Sunday, October 14, 2012

Profesor Hussin kupas senario pendidikan universiti dalam dunia global






Siri kedua Pidato Umum "UTHM 20th Anniversary Lecture Series"  yang diadakan di Dewan Utama,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 8 Oktober lalu menampilkan salah seorang tokoh akademik tersohor dari Universiti Nasional Singapura (NUS) iaitu Profesor Hussin Mutalib Ph.D untuk berkongsi ilmu dan pengalaman luasnya dalam bidang pendidikan.

Profesor Hussin yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang sains politik merupakan Sarjana Melayu yang paling lama berkhidmat di NUS iaitu bermula sejak tahun 1981. Di universiti tersebut beliau mengajar beberapa modul berkaitan sains politik seperti Politik Malaysia, Politik Timur Tengah dan Pemikiran Politik Islam dan Hindu.

Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku beserta puluhan jurnal berkaitan politik manakala penerbitan akademik melalui Google Scholar pula sudah mencecah lebih 500 terbitan. Selain itu, penerima anugerah Fullbright Award, the ANU-Harvard Yenching Scholarship dan the Asia-Pacific Leadership Award ini juga telah dilantik sebagai Felo Kanan atau Profesor Pelawat di beberapa buah universiti terkenal seluruh dunia seperti Harvard University, Oxford University, University of California dan University Of Cairo.

Ketika ini Profesor Hussin turut memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pusat Pengajian Islam Kontemporari di Singapura dan beliau juga merupakan bekas ahli panel pakar dalam projek OIC berkaitan tamadun Islam dalam dunia melayu dan perunding utama dalam projek bank dunia mengenai Islam Mindanao di Filipina. Beliau juga kerap menjadi penyumbang dan pengulas isu-isu semasa kepada media cetak dan elektronik selain kerap menghadiri persidangan peringkat antarabangsa.

Profesor Hussin menyampaikan pidato bertajuk "Universiti Education in a Globalized World: Some Reflections." Beliau dalam pidatonya memberi gambaran tentang senario dan corak pendidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di beberapa buah negara termasuk Singapura dan Malaysia. Selain itu, beliau juga membincangkan tentang cabaran dan halangan yang perlu dihadapi oleh IPT dalam menghadapi era globalisasi.

Beliau telah mengemukakan beberapa cadangan untuk meningkatkan lagi tahap penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran di institusi masing-masing. Antara yang dikemukakan ialah transformasi yang perlu dibuat oleh pendidik, penyelidik dan pentadbiran IPT mengikut keperluan semasa agar seiring dengan tuntutan pendidikan masa kini. 

Turut dibincangkan peranan yang perlu dimainkan oleh tenaga akademik dan bukan akademik mengikut halatuju misi dan visi yang telah ditetapkan oleh universiti masing-masing. Di akhir pidatonya, beliau berpendapat setiap universiti perlu mengadaptasi anjakan paradigma yang berlaku dalam bidang pendidikan supaya tidak tertinggal jauh ke belakang. Profesor Hussin juga berharap setiap tranformasi yang dilaksanakan akan menjadikan universiti masing-masing sebagai institusi pendidikan contoh kepada IPT seluruh dunia. 


 

Turut hadir ke majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly; Pengarah Equine Training Consultant, Nothern Melbourne Institute of TAFE (nmit) Melbourne Australia, Encik Chris Watson; dekan-dekan fakulti serta warga kerja universiti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.