Saturday, October 17, 2015

Lima Pelajar FKAAS raih anugerah di “IDEERS 2015” Taiwan

ideers1.png 

Lima pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih dua anugerah dalam pertandingan "Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools” (IDEERS 2015) yang telah diadakan di Taiwan National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE) Taipei, Taiwan dari 16 hingga 22 September lalu.

Akhtar Izzaty Riwayat, Muhammad Shafiq Syazwan Zulkarnain, Nur Amira Afiza Saiful Bahari, Nurul Hafizha Ahmad Tarmizi dan Nurul Liyana Ghazali yang diiringi Penyelia, Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Quake Resistance Awards dan Top 15 Awards selain menduduki tempat ke-13 dari 42 penyertaan bagi kategori Undergraduate.

Pertandingan anjuran National Applied Research Laboratories (NARL), the National Centre for Research on Earthquake Engineering (NCREE), dan National Science and Technology Centre for Disaster Reduction (NCDR) diadakan sebagai salah satu agenda bagi memperingati kejadian gempa bumi yang telah melanda Taiwan pada tahun 1999 (Chi-Chi Earthquake).

Ini merupakan pengalaman yang berharga bagi UTHM kerana ia bukan sahaja disertai oleh universiti dan institut pengajian tempatan di Taiwan, malah turut disertai oleh universiti-universiti terkemuka di Asia antaranya National University of Singapore, Tokyo Denki University, University of the Philippines dan Hong Kong University of Science and Technology.

Justeru, keupayaan peserta meletakkan nama UTHM di kedudukan yang membanggakan wajar dijadikan contoh kepada warga universiti yang lain untuk turut sama berusaha membawa nama universiti ke peringkat dunia.

UTHM Bantu Rancang Pembangunan Daerah Kluang

BATU PAHAT: 50 pegawai dari agensi-agensi dan industri Pejabat Daerah Kluang dengan 20 penyelidik pakar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bersama-sama menghadiri Bengkel Potensi Pembangunan Daerah Kluang yang diadakan pada 30 September lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM. 

Bengkel yang telah disempurnakan oleh Encik Abd Hamid Yusof, Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) ini bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang pembangunan daerah Kluang untuk membantu menyusun strategi pembangunan yang lebih mampan dari segi ekonomi dan sosial daerah ini. Ini merupakan salah satu program ‘University Community Engagement’ (UCE) yang dikenalpasti sebagai pusat ‘University Community Transformation Centre’ (UCTC) untuk rujukan setempat dalam memberi khidmat nasihat, perkongsian kemahiran dan sebagai pakar rujuk kepada masyarakat mahupun kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Bengkel yang dianjurkan oleh Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kluang, Johor merupakan langkah awal dalam usaha menjadikan Kluang sebuah daerah yang dikenali terutamanya dalam sektor pertanian, eko perlancongan dan pembuatan berasaskan sumber yang digariskan dalam kluster Pelan Strategik Pertumbuhan Negeri Johor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor. Tumpuan adalah melihat sejauh mana penglibatan UTHM dalam menangani isu-isu, permasalahan, pencapaian dan strategi pembangunan yang dibentangkan oleh Pejabat Daerah Kluang sama ada dari segi idea, kepakaran, khidmat nasihat ataupun perundingan.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Profesor Madya Dr. Seow Ta Wee, selaku Ketua Jawatankuasa Gerak Kerja, Encik Muhammad Helmi Ya’kub; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Dr. Nor Azizi Yusoff; Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan selain Ketua-ketua Jabatan, Penghulu-penghulu, Jurutera-jurutera agensi kerajaan dan Pengusaha-pengusaha IKS daerah Kluang.

Sementara itu, majlis penutup bengkel pula telah disempurnakan oleh Tuan Haji Muhammad Fuad Haji Ridzuan, Pegawai Daerah Kluang. Beliau dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTHM kerana memberi komitmen penuh dalam membantu pembangunan daerah Kluang dengan menambahkan kluster alam sekitar dan sukan rekreasi dalam merealisasikan perancangan ekonomi negeri 2014-2023, sekaligus dapat membantu negara meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.


Disediakan oleh ENGR MUHAMMAD SUHAIMI HJ. SULONG

1,500 Mahasiswa sertai IM4U-UTHM Volunteer Malaysia 2015


 im4u.png
 
1500 orang Mahasiswa telah menyertai Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 anjuran bersama IM4U dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Minggu Haluan Siswa Sesi 2015/2016 yang telah diadakan pada 12 September 2015 bertempat di 10 lokasi terpilih di sekitar Parit Raja, Senggarang dan Rengit.

Program tersebut telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 1500 sukarelawan dalam kalangan pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda bidang kejuruteraan dan dijayakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTHM serta Jawatankuasa Pembantu Minggu Haluan Siswa.
 
Penganjuran Volunteer Malaysia tersebut bertujuan untuk memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat di samping memberikan pengalaman dan pendedahan kepada mahasiswa berkaitan aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat turut hadir ke program tersebut bagi memberikan sokongan moral kepada semua sukarelawan terlibat. Pelbagai aktiviti kesukarelawan telah dilaksanakan oleh peserta terlibat antaranya seperti kerja-kerja pembersihan bagi pencegahan denggi, pembersihan kawasan perkuburan Islam, masjid, surau dan balai raya terpilih. Di samping itu, para sukarelawan juga turut melakukan kerja-kerja mengecat, melukis mural dan menceriakan lanskap di lokasi terpilih. 

