Tuesday, September 17, 2013

KEJOHANAN PENCAK SILAT ANTARABANGSA PIALA TIMBALAN PERDANA ENTERI EDISI KE-4, 2013
























Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-4, 2013 telah berlangsung pada 15 September 2013 hingga 20 September 2013 di Dataran Pahlawan Melaka, Megamall.  Kejohanan  ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

                  
Kejohanan ini bertujuan memupuk nilai-nilai  jati diri kepada generasi muda ke arah penghayatan waja diri sebagai pembinaan  sahsiah individu. Program ini juga merupakan medium bagi penambahbaikan dari segi pembangunan Sukan Pencak Silat dan menyambung tradisi melayu.
                  
Penyertaan peserta adalah daripada peserta IPTA dalam Negara dan IPTA luar Negara. Secara keseluruhan, sebanyak 25 IPTA  di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyertai kejohanan dengan bilangan peserta seramai 439 orang.  Manakala, penyertaan IPTA luar Negara seramai 16 IPTA terdiri daripada 8 buah  negara iaitu Negara Malaysia, Thailand, Vietnam, Singapura, Brunei, Indonesia, Yaman dan Bangladesh dengan jumlah penyertaan seramai 237 orang.
                 
 Kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan ini terdiri daripada 6 iaitu Kategori Silat Olahraga Putra dan Putri  IPTA dalam dan luar negara,   Kategori Silat Seni Puta dan Putri (Jurus Tunggal,  Jurus Ganda , Jurus Regu dan Solo Kreatif) IPTA dalam dan luar Negara dan Silat Olahraga Remaja Putra dan Putri.  Secara keseluruhan , jumlah penyertaan adalah seramai  574 penyertaan. Manakala, bagi kategori  silat olahraga  yang dipertandingkan adalah sebanyak 300 ‘games’ dan kategori silat seni yang dipertandingkan adalah sebanyak 98 ‘games’. 

Azli bin Puddin
Pengurus Sukan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Thursday, September 12, 2013

UTHM Jalin Kerjasam dengan IST, Islamabad



UTHM Jalin Kerjasam dengan IST, Islamabad
30 Ogos 2013- Satu majlis khas menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Institute of Space Technology (IST), Islamabad, Pakistan telah dianjurkan dengan gemilangnya , bertempat di Dewan Jamuan Perpustakaan, Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM. Majlis yang bermula dengan kunjungan hormat delegasi IST yang diketuai oleh Naib Canselor IST, Brig. Jen. Prof. Engr. Imran Rahman ke Pejabat Naib Canselor UTHM, Y Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi. Perbincangan antara kedua-dua Naib Canselor telah dilanjutkan dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Hashim Saim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad serta pegawai-pegawai kanan universiti.
Menurut kenyataan Naib Canselor IST, Brig. Jen Prof. Engr. Imran Rahman, kolaborasi penyelidikan antara UTHM dan IST bermula pada awal tahun 2008 apabila Dr. Muhammad Yusof Ismail daripada Pusat Wayarles dan Sains Radio, UTHM memperolehi dana penyelidikan Fundamental Skim Geran Penyelidikan (FRGS) bertajuk “Dynamic Phase Control of Reflectarray Antenna Based on Non-Linear Materials” di mana Prof. Dr. Muhammad Amin adalah penyelidik bersama projek. Selain kejayaan kumpulan penyelidik ini dalam penerbitan sejumlah 16 artikel berindeks Scopus dan ISI dan buku bertajuk “Reflectarray Antennas for Strategic Defense Systems”, projek ini juga telah menempa kejayaan menerusi pengiktirafan menggondol pingat emas dan anugerah khas di 2011 British Invention Show dan 2012 Seoul International Inovation Fair (SIIF 2012).  Kumpulan penyelidik ini juga turut menerima penghormatan yang mana Dr. Muhammad Yusof Ismail telah dijemput untuk membentangkan hasil kajian di 2011 International Symposium on Antennas & Propagation di Washington, Amerika Syarikat. Berdasarkan pencapaian projek ini, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah menganugerahkan “Projek FRGS Terbaik” bagi tahun 2012 kepada Dr Muhammad Yusof Ismail sebagai Ketua Projek. 
Dalam ucapan berasingan, Naib Canselor UTHM, Y Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin mengalu-alukan lawatan delegasi IST ke UTHM dan yakin dengan kerjasama penyelidikan yang dijalankan antara Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS), UTHM dan IST, Islamabad dapat terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
Delegasi IST turut mengadakan lawatan ke Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS) di mana perbincangan bersama kumpulan Felo Penyelidik WARAS berhubung potensi kajian penyelidikan antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang penyelidikan..
Lawatan delegasi IST berakhir di Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC) di mana Dekan Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ICC), Prof. Hj. Ayob Johari memberi penerangan berhubung pengurusan ORICC di UTHM dan perbincangan kerjasama yang dapat dijalankan antara IST dan UTHM.
Disediakan oleh :
Hairul Nizam Tukimin
Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS)


Tuesday, September 10, 2013

Pendaftaran Pelajar Master / Phd UTHM 2013












279 pelajar pasca siswazah daftar diri untuk sesi kemasukan semester 1 2013/2014

Seramai 279 pelajar program pasca siswazah telah mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi sesi kemasukan semester 1 Sesi 2013/2014 pada 11 September lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII),UTHM. Daripada jumlah tersebut, 39 pelajar mendaftar bagi program Doktor Falsafah dan 240 pelajar mendaftar program Sarjana.

UTHM telah menawarkan lebih 700 tempat untuk sesi kemasukan kali ini dan melibatkan 20 program Sarjana dan 9 program Doktor Falsafah yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti 
Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. 

Seperti semester sebelum ini, UTHM kali ini turut menerima 53 orang pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian dari Algeria, Chad, Iraq, Libya, Pakistan, Yemen, Somalia dan Nigeria. 

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa, keluarga serta pelbagai individu dan organisasi yang memberi bantuan dan sokongan kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di UTHM. Usaha ini adalah selaras dengan Misi Nasional yang diterapkan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara(PSPTN), iaitu fasa kedua ke arah mencapai Wawasan 2020 dalam melahirkan modal insan untuk menyokong dan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.


Tarikh: 11 September 2013
Disediakan Oleh
Pusat Pengajian Siswazah 
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia