Wednesday, October 17, 2012

UTHM universiti pertama wujudkan 1M4U Outreach Centre




Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih sebagai universiti pertama mempunyai 1Malaysia For Youth (1M4U) Outreach Centre sebelum ia diperluaskan ke institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Majlis Pra-Pelancaran 1M4U Outreach Centre yang diadakan di UTHM pada 13 Oktober lalu merupakan simbolik kepada penubuhan pusat tersebut di semua IPT sebelum majlis pelancaran peringkat nasional yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak diadakan sekitar November nanti.

Majlis Pra-Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau berkata 1M4U Outreach Centre di IPT ditubuhkan hasil kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS) bertujuan menggalakkan penuntut IPT melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan. Menerusi penubuhan pusat itu, KPT menyasarkan 600 program kesukarelawan membabitkan penuntut IPT dapat dilaksanakan menjelang Julai tahun depan.

Menurutnya, IM4U berperanan mengurus dan menyelaras cadangan-cadangan program kesukarelawan yang dikemukakan mahasiswa. Kertas-kertas cadangan program yang berpotensi akan diajukan kepada pihak 1M4U untuk pertimbangan dan kelulusan pelaksanaan program termasuk penyaluran geran Dana Relawan 1Malaysia (DRe1M).

Sementara itu, sempena majlis pra-pelancaran itu, satu pertandingan My UniRawks untuk pelajar IPT yang menawarkan dana berjumlah RM100,000 turut diadakan untuk memilih 10 cadangan aktiviti kesukarelawan terbaik menerusi laman Facebook 1M4U. Menurutnya lagi setiap pemenang cadangan terbaik akan mendapat dana RM10 000 dan akan diundang untuk hadir sesi berinteraksi bersama Perdana Menteri Malaysia.







"Undian akan dijalankan untuk menentukan tiga cadangan terbaik yang mana pemenang akan menerima hadiah iPad, lawatan ke luar negeri dan penganjuran program khas terbabit ditanggung 1M4U. Pertandingan ini bermula dari 13 Oktober dan berakhir pada13 November nanti dan keterangan lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman Facebook 1M4U," katanya.

Semasa majlis berlangsung, beliau turut menyampaikan "Mock Cheque" IM4U Outreach Centre bernilai RM10,000 kepada Naib Canselor UTHM dan juga watikah pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baharu kepada wakil MPP, Mohd Hafiz Ariffin.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dato' Dr. Rujhan Mustafa; Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Irmohizam Ibrahim.

"Saya juga mempelawa pihak swasta, badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk berganding bahu bersama 1M4U Outreach Centre dalam melaksanakan program khidmat sosial masing-masing," katanya dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis pra-pelancaran itu.

Sebelum itu, Dato' Seri Mohamed Khaled juga turut melawat program khidmat komuniti "Sukarelawan Siswa Bersama Masyarakat" berkonsepkan "My Beautiful Town" yang diadakan di sekitar pekan Parit Raja. Seramai 1300 pelajar UTHM telah melaksanakan kerja gotong royong di beberapa kawasan sekitar Pekan tersebut.


 
Majlis Pra-Pelancaran 1M4U Outreach Centre turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sekitar kampus seperti pameran oleh pelbagai agensi, program derma darah dan pemeriksaan kesihatan, program Smartors iPARENTS dan AKPK, taklimat dan forum kesukarelawan dan program motivasi pelajar cemerlang. 



 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.