Wednesday, November 2, 2011

Tuanku Canselor Sempurnakan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-11 UTHM

Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam titahnya berpesan kepada semua graduan supaya menjaga imej dan nama baik universiti selepas menamatkan pengajian mereka.

"Saya ingin berpesan kepada graduan terutamanya yang masih dalam pengajian, jauhilah daripada anasir-anasir yang merosakkan hidup dengan berpegang teguh kepada ajaran dan amalan agama," titah baginda lagi ketika menyempurnakan siding pertama Majlis Konvokesyen ke-11 yang berlangsung pada 29 Oktober 2011, semalam.

Tuanku Canselor juga sempat mengingatkan para pelajar UTHM agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan sentiasa menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh universiti serta pihak kerajaan.

Konvokesyen kali ini menyaksikan penerimaan beberapa anugerah seperti Anugerah Profesor Emeritus, Anugerah Ijazah Doktor Falsafah, Anugerah Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda. Manakala anugerah akademik yang tersenarai pula ialah seperti Anugerah Khas DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Sri Sapura, Anugerah Tan Sri Dato' Paduka Hajjah Ashah Ghani, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Khas Alumni (Kategori Pelajar).

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan PALAPES oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, sejurus selepas itu seluruh dewa diumumkan dengan pengistiharan pembukaan Majlis Konvokesyen ke-11 oleh Tuanku Canselor dan diikuti dengan pengenalan kepada penerima Anugerah Profesor Emeritus iaitu Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Dalam masjlis tersebut, Profesor Ir. Dr. Zainal telah diberi peluang merakamkan ucapan terima kasih di atas penganugerahan tersebut. Dalam ucapannya, beliau mnyatakan penghargaan kepada seluruh warga kerja universiti yang sentiasa menyokong khidmat bakti beliau sepanjang berada di UTHM.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin juga mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Canselor dan para tetamu ke majlis konvokesyen kali ini. Beliau juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2244 orang siswazah menerima sijil merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (8 orang), Sarjana (164 orang), Sarjana Muda (1832 orang) dan Diploma (240 orang).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.