Sunday, May 25, 2014

Program Khidmat Masyarakat Semarak Semangat Sukarela Pelajar RELASIS UTHM

Batu Pahat, 20 Mei – Seramai 50 pelajar Briged RELA Siswa Siswa (RELASIS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mempamerkan semangat kesukarelawan mereka dengan menyertai Program Khidmat Masyarakat yang diadakan di Kampung Parit Jelutong, Batu Pahat baru-baru ini.

Program yang melibatkan aktiviti gotong royong membersihkan tanah perkuburan, balai raya, jalan-jalan kampung, surau serta masjid ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk kampung tersebut.

Ketua Kampung, Encik Zaihat Saiman berkata penduduknya sangat berbesar hati menerima kehadiran sekumpulan pelajar tersebut dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. 

“Saya lihat aktiviti seperti ini sememangnya memberi banyak kebaikan. Semangat sukarelawan atau tolong-menolong dalam kalangan anak muda ini bukan hanya mampu meringankan kesusahan golongan yang memerlukan, tetapi juga membantu mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat setempat,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya sentiasa mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini dan turut mengkagumi usaha UTHM dalam memberi pendedahan dan 

Program Khidmat Masyarakat anjuran Pusat Kokurikulum UTHM ini merupakan sebahagian daripada syarat lulus pelajar bagi Kursus RELASIS yang bertujuan memupuk semangat insaniah dalam diri mereka.

Kursus ini merangkumi pelbagai elemen bertujuan menonjolkan aktiviti yang melibatkan masyarakat dan untuk menarik minat golongan muda menyertai bidang kesukarelawan seterusnya mengukuhkan lagi sahsiah dan jati diri dalam diri masing-masing. 



Monday, May 19, 2014

UTHM universiti pertama sertai MYCarbon

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam memantau dan mengurangkan kadar penghasilan gas rumah hijau negara sepertimana yang diwartakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu di United Nations Climate Change Conference 2009, Copenhagen, Denmark. 

Komitmen dan sokongan ini dibuktikan dengan penglibatan UTHM melalui Pusat Kajian Tenaga dan Persekitaran Industri (CEIES) dalam MYCarbon Pilot Reporting Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, yang bermula sejak awal tahun 2014.

Program MyCarbon ini mengambarkan kesungguhan Malaysia untuk bersama-sama masyarakat dunia dalam usaha menangani isu pemanasan global yang menjadi punca perubahan drastik cuaca dunia beberapa tahun kebelakangan ini. 

MYCarbon merupakan program yang pertama seumpamanya di Malaysia dan UTHM merupakan institusi pendidikan pertama di Malaysia yang melibatkan diri dalam program ini. Melalui program ini, UTHM akan mengisytiharkan jumlah pembebasan gas rumah hijau dalam unit “tons of CO2 equivalent” setahun yang terhasil di peringkat organisasi secara langsung dan tidak langsung. 

Jumlah karbon dioksida yang diisytiharkan tersebut meliputi penggunaan semua bahan api petrol dan diesel, penggunaan tenaga elektrik, dan pengunaan sumber-sumber lain sepanjang operasi UTHM bagi tahun yang berkenaan. Selain itu, pengisytiharan ini juga akan disertakan bersama sasaran dan strategi bagi mengurangkan jumlah pembebasan karbon dioksida oleh UTHM. Pengisytiharan ini membolehkan UTHM mengukur impak yang diberikannya kepada alam sekitar dan seterusnya merangka dan melaksanakan langkah-langkah bagi mengurangkan impak UTHM kepada alam sekitar demi kelestarian global.

Ketua Pusat Kajian Tenaga dan Persekitaran Industri (CEIES), Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, “Penyertaan ini membuktikan bahawa penyelidik di UTHM sentiasa proaktif dan komited terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu pemanasan global.” Menurut beliau lagi, penglibatan ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti-aktiviti penyelidikan yang sedang giat berlangsung di UTHM, khususnya di CEIES yang memfokus ke arah kajian sumber tenaga boleh diperbaharui, kajian kecekapan penggunaan tenaga, kajian pembakaran bahanapi, penghasilan produk berteknologi hijau dan lain-lainnya. 

Diantara aktiviti penyelidikan yang sedang dijalankan di CEIES ialah Hydrogen Generator yang diketuai oleh Dr. Mas Fawzi sendiri, Exhaust Air Filtration diketuai oleh Dr. Norzelawati Asmuin, Green Retrofitting Technologies diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Jais Alimin, Micro-Explosion Fuel Behavior diketuai oleh Dr. Amir Khalid, Biomass Energy Conversion diketuai oleh En. Mohd Faizal Mohideen Batcha, Energy Management and Audit diketuai oleh En. Zamri Noranai, Carbon Footprint Quantification and Management diketuai oleh Dr. Mohammad Kamil Abdullah, serta banyak lagi.

Sementara itu Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Madya Dr. Yusri Yusof berharap penglibatan UTHM dalam program MYCarbon ini akan meningkatkan keperihatinan warga kampus pada isu pemanasan global dan seterusnya menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan berteraskan teknologi hijau di UTHM. 

UTHM rangkul Naib Juara Debat Piala Diraja Kali Ke-16

Kota Kinabalu, 7 Disember – Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam arena perdebatan peringkat Institusi Pengajian Tinggi apabila berjaya merangkul gelaran Naib Juara buat kali ketiga dalam Pertandingan Debat Piala Diraja kali ke-16 yang di adakan di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini. 