Beberapa agensi kerajaan juga turut terlibat dalam menjayakan program tersebut antaranya ialah Majlis Perbandaran Batu Pahat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat dan Jabatan Bomba.
  
Program Volunteer Malaysia Tahun 2015 ini turut berlangsung serentak lebih daripada 40 lokasi terpilih di seluruh Negara. UTHM berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.

12 pelajar FKEE peroleh sijil Huawei Certified Network Graduate

sijilhuwaei.png

40 pelajar terbaik yang terpilih dari Malaysia Technical University Networking (MTUN) telah menyertai Program Profesional ICT pada 3 Ogos hingga 14 September lalu di Huawei Global Training Centre, Cyberjaya.

Program MTUN dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. turut melibatkan seramai 12 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah disenarai pendek menerusi sesi temuduga dalaman dan pra-ujian.

Pelbagai aktiviti sampingan telah dilaksanakan di hujung minggu sepanjang program berlangsung termasuk Pertandingan Bowling, Walk a Hunt 2015 dan Lawatan ke Genting Highland. Setiap pelajar menerima elaun sebanyak RM750, beserta Huawei T1 Mediapad dan perlu lulus peperiksaan sebelum ditauliahkan dengan sijil profesional dari Huawei. Menariknya, pelajar yang tamat program ini akan diberi jaminan kerja dengan Huawei dan syarikat yang berdaftar.

Setelah menamatkan program tersebut, para peserta akan dianugerahkan dengan Huawei Certified Network Graduate Certification (HCNG) yang menepati kehendak dan keperluan industri ICT di Malaysia di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan MTUN.  

Program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 24 Ogos 2015.

Monday, October 5, 2015

Pusat Waras terima undangan kolaborasi penyelidikan bersama IST


berita.png
Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS) Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima undangan daripada Institute of Space Technology (IST), Islamabad untuk mengadakan kerjasama dalam penganjuran kursus dan perundingan profesional.  
 
Selaras dengan hasrat Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTHM dan Institute of Space Technology, Islamabad pada 30 Ogos 2013, Ketua Pusat WARAS, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof Ismail telah diundang sebagai Penceramah Utama (Keynote Speaker) dalam persidangan antarabangsa 2015 International Conference on Aerospace Science and Engineering (ICASE 2015) yang dianjurkan oleh Institute of Space Technology di Islamabad pada 2 September lalu.

Dalam persidangan yang melibatkan penceramah jemputan daripada  Washington, U.S.A., Melbourne Australia, Italy, Canada, Arab Saudi dan Beijing, China, pelbagai perbincangan bersama telah diadakan bagi melihat potensi kerjasama penyelidikan pelbagai bidang bersama institusi-institusi tersebut.  

Disamping itu dalam program berasingan, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof turut terlibat dalam beberapa siri kursus profesional sebagai penyelidik jemputan dalam bidang teknologi rekabentuk antenna dan komunikasi wayarles melibatkan para penyelidik daripada pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa. 

Dalam pertemuan bersama Naib Canselor IST, Brig. Jen. Prof. Imran Rahman, beberapa pendekatan jangka panjang telah dibincangkan termasuk penglibatan penyelidik IST bagi mengikuti pengajian penyelidikan di peringkat pasca siswazah di UTHM sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan penglibatan kluster pelbagai bidang melibatkan kumpulan penyelidik dari kedua-dua institusi. Pendekatan ini dilihat dapat melonjakkan penyertaan aktif kesemua enam kluster penyelidikan Pusat WARAS untuk terus konsisten menerokai peluang penyelidikan bersama. 

Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri iktiraf kecemerlangan atlit IPT

silat uthm
 
Kuantan: Pasukan Malaysia Elit dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-6, 2015 yang berlangsung di Pusat Beli Belah Berjaya Megamall Kuantan pada 15 hingga 20 September lalu anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia.

Kejayaan Malaysia Elit itu diraih selepas memenangi lima daripada lapan emas dipertandingkan, manakala Malaysia Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang meraih tiga emas, tiga perak dan dua gangsa muncul naib juara. Tempat ketiga dimenangi Vietnam dengan mengutip dua perak dan tiga gangsa.

Kategori Pesilat Terbaik Putra dan Putri Antarabangsa, masing-masing menjadi milik Muhammad Faizul M Nasir dari Malaysia Elit dan Siti Shazwana Ajak pula mewakili IPT Malaysia.

Turut sama menyertai kejohanan kali keenam itu Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, India, Korea Selatan dan Yaman.

Bagi kategori IPT tempatan, Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara keseluruhan hasil kejayaan merangkul empat emas dan dua perak, diikuti Kolej Komuniti (KK) Pahang dengan empat emas, satu perak dan dua gangsa.

Tempat ketiga pula diraih Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) yang meraih empat emas dan dua gangsa.

Bagi kategori Pesilat Terbaik Putra dan Putri IPT, masing-masing menjadi milik Muhamad Zarish Hakim yang mewakili KK Pahang dan Normanjalina Madon dari Universiti Malaya (UM).

Hadiah disampaikan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan PESAKA, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah. Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Tony Azman Hassan.

