Monday, December 19, 2011

Geofest 2011 Pamer Hasil Penyelidikan Pensyarah dan Penyelidik Muda



Geotechnical Engineering Festival (Geofest 2011) anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 8 Disember lalu telah menghimpunkan tenaga pengajar dan para penyelidik muda untuk sama-sama mempamerkan hasil penyelidikan masing-masing kepada warga universiti.

Program yang bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) UTHM ini telah disertai oleh para pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Awan dan Alam Sekitar. Matlamat utama program tersebut adalah untuk membantu pelajar menguasai subjek yang mereka pelajari dan untuk memberi mereka peluang mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka dalam bidang kejuruteraan geoteknikal ini.

Geofest 2011 bertindak sebagai agen untuk meningkatkan lagi hubungan Universiti-Industri kerana produk-produk terbaik yang dihasilkan melalui program ini mungkin akan dipilih untuk dipaten dan dikomersialkan pada masa akan datang.

Program Geofest 2011 juga bertujuan untuk membantu pensyarah dan penyelidik muda meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang ini. Kira-kira 30 booth pameran yang menonjolkan pelbagai produk dan hasil penyelidikan telah dipamerkan di sekitar ruang legar DTII,UTHM.

Semasa program berlangsung, beberapa slot ceramah berkaitan kejuruteraan geoteknikal telah diadakan khusus untuk para pelajar yang hadir. Antara tajuk ceramah tersebut ialah ‘Slope Engineering' yang disampaikan oleh Dato' Ir Dr. Ashaari Mohammad, Penasihat Cawangan Cerun JKR, Kuala Lumpur dan forum bertajuk ‘Geotechnic Engineering, Research and Innovation' yang disampaikan oleh Puan Rozana Mohd Hazizi, Pengurus Kejuruteraan Geoteknik daripada Petronas Cari Gali dan Encik Hidayat Mohd Yaacob, Ketua Kejuruteraan P2, GeoSains daripada Sapura Crest Petroleum Company.

Majlis penutup Pameran Geofest 2011 ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus Md Hussin. Beliau menyatakan rasa bangganya kerana dapat melihat pelbagai produk yang dihasilkan oleh para pelajar dan berharap agar segala projek tersebut dapat merungkai masalah-masalah yang dihadapi oleh bidang geoteknikal sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap pasukan projek masing-masing. Semoga segala usaha yang dilakukan dapat melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan juga berkemahiran," kata beliau dalam ucapannya. Beliau juga turut berkongsi ilmu tentang kejuruteraan geoteknikal ini melalui slot ceramah yang diadakan sebelum ucaptamanya.

Sementara itu Dekan FKAAS, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Abd. Karim dalam ucapannya berharap program ini dapat melahirkan insan yang lebih kreatif dan berinovasi. Beliau sempat berpesan kepada peserta yang telah melalui proses menyelidik, merancang dan melaksana projek masing-masing agar tidak lupa mengaitkan segala tugasan tersebut dengan apa yang akan dipelajari semasa kuliah nanti.

Bersempena Geofest 2011 ini juga, setiap penyertaan para penyelidik muda turut dipertandingkan. Majlis penutup festival ini menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kepada para penyelidik muda yang telah berjaya menepati kehendak juri. Anugerah tersebut merangkumi tiga kategori iaitu kategori Penyelidikan, kategori Inovasi dan kategori Terbuka.

Naib Canselor UTHM; Profesor Dato' Dr Mohd Noh Dalimin, pegawai-pegawai kanan universiti serta Dekan-Dekan Fakulti turut hadir ke majlis penutup Geofest 2011 itu.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.