Tuesday, October 9, 2012

Profesor Macapado kongsi kaedah tadbir urus bagi negara multi etnik dan budaya

Presiden Mindanao State University System (MSU Sytem), Profesor Macapado A. Muslim dari Filipina menjadi tokoh akademik pertama membuka tirai pidato umum "UTHM 20th Anniversary Lecture Series" yang diadakan pada 28 September lalu bersempena sambutan ulang tahun ke-20, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sebagai Profesor dalam bidang politik dan pentadbiran awam, kepakaran beliau khususnya dalam aspek pembinaan peradaban serta tadbir urus masyarakat berbilang etnik dan budaya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain menerajui MSU Sytem, beliau juga memegang jawatan dalam beberapa organisasi sivik antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Good Citizenship Movement (GCM) dan Global Education for Peace, Ahli Lembaga Penasihat Kebangsaan bagi Ford Foundation International Fellowship Program (IFP) serta beberapa organisasi lain.

Di Malaysia, beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting bagi penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hingga pernah dilantik sebagai salah seorang Perunding Pengurusan bagi universiti tersebut. Beliau juga kerap diundang di pentas antarabangsa sebagai penasihat dan pembentang kertas kerja berkaitan politik, pengurusan serta tadbir urus masyarakat multi etnik dan budaya.

Bertempat di Dewan Utama, UTHM Profesor Macapado menyampaikan pidato bertajuk "The Need for Multiculturalist Governance in Multiethnic Countries". Tajuk ini sangat relevan dengan lanskap sosio politik tadbir urus masyarakat di Malaysia yang turut didiami oleh masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya. 

Dalam pidatonya, beliau telah berkongsi pengalaman luas beliau dalam membuat kajian berkaitan tadbir urus negara-negara multi budaya khususnya di Filipina yang merangkumi aspek cabaran, permasalahan serta penyelesaian bagi menghadapi kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam sesebuah negara.

Perkara pertama yang disentuh beliau ialah mengenai cabaran dalam membasmi kemiskinan dan membangunkan keamanan serta beberapa penyelesaian kepada konflik yang timbul dalam masyarakat pelbagai etnik ini dalam usaha mempromosikan demokrasi. Profesor Macapado turut menghuraikan beberapa keperluan yang perlu dipenuhi bagi tadbir urus multi budaya di Filipina yang merangkumi aspek politik, sosioekonomi, budaya dan keselamatan.

Di akhir pidatonya beliau merumuskan bahawa politik dan tadbir urus dalam masyarakat perlu dikonsep dan diciptakan semula dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik ini. Menurutnya konsep "tadbir urus untuk semua" adalah perlu untuk menjamin pembangunan, keamanan dan kesejahteraan hidup sesebuah negara.

Turut hadir ke majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Pendaftar, Encik Sulam Hamid, dekan-dekan fakulti serta warga kerja universiti.

UTHM 20TH Anniversary Lecture Series ini merupakan program bersiri anjuran Pejabat Naib Canselor dan ianya merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang bersempena sambutan ulang tahun ke-20 UTHM. Majlis keilmuan ini menyenaraikan 20 profesor ternama dari seluruh dunia untuk menyampaikan syarahan di UTHM bermula pada tarikh 28 Septemberdan dijangka berakhir pada September 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.