Monday, December 19, 2011

"Youth to Youth 2011" Tingkat Penggunaan Bahasa Inggeris Pelajar


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kolej Yayasan Saad, Melaka telah menganjurkan program "Youth to Youth" pada 25 hingga 26 November 2011 lalu bertempat di sekitar kampus UTHM.

Program ini melibatkan 238 orang pelajar sekitar daerah Batu Pahat dan mereka terdiri daripada pelajar berumur 10 hingga 16 tahun. Program ini telah digerakkan oleh 77 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dari Kolej Yayasan Saad Melaka. Sepanjang program ini berlangsung para peserta dituntut untuk bertutur dan menulis menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

"Youth to Youth 2011" diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan untuk membudayakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Ini kerana bahasa ini juga bertindak sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian kita. Tanpa bahasa, manusia sukar untuk berinteraksi dan secara tidak langsung ia akan mengganggu proses penukaran idea dalam komuniti.Tambahan pula, hari ini dunia telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan.

Matlamat utama program adalah untuk memupuk keyakinan dan kecintaan mereka mengguna dan menguasai bahasa tersebut tanpa terlalu risau dengan kesilapan yang dibuat. Menurut Nadiea Afiqah Abd Hadi, Pengarah program "Youth to Youth 2011" pogram tahunan ini dianjurkan bagi memberi kesedaran serta keyakinan berbahasa Inggeris kepada para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah kawasan luar bandar.

Selain itu program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan kaedah pembelajaran yang pelbagai agar dapat merangsang semangat mereka untuk terus belajar dan tidak hanya bergantung kepada buku teks semata-mata.

Majlis penutup program "Youth to Youth 2011" telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Industri Perladangan dan komoditi. Turut hadir Profesor Dr. Hashim Saim, Dekan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan serta Pegawai-Pegawai Kanan universiti.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.