 

UTHM lancar Program Bantuan Makanan Pelajar dan Penyerahan Wang Sara Hidup

bantuanmakananuthm.png

Pejabat Hubungan Masyarakat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Islam dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Bantuan Makanan dan Sumbangan Wang Sara Hidup Pelajar pada 10 September lalu bertempat di Dewan Farabi, Masjid Sultan Ibrahim UTHM.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 220 pelajar mendapat bantuan makanan dan sara hidup sepanjang menuntut di universiti ini. Bantuan ini adalah sebagai pendorong kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik dan juga kokurikulum.

Majlis telah dihadiri oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Mohd Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj. Omar dan pegawai-pegawai Universiti.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak, idea pelaksanaan program ini telah disuarakan oleh Naib Canselor sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap pelajar yang menghadapi masalah kewangan semasa pengajian di UTHM. 

Sementara itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor Cawangan Batu Pahat turut menyampai bantuan wang zakat asnaf fisabililah dan fakir miskin sebanyak RM30,000 kepada Pusat Islam bagi tujuan bantuan sara hidup tersebut.

Pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah bawah RM1,000.00 sebulan telah terpilih untuk menerima bantuan ini. Bantuan kewangan sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan akan diberikan kepada pelajar yang layak pada setiap tahun pengajian. Manakala bantuan makanan pelajar pula diteruskan dari masa kesemasa bergantung kepada dana yang dijanakan oleh pihak Jawatankuasa Program.
Disediakan oleh ABD HAMID BIN YUSOF, Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat, UTHM

Saturday, September 26, 2015

1000 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-7

Sebanyak 17 kontinjen melibatkan 1000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa agensi luar telah memeriahkan Perarakan Town and Gown yang diadakan di sekitar Bandar Batu Pahat, Johor pada 19 September lalu.

Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini. 

Tujuan perarakan ini diadakan saban tahun adalah untuk mewar-warkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober 2015 nanti.

Uniknya perarakan kali ini menampilkan kontinjen berimejkan kebudayaan pelbagai etnik seperti Zapin, Hamdolok, Bangra, Tarian Singa dan Yoyo selain penyertaan daripada kontinjen luar yang melibatkan kumpulan pancaragam Sukarelawan Malaysia (RELA), Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Mengkibol, Kluang.

Perarakan yang bertemakan “Perarakan dalam Warna Budaya” ini bermula dari jalan Rahmat menuju ke Dataran Penggaram, Batu Pahat. Hampir 5000 penduduk turun menyaksikan perarakan penuh warna warni itu di samping berhibur bersama  dengan artis jemputan Jay Jay yang terkenal dengan lagu “Joget Angan tak Sudah”. Sementara itu, persembahan tarian dan nyanyian dari Kelab Warisan UTHM turut menggamit perhatian pengunjung yang hadir pada malam tersebut.

Acara Kemuncak perarakan menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM kali ke-15 oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Bahat, Tuan Haji Mohd Halim Hasbullah, disaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.

Perarakan Town and Gown ini merupakan kali ketujuh dianjurkan oleh UTHM setelah berjaya menarik minat komuniti Batu Pahat untuk hadir memeriahkan acara yang diadakan. Memandangkan perarakan ini dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.

Monday, September 14, 2015

FKEE UTHM anjur IC3E 2015 – perkukuh rangkaian antarabangsa

Hear this article
ice.png

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan International Conference on Electrical and Electronic Engineering (IC3E 2015) bertempat di Hotel Equatorial, Melaka pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Persidangan yang bertemakan Engineering Towards Sustainable Future ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Ir. Mohammad Bisri, Rektor Universiti Brawijaya (UB), Indonesia dan juga beberapa pegawai kanan dari Universiti Brawijaya dan UTHM.

Persidangan anjuran bersama Universiti Brawijaya ini telah menarik minat ramai penyelidik dari pelbagai negara seperti Qatar, United Kingdom, Turki, Indonesia, Nigeria, Iraq, Iran dan India. Lebih 200 kertas kerja telah diterima dan sebanyak 166 kertas kerja telah dibentangkan yang mana semuanya bakal diterbitkan dalam ARPN Journal of Engineering and Applied Sciences yang diindeks oleh Scopus.

Sesi ucaptama persidangan menampilkan tiga pakar iaitu Profesor Dr. Abbes Amira dari University of the West of Scotland, United Kingdom, Profesor Dr. Zabih Ghasemlooy dari Northumbria University, United Kingdom dan Dr. Mazlan Abas dari Redtone IOT Sdn Bhd. dengan pembentangan meliputi topik Connected Health, Visible Light Communication, dan Internet of Things (IoT). 

Bagi meneruskan usaha UTHM ke peringkat antarabangsa, FKEE, UTHM dan UB bertekad untuk meneruskan persidangan ini pada tahun akan datang dengan penglibatan pelbagai universiti dari seluruh dunia terutama dari rantau Asia.

UTHM raih tiga bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (Myra) 2014


myra.png

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mencapai peningkatan yang membanggakan apabila mendapat tiga bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) bagi tahun 2014. 

Kejayaan ini merupakan suatu pencapaian yang baik berbanding pencapaian satu  bintang pada tahun 2011. Penarafan ini adalah hasil komitmen tidak berbelah bagi warga Universiti khususnya Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC) selaku Sekretariat MyRA 2014 yang bersama-sama berganding bahu dengan Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain dalam menyumbang kepada kejayaan pengumpulan data MyRA tahun 2014. 

