Monday, November 28, 2011

Prof. Ir. Mohammad Zainal Hurai Tentang Bagaimana Mengenali Persekitaran Dalam Bangunan


Lebih 80% daripada kehidupan harian kita dihabiskan di dalam bangunan tidak kira sama ada di tempat kerja, sekolah, tempat rekreasi dan juga kediaman masing-masing. Bagaimanapun, hanya sedikit sahaja pengetahuan dan pemahaman kita tentang selok belok persekitaran dalaman yang diduduki. Memastikan persekitaran dalam bangunan berada dalam keadaan baik adalah perlu agar penghuninya akan merasa lebih selesa dan selamat.

Syarahan Perdana Siri 8/2011 kali ini menyaksikan Profesor Ir. Mohammad Zainal Md Yusof daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menyampaikan syarahan bertajuk "Getting to Know Our Buildings Better: Ventilation, Thermal Comfort, Air Freshness, Indoor Air Quality (IAQ), Sick Building Syndrome (SBS).

Syarahan yang berlangsung pada 24 November bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membincangkan tentang unsur-unsur persekitaran dalaman yang sihat, pandangan dan kajian tentang keperluan manusia ketika berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran dalaman dan bagaimana untuk menguruskan persekitaran dalaman dengan baik.

Di awal syarahan, Profesor Ir. Mohammad Zainal telah menghuraikan beberapa istilah yang berkait rapat dengan bangunan iaitu tentang ventilasi, keselesaan terma, kualiti udara dalam bangunan (IAQ), jumlah udara, kesegaran dan bau, penyakit berkaitan bangunan (BRI) dan sindrom bangunan tidak sihat (SBS).

Profesor Ir. Mohammad Zainal yang telah menceburi dunia akademia selama 35 tahun ini turut membincangkan tentang piawaian dan peraturan yang berkaitan dengan kualiti persekitaran dalam bangunan (IEQ), kaedah penyelidikan mengenai kualiti udara dalam bangunan (IAQ) dan juga turut menyentuh kajian-kajian yang telah dan sedang dilakukan oleh UTHM mengenai persekitaran dalaman dan industri.

Profesor Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM turut memberi ulasan tentang syarahan tersebut di akhir majlis. Beliau berharap dengan penerangan tentang isu-isu IAQ dan IEQ itu dapat membantu warga universiti agar lebih peka untuk menambahbaik persekitaran dalaman masing-masing. Beliau berpandangan bahawa persekitaran dalaman yang baik dapat membantu meningkatkan lagi prestasi kerja dan juga proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Di akhir ulasan, beliau menyeru kepada warga universiti agar turut sama membantu dalam sebarang bentuk penyelidikan yang dijalankan oleh UTHM agar universiti ini boleh menjadi universiti contoh kepada negara.

Ahli Senat UTHM, Dekan-Dekan Fakulti dan para penonton yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan universiti hadir ke majlis tersebut.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.