Tuesday, October 9, 2012

Lebih 1000 warga UTHM sertai himpunan aman bantah tayangan Innocence of Muslims


 

Lebih seribu warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai perhimpunan aman membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w menerusi penayangan filem kontroversi Innocence of Muslims pada 28 September lalu bertempat di Padang Kawad, UTHM.

Tayangan filem Innocence of Muslims yang diarahkan oleh Sam Becile, seorang pengarah filem berketurunan Yahudi Israel telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana memuatkan fakta yang salah  dan terpesong serta menghina Rasullah s.a.w dan seluruh umat Islam.

Perhimpunan aman anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pendaftar dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini diisi dengan aktiviti senamrobik pada permulaannya dan diikuti dengan pidato umum yang disampaikan oleh wakil beberapa pertubuhan dalaman universiti. Wakil Persatuan Pensyarah dan Pengajar UTHM (PERKASA), Dr. Kamarolzaman Mohd Jidi; wakil Persatuan Pentadbir dan Iktisas UTHM (PENTAS), Haji Zainuddin Mohd Noh; wakil Kesatuan Kakitangan Sokongan UTHM (KEKAS), Encik Faizal Naim dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tahun 2012/2013, saudara Mohd Hafiz Ariffin tampil berhujah menyelar tindakan pihak terbabit yang langsung tidak menghormati kesucian agama Islam.


 

Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus turut memberi ulasan berkaitan penayangan filem tersebut di akhir majlis. Beliau dalam ucapannya berkata penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w melalui filem tersebut amat menguris hati umat Islam seluruh dunia dan beliau berharap umat Islam terus bangkit memprotes tayangan filem tersebut.

Manakala wakil pelajar Mohd Hafiz pula berpendapat perhimpunan aman ini merupakan platform terbaik untuk menyatakan pendirian tegas masing-masing dalam menghadapi isu ini di samping terus melakukan desakan agar perkara ini diambil tindakan yang sewajarnya.



 

Sebelum itu warga UTHM yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar turut menunjukkan sokongan mereka dengan menandatangani memorandum bantahan dan menaikkan poster beserta banner sebagai tanda bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.



 

Kemuncak perhimpunan pula menyaksikan penyerahan memorandum oleh wakil PERKASA, PENTAS, KEKAS dan MPP kepada Pendaftar UTHM, Encik Sulam Hamid selaku wakil rasmi Naib Canselor. Bacaan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w turut mengiringi perhimpuan pada hari tersebut. Turut diadakan solat hajat yang menghimpunkan kira-kira 300 jemaah di masjid UTHM dan ia dilaksanakan sejurus selesai solat Jumaat.

Sambutan baik yang diterima daripada warga UTHM mencerminkan bahawa usaha murni seperti ini menjadi landasan terbaik untuk menzahirkan kemarahan dan menyampaikan rasa tidak puas hati mereka terhadap penghinaan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.