Mengimbas kembali sejarah auditan data MyRA 2014, sesi lawatan penilaian tapak telah diadakan pada 27 hingga 28 April 2015 di ORICC, UTHM. Sesi auditan tersebut melibatkan seramai lapan Pegawai yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terdiri daripada lima Panel Penilai, satu Taskforce MyRA dan dua Urusetia telah diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Abu Bakar Salleh. 

Panel penilai lain terdiri daripada Profesor Dr. Normah Omar, Profesor Dr. Norani Muti Mohamed, Profesor Dr. Syed Idris Syed Hassan dan Profesor Dr. Muhammad Hisyam Lee. Manakala wakil Taskforce MyRA adalah Profesor Madya Dr. Shahir Shamsir Omar, manakala Encik Muhammad Hafizul Matmor dan Cik Fazilah Musa bertindak selaku Urusetia KPM.
 
Pihak ORICC merakamkan dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pengumpulan data MyRA 2014 sehingga melayakkan Universiti mencapai penarafan tiga (3) bintang dalam auditan MyRA tahun 2014. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang seterusnya pada masa akan datang.

Saturday, September 12, 2015

PERKASA anjur Pertandingan Mendeklamasi Sajak Hari Kebangsaan 2015

sajakuthm.png
 
Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2015, Persatuan Pensyarah dan Pengajar (PERKASA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Pertandingan Mendeklamasi Sajak Hari Kebangsaan 2015 pada 26 Ogos 2015 di Dewan Terbuka UTHM. 

Penyertaan adalah dalam kalangan staf akademik dan staf pentadbiran dari pelbagai fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada peserta Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Universiti Awam Malaysia.
 
Tujuan program ini adalah untuk memupuk semangat kemerdekaan dan menanam jiwa patriotik dalam kalangan staf-staf UTHM di samping merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Pertandingan tersebut telah di adili oleh Encik Muhammad Shahrin Haron, Pegawai Kebudayaan UTHM dan telah disempurnakan oleh Profesor Engr. Dr. Mohd Idrus Haji Mohd Masirin, Presiden PERKASA UTHM. 

“Saya mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada staf akademik yang terlibat sebagai AJK dan peserta bagi menerapkan rasa kecintaan terhadap seni dan budaya di universiti ini sempena Hari Kemerdekaan 2015. Tema tahun ini iaitu #sehatisejiwa amat releven dalam situasi di mana warga Malaysia khususnya warga UTHM perlu bersatu dan sehaluan bagi menjayakan 10 lonjakan yang telah digariskan di dalam Blueprint Kementerian Pendidikan Tinggi menjelang 2025,” katanya.
 
Johan pertandingan disandang oleh Puan Norashikin Abdul Hamid dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. Naib Johan pula disandang oleh Dr. Aida Mustapha yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. Tempat ketiga dimenangi oleh Puan Norfaiza Fuad, membawa pulang wang tunai RM100.00 berserta sijil, trofi dan saguhati. 

Menurut Encik Muhammad Shahrin, pemenang pertandingan ini akan dipertimbangkan untuk mewakili Universiti ke Pertandingan Sayembara Puisi Peringkat Negeri Johor yang akan diadakan pada November 2015 nanti. Ini adalah ganjaran kepada keterlibatan staf akademik dalam memartabatkan seni puisi dalam kalangan warga universiti ini. Beliau berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan dengan penglibatan warga universiti yang lain pada masa hadapan.

UTHM anjur Kursus ‘Hands-On’ Penternakan Lebah Kelulut

kelulut2_uthm.png 
 
kelulut3_uthm.png
 
kelulut4_uthm.png
 
kelulut_uthm1.png 
 
 
 
Mungkin tidak ramai yang tahu, sejarah industri penternakan lebah  kelulut bermula di Batu Pahat, Johor sejak 28 tahun yang lalu. Pada        Oktober 1988, Jabatan         Pertanian mewujudkan Pusat Apiari Nasional yang terletak di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan penternakan dan pemeliharaan lebah. Kini, penternakan dan pemeliharaan lebah kelulut semakin pesat berkembang di serata Malaysia.

Kelulut adalah dari sub family Meliponinae atau lebih dikenali sebagai lebah tidak bersengat, berupaya menghasilkan madu, debunga dan propolis sama seperti lebah madu biasa. Bezanya, kelulut tidak bersengat dan menghasilkan lebih banyak propolis berbanding lebah madu sebagai mekanisma pertahanan diri yang berfungsi mensterilkan sarang daripada gangguan organisma lain seperti bakteria, cendawan, virus dan pemangsa. Selain itu, disebabkan oleh saiz ukuran tubuh kelulut adalah lebih kecil, kelulut mampu mengambil nektar dari bunga yang bersaiz kecil, menyebabkan ia mempunyai variasi makanan yang lebih banyak dari lebah biasa sehingga memungkinkan untuk diternak secara konsisten tanpa perlu penjagaan rapi.

Kelulut juga boleh berperanan sebagai agen pendebungaan yang efektif. Kajian terbaru mendapati kelulut mampu menyebarkan benih pokok serta mengahwinkan bunga jantan dan betina secara aktif. Perkhidmatan kelulut sebagai agen pendebungaan dilihat sebagai satu kelebihan kerana kelulut adalah spesis serangga asli di Malaysia, aktif sepanjang tahun, tidak menyengat dan hanya memerlukan kos pengendalian yang rendah. Menariknya, petani boleh menggunakan kelulut sebagai alternatif kepada kaedah pendebungaan konventional “hand-crossed”.

