Monday, December 19, 2011

UTHM Terima Wang Zakat RM20,000 Daripada Bank Islam


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sejumlah RM20,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad dalam satu majlis penyerahan wang zakat bertempat di Perpustakaan, pada 1 Disember 2011 lalu.

Majlis penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengurus Kawasan Bank Islam Wilayah Selatan, Encik Faisal Jaafar kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin.

Menurut Naib Canselor, wang zakat ini akan disalurkan kepada tabung kebajikan pelajar dan akan mengagihkannya kepada golongan pelajar yang kurang berkemampuan bagi membantu perbelanjaan harian mereka.

"Semoga wang sumbangan tersebut dapat membantu pelajar melengkapkan keperluan pembelajaran mereka agar mereka dapat menumpu sepenuh perhatian sepanjang menuntut ilmu di sini," katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Islam atas keprihatinan institusi kewangan tersebut dalam mengagihkan wang zakat kepada pelajar universiti ini.

Sementara itu, Encik Faisal pula berkata Bank Islam sentiasa berusaha menjalin hubungan baik dengan UTHM. Justeru, Institusi kewangan ini juga bercadang untuk mengadakan beberapa aktiviti dan penganjuran secara bersama pada masa akan datang.

"Mudah-mudahan sumbangan wang zakat kepada pelajar UTHM akan dapat diteruskan setiap tahun bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan," tambah Encik Faisal mengakhiri ucapan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.