Monday, November 28, 2011

UTHM Jadi IPT Pertama Tubuh Briged RELASIS


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberi kepercayaan oleh Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA untuk menjadi model kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara sebagai peneraju pasukan RELA Siswa Siswi (RELASIS) Institut Pengajian Tinggi.

Untuk tujuan tersebut, UTHM dengan kerjasama RELA Malaysia telah berjaya mereka bentuk dan menyediakan satu buku iaitu "Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) IPT." Buku ini akan menjadi panduan kepada semua IPT di negara ini dalam melaksanakan penubuhan RELASIS di IPT masing-masing.

Dengan terhasilnya buku panduan tersebut, maka satu majlis Pelancaran Buku Panduan Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) dan Penganugerahan Pangkat Kehormat RELA UTHM kepada 23 orang pegawai telah diadakan bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM pada 20 November lalu.

Buku panduan ini telah dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam majlis Penganugerahan Pangkat Pegawai Kehormat RELA UTHM.

Beliau dalam ucapannya menyeru setiap golongan belia agar membuka minda mereka untuk turut sama menjadi anggota mana-mana badan beruniform bagi membangkitkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mempertahankan negara.

"Ikatan Relawan Rakyat (RELA) adalah salah satunya, dengan menyertai badan beruniform ini, golongan belia yang terdiri daripada kepelbagaian majmuk ini dapat diikat menjadi satu kumpulan yang kuat demi kestabilan negara," katanya sewaktu merasmikan majlis pelancaran tersebut.

UTHM melalui Pusat Kokurikulum sebelum ini telah sedia menubuh dan mengiktiraf pasukan RELASIS dan ia merupakan salah satu aktiviti daripada 90 kursus berbentuk akademik dalam ko-kurikulum bagi teras Kesukarelawanan dengan membawa pemberat sebanyak 6 kredit.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, walaupun penubuhan RELASIS masih di peringkat awal, namun jumlah pelajar yang berminat menyertainya sangatlah membanggakan. Setakat ini RELASIS UTHM mempunyai seramai 344 anggota dan jumlah pengambilan tersebut akan bertambah lagi selaras dengan pertambahan pelajar dari masa ke semasa.

Walaupun RELASIS dianggotai oleh pelajar-pelajar universiti, UTHM juga telah melantik seramai 23 orang yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik sebagai Pegawai Kehormat RELA Universiti. Pegawai-pegawai tersebut bertindak sebagai mentor kepada sebarang aktiviti yang akan dijalankan oleh RELASIS.

Naib Canselor mewakili seluruh warga UTHM berharap dengan menyertai pasukan beruniform seperti ini akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai disiplin yang tinggi, bertanggungjawab terhadap keselamatan dan juga keamanan negara selain mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.