Kualiti propolis kelulut sangat tinggi di mana kandungan anti oksidanya adalah 403 kali ganda lebih tinggi daripada jeruk dan kandungan fenol adalah 320 kali ganda berbanding epal merah. Kedua-dua unsur ini berfungsi dalam penyembuhan pelbagai penyakit. Propolis juga mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-virus yang sangat bermanfaat kepada manusia. Selain itu, kajian secara saintifik mendapati madu kelulut sebagai sejenis ‘tonik’ mempunyai ciri-ciri anti-radang, anti-parasit, dan telah menunjukkan potensi merawat penyakit berkaitan gusi, gastritis dan ulser. Oleh itu, penggunaan madu kelulut sebagai terapi dan pencegahan penyakit perlu digalakkan di semua lapisan masyarakat.

Walaubagaimanapun, maklumat berkaitan industri kelulut serta aktiviti yang dijalankan oleh penternak, pengusaha dan peminat kelulut masih belum begitu meluas. Selain itu kesedaran masyarakat terhadap industri penternakan kelulut sebagai sumber pendapatan yang berpotensi tinggi masih amat sedikit.

Lambakan madu tiruan yang menguasai pasaran merupakan ancaman terbesar dalam industrI madu. Kajian menunjukkan 80% madu yang terdapat di pasaran merupakan madu campuran atau sintetik. Oleh itu, kerjasama antara pihak universiti dan komuniti amatlah penting untuk memberi kesedaran tentang ketulenan madu bagi mengelakkan pengguna tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, UTHM dengan kerjasama Pusat Apiari Nasional akan menganjurkan satu kursus “Hands-on” penternakan lebah kelulut untuk komuniti tempatan dan mereka yang berminat untuk menjadi peternak terlatih dalam menghasilkan madu lebah kelulut yang berkualiti. Para peserta akan diberi khidmat nasihat teknikal dan pengetahuan asas tentang lebah kelulut dan penghasilan madu serta didedahkan dengan teknologi dan kepakaran yang ada di UTHM dan Pusat Apiari Nasional bagi memulakan projek penternakan lebah kelulut. Kursus ini akan diadakan pada 12 hingga 13 September 2015 meliputi kaedah pembelajaran secara teori dan amali.
 
Kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi Dr Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi di talian 013-7484665 atau Pn. Nazrullah Abdullah di talian 07-4531334 untuk maklumat lanjut.

Saturday, September 5, 2015

UTHM terima 2445 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 2445 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda bagi semester 1 2015/2016 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 1 September baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut 1113 merupakan pelajar lelaki manakala 1332 lagi adalah pelajar perempuan. Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa sepanjang tempoh pendaftaran berlangsung. Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan dan Fakulti Teknologi Kejuteraan.

Pelajar-pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak Universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadualkan berlangsung selama seminggu bermula 1 hingga 5 September.

Program MHS yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTHM ini diselitkan dengan beberapa acara seperti slot “Bersama Kepimpinan Negara” yang melibatkan Menteri Mentor UTHM, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, slot “Bersama Kepimpinan Universiti” dan “Pengetua Kolej Kediaman”, Taklimat PTPTN dan diakhiri dengan “Majlis Penutup dan Warisan Bangsa” yang dijadual berlangsung pada 5 September ini.

Seperti kebiasaan, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin bersama Pimpinan Tertinggi Universiti turut menyambut kehadiran pelajar baharu pada hari pertama pendaftaran di samping meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga masing-masing.

Pihak universiti merakamkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar ini ke UTHM dan tahniah diucapkan kerana terpilih menjadi warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia – Technically Above the Rest.

UTHM raih kejayaan di Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2015

s1.png
 
s2.png
 
s3.png 
 
s4.png
 
s5.png 
 

Kontingen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membawa cabaran dan harapan warga Universiti untuk membawa pulang pingat yang dipertandingkan di Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) Kali Ke-40, 2015 yang telah berlangsung pada 16 hingga 23 Ogos lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. 

UTHM berjaya membawa pulang satu pingat Emas (Berbasikal  Veteran), satu pingat perak (Tenpin Boling Lelaki) dan empat pingat gangsa (Tarik Tali, Karom, 400 meter wanita veteran & 4 x 400 meter wanita veteran). Bagi penyertaan kali ini, Kontingen UTHM mempertaruhkan seramai 128 atlit dan pegawai dalam 11 acara yang disertai. Tekad dan azam menjadi pendorong utama kepada atlit dan pegawai UTHM untuk mencipta kejayaan serta mengharumkan nama Universiti ke peringkat kebangsaan dalam acara sukan.
 
Kehebatan Kontingen UTHM ini adalah hasil usahama semua pihak terutama pihak pengurusan tertinggi, Pejabat Pendaftar, Pusat Sukan, jurulatih, pegawai sukan dan atlit-atlit yang tidak pernah mengenal penat lelah dan erti kekalahan demi membantu menaikkan nama UTHM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Monday, August 31, 2015

Kumpulan Q-PPD dan Lib xii raih emas di Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara

qpd1UTHM.png
            Kumpulan Q-PPD, Pusat Pengajian Diploma
 UTHM libr.png
         Kumpulan Lib xii, Perpustakaan Tunku Tun Aminah
Kumpulan Q-PPD dari Pusat Pengajian Diploma dan Kumpulan Lib xii dari Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat penarafan Emas dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2015 yang diadakan pada 19-20 Ogos lalu bertempat di Bayview Hotel, Langkawi.

