Monday, November 28, 2011

Laman Web UTHM Terima Pengiktirafan 5 Bintang oleh MDeC

Laman Web Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat kejayaan membanggakan apabila diiktiraf status lima bintang oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) dalam laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Tahun 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam laporan tersebut, MDeC telah melaksanakan penilaian terhadap 1155 laman web dan portal kerajaan dengan memfokuskan elemen seperti kandungan, kebolehgunaan, keselamatan, penyertaan dan perkhidmatan.

Di peringkat agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pula, laman web UTHM berada di dalam kelompok 10 teratas. Kategori ini merangkumi 80 laman web universiti awam dan swasta, kolej komuniti serta politeknik di seluruh negara.

ncNaib Canselor UTHM, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dalam satu kenyataan berkenaan perkara ini menyatakan "Penarafan tertinggi yang diberikan oleh MDeC kepada laman web UTHM ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha gigih dan berterusan UTHM dalam memudah cara segala urusan dan tadbir urus Universiti melalui kemudahan ICT khususnya secara online"

"Kami yakin melalui laman web yang cekap dan efisien, sistem penyampaian Universiti akan dapat dipertingkatkan dan sekaligus membina satu imej yang baik terhadap organisasi. Tambahan pula UTHM sebagai sebuah universiti premier dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, kita akan menggunakan segala kepakaran yang dimiliki oleh warga Universiti dalam memastikan sebarang urusan pengurusan dan pentadbiran Universiti dapat dilaksanakan dengan cekap pada bila-bila masa." katanya lagi

Laman web UTHM mempunyai ciri-ciri mesra pengguna yang amat tinggi. Para pengguna yang terdiri daripada kelompok pelajar, pentadbir, ibu bapa mahupun pelanggan luar akan memperoleh maklumat yang berkaitan kepentingan masing-masing secara mudah dan cepat.

Pada ketika ini laman web UTHM amat membantu warga kerjanya mencapai segala maklumat berkaitan rekod peribadi secara menyeluruh seperti rekod cuti, latihan dan kursus, penerbitan dan penyelidikan dan sebagainya melalui satu sistem yang dikenali sebagai Total Campus Integrated System (TCIS).

Manakala bagi pelajar, Sistem Maklumat Akademik Pelajar (SMAP) pula amat membantu dalam melicinkan urusan rekod akademik, pengajaran dan pembelajaran mereka serta memudahkan interaksi bersama penyelia masing-masing.

Laman web UTHM juga diperhebatkan dengan pelbagai kandungan audio visual menarik yang disalurkan oleh University Campus Interactive TV (UCiTV) yang memaparkan pelbagai rakaman video aktiviti akademik dan program-program anjuran Universiti. Kemampuan yang dimiliki oleh UCiTV ini juga membolehkan pelayar laman web dari seluruh dunia menyaksikan acara-acara utama UTHM secara langsung melalui laman web UTHM yang beralamat www.uthm.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.