perkara yang disentuh dalam seminar tersebut adalah tentang pengurusan masa semasa bekerja, bagaimana menjadi pekerja cemerlang dan cara memotivasikan diri dalam menghadapi kerja yang diamanahkan.

Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim,yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), pegawai-pegawai kanan dan kira-kira 500 kakitangan universiti hadir ke seminar tersebut.

Laman Web UTHM Terima Pengiktirafan 5 Bintang oleh MDeC

Laman Web Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat kejayaan membanggakan apabila diiktiraf status lima bintang oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) dalam laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Tahun 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam laporan tersebut, MDeC telah melaksanakan penilaian terhadap 1155 laman web dan portal kerajaan dengan memfokuskan elemen seperti kandungan, kebolehgunaan, keselamatan, penyertaan dan perkhidmatan.

Di peringkat agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pula, laman web UTHM berada di dalam kelompok 10 teratas. Kategori ini merangkumi 80 laman web universiti awam dan swasta, kolej komuniti serta politeknik di seluruh negara.

ncNaib Canselor UTHM, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dalam satu kenyataan berkenaan perkara ini menyatakan "Penarafan tertinggi yang diberikan oleh MDeC kepada laman web UTHM ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha gigih dan berterusan UTHM dalam memudah cara segala urusan dan tadbir urus Universiti melalui kemudahan ICT khususnya secara online"

"Kami yakin melalui laman web yang cekap dan efisien, sistem penyampaian Universiti akan dapat dipertingkatkan dan sekaligus membina satu imej yang baik terhadap organisasi. Tambahan pula UTHM sebagai sebuah universiti premier dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, kita akan menggunakan segala kepakaran yang dimiliki oleh warga Universiti dalam memastikan sebarang urusan pengurusan dan pentadbiran Universiti dapat dilaksanakan dengan cekap pada bila-bila masa." katanya lagi

Laman web UTHM mempunyai ciri-ciri mesra pengguna yang amat tinggi. Para pengguna yang terdiri daripada kelompok pelajar, pentadbir, ibu bapa mahupun pelanggan luar akan memperoleh maklumat yang berkaitan kepentingan masing-masing secara mudah dan cepat.

Pada ketika ini laman web UTHM amat membantu warga kerjanya mencapai segala maklumat berkaitan rekod peribadi secara menyeluruh seperti rekod cuti, latihan dan kursus, penerbitan dan penyelidikan dan sebagainya melalui satu sistem yang dikenali sebagai Total Campus Integrated System (TCIS).

Manakala bagi pelajar, Sistem Maklumat Akademik Pelajar (SMAP) pula amat membantu dalam melicinkan urusan rekod akademik, pengajaran dan pembelajaran mereka serta memudahkan interaksi bersama penyelia masing-masing.

Laman web UTHM juga diperhebatkan dengan pelbagai kandungan audio visual menarik yang disalurkan oleh University Campus Interactive TV (UCiTV) yang memaparkan pelbagai rakaman video aktiviti akademik dan program-program anjuran Universiti. Kemampuan yang dimiliki oleh UCiTV ini juga membolehkan pelayar laman web dari seluruh dunia menyaksikan acara-acara utama UTHM secara langsung melalui laman web UTHM yang beralamat www.uthm.edu.my.

Majlis Makan Malam Rejimental 2011 Rai Pegawai Kadet PALAPES UTHM


Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis makan malam sempena meraikan pegawai- pegawai muda kadet PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baru saja ditauliahkan pada Julai lalu.

Majlis makan malam yang berlangsung pada 11 November di Pulai Spring Resort, Johor Bahru itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu merdu dengan iringan muzik daripada kumpulan Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Manakala para tetamunya pula disajikan dengan beberapa hidangan yang cukup menyelerakan.

Naib Canselor, Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih di atas kesudian Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail untuk turut sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada 49 orang pegawai kadet PALAPES UTHM yang baru saja ditauliahkan pada 9 Julai lalu dalam majlis penuh istiadat iaitu Majlis Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-30 yang bertempat di kampus utama UTHM, Parit Raja Batu Pahat.