Konvensyen yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini merupakan platform dalam memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada semua kumpulan yang telah menghasilkan inovasi yang cemerlang di organisasi mereka dalam konteks penjanaan nilai serta penjimatan kos organisasi.

Sebanyak 58 buah kumpulan dari agensi awam dan swasta yang telah menyertai konvensyen ini. Kumpulan Q-PPD diketuai oleh Eddy Irwan Shah Saadon dan ahli-ahlinya iaitu Rafizah Mohd Hanifa, Mohd Sabani Hj. Mohd, Rozainita Rosley, Mohd Faizal Ismail, Ida Aryanie Baharuddin, Nor Faezah Adan, Misbahul Muneer dan Rusnani Saji.
  
Manakala Kumpulan Lib xii pula diketuai oleh Ahmad Faisal Ishak dan ahlinya adalah Mohd Shazarul Hafiz Mohd Noh, Mohd Nasir Ibrahim, Mohd Iqbal Zainal Abidin, Abdul Razak Bachok, Mohd Zulkhibri Rahmat, Nurhayati Ali dan Nor Azuwan Ab Rahman. Manakala Fasilitator bagi kumpulan Q-PPD adalah Haji Suhaimi Makminin dan Mohd Noor Hasman Mohd Tumari pula fasilitator bagi kumpulan Lib iix.


Penyertaan UTHM dalam konvensyen ini diharap mampu untuk menyumbang kepada keberkesanan menyelesaikan masalah di tempat kerja melalui penghasilan inovasi yang mampu memenuhi keperluan pelanggan, peningkatan dalam produk dan perkhidmatan sedia ada untuk tujuan menjimatkan masa, kos serta memudahkan proses kerja.

Sunday, August 30, 2015

UTHM bawa pulang 13 pingat di Karnival MASUM 2015

s4.png
s1.png    s2.png
 
s5.png     s3.png  

13 pingat berjaya dibawa pulang oleh Kontinjen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  ketika menyertai Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 yang berlangsung pada 27 Julai hingga 7 Ogos lalu bertempat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

UTHM telah mempertaruhkan kontingen dengan kekuatan  189 atlit dan 23 pegawai menerusi 11 acara sukan yang dipertandingkan. Daripada 13 pingat tersebut, kontingen UTHM meraih dua emas, dua perak dan sembilan gangsa. Pingat emas telah disumbangkan melalui acara Karate 60kg Kumite oleh atlit Sugendran a/l  Suparamaniam diikuti kemenangan lain dengan memperoleh satu perak dan tiga gangsa melalui acara sukan yang sama. 
 
Sementara itu pasukan Pencak Silat juga turut menyumbangkan satu emas dan satu perak. Mohd Faizul Mustapa menyumbangkan emas melalui acara silat olahraga kelas J. Enam lagi pingat gangsa diperoleh menerusi sukan taekwondo, sepak takraw , sofbol lelaki dan wanita.

Karnival Sukan MASUM ini merupakan platform terbaik atlit dari universiti awam (UA) untuk bersaing di peringkat universiti dan sebagai persiapan untuk menghadapi sukan institusi pengajian tinggi (SUKIPT) 2016. Penglibatan atlit ini sekaligus berjaya merealisasikan misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan ‘the thinking athlete’. 

Kor Sispa UTHM raih Naib Johan Cabaran Explorace

Kor Sispa UTHM raih Naib Johan Cabaran Explorace di Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Sispa IPT 2015

Kor SISPA UTHM meraih gelaran Naib Johan daripada keseluruhan 12 institut pengajian tinggi (IPT) yang bertanding dalam cabaran Explorace yang diadakan sempena Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) peringkat kebangsaan kali ke-6 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Universiti Sains Malaysia (USM).

Pentauliahan yang melibatkan seramai 624 orang pegawai kadet SISPA daripada IPT seluruh Negara ini telah disempurnakan oleh Datok Seri Shahidan Kasim,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kontinjen Kor SISPA UTHM diketuai oleh Lt. Kol. Bersekutu (PA) Profesor Madya Sr Dr Wan Zahari Wan Yusoff melibatkan 74 pegawai kadet SISPA yang ditauliah dengan gelaran Leftenan Muda pertahanan Awam. 

Manakala keseluruhan peserta Explorace melibatkan 16 orang pelajar SISPA 1. Paling membanggakan apabila peserta Explorace kali ini dibimbing sepenuhnya oleh  Pegawai Muda kor SISPA berbanding sebelum ini melibatkan jurulatih dari luar. Turut hadir ke majlis perhimpunan dan pentauliahan ini adalah Ajutan Kor SISPA UTHM, Mejar Bersekutu (PA) Norza Iskandar Helmi Abdullah.

Hadir sama, YAS Pj (PA) Dato' Zaitun Ab Samad, Ketua Pengarah JPAM Malaysia,  PPj. Kehormat (PA) Prof Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor USM serta pegawai-pegawai kanan JPAM serta pegawai-pegawai kanan university terlibat.

