Tuesday, October 9, 2012

FKEE dan FKMP terima bangunan makmal baharu




Satu majlis penyerahan bangunan melibatkan komplek makmal Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Elektronik (FKEE) dan Makmal Biodiesel Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diadakan pada 26 September lalu. 

Kontraktor utama iaitu Pembinaan Hamid Abd. Rahman-Ekovest Construction Joint Venture (PHARSB-ECSB JV) telah dipertanggungjawab untuk menguruskan pembinaan bangunan makmal baharu milik UTHM ini dan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi. 

Upacara menandatangani dokumen penyerahan bangunan diwakili oleh Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Hartabina (PPH), Profesor Madya Dr. Abd. Halid Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif PHARSB-ECSB JV, Encik K.C Lim dan Pengarah Projek JKR, Eng. A. Jalil Sazali. 

Sementara itu FKEE pula diwakili oleh dekannya Profesor Ayob Johari manakala FKMP pula diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Ahmad Jais Alimin. Penyerahan replika kunci daripada wakil kontraktor dan JKR kepada wakil UTHM merupakan simbolik kepada upacara penyerahan tersebut.

Bangunan makmal baharu FKEE menempatkan bilik-bilik kuliah dan tutorial, pusat sumber, bilik seminar dan makmal-makmal untuk beberapa jabatan seperti Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JEL), Jabatan Kejuruteraan Mekatronik & Robotik (JER) dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa (JEK). Manakala setiap aras pada bangunan tersebut dilengkapi dengan kemudahan seperti janitor, surau, tandas dan ruang servis untuk penggunaan bangunan yang lebih berkesan. 

Manakala makmal biodiesel FKMP pula menempatkan -beberapa ruang seperti ruang utama iaitu pejabat am, ruang loji biodiesel dan ruang pencawang elektrik. Turut disediakan bilik-bilik penyelidik, makmal ujikaji serta beberapa kemudahan lain seperti surau dan ruang rehat. Uniknya bangunan loji ini membenarkan pencahayaan semulajadi ke semua blok dan juga mewujudkan pengudaraan semulajadi secara ‘cross-ventilation'.

Tujuan utama pembinaan bangunan baru kedua-dua fakulti ini adalah untuk menyediakan bangunan loji dan makmal yang lengkap dengan kemudahan dan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan lagi proses penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di universiti ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.