Wednesday, October 17, 2012

Pegawai Kebudayaan UTHM johan deklamasi puisi peringkat negeri Johor


 Pegawai Kebudayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Shahrin Haron dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekan Peringkat Negeri Johor yang berlangsung pada 13 Oktober lalu bertempat di Lenggaran Segget, Johor Bahru.


Muhammad Shahrin yang mendeklamasikan puisi dengan penuh penghayatan bertajuk "Gemuruh Langit Kita" karya Norhisyam Mustafa telah berjaya menambat hati juri sekaligus menobatkan beliau sebagai johan pertandingan.

Sayembara deklamasi puisi anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional ( GAPENA) ini merupakan penganjuran kali ke 25 dan melibatkan 11 orang peserta yang mewakili seluruh daerah negeri Johor.

Sebelum mara ke peringkat akhir, para peserta perlu melalui proses saringan yang telah diadakan di Aman Sari Hotel, Johor Bahru pada hari yang sama. Proses saringan tersebut menyaksikan seramai lapan peserta telah terpilih ke peringkat akhir.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Negeri Johor, Tuan Haji Norizan Kulob. Muhammad Shahrin yang mewakili daerah Ledang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800.00 beserta sijil penyertaan, manakala naib johan pula disandang oleh Encik Shamsul Akmal yang mewakili daerah Johor Bahru menerima wang tunai RM600.00 beserta sijil dan tempat ketiga disandang oleh ustaz Alias Abdullah yang mewakili daerah Segamat menerima wang tunai RM300 beserta sijil.

Johan pertandingan akan mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2012 nanti. Beliau akan mendeklamasikan puisi bertajuk "Dialog Langit" karya Daeng Ramli Akil.