Monday, November 28, 2011

UTHM Jalin Kerjasama Strategik Dengan Tiga Rakan Industri

Dalam memastikan kualiti dan hala tuju pengajaran dan penyelidikan Universiti sentiasa relevan dengan keperluan industri, tiga lagi memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan rakan-rakan industri iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. pada 18 November 2011 yang lalu.

Ketiga-tiga MOU ini adalah untuk menggalakkan kerjasama akademik melalui pendidikan dan penyelidikan khususnya dalam beberapa bidang yang telah disenaraikan.

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan KTMB bertujuan untuk menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi Kejuruteraan Kereta Api.

Antara bidang kerjasama yang dirancang ialah kerjasama dalam membangunkan Program Sarjana Muda dan Program Sarjana untuk program Kejuruteraan Kereta Api dan juga kerjasama dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang yang sama. Naib Canselor dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin bin Adnan telah menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Haji Sulam Hamid bersama Pengurus Besar syarikat tersebut iaitu Cik Azshidah Shah Shahari.

Manakala Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) pula telah menandatangani dua MOU iaitu dengan Cybersecurity Malaysia dan Mysysnet Sdn. Bhd. Tandatangan memorandum tersebut melibatkan Naib Canselor dengan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Col (R) Profesor Dato' Husin Haji Jazri dan Ketua Pegawai Eksekutif MysysNet Sdn Bhd, Encik Hud Md Ali.

FSKTM dan Cybersecurity Malaysia akan bekerjasama dalam bidang Keselamatan Siber dan antara program kerjasama yang dirancang ialah program penempatan latihan industri bagi pelajar, program sangkutan staf akademik dan kerjasama dalam bidang penyelidikan.

Sementara itu, FSKTM juga menandatangani perjanjian dengan Mysysnet Sdn Bhd dalam bidang pembangunan sistem di peringkat industri. Bidang kerjasama yang dirancang adalah seperti program penempatan latihan industri bagi pelajar dan kerjasama dalam pembangunan sistem aplikasi dan penyelidikan.

Turut hadir, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz bin Dato Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos,
Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), pegawai-pegawai kanan serta kakitangan universiti.




.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.