Tuesday, October 9, 2012

UTHM,JPP,JPKK jalin kerjasama pintar anjur CIE-TVET 2012



Oleh Muhammad Radzi Kamarudin
Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Seminar Persidangan Penyelidikan Dan Inovasi dalam Pendidikan & Latihan Teknikal dan Vokasional CIE-TVET 2012 bertempat di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan pada 25 hingga 26 September lalu.

Seminar anjuran UTHM bersama Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) ini melibatkan seramai 272 orang pembentang dan peserta untuk berkongsi ilmu dan penyelidikan mereka dalam memperkasakan lagi pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia.

Manakala pelaksanaan program yang bertemakan ‘Gerak Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Memperkasakan TVET’ ini pula diuruskan secara usahasama oleh Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), UTHM, Politenik Nilai dan juga Kolej Komuniti. Seminar di Nilai ini merupakan kali kedua dijalankan hasil kesinambungan kejayaan program yang sama dianjurkan pada tahun 2011 di Pulau Pinang.

Selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh iaitu 'Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia', penyelidikan yang dihasilkan dapat diterjemahkan melalui platform pembentangan dan perbincangan ilmiah dengan tujuan melahirkan warga pendidik yang lebih kreatif, inovatif, cemerlang dan mampu menjadi pemangkin ke arah transformasi politeknik menjelang 2015 sekaligus merealisasikan impian untuk menjadi politeknik universiti.

Terdapat 15 skop yang dibincangkan melalui pembentangan dan forum dalam CIETVT 2011 oleh pembentang dan peserta program iaitu mengenai Pembangunan Kurikulum, Kecemerlangan Instruksional, Pentaksiran & Penilaian, Pengurusan, Dasar dan Polisi, Pembangunan dan Latihan Staf, Inovasi dan Teknologi dalam P&p, Jaminan Kualiti, Kebolehpasaran, Keusahawanan, Kolaborasi Industri, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kajian Tindakan, Tanggungjawab Sosial (CSR) dan Penghasilan Produk.

Seminar ini dirancang untuk memberi peluang kepada staf akademik dari UTHM khasnya dan Institut Pengajian Tinggi Awam lain amnya untuk menghasilkan penulisan penyelidikan dan ilmiah agar dapat dibentangkan dalam persidangan seumpama ini di peringkat kebangsaan.

Selain daripada pembentangan kertas penyelidikan, program ini diisi dengan forum intelektual di mana peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan tajuk tertentu. Pada akhir forum, peserta akan mencadangkan resolusi bagi memperkasakan lagi bidang TVET di Malaysia terutamanya.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Mejar (K) Haji Mohd Nor Yusof. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan mengenai kepentingan memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia selaras dengan fokus utama kerajaan untuk melaksanakan perancangan dasar pengajian tinggi negara masa hadapan.

Beliau juga menyeru peserta persidangan agar meningkatkan lagi tahap keintelektual mereka dengan cara mempersiapkan diri dengan ilmu terutamanya melalui pembentangan kertas persidangan agar potensi mereka dapat ditingkatkan lagi.

Sementara itu ucaptama seminar pada tahun ini pula disampaikan oleh dua orang keynotes speaker  yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang TVET iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Encik Amir Md. Noor dan Timbalan Pengarah (Pengajaran & Pembelajaran), Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), KPT; Profesor Madya Dr. Mohd Majid Konting.

Mengikut perancangan, kerjasama pintar program CIE-TVET ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan melibatkan lokasi pantai timur sebagai platform penganjuran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.