Naib Canselor dalam ucapannya juga turut mengingatkan pegawai-pegawai muda tersebut agar tidak lupa menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan penuh jujur dan amanah.

Majlis turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai kanan universiti serta wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).






Ibadah Korban Serikan Sambutan Aidiladha Di UTHM


Ibadah korban merupakan satu ibadah amaliah iaitu menyembelih haiwan ternak pada pada hari nahar (Qurban) dan hari-hari Tasyrik dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama melakukan ibadah ini dengan mengorbankan tujuh ekor lembu sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Islam itu telah berlangsung pada 8 November di perkarangan masjid UTHM. Enam daripada tujuh ekor lembu tersebut disumbang oleh kakitangan universiti manakala seekor lagi daripada Koperasi UTHM Berhad.

Setiap pusat tanggungjawab (PTj) UTHM telah menghantar wakil masing-masing bagi membantu mengagihkan daging-daging korban tersebut kepada warga universiti.

Selain melaksanakan ibadah korban di dalam kampus, warga UTHM juga melakukan ibadah korban di Vietnam dengan menumbangkan 11 ekor lembu.

Kesemua daging korban tersebut diagihkan kepada penduduk miskin di dua buah kampung yang terletak kira-kira 160 kilometer dari ibu kota Ho Chi Minh.

UTHM telah menjadikan ibadah korban ini pada setiap tahun sebagai satu program tahunan untuk diraikan.


Wednesday, November 2, 2011

2400 Sertai Perarakan “Town & Gown” Sempena Majlis Konvokesyen ke 11 UTHM



Hujan lebat kira-kira satu jam sebelum acara bermula tidak sedikitpun menjejaskan semangat 2400 peserta perarakan ala “Town & Gown” sempena konvokesyen Ke-11 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di jalan-jalan utama, bandar Batu Pahat pada 22 Oktober 2011 lalu.

Acara yang bertujuan untuk memberitahu seluruh penduduk di daerah batu pahat akan penganjuran konvokesyen kali Ke-11 ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Perarakan ini merupakan amalan beberapa universiti terkemuka luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charless Stuart, Universiti St Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor, sejak beberapa dekad lalu. Acara ini menjadikan UTHM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di semenanjung mengadakan perarakan seperti ini.

Acara perarakan yang bermula dari Jalan Rahmat hingga ke Stadium Batu Pahat ini adalah antara pendekatan UTHM untuk merakyatkan majlis konvokesyen ini dan sebagai satu simbolik hubungan erat antara warga UTHM dengan penduduk selaras dengan tema perarakan, Inovasi-Rakan Universiti-Komuniti.

Terdapat juga acara sampingan seperti acara konvoi Berbasikal dari Kampus UTHM ke stadium Batu Pahat bermula seawal jam 9 pagi. Kira-kira 300 orang individu dari pelbagai kelab basikal telah menyertai acara kayuhan tersebut. Sementara itu pada jam 11 pagi, para pengunjung hadir untuk menyaksikan Pertandingan Auto Show yang disertai oleh penggemar kereta tempatan iaitu kereta Proton dan Perodua. Program tersebut juga disusuli dengan konvoi motor besar yang bergerak dari UTHM ke stadium.

Daripada 2400 peserta yang terlibat, 1880 adalah terdiri daripada pelajar UTHM manakala selebihnya adalah para pegawai dan ahli akademik UTHM serta wakil dari beberapa agensi jemputan.

Antara agensi jemputan yang turut serta dalam perarakan ini adalah penyertaan daripada kumpulan pancaragam RELA dan pancaragam Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, kumpulan drumline Sekolah Menengah Sains Bandar Penawar, Sekolah Menengah Paduka Tuan, Segamat dan juga Kumpulan Silat PESAKA daerah Batu Pahat.

Kemuncak perarakan tersebut adalah upacara pembacaan pengistiharan konvokesyen oleh Pendaftar UTHM dan Skrol Konvokesyen tersebut turut diserahkan kepada Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi sebagai tanda simbolik hubungan erat antara universiti dan penduduk Batu Pahat.