Wednesday, November 2, 2011

Graduan UTHM Diterima Bekerja Di Mumbai, India




Navinderjeet Singh A/L Gurder Singh,24 anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazahnya dalam bidang kejuruteraan awam ini telah ditawarkan bekerja di sebuah syarikat Malaysia yang berpengkalan di Mumbai, India.

Tanpa berfikir panjang,dia terus menerima tawaran tersebut kerana baginya menjadi satu kerugian melepaskan peluang seperti itu.

Maya Décor Sdn. Bhd, syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan telah menawarkan jawatan sebagai Jurutera Projek kepada Navinderjeet kira-kira tujuh bulan yang lalu. Menurut Navinderjeet, tugas yang dipikulnya itu lebih kepada mengurus dan memantau segala projek yang ada.

Ketika ditanya mengapa dia menerima tawaran bekerja di sana, Navinderjeet menjelaskan selain faktor gaji yang tinggi, dia juga ingin merasai pengalaman bekerja di luar negara. Bagaimanapun, satu hari nanti dia tetap akan pulang mencurahkan tenaganya di Malaysia pula. "Kemungkinan saya akan bekerja di India dalam beberapa tahun dan selepas itu saya akan pulang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran," jelasnya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana pula nanti.

Dia juga menjelaskan bahawa apa yang dipelajarinya di UTHM dulu telah diaplikasikannya di sana. "Apa yang saya pelajari dulu sememangnya tidak sia-sia kerana ianya amat membantu saya dalam melaksanakan tugas yang diberi" kata Navinderjeet lagi. Kelebihannya yang boleh berbahasa Hindi memudahkan lagi interaksinya dengan masyarakat di sana.

Navinderjeet merupakan salah seorang graduan yang telah terpilih menerima anugerah Di-Raja iaitu Pingat Jaya Cemerlang sewaktu Majlis Konvokesyen Ke-11 pada 29 Oktober 2011 lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.