Monday, December 19, 2011

Majlis Penutup Karnival Sukan UTHM Kali Ke-15 Meriah


Karnival Sukan Pelajar kali ke 15 telah melabuhkan tirain
ya pada 9 Disember 2011 lalu bertempat di Stadium,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Karnival yang bermula pada 29 November hingga 10 Disember ini terbuka kepada semua pelajar yang menuntut di UTHM. Ia bertujuan untuk memberi peluang dan ruang untuk para pelajar mencungkil bakat dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Pembukaan majlis penutupan tersebut dimulakan dengan persembahan silat oleh Kelab Silat Hanafi UTHM. Pengurus Pusat Sukan UTHM, Encik Azli Pudin dalam ucapannya menyatakan karnival ini merupakan platform terbaik untuk mencari calon berbakat dalam bidang sukan bagi mewakili universiti pada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada tahun hadapan.

Menurut beliau seramai 4000 pelajar telah melibatkan diri dalam 22 acara sukan yang telah dipertandingkan sepanjang 15 hari program berlangsung.

Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin. Turut hadir Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Naib Canselor dalam ucapannya menyatakan bahawa karnival seperti ini dapat meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar dan beliau berpendapat dengan bersukan para pelajar dapat merehatkan minda serta dapat menjaga kesihatan dengan baik.

Sementara itu, Profesor Dato' Dr Mohd Noh juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang telah dipertandingkan. Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah khas Sukan kepada beberapa pelajar yang telah menunjukan prestasi cemerlang dalam bidang ini. Seramai tujuh orang pelajar UTHM yang telah mewakili negara dalam acara sukan "rowing" dan silat peringkat antarabangsa menerima anugerah khas tersebut.

Majlis penutup karnival diakhiri dengan persembahan hebat artis muda iaitu Najwa Latif. Dendangan lagu yang bertajuk "Cinta Muka Buku" mendapat sambutan hangat daripada penonton yang hadir.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.