Wednesday, November 2, 2011

2400 Sertai Perarakan “Town & Gown” Sempena Majlis Konvokesyen ke 11 UTHM



Hujan lebat kira-kira satu jam sebelum acara bermula tidak sedikitpun menjejaskan semangat 2400 peserta perarakan ala “Town & Gown” sempena konvokesyen Ke-11 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di jalan-jalan utama, bandar Batu Pahat pada 22 Oktober 2011 lalu.

Acara yang bertujuan untuk memberitahu seluruh penduduk di daerah batu pahat akan penganjuran konvokesyen kali Ke-11 ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Perarakan ini merupakan amalan beberapa universiti terkemuka luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charless Stuart, Universiti St Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor, sejak beberapa dekad lalu. Acara ini menjadikan UTHM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di semenanjung mengadakan perarakan seperti ini.

Acara perarakan yang bermula dari Jalan Rahmat hingga ke Stadium Batu Pahat ini adalah antara pendekatan UTHM untuk merakyatkan majlis konvokesyen ini dan sebagai satu simbolik hubungan erat antara warga UTHM dengan penduduk selaras dengan tema perarakan, Inovasi-Rakan Universiti-Komuniti.

Terdapat juga acara sampingan seperti acara konvoi Berbasikal dari Kampus UTHM ke stadium Batu Pahat bermula seawal jam 9 pagi. Kira-kira 300 orang individu dari pelbagai kelab basikal telah menyertai acara kayuhan tersebut. Sementara itu pada jam 11 pagi, para pengunjung hadir untuk menyaksikan Pertandingan Auto Show yang disertai oleh penggemar kereta tempatan iaitu kereta Proton dan Perodua. Program tersebut juga disusuli dengan konvoi motor besar yang bergerak dari UTHM ke stadium.

Daripada 2400 peserta yang terlibat, 1880 adalah terdiri daripada pelajar UTHM manakala selebihnya adalah para pegawai dan ahli akademik UTHM serta wakil dari beberapa agensi jemputan.

Antara agensi jemputan yang turut serta dalam perarakan ini adalah penyertaan daripada kumpulan pancaragam RELA dan pancaragam Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, kumpulan drumline Sekolah Menengah Sains Bandar Penawar, Sekolah Menengah Paduka Tuan, Segamat dan juga Kumpulan Silat PESAKA daerah Batu Pahat.

Kemuncak perarakan tersebut adalah upacara pembacaan pengistiharan konvokesyen oleh Pendaftar UTHM dan Skrol Konvokesyen tersebut turut diserahkan kepada Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Zarkashi sebagai tanda simbolik hubungan erat antara universiti dan penduduk Batu Pahat.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.