Wednesday, November 2, 2011

Tunku Mahkota Johor Raikan Graduan Pada Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Ke-11

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan sidang kedua, Majlis Konvokesyen yang berlangsung pada 29 Oktober 2011 lalu.

Baginda yang juga Pro-Canselor telah bertitah dengan menyeru kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian agar tidak lupa terhadap jasa dan pengorbanan ibu bapa sepanjang mereka menuntut ilmu.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail juga berpesan kepada graduan agar menggunakan segala kepakaran yang ada pada jalan yang betul dan tidak lupa memberi sumbangan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin juga merakamkan ucapan tahniahnya kepada semua graduan dan seluruh keluarga mereka.

Dalam sidang ini, seorang tokoh telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat (Pengurusan Teknologi) iaitu Yang Berbahagia Datuk K.Y Mustafa. Penganugerahan ini dibuat bagi menghargai jasa beliau yang banyak menyumbangkan idea kepada perkembangan negara khususnya dalam bidang pengurusan teknologi.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam permodenan sistem tadbir urus khususnya bagi pentadbiran negeri Sabah.

Pada sidang kedua ini, seramai 345 orang yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian daripada Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menerima ijazah masing-masing.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2244 orang siswazah menerima sijil merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (8 orang), Sarjana (164 orang), Sarjana Muda (1832 orang) dan Diploma (240 orang).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.