Tahap disiplin yang tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta dan semangat kesukarelawan yang padu dalam menghadapi cabaran Explorace meletakkan Kor SISPA UTHM antara pasukan yang terunggul dalam pertandingan kali ini.

Sekalung Tahniah diucapkan kepada Kor SISPA UTHM atas kejayaan yang cemerlang ini yang berjaya mengharumkan nama UTHM di peringkat negara.

UTHM tuan rumah Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor SUKSIS IPTA 2015

suksisuthm.gif   suksisuthm2.gif

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpilih menjadi tuan rumah bagi Acara Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor SUKSIS Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 yang berlangsung pada 16 Ogos lalu.

Acara Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar. Seramai 1050 pelatih Kor SUKSIS IPTA telah ditauliahkan pada hari tersebut dengan gelaran Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis. 59 orang daripada jumlah tersebut merupakan pelatih daripada UTHM yang berjaya menamatkan latihan mereka selama tiga tahun di institusi ini.
 
Pentauliahan tersebut juga menyaksikan acara penyampaian watikah kepada 20 pelatih terbaik setiap IPTA termasuk UTHM yang melonjakkan nama Mohd Shaharil Salim dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat sebagai Pelatih Terbaik Kor SUKSIS UTHM.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negeri, Datuk Rusli Ahmad dan dan beberapa Naib Canselor IPTA termasuk Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.

Tan Sri Dato’ Sri Khalid dalam ucapannya mempelawa semua ahli KOR SUKSIS yang bakal memasuki alam pekerjaan untuk terus memberi sumbangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyertai Sukarelawan Simpanan Polis (PVR). Menurut beliau, PDRM kini dalam usaha untuk menambahkan lagi perjawatan dalam perkhidmatan PVR bagi menampung keperluan dalam usaha mencegah dan memerangi jenayah.

“Saya percaya dengan latihan dan ilmu pengetahuan yang diperolehi selama ini, ahli-ahli KOR SUKSIS ini adalah antara calon terbaik bagi menyertai pasukan PDRM,” katanya. 
Beliau turut mengingatkan ahli KOR SUKSIS supaya menjauhkan diri dari segala bentuk gejala sosial serta tidak melanggar etika dan undang-undang Negara serta menjadi contoh ikutan kepada pelajar-pelajar lain dalam menjaga disiplin diri.

Untuk rekod, penubuhan Kor Suksis di IPT adalah hasil cetusan idea Mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri semasa lawatan beliau di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada 4 Febuari 1999.

Manakala pada 24 Jun 2006, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Mohd Bakri Omar telah merasmikan secara serentak Penubuhan Badan Beruniform Kor Suksis  IPTA seluruh Malaysia di Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Shah Alam.

UTHM pamer semangat patriotisme sempena sambutan Kemerdekaan Negara ke-58

merdekauthm.gif

Bagi mempamerkan semangat patriotisme dalam kalangan warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu program Kayuhan Kemerdekaan yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin telah diadakan pada 17 Ogos lalu bertempat di persekitaran kampus.

Program kayuhan basikal anjuran bersama Pejabat Pendaftar dan Kelab Kebajikan Staf Pejabat Canselori (Kasturi) yang melibatkan Pimpinan Universiti dan ahli kelab ini diadakan bersempena majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan yang ke-58 peringkat universiti.

Kayuhan sepanjang enam kilometer mengelilingi kampus itu bertujuan untuk mengedarkan bendera Malaysia kepada Pusat-pusat tanggungjawab di UTHM untuk dikibarkan sepanjang bulan kemerdekaan ini. 

Sementara itu satu majlis pelancaran turut diadakan pada hari yang sama bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-58, di samping sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk dan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga universiti.

Semasa majlis berlangsung, Naib Canselor menyerahkan bendera Malaysia kepada Pendaftar sebagai simbolik Pelancaran Bulan Kemerdekaan ke 58 dan turut melekatkan bendera Malaysia pada Kenderaan UTHM bersama Pimpinan Universiti yang lain. 

Sambutan yang bermula pada 17 Ogos hingga 16 September ini akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, kibaran jalur gemilang di setiap kenderaan milik warga universiti, penyertaan perbarisan kemerdekaan peringkat negeri, tayangan video dokumentari dan filem-filem patriotik serta majlis penutup bulan kemerdekaan yang dijadual berlangsung pada pertengahan September akan datang.

PALAPES UTHM sertai Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam ke-34

palapes_uthm.gif
PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai perbarisan sempena Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam kali ke-34 yang berlangsung pada 15 Ogos lalu bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Istiadat tersebut menyaksikan seramai 1,628 Pegawai Kadet merangkumi 1,153 Pegawai Kadet Darat, 231 Pegawai Kadet Laut dan 244 Pegawai Kadet Udara telah ditauliahkan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj selaku Pegawai Muda dalam perkhidmatan Askar Wataniah yang berpangkat Leftenan Muda.

Majlis istiadat ini turut dihadiri oleh beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya Panglima Angkatan Tentera,Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. 

Perbarisan ini telah disertai oleh 18 Universiti Awam termasuk Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang terdiri dari tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Majlis Istiadat ini mempunyai dua upacara rasmi iaitu perbarisan dan juga Majlis Kurniaan Watikah Tauliah oleh Tuanku Sultan yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

PALAPES UTHM turut diberi penghormatan dengan kehadiran Kol (K) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin selaku Komandan PALAPES UTHM, LT Kol (K) Profesor Dr. Hashim Saim selaku Timbalan Komandan dan Mej Mohamad Ali selaku Ketua Jurulatih (CI) PALAPES UTHM.