Sebelum ini pasukan ini juga pernah mencatat sejarah apabila berjaya meraih gelaran naib johan dalam pertandingan yang sama yang diadakan pada tahun 2009 dan 2010. Pasukan UTHM diwakili oleh Amirul Faiz Abdul Latif, Mohd Hasrul Effendi Muhd Salleh, Adhwa Amsyar Syazwan Abd Majid dan Ahmad Sawal Ithnin yang bertindak selaku pembangkang memperdebatkan usul “Patriotisme Adalah Warisan Sejarah.”
 
Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000 beserta piala iringan dan sijil penghargaan. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, YAB Tun Dato’ Panglima Juhar Maharuddin.

Menyedari seni berfikir dan berucap ini mampu memberi impak besar dalam memperkembangkan nilai perpaduan selain berupaya mengumpul idea bernas dan segar, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Sabah telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan debat ini buat kali ke 16.

Pertandingan ini menggunakan format “Asian Parliamentary” iaitu melibatkan dua pasukan terdiri daripada empat orang pendebat yang memainkan peranan sebagai Kerajaan dan Pembangkang. Pertandingan berprestij ini juga berjaya menarik penyertaan sebanyak 20 pasukan debat bagi kategori Muda, manakala 22 pasukan kategori Utama mewakili 22 buah IPT seluruh negara dengan memperdebatkan lapan  usul yang telah ditetapkan.
 
Persediaan dan usaha keras yang dilakukan sebelum pertandingan ini banyak membantu pasukan debat UTHM untuk mara ke peringkat akhir. Mereka berjaya menewaskan pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di peringkat suku akhir dan separuh akhir, sebelum bertemu dengan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat akhir. Pertandingan pada kali ini menyaksikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkul gelaran Juara, dan para pesertanya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000, piala iringan beserta sijil penghargaan.

Monday, May 12, 2014

UTHM raih 15 pingat dalam 25th International Invetion, Innovation & Techhnology Exhibition 2014

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya memperolehi lima pingat emas, sembilan pingat Perak dan satu pingat Gangsa dalam 25th International Invetion, innovation & Techhnology Exhibition (ITEX) 2014 berlangsung pada 08 hingga 10 Mei  2014 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Program yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ini telah mendapat penyertaan hampir 500 produk hasil penyelidikan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan pelbagai agensi dari luar dan dalam negara. UTHM pada kali ini telah membawa sebanyak 15 produk untuk dipertandingkan dalam pameran bertaraf antarabangsa ini.

Daripada lima pingat emas yang diperolehi, sebanyak tiga pingat emas telah dimonopoli oleh Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS). Lebih membanggakan lagi apabila produk hasil penyelidikan Dr. Saiful Azhar  Ahmad Tajuddin iaitu Inovative Technique to Remediate The Barren Acidic Slope Using In-Situ Electrokinetic Remediation (i-EKR) juga telah memenangi Anugerah Khas dari Association of Young Innavators and Scientists Indonesia (AYISI).

Penyertaan UTHM dalam pameran seumpama ini memberi impak yang besar kepada penyelidik. Program ini bertindak sebagai medium untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama dengan pihak industri dalam mengkomersilkan hasil penyelidikan dan inovasi. Hasrat, minat dan maklumbalas yang ditunjukkan oleh industri untuk kerjasama pengkomersilan diharapkan dapat meningkatkan lagi hasil pengkomersilan UTHM.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penyelidik yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam 25th International Invetion, innovation & Techhnology  Exhibition (ITEX) 2014.

Sunday, May 11, 2014

Pasukan Mendayung UTHM Antara 3 Terbaik Kejohanan 10th Chinese University of Hong Kong

Pasukan Mendayung Lelaki dan Wanita UTHM muncul antara tiga pasukan terbaik dalam Kejohanan 10th Chinese University of Hong Kong Rowing Championship Asean Universities Invitation Race 2014 yang telah berlangsung di Jockey Club Shek Mun Rowing Centre pada 22 hingga 27 Januari 2014. Pasukan UTHM merupakan wakil tunggal dari Institut Pengajian Tinggi yang mewakili Malaysia dalam kejohanan yang turut disertai oleh wakil-wakil university dari Hong Kong, China dan Jepun.

Satu penghormatan untuk Pasukan UTHM yang bukan sekadar membawa nama pasukan universiti tetapi juga membawa nama Malaysia di kejohanan yang menjadi medan perlumbaan bagi jaguh-jaguh universiti di peringkat Asean. Kejohanan yang telah memasuki tahun yang ke-10 ini menjadi titik permulaan bagi pasukan UTHM berlumba di luar negara bagi membuktikan kemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan meraih dua pingat gangsa bagi dua kategori yang disertai iaitu women 4+ dan men 8+ sudah cukup untuk menarik perhatian pasukan-pasukan lain dalam kejohanan ini. Walaupun pasukan UTHM dipandang kerdil namun semangat juang yang dipertontonkan atlit UTHM pada kejohanan ini mula digeruni apabila berjaya layak ke final dan meraih pingat untuk memberi cabaran dalam perlumbaan ini.

Kejohanan ini juga merupakan medan persediaan untuk atlit-atlit pasukan mendayung UTHM dalam menghadapi Kejohanan Sukan Air Kayak-Rowing MASUM 2014 yang akan berlangsung pada bulan April 2014 bagi merebut dan mempertahankan Juara Keseluruhan Lelaki dan Wanita yang pernah dinobatkan pada pasukan UTHM pada tahun sebelum ini.

Semoga kejayaan Pasukan Mendayung UTHM diperingkat antarabangsa ini akan menambah koleksi kejayaan  UTHM dalam bidang sukan khususnya sukan air antara sukan paling popular di UTHM yang mampu menaikkan nama universiti di peringkat yang lebih tinggi dalam siri-siri kejohanan yang akan disertai oleh pasukan UTHM.