Monday, December 19, 2011

Misi Kemanusiaan Antarabangsa Ke Vietnam Tonjol Keprihatinan UTHM



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Misi Kemanusiaan Antarabangsa (PMKA) yang melibatkan dua buah kampung di Ho Chi Minh City, Vietnam baru baru ini.

Misi ini diketuai Profesor Dr. Jailani Md Yunos, Penolong Naib Canselor Hubungan Industri dan Masyarakat yang juga selaku sebagai penasihat dan wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Turut serta dalam program ini adalah Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus, Pengarah Pusat Islam dan Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd. Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTHM.

Dalam misi ini, lima aktiviti utama telah dilaksanakan iaitu ibadah qurban sempena Hari Raya Aidil Adha 1432H, menyalurkan bantuan kewangan dan pakaian kepada fakir miskin serta pemberian Al-Quran kepada guru agama, mengadakan kelas " English for Fun" kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 12 tahun, rawatan kesihatan dan memberi khidmat kepakaran dalam perusahaan tekstil kepada penduduk yang terlibat. Kesemua program ini dilaksanakan di dua buah kampung iaitu kampung Xuan Hung dan Bihnson yang bermula pada 4-9 November 2011.

UTHM terpanggil untuk membantu masyarakat di sana kerana prihatin dengan kehidupan penduduk yang terlalu daif dan sangat memerlukan. Amat menyedihkan lagi bila melihat purata pendapatan bulanan penduduk di sana amat rendah iaitu sekitar RM50 hingga RM300 sahaja.

Justeru, delegasi yang terlibat telah mengambil inisiatif dengan mengagihkan daging korban daripada 11 ekor lembu kepada 570 keluarga di kedua-dua kampung tersebut. Sumbangan wang dan pakaian telah disampaikan secara terus dari rumah ke rumah penduduk fakir miskin. Manakala sumbangan Al-Quran pula diberi kepada guru-guru agama di kampung yang terlibat.

Sementara itu, pelaksanaan aktiviti "English for Fun" pula telah menarik minat para pelajar di sana untuk mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Seramai 21 orang pelajar dari Pusat Kokurikulum dan Kebudayaan telah menjadi fasilitator dalam aktiviti ini, yang mana lima daripada mereka terdiri daripada ahli kelab PERKIM UTHM.

Sepanjang program ini berlangsung, pelajar-pelajar UTHM ini ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat dan diselia oleh Dr. Mohammad Sukri Mustapa, Ketua Jabatan Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat dan dibantu oleh Encik Mohd Fadel Alwi, Ketua Jabatan Kokurikulum serta Ustaz Kamal Izhar Kamarul Zaman, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam.

Aktiviti program keluarga angkat ini telah mendekatkan lagi pengetahuan dan hubungan pelajar dengan budaya, antropologi dan persepsi masyarakat setempat. UTHM turut berbangga kerana universiti ini merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam yang pertama melakukan misi sebegini di kampung ini.

Aktiviti kesihatan juga mendapat sambutan hangat daripada penduduk terutama dalam kalangan mereka yang telah berumur. Misi ini diketuai oleh En Sarif Amin, Penolong Pegawai Perubatan dan dibantu oleh Puan Azlina Hassan Jururawat, Pusat Kesihatan UTHM.

Seterusnya penyaluran khidmat kepakaran dalam bidang tekstil pula telah diketuai oleh Dr Md Saidin Wahab, Ketua Jabatan Pembuatan dan Industri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM dan dibantu oleh En Mohd Nazrul Roslan, Ketua Makmal Tekstil. Mereka telahpun mengenal pasti beberapa projek yang boleh ditambahbaik untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat setempat.

Hasil daripada misi antarabangsa ini, Profesor Dr. Jailani dalam satu majlis bersama masyarakat setempat menyatakan bahawa UTHM sentiasa komited dalam membantu masyarakat di sana dan universiti ini akan mengaturkan beberapa kursus kemahiran seperti memperbaiki motorsikal, perpaipan dan pendawaian elektrik untuk anak-anak muda. Adalah diharapkan dengan pelaksanaan kursus-kursus tersebut, segala kemahiran yang diperolehi dapat dimanfaatkan bagi membantu meningkatkan lagi taraf bidang sosio- ekonomi di sana.

UTHM merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya pihak syarikat Jackel atas sumbangan Al Quran dan juga pakaian serta pihak PERKIM, Kuala Lumpur yang telah menaja pelajar-pelajar kelab PERKIM. Semoga segala usaha yang dilakukan ini menjadi titik permulaan kepada UTHM untuk terus menabur bakti bagi meneruskan misinya lagi buat kali kedua.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.