Dalam Perbarisan Istiadat Pentauliahan kali ini, PALAPES UTHM berada dalam detasmen ke 12 yang diketuai oleh Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syahiran Abd Sukor dari PALAPES Unversiti Putra Malaysia. 

Bagi detasmen PALAPES UTHM pula, Pegawai Kadet Terbaik UTHM, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syafiq Muzarpar telah diamanahkan mengetuai perbarisan PALAPES UTHM dengan kekuatan seramai 74 orang anggota. Detasmen PALAPES UTHM telah berjaya meraih tempat ke-7 dalam perbarisan keseluruhan kali ini. 

Atlit UTHM raih pingat di 13th International Clubs Open Taekwondo Championship 2015

uthmmas.gif
 
Mas Haziqah Saifuddin, atlit Taekwondo Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencipta kejayaan apabila meraih pingat Perak bagi acara weight welter (-55kg) women di 13th International Clubs Open Taekwondo Championship 2015.

Mas Haziqah, pelajar Pusat Pengajian Diploma antara atlet UTHM yang beraksi di kejohanan tersebut yang berlangsung di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 6 hingga 9 Ogos lalu.
Kejayaan Mas Haziqah di peringkat antarabangsa berjaya menjulang nama UTHM sebagai pelopor pembangunan sukan taekwondo peringkat institut pengajian tinggi (IPT) dan kebangsaan. 

Beberapa siri kejayaan pelajar ini banyak membantu pasukan UTHM mencipta koleksi kejayaan seawal penglibatannya dalam sukan ini. Selain daripada menyertai kejohanan jemputan peringkat antarabangsa, Mas Haziqah juga telah menyumbangkan pingat gangsa dalam Karnival Sukan MASUM 2015 yang lalu.

Semoga dengan kejayaan yang diraih ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di UTHM dan seterusnya melestarikan UTHM dalam dunia sukan IPT dan impian untuk menjadikan UTHM sebagai lubuk atlit kebangsaan akan dapat diteruskan dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

Enactus UTHM celebrates with the All Star Award in the Enactus Malaysia National Cup 2015

enactus.gif
 
 
Kuala Lumpur, AUGUST 2015 – Enactus UTHM won the All Star Award in the recent Enactus Malaysia National Cup (EMNC), an award given only to the best six teams in the country. The members’ dedication and hard work has culminated in their project which has impressed many judges, whom are corporate leaders of big companies like KPMG, Media Prima and CIMB Foundation.  

With UTHM first appearance in EMNC, the award represents Enactus UTHM potential as a growing organisation that is set for greater things. The competition was held at MECC, 3rd-4th August 2015, in Kuala Lumpur.

With more than 300 hours committed by 25 members, guided by Professor Madya Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff, Enactus UTHM undertook and oversaw four social projects ( Tech2Biz, M-Coop, Roll4Biz, Pre-Love Items), of which two were presented during the EMNC.

 Enactus UTHM projects focuses on empowering people in need through social and entrepreneurial action which was achieved throughout the four projects. They created financial opportunities to poor students (Tech2Biz) which not only improved the livelihood of the students but enable them to equipped themselves with entrepreneurial knowledge which allowed sustainability of their income.
 
The Enactus Malaysia National Cup is a competition for Enactus teams from Malaysia to showcase their projects. Enactus projects are socially, financially and environmentally driven with the objective to empower people to improve livelihoods. Enactus UTHM has shown great commitment to these values in their projects.

A very well deserved congratulations to Enactus UTHM and to all that has contributed to their success.

11 Pelajar UTHM sertai Mobiliti Berkredit Kokurikulum di Universitas Gadjah Mada


Satu Majlis Amanat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim bersama 11 orang pelajar yang akan mewakili Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Program Mobiliti Berkredit Kokurikulum di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia telah diadakan pada 2 Ogos lalu. 

Majlis yang berlangsung di Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum, Puan Hajah Sarebah Warman selaku Pegawai Pengiring bersama Mantan Pelajar yang telah mengikuti program yang sama pada tahun 2014 iaitu Mohamad Hamizan Mazlan. 

Profesor Dr. Hashim dalam amanatnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang terpilih dan sekali gus menjadi ikon UTHM dan Malaysia dengan membawa imej dan perlakuan yang baik semasa menjalani program di sana. Hal ini kerana melalui tingkah laku, ia menggambarkan ciri-ciri pelajar universiti berkredibiliti sekaligus dapat menarik pelajar-pelajar dari Indonesia untuk datang ke Malaysia supaya program outbound dan inbound dapat dilaksanakan.

“Peserta juga perlu mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran serta memperbanyakkan minum air bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi semasa berada di sana,” katanya.

Peluang yang diberikan selama 15 hari bermula 5 hingga 19 Ogos 2015 merupakan peluang yang perlu di manfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar untuk menimba ilmu dan mendalami konsep Kuliah Kerja Nyata.

Majlis berakhir dengan upacara simbolik penyerahan bendera Malaysia kepada Ketua Kontingen Mobiliti Berkredit Kokurikulum iaitu Saudara Mohd Haziq Mohd Deram.