Wednesday, November 2, 2011

Faisal dan Navinderjeet Singh Terima Anugerah Di-Raja

Anugerah Di-Raja kali ini menyaksikan dua graduan iaitu Navinderjeet Singh A/L Gurder Singh dan Faisal Sheikh Khalid menerima Pingat Jaya Cemerlang pada sidang pertama konvokesyen ke 11.Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor UTHM.

Faisal Sheikh Khalid,24 tersenarai sebagai penerima anugerah ini. Pelajar ini juga merupakan seorang pelajar cemerlang dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum. Anak bongsu daripada enam adik beradik ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar.

Dengan CGPA 3.81, Faisal membuktikan bahawa penglibatannya dalam pelbagai persatuan tidak sikitpun menjejaskan pencapaian akademiknya. Buktinya, pelajar ini memperolehi Anugerah Dekan beberapa kali dan mendapat CPA 4.00 berturut-turut pada tahun akhir pengajiannya.

Ketika ditanya bagaimana dia menguruskan masa, dengan tersenyum dia menyatakan bahawa dia tidak suka menangguhkan kerja dan merangka jadualnya sendiri agar segala tugas menjadi lebih teratur. Dari segi akademik pula, Faisal yang pernah mendapat Anugerah Naib Canselor ini memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dan sentiasa berinteraksi dengan tenaga pengajar jika ada yang tidak difahaminya.

Jika dilihat dari segi penglibatannya dalam bidang kokurikulum, Faisal juga pernah menjawat beberapa jawatan antaranya Ahli Jawatan Kuasa dalam Majlis Perwakilan Pelajar UTHM dan Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam di fakultinya. Pelajar ini juga banyak memberikan sumbangan tenaga kepada program-program yang dianjurkan oleh fakulti mahupun universiti.

Sementara itu Navinderjeet Singh,24 merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam juga dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar. Merujuk kepada rekodnya sebelum ini, Navinderjeet merupakan seorang pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga kokurikulum.

Pelajar yang pernah menerima Anugerah Canselor pada tahun 2008 ini telah mendapat Anugerah Dekan 12 kali berturut-turut sepanjang menuntut dalam program diploma dan ijazah di universiti ini. Manakala dalam bidang kokurikulum pula, Navinderjeet sememangnya seorang yang sangat aktif dan berkomitmen tinggi dalam bidang yang diceburinya.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang kokurikulum, Navinderjeet telah memikul beberapa tugas penting dalam badan beruniform yang disertainya iaitu Pasukan Sukarelawan Polis Siswa-Siswi IPTA (KOR SUKSIS).Selain itu, pelajar ini juga aktif dalam persatuan pelajar contohnya beliau pernah menjawat jawatan Senator kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM dan merupakan Naib Pengerusi bagi Kelab Debat Bahasa Inggeris.Selain itu, pelajar ini juga turut aktif dalam bidang sukan dan kebudayaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.